30 March, 2015

Bolasepak Persahabatan: SSFC vs STATS FC

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Setelah kali terakhir main bola padang kira-kira 5 tahun lalu, rasa gatal kaki nak menyepak bola semula. Tambahan pula khabarnya bakal bermain di atas permukaan padang tiruan atau padang sintetik (artificial turf) di Stadium Panasonic Shah Alam. Teringin pulak nak merasa main atas padang tiruan. Zaman kegemilangan aku dulu (chehh..) mana la ada padang tiruan macam ni.

~  Bermain atas padang tiruan ni, tiada alasan tak dapat bermain baik sebab padang teruk, becak mahupun tak rata, malah mengurangkan risiko kecederaan. Walaupun pergerakan bola agak lebih laju dan melantun lebih kuat berbanding padang rumput biasa tapi kalau main short pass atau hantar bola leret memang bergerak lancar tanpa tersekat-sekat. Dapat main 15 minit pun dah cukup puas hati. Ikutkan hati nak main lebih lama tapi ikutkan badan yang dah tahap veteran ni...tak larat dah pakcik.

~ Cerita pasal rumput, teringat taktik Jose Mourinho ketika mengendalikan Inter Milan menewaskan Barcelona 3-1 dalam Liga Juara-Juara 2009/2010. Khabarnya sebelum perlawanan, rumput di Stadium San Siro sengaja dibiarkan sedikit panjang dan tak disiram sekaligus melambatkan pergerakan bola dan menyukarkan pemain Barcelona membuat hantaran pendek yang tepat lalu merencatkan corak permainan pantas Tiki-Taka. Memang genius pakcik Jose ni!


antara ribuan penyokong yang hadir malam tu... huh, ribuan ke??

 ~ Berbalik kepada perlawanan malam tu antara SSFC menentang pasukan Ibu Pejabat STATS FC, perlawanan berkesudahan SSFC dibelasah 0-5 oleh STATS FC yang kebetulan memakai jersi ala-Barca. Mungkin disebabkan dah agak lama tak bermain dalam perlawanan kompetitif, jelas kekurangan stamina dan persefahaman antara pemain SSFC menjadi punca kami dibelasah teruk. Tak mengapa, ini baru perlawanan pertama tahun ni...tingkatkan latihan, insya Allah boleh bangkit kembali.

29 March, 2015

Gotong-Royong Perdana Cegah Denggi

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

SUNGAI BULOH, 29 Mac. - Bagi mengelak penularan demam denggi, lebih 100 penduduk Pangsapuri Rose di sini menganjurkan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar perumahan tersebut.
Mereka membersihkan longkang dan membuang sampah sarap yang boleh menakung air sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor, Tn Hj Mohd Maskor b. Tumiran yang merasmikan program gotong-royong tersebut berkata, peningkatan kes denggi sejak kebelakangan ini adalah membimbangkan dan ia perlu diberi perhatian serius oleh orang ramai.

"Kawasan persekitaran yang kotor menjadi faktor utama kepada pembiakan nyamuk aedes dan masyarakat sewajarnya mengambil inisiatif membersihkan kawasan kediaman masing-masing selain bekerjasama dalam usaha mencegah denggi."


"Langkah paling berkesan ialah memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes bagi mencegah denggi dan pada masa sama masyarakat juga perlu peka dengan kawasan kejiranan mereka agar sentiasa bersih dan ceria," katanya.

Beliau berkata, program yang diadakan tersebut secara tidak langsung dapat menangani penularan demam denggi selain mewujudkan komuniti yang mengutamakan kebersihan dan kesejahteraan setempat. "Penduduk diingatkan supaya memastikan pasu bunga dan tempat yang menakung air sentiasa bersih dan bebas daripada jentik-jentik kerana ia merupakan faktor penyumbang kepada masalah denggi," ujarnya.

22 March, 2015

Mendaki Bukit Tabur Extreme, Kemensah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

22 Mac 2015 (Ahad) ~ Setelah mendaki Bukit Tabur (West & East), kali ni nak mendaki Bukit Tabur Extreme pulak bersama grup baju merah yang dikenali di Nuang baru-baru ni. Ini catatan ringkas log pendakian pada hari tu:

INFO: 
~ Bukit Tabur terletak di Ulu Kelang, Gombak. Bukit yang membentuk rabung kuarza yang dikatakan terpanjang di dunia sepanjang lebih kurang 14 km ini berada dalam Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan 1 dan ianya boleh dilihat dari lebuhraya MRR2. Dari atas bukit boleh nampak pemandangan indah sekitar Ulu Kelang, bandaraya Kuala Lumpur, UIAM Gombak, lebuhraya Karak serta tasik Empangan Klang Gates.

~ Terdapat empat puncak di Bukit Tabur: West (446 meter d.p.l), East (275 meter), Far-East (tiada info ketinggian buat masa ni) dan Extreme (396 meter). Di sesetengah tempat, treknya sangat berbahaya dengan laluan rabung sempit serta terpaksa memanjat tebing berbatu yang curam. Banyak kes kemalangan terjatuh gaung dan kematian terjadi di sini terutamanya di Tabur West. Tidak digalakkan mendaki ketika hujan kerana laluan akan menjadi licin dan berbahaya.

~ Walaupun ramai yang main redah je, Permit Memasuki Hutan Simpan sepatutnya perlu diperolehi terlebih dahulu daripada Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah dengan bayaran sebanyak RM5/seorang.

~ Dah malas pulak nak tulis, aku dah jumpa info yang lebih lengkap, sila ke SINI.

~ Line up hari ni 12 orang: Awe, Idot, Asol, Azmir, Chee, Michelle, Muru & isterinya Kanchana, Faliq, Jiha, Shahrul & aku. Memang 1Malaysia sungguh!



LOG:
7.30 AM ~ Berkumpul di depan Zoo Negara. Tapau sarapan apa yang patut.

8.15 AM ~ Bergerak ke starting Point di Chalet Rimba Jinbara, Kg Kemensah. Terjumpa Umaisarah Sameaun (yang pernah sesat 19 hari di Gunung Tahan pada 2009) sekeluarga, sembang-sembang mengimbas pengalaman lalu beliau. Datang chalet ni pun sebab ada interview untuk projek dokumentari pengalaman beliau masa sesat dulu.

9.30 AM ~ Memulakan pendakian secara santai ikut trek dusun buah. Agak sibuk laluan dusun ni sebab berkongsi dengan penggiat basikal bukit, motocross dan ATV. Kemudian jumpa trek hutan seterusnya baru jumpa trek berbatu. Trek Tabur Extreme taklah seekstrim namanya, walaupun agak mencanak juga bila tiba di kawasan berbatu.

11.30 AM ~ Hampir ke puncak, berhenti rehat di satu kawasan redup bawah pepohon bonsai, makan bekalan masing-masing sambil berkongsi kurma, agar-agar dan nasi himpit kuah kacang.

12.00 PM ~ Alhamdulillah, sampai di puncak Tabur Extreme. Seperti biasa, meraikan kejayaan dengan berfoto/selfie/wefie sakan.

1.00 PM - Mula turun. Balik ikut trek yang sama tapi bila jumpa trek hutan ikut jalan lain pulak. Sebaik masuk trek hutan, hujan turun dengan lebatnya, mujurlah sudah melepasi trek berbatu yang pastinya licin dan berbahaya bila hujan.

3.15 PM ~ Sampai di starting point Chalet Rimba Jinbara. Makan, bersihkan diri dan solat zuhur sebelum bersurai.

Terima kasih & jumpa lagi.

15 March, 2015

Berkhemah di Pantai Morib

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Cuti sekolah selama seminggu dah bermula. Ke mana nak bawa anak-anak untuk mengisi masa cuti mereka ni? Bajet pun tak berapa ada... Almaklum bulan lepas dapat gaji awal sangat sempena raya cina, bulan ni pulak gaji macam biasa... Azab juga menunggu gaji sebulan lebih... camni la nasib orang makan gaji... Fikir punya fikir, bawa je anak-anak pergi berkhemah di Pantai Morib, Banting.

~ Pantai Morib ni terbahagi dua sebenarnya... pantai lama dan pantai baru. Yang meriah, diperindahkan dan lengkap semua kemudahan adalah di pantai lama. Manakala di pantai baru hanya ada sedikit kemudahan seperti gerai makan dan tandas awam. Simpang ke pantai baru tu tak jauh pun dari pantai lama dekat selekoh tu. Disebabkan pantai lama khabarnya tak boleh berkhemah, maka ramai yang berkhemah di pantai baru. Pantainya landai dan agak berlumpur. Bila surut airnya jauh ke tengah. Bolehlah untuk anak-anak main pasir, kutip cengkerang dan main layang-layang petang-petang. Kalau nak mandi-manda kena tunggu sampai air betul-betul pasang baru air rapat ke tepi pantai.

~ Lepas makan malam di gerai, kebetulan pulak diadakan Karnival Gegar Selangorku di pantai Morib ni. Ada gerai pameran & jualan, talk show dan juga aktiviti main dengan arnab. Malam tu juga ada pulak Konsert Otai Nasyid (Hijjaz, Far-East, Shoutul Amal) vs Otai Rock (Nizam Laksamana, Nai Dinamik, Nik Putera)... Memang layan, ada juga aktiviti nak dibuat malam tu.

14-15 Mac 2015, Camping@Pantai Morib

~ Tamat konsert dalam pukul 11.00 malam, kami balik ke khemah pasang unggun api. Ada pulak sesi karaoke berdentum-dentum dari gerai makan berdekatan khemah kami. Anak-anak dah tertidur kepenatan, mak bapaknya pulak pukul 1.00 lebih baru dapat tidur lepas sesi karaoke tamat.

~ Pagi esoknya, sarapan masak sendiri je... mihun sup segera dan roti tortilla tuna... simple tapi mengenyangkan. Air oren twister je. Lepas sarapan, bagi anak-anak main air sekejap. Pantai yang landai serta air paras buku lali je memang sesuai untuk aktiviti jogging dalam air. Selesai berkemas, balik rumah. Harap anak-anak semua berpuas hati dengan aktiviti musim cuti kita kali ni... :)


10 March, 2015

Menjelajah Chemerong-Berembun-Langsir (CBL)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Ini catatan ringkas pendakian Gunung Berembun (1038 meter / 3405 kaki) sambil menikmati keindahan Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Langsir di Terengganu. Catatan masa main agak-agak je sebab dah tak berapa ingat dan aku pun tak pakai jam.

~ Ikut geng baju merah ala vietcong yang baru dikenali di Gunung Nuang hari tu. Line up 10 orang je : Awe, Idot, Asol, Penn, Fizi, Pabla, Zuki, Haifi, Shahrul & aku.

6 Mac 2015 (Jumaat)
10.00 pm - Berkumpul di rumah Awe di Kg. Nakhoda, Selayang.
12.30 am - Bertolak 3 kereta ke Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu.

7 Mac 2015 (Sabtu)
2.30 am - Singgah mengeteh di R&R Temerloh.
5.30 am - Sampai di stesen Petronas, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, tidur-tidur ayam sekejap.
6.15 am - Solat subuh.
7.30 am - Sarapan di satu gerai makan di Kg. Jongok Batu, beli lunch pack di sini.
8.15 am - Bertolak ke starting point... Hutan Lipur Chemerong.
9.00 am - Taklimat ringkas, pembahagian ration, repack barang, stretching & doa.
10.00 am - Pendakian bermula... ikut trek tepi sungai, selfie/wefie di sana-sini.
11.30 am - Tiba di kaki Air Terjun Chemerong, makan tengah hari. Lepas tu mandi sambil menikmati keindahan air terjun yang khabarnya tertinggi di Asia Tenggara. Subhanallah cantiknya.
1.15 pm - Teruskan perjalanan ke Kem Balak.
3.00 pm - Tiba di Bukit Taubat... memang taubat rasanya nak sampai ke bukit ni sebab treknya memang pacak 80-90 darjah.
5.30 pm - Tiba di Kem Balak. Solat jamak zuhur & asar. Pasang ground+fly, bermalam di sini.
6.00 pm - Mandi-manda, memancing dan masak untuk makan malam.
7.30 pm - Solat jamak maghrib & isya'. Makan malam, menu special: nasi lauk ayam butter milk, ikan tengas goreng garing & salai... sedapnya makan dalam hutan.
9.30 pm - Malam ni semua tidur awal bawah fly... kekenyangan, kepenatan dan tak cukup tidur.

hari pertama: Air Terjun Chemerong- Bukit Taubat- Kem Balak


8 Mac 2015 (Ahad)
6.40 am - Solat subuh.
10.00 am - Lepas sarapan dan berkemas, teruskan perjalanan menuju Gunung Berembun. Trek permulaan dari Kem Balak ke Kem Y menyusuri tepi sungai, melalui Jeram Orkid, cantik sungai dan tumbuhan kat sini walaupun takde nampak pokok orkid, bukan musim orkid agaknya.
11.00 am - Tiba di Kem Y. Rehat sekejap bagi makan ikan... ketam pun ada kat sungai ni.
12.30 pm - Berhenti masak maggi untuk makan tengah hari secara berjemaah.
2.00 pm - Tiba di Pokok Penaga/Meraga Berlubang yang sangat unik, ingatkan pokok mati rupanya pokok hidup. Agak lama di sini sebab sibuk berselfie/wefie.
3.00 pm - Tiba di Taman Bonsai... menikmati pemandangan indah pokok-pokok bonzai.
3.45 pm - Akhirnya sampai di puncak Gunung Berembun... lepak berfoto sakan, macam-macam aksi diorang ni berselfie/wefie... layan je.
4.30 pm - Teruskan perjalanan dalam hujan menuju campsite Air Terjun Langsir. Treknya turun menjunam hingga jumpa anak sungai dan juga Jeram Lesung. Dari Jeram Lesung ke campsite dah tak jauh, lebih kurang 100 meter kot.
5.30 pm - Tiba di campsite Air Terjun Langsir. Solat jamak zuhur & asar. Ramai juga kat sini, ada grup lain yang dah sampai lebih awal semalam. Siap pasang khemah/ground/fly, patah balik ke Jeram Lesung untuk mandi-manda.
7.30 pm - Solat jamak maghrib & isya'. Makan malam, menu special: nasi lauk tomyam campur & ikan masin goreng, sungguh menyelerakan, terima kasih kepada chef Idot & Awe.
10.00 pm - Lepas makan, aktiviti bebas, melepak atas batu bermandikan cahaya bulan dan mengira bintang di langit sambil makan kuaci.
12.00 am - Semalam tidur bawah fly ramai-ramai, malam ni tidur dalam khemah... campsite tak cukup luas sampai ada yang tidur menggelungsur.

hari kedua: Jeram Orkid- Kem Y- Pokok Meraga Berlubang- Taman Bonzai- Puncak G.Berembun- Kem Langsir

9 Mac 2015 (Isnin)
6.30 am - Solat subuh, lepas tu layan sunrise... tapi awan agak tebal, matahari pun malu-malu menunjukkan diri.
9.00 am - Sarapan, menu nasi lemak sambal sardin dan bubur pulut hitam. Lepas makan, aktiviti bebas di Jeram Lesung... foto, mandi, tiruk, airborne... Puas mandi, turun balik ke Air Terjun Langsir menikmati pemandangan dari jacuzi tertinggi di Asia Tenggara.
12.00 pm - Masak untuk lunch & lunch pack, berkemas untuk balik. Solat jamak zuhur & asar.
2.30 pm - Bergerak turun, ikut trek short cut tanpa perlu melalui G.Berembun dan Taman Bonzai.
3.30 pm - Tiba di Sungai Bangan Balu (atau lebih dikenali sebagai Sg. Bangang). Sungainya kecik je tapi lubuknya dalam sesuai untuk tiruk. Sempat terjun sekali, memang tak mencecah dasar.
4.00 pm - Sambung perjalanan ... trek short cut ni akan jumpa semula trek antara Kem Y dan Kem Balak, jadi memang takkan jumpa Kem Y dah.
5.30 pm - Jumpa pokok Seraya Besar...ukur lilitnya kira-kira 5-6 pemeluk. Rehat sebentar makan cekodok dan nasi goreng+sardin yang dah siap bungkus tadi... semua dah kelaparan.
6.00 pm - Tiba di Kem Balak... rehat sebentar bersama kit-kat. Buka kasut untuk menyeberangi sungai. Lepas ni nak menuruni Bukit Taubat.
7.20 pm - Berhenti rehat di Bukit Taubat menghormati waktu maghrib.
8.30 pm - Akhirnya selamat tiba di ‘starting point’ Hutan Lipur Chemerong. Bersihkan diri, solat jamak maghrib & isya'.
10.30 pm - Bertolak ke KL, terserempak macam-macam haiwan liar...sepasang tapir dan 'seekor gajah' di Kg Jongok Batu serta ular sawa di tengah Jalan Jabor. Berhenti makan di R&R Gambang.
3.30 am (Selasa) - Tiba di KL, bersurai. Mengantuk tapi siangnya tetap kena kerja...huhu.

hari ketiga: Jeram Lesung-Air Terjun Langsir- Sg.Bangang- starting point Hutan Lipur Chemerong

Terima kasih kepada semua yang menemani sepanjang perjalanan... korang semua memang best. Semua gambar dicilok dari kamera hp diorang (jangan marah). Jumpa lagi.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...