31 December, 2016

Catatan Perjalanan Oktober - Disember 2016

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lama juga tak jenguk blog ni disebabkan kesibukan kerja yang melampaui batas menjelang hujung tahun... sampaikan beberapa hari terpaksa bermalam di pejabat. Dah lama tak menulis malaspun melanda. Jadi aku longgokkan saja dalam satu entri secara suku tahunan beberapa peristiwa penting dalam hidup aku sekeluarga.

5 Oktober 2016 (Rabu) : Along ada lawatan sekolah ke Legoland, sempena meraikan kemerdekaan baru habis UPSR. Nak pergi sekeluarga tak berapa mampu, bagilah dia pergi dengan kawan-kawan sekolahnya, guna baki simpanan duit rayanya dan kami cuma perlu tambah sikit duit belanja je.


20-22 Oktober 2016 (Khamis-Sabtu) : Menghadiri sesi taklimat & review pasal kerja di Hotel DePalma, Kuala Selangor. Hari kedua, roommate terpaksa balik kerana ada hal yang tak dapat dielakkan. Daripada aku duduk sorang-sorang baik angkut anak bini datang sini, dapat juga anak-anak mandi kolam. Balik wajib singgah Bukit Melawati menziarahi lotong-lotong di sana.


9 November 2016 (Rabu): Angah pulak ada lawatan ke A Famosa Water Theme Park, Melaka. 
Tak bawa handphone jadi takde la gambar.

15-17 November 2016 (Selasa-Khamis) : Aina terpaksa bermalam kat wad selama 2 malam. Bermula dengan demam & selsema, masuk hari ketiga pernafasan makin pendek-pendek. Doc sahkan kena jangkitan kuman kat paru-paru, 2 hari berterusan kena masuk gas. Malam pertama ayah jaga, malam kedua ibunya pulak temankan. Alhamdulillah hari ketiga dah beransur sembuh dan boleh keluar hospital.


17 November 2016 (Khamis) : Keputusan UPSR Along dah keluar. Cuma ayah dapat temankan Along ambik result, ibunya masih kat wad jaga Aina. Alhamdulillah, Along dapat 2A 1B 3C. Kira ok lah tu, ada juga A-nya. Tahniah Along. Tapi dengar khabarnya 1 Malaysia ramai cikgu, mak bapak dan pelajar yang meroyan pasal keputusan UPSR merosot selepas diperkenalkan format baru. Rilek la, UPSR je punnn... masih jauh lagi perjalanan hidup anak-anak tu. Tak cemerlang dalam UPSR tak semestinya akan gagal dalam hidup.

Keputusan PSRA kat sekolah agama pun ok lah juga. Pangkat keseluruhannya Jayyid... kira baik juga tu walaupun tak capai tahap Mumtaz.


19 November 2016 (Sabtu) : Selamat hari jadi Aina yang ke 7 tahun... sambut secara sederhana kat rumah je. Alhamdulillah mujur dah keluar wad. Semoga membesar dengan sihat menjadi anak yg solehah, penyejuk mata ayah dan ibu.


25-26 November 2016 (Sabtu-Ahad) : Balik Ipoh menziarahi pak mertua yang kini terlantar di wad, disahkan kanser hati tahap 4. Semoga Apak diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini.


4 Disember 2016 (Ahad) : Cadangnya nak balik Ipoh lagi minggu ni menziarahi pak mertua, tapi dikhabarkan esok (Isnin) anak-anaknya nak bawa apak berubat di KL, jadi kami tunggu ziarah kat KL je lah. Jadi kami tukar plan pergi melawat pameran MAHA kat Serdang. Dah beberapa tahun dianjurkan, baru kali ni rasa nak pergi. Tak banyak gerai yang kami singgah... orang penuh sesak, cuaca panas terik, pening dan serabut dibuatnya... kena menapak jauh pulak tu dari tempat parking... rasanya ni pertama dan terakhir kot melawat MAHA ni...


6 Disember 2016 (Selasa) : Semalam pak mertuaku tak jadi dibawa berubat ke KL, dia sendiri yang taknak pergi berubat jauh-jauh. Pagi ni dapat berita apak dah nazak. Kira-kira jam 11.00 pagi, apak menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun (1935-2016) ketika kami masih dalam perjalanan balik ke Ipoh. Dikebumikan petang tu juga selepas solat asar. Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun. Semoga roh apak dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.


13-14 Disember 2016 (Selasa -Rabu): Bercuti 2H 1M di Genting Highland yang dah ditempah sebulan sebelumnya. Tujuan utama  demi memenuhi permintaan Along yang nak tengok pertunjukan Ultraman Live @ Genting... sebagai kenangan terakhir menutup zaman kanak-kanaknya... katanya la.  Lagipun tak lama lagi dah nak masuk asrama berpisah dengan keluarga. Oklah layankan saja setakat yang ayah dan ibu termampu...


21 Disember 2016 (Rabu) : Hantar dua ekor kucing kami, Oyen & Taro ke klinik untuk disunatkan (dikasi). Sebagai kucing jantan yang dah meningkat dewasa, si Oyen nampaknya dah mula memancut dalam rumah merata-merata untuk menanda kawasan jajahan takluknya. Orang kata lepas dikasi ni kucing jantan tak memancut dah... harapnya betullah. Dah alang-alang ke klinik baik bawa Taro sekali jalan.


Sekian adanya, selamat tahun baru 2017.


No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...