01 May, 2016

Selamat hari lahir ke-12, Along

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

” Ya Allah, panjangkanlah umur anak kami ini, terangilah hatinya, teguhkanlah imannya,
bagusilah amal perbuatannya, lapangkanlah rezekinya,
dekatkanlah menuju kebaikan, jauhkanlah dari keburukan.
Ya Allah, kabulkanlah doa kami ini, agar anak kami menjadi anak yang soleh,
yang sentiasa taat kepadaMu dan berbakti kepada kedua orang tuanya”Amin ya rabbal ‘Alamin

Amalan Ketika Menyambut Hari Lahir

Apabila tibanya tarikh dan hari lahir, maka akan bertambahlah usia kita seiring tempoh kehidupan kita di dunia. Semakin banyak menyambut hari lahir, sesungguhnya hari kita adalah semakin tua. Ramai orang yang menyambut hari lahir dengan mengadakan jamuan makanan dan menjemput rakan-rakan serta saudara-mara untuk turut sama meraikannya. Tidak kurang juga yang mengadakan majlis keraian yang disertai dengan tari-menari dan hiburan yang agak berlebihan. Terpulang pada diri masing-masing.

Namun, bagi kita umat Islam, dalam apa pun urusan kita, adalah perlu untuk kita menilai terlebih dahulu apakah bentuk sambutan yang akan kita adakan, agar sambutan tersebut tidak tersasar dari kehendak Islam. Atau dalam erti kata lain, tidak menyerupai kaum atau agama orang lain. Nabi SAW addda menyebutkan tentang larangan menyerupai kaum lain, seperti mana hadis yang bermaksud,

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia dikira dari kaum tersebut.”
 (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban)

Islam telah mengajar kita untuk bersifat sederhana dalam mengadakan sesuatu majlis agar tidak terdapat perkara yang tidak baik seperti maksiat atau pembaziran. Upacara memotong kek, meniup lilin di atas kek serta dinyanyikan lagu (seperti lagu ‘Happy Birthday To You’) adalah merupakan sambutan yang tidak terdapat dalam ajaran Islam.


AMALAN YANG PERLU DILAKUKAN

Seharusnya kita sebagai umat Islam perlu menggunakan garis panduan ajaran Islam dengan sebaiknya sebagai petunjuk jalan dalam kehidupan. Ini juga termasuklah dalam hal menyambut hari lahir, yang sering kali dianggap perkara kecil atau biasa bagi masyarakat yang menyambutnya dengan pelbagai perkara, yang adakalanya tersasar dari objektif sebenar memperingati hari kelahiran. Berikut adalah antara amalan-amalan yang boleh atau perlu dilakukan sewaktu tiba ulangtahun kelahiran. Antaranya:

1. Melahirkan Rasa Syukur Dan Gembira
Kita perlu melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana masih lagi diberi nikmat dan anugerah kesihatan dan nyawa bagi meneruskan kehidupan, serta gembira atas nikmat umur yang dikurniakanNya. Firman Allah SWT di dalam surah ad-Dhuha ayat 11 yang bermaksud,

“Dan terhadap nikmat TuhanMu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutkannya 
(dengan bersyukur).”

2. Mendoakan Antara Satu Sama Lain
Apabila menyambut hari kelahiran seseorang, kita dituntut untuk saling mendoakan antara satu sama lain. Sebaiknya, lagu “Selamat Hari Jadi” ditukarkan dengan yang ungkapan yang lebih bermakna, lebih berkat dan lebih indah. Contohnya, barakallahu fika (untuk lelaki) / fiki (untuk perempuan), tiga kali, dengan menggunakan nada dan melodi yang sama. Ia bermaksud “Semoga Allah memberkati kamu”. Ucapan-ucapan dan doa sebegini lebih dituntut dan dianjurkan oleh syariat Islam.

3. Mengadakan Jamuan Yang Berkadaran
Jamuan adalah sinonim dengan apa jua majlis dan sambutan. Menjamu makan dalam Islam adalah satu bentuk sedekah yang sangat digalakkan. Asalkan tidak membazir. Adalah dianjurkan kita menjemput golongan fakir dan miskin ke majlis kita. Sekiranya ada lebihan makanan, eloklah dibagi-bagikan kepada para tetamu sebagai buah tangan. Selain besar pahalanya, ia boleh menyuburkan lagi rasa kasih-sayang sesama keluarga dan sahabat handai.

4. Mengadakan Majlis Tazkirah Ringkas
Mengadakan majlis tazkirah (nasihat) ringkas, ataupun mengalunkan bait-bait nasyid, selawat yang berupa untaian nasihat bagi menghiburkan para jemputan disamping mengingatkan hadirin bahawa umur adalah amanah Allah s.w.t yang akan ditanya di Akhirat kelak.

5. Memberi Hadiah
Memberi hadiah juga adalah amalan yang sinonim dalam sambutan hari-hari sebegini. Amalan memberi hadiah ini juga dianjurkan oleh Islam kerana ia akan menimbulkan kemesraan dan suasana yang penuh mahabbah (kasih sayang). Hadiah yang diberikan tak semestinya besar dan mahal, tetapi ia akan menjadi tanda ingatan yang ikhlas, di samping menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sabda Nabi s.a.w:
“Hadiah-menghadiahlah, kamu akan berkasih-sayang.”

6. Muhasabah Diri
Muhasabah diri (koreksi diri) yang perlu dibuat khasnya pada sambutan ulang tahun ini, ialah dengan menginsafi masa atau umur yang telah berlalu. Renungkan, berapa banyakkah kebaikan amal soleh yang telah kita lakukan. Dan renung pula berapa banyak pula maksiat dan dosa yang telah kita lakukan selama ini. Sekiranya jawapan itu lebih berat kepada kecuaian dan kealpaan, maka mohonlah taubat kepada Allah. Kemudian susuli dengan niat, azam dan perancangan bagaimana untuk mengisi sisa-sisa umur kita yang berbaki ini. Tentunya baki umur kita semakin hari semakin sedikit, bukannya bertambah. Hasil muhasabah diri ini akan menjadikan kita orang yang terus-menerus berhijrah kepada Allah s.w.t.

7. Berbuat Baik Pada Ibubapa
Buat insan yang menyambut hari jadi itu, elok juga pergi menziarahi kedua ibu bapanya (jika tidak lagi tinggal bersama dengan keduanya), kerana merekalah yang merupakan sebab musabab lahirnya dia ke dunia. Pada hari itu, si anak sepatutnya mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan sesuatu pada ibu dan ayah mereka. Mudah-mudahan usia kita terus diberkati.


Entri 'Amalan Ketika Menyambut Hari Lahir' dipetik dari SINI.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...