23 May, 2015

Mendaki Bukit Saga, Ampang

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Ramai yang keliru antara Bukit Saga dan Bukit Apek. Sebenarnya kedua-duanya bukit yang berbeza dan terletak bersebelahan tapi treknya bertemu dalam hutan simpan yang sama iaitu Hutan Simpan Bukit Sungai Putih. Untuk mendaki Bukit Saga, tempat permulaannya dari Jalan Saga 28, Taman Saga, Ampang.  

~ 23 Mei 2015 (Sabtu), sebagai latihan persiapan untuk mendaki G.Mulu & Pinnacles bulan depan, aku mendaki Bukit Saga bersama 3 orang rakan lama iaitu Abg.Rais, Saleh & Fred... yang dikenali masa baru nak berjinak-jinak dengan dunia hiking ni sekitar awal tahun 2000... kira macam reunion lah ni.

 
~ Sebelum mendaki, berkumpul pekena nasi lemak dulu di kedai berhampiran starting point Jalan Saga 28.
9.30am: mula mendaki ikut Trail A dan sampai ke puncak Bukit Saga (Saga Hilltop) lebih kurang 30 minit kemudian... jalan santai2 je tu. Lepak sekejap je, teruskan perjalanan lebih kurang 30 minit lagi ke air terjun. Lepak kat air terjun lebih kurang 30 minit kemudian turun balik ikut jalan yang sama.

16 May, 2015

Mini Karnival Sukan 4 penjuru 2015

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Jabatan Perangkaan Malaysia telah menganjurkan Mini Karnival Sukan 4 penjuru 2015 yang disertai oleh  Ibu Pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Perangkaan Negeri Selangor, Jabatan Perangkaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Bank Negara Malaysia pada 16 Mei 2015 bertempat di Pusat Latihan Inspen, Bangi.

~ 4 acara dipertandingkan iaitu bolasepak 9-sebelah, badminton berpasukan, bola tampar dan bola jaring.  

~ Dalam acara bolasepak 9-sebelah, syarat pertandingan kena ada seorang wakil pemain veteran 40-tahun ke atas. Disebabkan tahun ni aku dah cukup umur, aku dijemput dengan segala hormatnya main dengan team ni...hihi. Main 4-5 minit jadilah buat syarat... nak main full time memang tak larat.


~ Team aku JP Selangor berjaya muncul naib juara setelah menang  2 perlawanan dan kalah sekali.
    - JP Selangor 0-2 Bank Negara Malaysia
    - JP Selangor 1-0 JP WPKL
    - JP Selangor 1-0 Ibu Pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia

13 May, 2015

Mencegah Penyakit Dengan Berjalan Kaki (Hiking & Trekking)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Jom baca 8 tips menarik ini khas untuk anda semua :



1. Serangan Jantung : 
Berjalan dengan pantas boleh mengurangkan risiko serangan jantung. Otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras (dari pembuluh koroner ) agar segar dan berfungsi normal untuk mengepam darah tanpa henti. Berjalan dengan cepat boleh melancarkan aliran darah ke jantung. Apabila kita sering berjalan, kolesterol baik (HDL) yang bekerja sebagai span penyerap kolesterol (LDL) akan meningkat.

2. Stroke :
Satu kajian dilakukan kepada 70 ribu pesakit di Harvard School of Public Health yang bekerja sambil berjalan kaki sebanyak 20 jam dalam seminggu, hasilnya risiko diserang stroke menurun hingga dua pertiga.

3. Membakar Lemak :
Rutin berjalan kaki akan meningkatkan metabolisme tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang melalui aktiviti berjalan kaki, kalori berlebihan yang tersimpan di dalam tubuh akan ikut sama terbakar.

4. Melangsingkan Badan :
Jika berat badan berlebihan, mulakan rutin berjalan. Pergerakan kaki hingga seluruh tubuh mampu menurunkan berat badan dan menghakis lemak yang ada terutama di perut. Lakukan berjalan kaki secara rutin selama satu jam.

5. Kanser : 
Gejala kanser akan lenyap dengan sendirinya jika kita rajin berjalan kaki. Kanser yang dimaksudkan adalah jenis kanser usus besar (colorectal carcinoma). Banyak berjalan kaki akan melancarkan peristaltik usus, sehingga membuang air besar pun lebih lancar. Kanser usus dicetuskan oleh najis yang tertahan lama dalam saluran pencernaan. Sementara dalam satu kajian lain, berjalan boleh menurunkan risiko terkena kanser payudara.

6. Mencegah Osteoporosis :
Sering berjalan akan menyebabkan otot-otot badan serta rangka atau tulang di dalam tubuh anda akan menjadi sihat dan kuat. Untuk mencegah osteoporosis tidak cukup hanya dengan rutin mengambil vitamin D dan kalsium yang banyak, tubuh juga memerlukan pergerakan badan dan memerlukan waktu paling kurang 15 minit di bawah sinar matahari pagi dan anda akan terhindar dari osteoporosis.

7. Mencegah Kencing Manis :
Dengan rutin berjalan kira-kira 6 km per jam, dalam tempoh sekitar 50 minit, mampu mencegah berkembangnya diabetes jenis 2, khususnya pada mereka yang bertubuh gemuk (National Institute of Diabetes and Gigesive & Kidney Diseases). Selagi gula darah boleh dikawal hanya dengan cara menggerakkan badan (brisk walking), ubat tidak diperlukan. Anda hanya perlu berjalan secara rutin untuk terus menjaga kesihatan badan dan terhindar dari diabetes.

8. Depresi :
Berjalan kaki dengan cepat boleh menggantikan ubat anti depresan yang biasanya diminum secara rutin oleh pesakit depresi. Mulai sekarang, rajin-rajinlah berjalan kaki.

Nota : Harap korang boleh manfaatkan info berguna ini ye. Tak rugi apa pun malah kesihatan anda juga terjamin kan. Hehehe.... 

Perkongsian dari fb Azhar Hashimi (Hiking and Camping Around Malaysia)

09 May, 2015

Memancing di lombong

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Dah lama tak memancing, joran yang ada boleh reput kalau dibiarkan saja. Kebetulan ada kawan nak memancing di lombong... apalagi, i followww!


~ Lokasi: Negeri Perak memang terkenal dengan banyak bekas lombongnya. Kami memancing di salah sebuah lombong yang banyak bertaburan di sekitar Tanjung Tualang, yang lebih dikenali sebagai Bandar Udang Galah, Perak.

~ Umpan: Dedak, palet, roti, cacing... bagus ikan kat sini tak memilih umpan sangat semua dia bedal. 

~ Hasil tangkapan: Ikan patin remaja, rohu, leekoh, jelawat dan sudah tentu talapia. Tangkapan terberat adalah ikan rohu seberat 3kg. Keseluruhan hasil tangkapan kami berenam dari pagi sampai ke petang rasanya mencecah 30-40 kg.

Alhamdulillah atas kurniaan rezeki dari-Nya. Walaupun kepala berpinar sebab cuaca sangat panas terik, 2-3 kali mata bom lebur akibat tersangkut dan joran reput aku tu patah, rasa macam nak repeat lagi sebab sambutan ikan-ikan kat sini sangat mesra... hehe.

01 May, 2015

Selamat harijadi ke-11, Along

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

” Ya Allah, panjangkanlah umur anak kami ini, terangilah hatinya, teguhkanlah imannya,
bagusilah amal perbuatannya, lapangkanlah rezekinya,
dekatkanlah menuju kebaikan, jauhkanlah dari keburukan.
Ya Allah, kabulkanlah doa kami ini, agar anak kami menjadi anak yang soleh,
yang sentiasa taat kepadaMu dan berbakti kepada kedua orang tuanya”Amin ya rabbal ‘Alamin

Amalan Ketika Menyambut Hari Lahir

Apabila tibanya tarikh dan hari lahir, maka akan bertambahlah usia kita seiring tempoh kehidupan kita di dunia. Semakin banyak menyambut hari lahir, sesungguhnya hari kita adalah semakin tua. Ramai orang yang menyambut hari lahir dengan mengadakan jamuan makanan dan menjemput rakan-rakan serta saudara-mara untuk turut sama meraikannya. Tidak kurang juga yang mengadakan majlis keraian yang disertai dengan tari-menari dan hiburan yang agak berlebihan. Terpulang pada diri masing-masing.

Namun, bagi kita umat Islam, dalam apa pun urusan kita, adalah perlu untuk kita menilai terlebih dahulu apakah bentuk sambutan yang akan kita adakan, agar sambutan tersebut tidak tersasar dari kehendak Islam. Atau dalam erti kata lain, tidak menyerupai kaum atau agama orang lain. Nabi SAW addda menyebutkan tentang larangan menyerupai kaum lain, seperti mana hadis yang bermaksud,

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia dikira dari kaum tersebut.”
 (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban)

Islam telah mengajar kita untuk bersifat sederhana dalam mengadakan sesuatu majlis agar tidak terdapat perkara yang tidak baik seperti maksiat atau pembaziran. Upacara memotong kek, meniup lilin di atas kek serta dinyanyikan lagu (seperti lagu ‘Happy Birthday To You’) adalah merupakan sambutan yang tidak terdapat dalam ajaran Islam.


AMALAN YANG PERLU DILAKUKAN

Seharusnya kita sebagai umat Islam perlu menggunakan garis panduan ajaran Islam dengan sebaiknya sebagai petunjuk jalan dalam kehidupan. Ini juga termasuklah dalam hal menyambut hari lahir, yang sering kali dianggap perkara kecil atau biasa bagi masyarakat yang menyambutnya dengan pelbagai perkara, yang adakalanya tersasar dari objektif sebenar memperingati hari kelahiran. Berikut adalah antara amalan-amalan yang boleh atau perlu dilakukan sewaktu tiba ulangtahun kelahiran. Antaranya:

1. Melahirkan Rasa Syukur Dan Gembira
Kita perlu melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana masih lagi diberi nikmat dan anugerah kesihatan dan nyawa bagi meneruskan kehidupan, serta gembira atas nikmat umur yang dikurniakanNya. Firman Allah SWT di dalam surah ad-Dhuha ayat 11 yang bermaksud,

“Dan terhadap nikmat TuhanMu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutkannya 
(dengan bersyukur).”

2. Mendoakan Antara Satu Sama Lain
Apabila menyambut hari kelahiran seseorang, kita dituntut untuk saling mendoakan antara satu sama lain. Sebaiknya, lagu “Selamat Hari Jadi” ditukarkan dengan yang ungkapan yang lebih bermakna, lebih berkat dan lebih indah. Contohnya, barakallahu fika (untuk lelaki) / fiki (untuk perempuan), tiga kali, dengan menggunakan nada dan melodi yang sama. Ia bermaksud “Semoga Allah memberkati kamu”. Ucapan-ucapan dan doa sebegini lebih dituntut dan dianjurkan oleh syariat Islam.

3. Mengadakan Jamuan Yang Berkadaran
Jamuan adalah sinonim dengan apa jua majlis dan sambutan. Menjamu makan dalam Islam adalah satu bentuk sedekah yang sangat digalakkan. Asalkan tidak membazir. Adalah dianjurkan kita menjemput golongan fakir dan miskin ke majlis kita. Sekiranya ada lebihan makanan, eloklah dibagi-bagikan kepada para tetamu sebagai buah tangan. Selain besar pahalanya, ia boleh menyuburkan lagi rasa kasih-sayang sesama keluarga dan sahabat handai.

4. Mengadakan Majlis Tazkirah Ringkas
Mengadakan majlis tazkirah (nasihat) ringkas, ataupun mengalunkan bait-bait nasyid, selawat yang berupa untaian nasihat bagi menghiburkan para jemputan disamping mengingatkan hadirin bahawa umur adalah amanah Allah s.w.t yang akan ditanya di Akhirat kelak.

5. Memberi Hadiah
Memberi hadiah juga adalah amalan yang sinonim dalam sambutan hari-hari sebegini. Amalan memberi hadiah ini juga dianjurkan oleh Islam kerana ia akan menimbulkan kemesraan dan suasana yang penuh mahabbah (kasih sayang). Hadiah yang diberikan tak semestinya besar dan mahal, tetapi ia akan menjadi tanda ingatan yang ikhlas, di samping menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sabda Nabi s.a.w:
“Hadiah-menghadiahlah, kamu akan berkasih-sayang.”

6. Muhasabah Diri
Muhasabah diri (koreksi diri) yang perlu dibuat khasnya pada sambutan ulang tahun ini, ialah dengan menginsafi masa atau umur yang telah berlalu. Renungkan, berapa banyakkah kebaikan amal soleh yang telah kita lakukan. Dan renung pula berapa banyak pula maksiat dan dosa yang telah kita lakukan selama ini. Sekiranya jawapan itu lebih berat kepada kecuaian dan kealpaan, maka mohonlah taubat kepada Allah. Kemudian susuli dengan niat, azam dan perancangan bagaimana untuk mengisi sisa-sisa umur kita yang berbaki ini. Tentunya baki umur kita semakin hari semakin sedikit, bukannya bertambah. Hasil muhasabah diri ini akan menjadikan kita orang yang terus-menerus berhijrah kepada Allah s.w.t.

7. Berbuat Baik Pada Ibubapa
Buat insan yang menyambut hari jadi itu, elok juga pergi menziarahi kedua ibu bapanya (jika tidak lagi tinggal bersama dengan keduanya), kerana merekalah yang merupakan sebab musabab lahirnya dia ke dunia. Pada hari itu, si anak sepatutnya mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan sesuatu pada ibu dan ayah mereka. Mudah-mudahan usia kita terus diberkati.


Entri 'Amalan Ketika Menyambut Hari Lahir' dipetik dari SINI.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...