28 February, 2015

Punca, Tanda & Cara Mencegah Penyakit Buah Pinggang

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Bila ahli keluarga atau orang yang dekat dengan kita mengidap penyakit kronik, barulah nak ambil tahu tentang penyakit tu... termasuklah aku.... huhu. Baru-baru ni semasa aku menghantar mak menjalani pemeriksaan di Hospital Temerloh, mak disahkan mengalami kerosakan buah pinggang tahap 4, di mana fungsi buah pinggang cuma tinggal 30%, tapi belum perlu menjalani rawatan haemodialisis kecuali kalau dah sampai tahap 5. Semoga mak terus kuat menghadapi ujian penyakit ni. Harap-harap buah pinggang mak mampu terus bertahan tanpa perlu menjalani rawatan dialisis yang menyukarkan tu.

~ Sifat penyakit kronik, kehadirannya tidak dirasai dan pesakit masih boleh menjalani aktiviti harian tanpa masalah kerana kesan hanya timbul bila penyakit sampai ke tahap serius. Ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum memberi kesan kepada kesihatan.

~ Dah lupa fungsi buah pinggang? Buah pinggang bertugas menapis darah dan membuang bahan toksik, sisa buangan dan air berlebihan dari badan. Kegagalan buah pinggang melakukan tugas penting ni boleh membawa maut kepada pengidapnya. Di sini aku kongsikan info tentang penyakit ini untuk manfaat bersama.



PUNCA-PUNCA KEROSAKAN BUAH PINGGANG
(Sumber: FreeVitamin)

1. Kerosakan buah pinggang kronik boleh berpunca daripada beberapa masalah buah pinggang itu sendiri seperti buah pinggang polisistik, jangkitan buah pinggang, penyumbatan arteri renal (yang membekalkan darah kepada buah pinggang), penyumbatan di dalam salur kencing kerana batu karang atau ketumbuhan, penggunaan sesetengah ubat dalam jangka panjang dan kecacatan buah pinggang secara semulajadi.

2. Diabetes: Kandungan paras gula di dalam darah yang tinggi lama-kelamaan akan merosakkan buah pinggang dan menyebabkan keadaan yang dipanggil diabetes nefropati yang merupakan penyebab nombor satu kegagalan buah pinggang. Satu pertiga pesakit diabetes mengalami diabetes nefropati.

3. Tekanan darah tinggi (hipertensi): situasi yang merujuk kepada tekanan kuat pada salur darah yang menolak dinding arteri. Tekanan darah tinggi kronik boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan fungsi penapisan di dalam buah pinggang.


TANDA-TANDA AWAL PENYAKIT BUAH PINGGANG 
(Sumber: mauceriasokmo)

1. Perhatikan samaada terdapat perubahan dalam pembuangan air kencing. Perhatikan samaada pembuangan air kencing adalah kerap atau kurang kerap dari kebiasaan. Perhatikan juga jika terdapatnya darah di dalam air kencing anda. Jika anda mengalami kencing terlalu kerap atau terdapat darah di dalam air kencing terutamanya pada waktu malam, dan lama kelamaan air kencing semakin berkurang, boleh jadi anda mempunyai masalah pada buah pinggang. Perhatikan jika terdapat buih pada air kencing yang ditadah. Adanya buih-buih pada air kencing menunjukkan terdapat kehadiran protein dalam air kencing. Protein ini tidak dapat ditapis jika buah pinggang kita bermasalah.

2. Adakah anda letih sepanjang masa? Kegagalan buah pinggang tidak dapat menghasilkan hormon yang mencukupi untuk tubuh menghasilkan sel darah merah. Apabila tubuh tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang mencukupi, anda akan mengalami anemia, dan ini menyebabkan tubuh anda terlalu letih.

3. Adakah anda mengalami bengkak pada mana-mana bahagian anggota tubuh badan seperti kaki atau tangan? Buah pinggang yang sihat akan berfungsi untuk mengeluarkan bendalir yang berlebihan dari badan anda. Sekiranya terdapat pembengkakan pada anggota badan, boleh jadi buah pinggang anda tidak dapat berfungsi dengan baik. Retensi iaitu penakungan air kencing boleh menyebabkan kaki, buku lali serta mata bengkak.

4. Adakah anda mengalami ruam dan kegatalan? Kegagalan buah pinggang untuk mengeluarkan sisa-sisa buangan dari tubuh anda boleh menyebabkan anda mengalami kegatalan yang teruk pada anggota badan.

5. Bagaimana pula dengan selera makan anda? Adakah anda terasa seperti logam di dalam mulut atau tidak dapat menelan makanan? Ini adalah salah satu tanda-tanda awal kegagalan buah pinggang. Ianya juga berlaku disebabkan oleh terkumpulnya sisa buangan di dalam darah.

6. Adakah anda mengalami loya dan muntah-muntah?  ini juga mungkin disebabkan oleh pengumpulan sisa-sisa buangan di dalam darah.

7. Adakah anda berasa sejuk sepanjang masa? Mereka yang mengalami anemia mungkin akan berasa kesejukan sepanjang masa walaupun dalam cuaca yang panas.

8. Adakah anda merasa sukar untuk bernafas? Ini juga adalah tanda awal penyakit buah pinggang yang mungkin disebabkan oleh anemia atau pengumpulan bendalir di dalam paru-paru.

9. Adakah anda merasa sakit di bahagian belakang atau tepi sebelah bawah pinggang anda? Ini adalah tempat terletaknya buah pinggang anda. Boleh jadi terdapat ketumbuhan yang akan mewujudkan rasa sakit pada buah pinggang.

10. Adakah anda kerap berasa pening kepala? Ini mungkin disebabkan oleh anemia yang berlaku telah mengakibatkan kekurangan oksigen di dalam otak.


CARA-CARA MENCEGAH PENYAKIT BUAH PINGGANG
1. Periksa tekanan darah secara berkala. Ia adalah sangat penting untuk mempunyai tekanan darah yang normal jika anda ingin untuk mencegah penyakit buah pinggang. Mempunyai tekanan darah biasa juga akan membantu mencegah penyakit dan keadaan-keadaan yang boleh menyebabkan penyakit.

2. Mengambil langkah-langkah awal untuk mengawal tekanan darah anda dengan mengamalkan pemakanan seimbang. Semak dengan pakar pemakanan untuk mewujudkan pemakanan yang membolehkan anda makan makanan yang anda suka.

3. Beritahu doktor anda jika keluarga anda mempunyai sejarah tekanan darah tinggi atau penyakit buah pinggang. Kedua-dua keadaan ini boleh diwarisi secara turun-temurun. Doktor anda boleh menetapkan ubat perencat ACE untuk membantu mengawal tekanan darah anda.

4. Sentiasa berwaspada untuk sebarang perubahan dalam air kencing anda. Jika air kencing anda bertukar kepada warna keruh, air kencing berbau atau berbuih atau jika ia menyakitkan apabila anda membuang air kecil, berjumpa doktor. Tanda-tanda ini adalah tanda-tanda masalah saluran kencing. Jika tidak dirawat,masalah-masalah ini boleh membawa kepada wujudnya penyakit buah pinggang pada masa akan datang.

5. Perhatikan simptom-simptom gejala anemia. Jika anda sentiasa letih, mudah mengalami kesan lebam atau pening, anda mungkin menghidap anemia. Keadaan ini boleh menyumbang kepada penyakit buah pinggang jika tidak dirawat dengan betul atau menjadi masalah kronik.

6. Lakukan ujian air kencing dan darah sekurang-kurangnya setahun sekali. Ujian ini boleh membantu mengesan tanda-tanda awal masalah buah pinggang serta lain-lain masalah perubatan.

7. Sentiasa kekal aktif untuk mengekalkan berat badan seimbang. Jadual pelaksanaan biasa iaitu 30 minit sehari, lima kali seminggu akan membantu badan anda berfungsi secara normal

8. Minum banyak air. Buah pinggang anda akan memproses setiap cecair yang masuk ke dalam badan anda. Air sangat mudah pada buah pinggang anda dan juga boleh membantu membersihkan kotoran daripada sistem anda.


Info tambahan: Ini info yang tersebar meluas dalam internet tentang cara mencuci buah pinggang cara mudah dan murah. Tak pasti keberkesanannya tapi tak salah mencuba kan? 

Cuci Buah Pinggang Dengan Hanya RM 1.00

Selama bertahun-tahun kita mengunakan buah pinggang dalam proses biologi badan, kandungan garam dan racun yang kita tidak tahu bertapa banyak jumlahnya, dan kita tidak pernah mencucinya kecuali bagi yang bermasalah sahaja. Tapi tahukah anda dengan hanya RM1.00, anda mampu mencuci buah pinggang yang banyak berjasa pada kita ini. Caranya mudah sahaja:

1. Beli seikat daun SUP
2. Cuci bersih-bersih
3. Potong kecil-kecil
4. Masukkan ke dalam periuk
5. Masukkan air bersih
6. Didihkan untuk sepuluh minit sahaja
7. Sejukkan
8. Tapis
9. Masukkan ke dalam botol yang sesuai dan,
10. Simpan dalam peti sejuk.

Amalkan meminumnya segelas sehari , insya Allah anda akan rasa perubahannya , segala kandungan garam dan racun akan dikumuhkan melalui air kencing. Daun SUP telah diketahui sebagai satu kaedah rawatan pembersihan yang terbaik untuk buah pinggang kita dan ia adalah semula jadi!

Selamat mencuba.


23 February, 2015

Jalan-Jalan@Langkawi

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

19-22 Februari 2015 (Khamis-Ahad); cuti raya cina selama 4 hari. Sangat sesuai untuk pergi bercuti dari segi teori, tapi praktikalnya... memang dijangka jem di sana-sini. Tapi perancangan untuk bercuti sekeluarga ke Langkawi (bersama mak mertua & adik ipar) tetap diteruskan... redah je.


19/2/2015 (KHAMIS)


~ Malam tadi balik ke rumah mertua di Ipoh. Pagi ni bertolak dari Ipoh menuju jeti ke Langkawi. Asalnya nak ikut Kuala Perlis, tapi dapat info jeti Kuala Perlis penuh sesak. Maka jeti Kuala Kedah dituju. Jarak dari Ipoh 240 km. Cis... sama sesak rupanya. Sampai jeti 12.30 pm, dapat naik feri 4.30 pm. Kesian tengok anak-anak dan mertua penat menunggu.

~ Perjalanan menaiki feri dari jeti Kuala Kedah ke jeti Kuah mengambil masa 1 jam 45 minit. Dalam feri tidur je.

~ 6.30 petang sampai jeti Kuah. Terus ambil Avanza yang dah ditempah dari Samavestour. Yang senangnya ambil kereta tu kat area jeti je. Nasib le datang masa cuti umum sewa kereta mahal le sikit.

~ Kemudian check in Liena Homestay, Kuah. Tak jauh dari jeti. Kemudahan lengkap dan selesa. Kepenatan menempuh perjalanan jauh hari ni... Rehat sekejap dan mandi menyegarkan diri.

~ Jalan-jalan cari makan malam di Restoran Nelayan Bukit Malut. Servis lembab, masakannya pun tak sedap, tak berbaloi kena tunggu lama. Tapi aku habiskan juga sebab tak nak membazir.

~ Lepas makan balik tidur.Esok nak jalan-jalan sepanjang hari. Hari ni sampai Langkawi pun dah nak malam. Dah rugi masa tak sempat jalan ke mana.

1. bergelandangan sementara tunggu feri   2. seronok & lega dapat naik feri   3. tempat duduk along terpisah agak jauh
 4. ruang tamu homestay   5.along dan kerang besar di Restoran Nelayan, gambar makanan takde mood nak ambik


20/2/15-JUMAAT

~ Bersarapan cekodok masak sendiri di homestay. Kemudian bergegas ke Oriental Village nak naik Langkawi SkyCab (cable car). Penuh sesak juga. Pukul 10.15 baru dapat naik. Kira nasib baik juga tu sebab datang awal. Kalau sampai lambat entah pukul berapa baru dapat naik. Perjalanan ke puncak mengambil masa 15 minit. Mujur takde yang gayat. Tapi memang berbaloi menikmati pemandangan pulau dan laut sekitar Langkawi dari puncak Gunung Mat Chinchang ni.


~ Turun dari SkyCab, singgah makan tengah hari di rumah sedara sebelah mertua di Kg. Kuala Teriang. Terima kasih tuan rumah atas layanan mesra dan makanan yang sedap. Lepas makan, solat jumaat di Masjid Kuala Teriang bersama Along dan Angah.

~ Dari Kuala Teriang, menuju Kg. Kilim sejauh 28km untuk aktiviti Mangrove Tour. Kami sekeluarga sewa satu bot menyusuri Sungai Kilim, sungai air masin sambil menikmati keindahan hutan paya bakau. Dalam pakej selama 2 jam, kami dibawa menjelajah Gua Kelawar (kena turun dari bot), Gua Buaya (duduk dalam bot je), pelantar sangkar ternakan ikan laut, aktiviti beri helang makan (eagle feeding), melawat ikon Kilim Geoforest Park dan dibawa ke Laut Andaman. Bagus aktiviti ni dapat mendidik anak-anak mencintai alam semula jadi.


~ Dari Kilim, singgah homestay di Kuah semata-mata nak ambil baju mandi... anak-anak nak mandi laut. Kemudian terus ke Pantai Cenang, pantai paling top di Langkawi. Memang meriah dan banyak aktiviti boleh buat di pantai ni. Mandi-manda, main jet ski, banana boat, parasailing (naik payung terjun yang ditarik dengan bot), atau lepak layan sunset je.


~ Nightlife di Pantai Cenang memang happening. Penuh dengan deretan restoran, bar, spa, hotel dan gerai jualan. Kami makan di Restoran Aliah Seafood, berhadapan Cenang Mall. Disyorkan oleh seorang pakcik teksi. Sebab tak nak menunggu lama, kami cuma pesan nasi goreng dan tomyam. Sedap juga masakannya, kalau tau baik datang makan besar kat sini semalam. Lepas makan, sempatlah kaum hawa shopping sekejap sebelum balik homestay. Semua kepenatan berjalan sakan hari ni.


21/2/15-SABTU

~ Hari terakhir di Langkawi. Pagi, beli tiket feri untuk balik 5.00 petang ni. Lepas tu terus ke Makam Mahsuri untuk memenuhi permintaan Along yang nak tau pasal sejarah Mahsuri. Ehh sapa pulak kejadah yang buat kerja khurafat pi letak buah-buah kat kubur Mahsuri tu. Selain makam, ada muzium, replika rumah Kedah dan kedai cenderahati.


~ Kemudian singgah pulak memborong macam-macam produk gamat di Kilang Gamat Rojam, tak jauh dari Makam Mahsuri.Minyak gamat pun rasanya lagi murah kat sini...RM5=12 botol.

~ Kaum hawa dan shopping tak dapat dipisahkan. Nafsu mereka untuk membeli-belah mesti dipenuhi, kalau tak nanti boleh meleleh air liur dibuatnya. Kami ke Kompleks Hj Ismail Group (HIG), ada pelbagai produk seperti minyak gamat, coklat, pinggan mangkuk, peralatan dapur, pakaian, rokok, perfume dsb. Maka memboronglah kami coklat dan sedikit peralatan dapur ikut kemampuan. Kalau beli barang banyak kena fikir juga nak angkut masuk feri nanti.

~ Makan tengah hari di medan selera depan HIG. Lepas tu balik ke homestay. Solat dan berkemas untuk balik. Walaupun tiket feri pukul 5.00 petang, kena pergi jeti awal sikit sebab dijangka jalan jem. Sampai di Kompleks Jeti pulangkan kereta. Kat sini pun banyak kedai, ramai juga yang terjebak terbeli-belah saat akhir sementara tunggu feri.

~ Tempat menunggu feri pulak penuh sesak dan panas. Orang terlampau ramai dan barang yang diborong terlalu banyak menyebabkan proses naik dan turun feri pun agak lambat. Maka feri yang sepatutnya jalan pukul 5.00pm delay sampai pukul 6.00pm baru dapat naik. Bertambah padat pulak bila orang yang tiketnya pukul 6.00pm masuk ke tempat menunggu menyangkakan feri mereka dah nak jalan padahal orang yang tiket pukul 5.00pm pun belum dapat naik. Sungguh menyiksakan terutama bagi orang tua dan kanak-kanak yang terpaksa berasak-asak untuk naik feri. Taubat dah takkan datang sini lagi masa cuti umum.

~ Lebih kurang 8.30 malam, sampai di jeti Kuala Kedah. Singgah makan. Cadang nak terus balik Ipoh malam ni. Tapi dapat info kata jalan jem di sana-sini. Badan pun dah penat tak larat nak drive. Cuba telefon Aznizam Homestay milik sahabat lama aku. Akhirnya tidur semalam lagi di Alor Setar.


22/2/15-AHAD

~ Sarapan di Kopitiam, Alor Setar. Kat dalam Kopitiam ni banyak gerai makanan yang menyajikan berbagai jenis makanan. Ada nasi lemak, roti canai, kuih muih, masakan pantai timur seperti nasi dagang dan nasi kerabu, yong tau fu, laksa, berbagai jenis mee, roti john, roti jala cicah kuah kari atau kuah durian, nasi kandar, makanan barat... dan macam-macam lagi pilihan sampai tak sempat nak cerita dan tak sempat nak ambil gambar.

~ Lepas sarapan, terus balik Ipoh. Mula jem di sesetengah tempat. Sampai Ipoh 12.30 pm. Lepas asar, balik ke KL... masih jem lagi... 2-3 kali keluar masuk antara lebuhraya dan jalan lama, akhirnya sampai rumah jam 11.00 malam. Penat!

14 February, 2015

Mendaki Gunung Ledang

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Malam tadi, bersama Shahrul bertolak ke kaki Gunung Ledang, Sagil, Tangkak. Join program pendakian Hang Tuah Trail bersama geng RELA Hikers diketuai Nizam Tikaq Getah seramai lebih
kurang 30 orang.

~ 3.00 pagi, sampai di starting point, Pintu B Gunung Ledang Resort. Sebelumnya tersilap masuk ikut pintu A iaitu pintu masuk ke tempat rekreasi Air Terjun Gunung Ledang. Sempat la melelapkan mata sekejap beramai-ramai di chalet yang telah disewa.

~ 9.30 pagi; selepas proses pendaftaran, taklimat ringkas dan bersarapan, mula mendaki gunung yang penuh cerita legenda, Gunung Ledang. Walaupun ketinggiannya cuma 1276 meter / 4186 kaki dari paras laut, dikatakan gunung ni di ranking ke-6 paling sukar didaki di Malaysia... aku tak pasti entah siapa yang tetapkan ranking tu.

~ Bagi aku, trek Gunung Ledang ni memang mencabar juga, terutama bila melalui laluan KFC... bukan KFC yang biasa kita kenali tapi Killing Fitness Center yang mencabar ketahanan mental dan fizikal pendaki bila terpaksa mendaki trek pacak serta memanjat tebing berbatu yang curam menggunakan tali.


~ jam 2.30 petang, Alhamdulillah, akhirnya berjaya sampai ke puncak Gunung Ledang... Langit agak berjerebu, cuaca panas tapi suhunya dingin dan berangin. Memang 'heaven' rasanya bila menikmati suasana dan pemandangan dari puncak sambil makan bekalan nasi yang telah disediakan.

~ Lepak sejam di puncak, jam 3.30 petang turun semula... terasa jauh juga perjalanan turun ni disebabkan lutut menggigil..hehe. Sampai di kaki gunung jam 6.40 petang. Tak larat rasanya nak memandu balik, akhirnya 7 orang sepakat tidur semalam lagi di chalet resort. Esoknya baru balik ke destinasi masing-masing.



07 February, 2015

Mendaki Gunung Nuang via Janda Baik

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Pendakian ke Gunung Nuang (1493 meter/4898 kaki) ada 2 trek, iaitu dari Pangsun, Hulu Langat, Selangor dan satu lagi laluan dari sebelah Janda Baik, Pahang.

~ Setelah beberapa kali ikut trek Pangsun, rasa macam tak sanggup dah nak meredah trek balak lama yang sangat panjang untuk sampai ke Sg. Lolo tu. Kali ni nak cuba ikut trek Janda Baik yang dikatakan lebih mudah dan pendek treknya.

~ Sepatutnya mendaki bersama satu grup kawan kepada si Shahrul, tapi sebab agak terlambat kerana melilau-lilau mencari jalan ke tempat permulaan, nampaknya kami naik berdua je la. Dari simpang Janda Baik nak ke tempat permulaan, ikut je papan tanda ILMU. Bila dah jumpa bangunan ILMU, terus ke depan sikit dan tempat parking tak jauh dari situ.

~ Sampai tempat parking kereta yang merupakan tanah milik persendirian berdekatan sungai kecil dan ladang betik, kena bayar RM7 dan ada kemudahan tandas dan bilik mandi.

~ Aku & Shahrul sepakat pakai baju merah. Tetiba kat tempat parking sampai satu grup lagi terdiri dari 6 orang yang kebetulan pakai baju merah juga. Kira-kira suku perjalanan terserempak seorang pendaki solo dari Janda Baik yang kebetulan turut berbaju merah. Maka terbentuklah Geng Baju Merah secara tak sengaja dan kami hiking bersama secara santai.

~ Memang santai betul sebab biasa dengar orang lain naik 3 jam je, kami mula mendaki pada jam 9.20 am tapi kami sampai ke puncak pada jam 2.00 pm setelah mendaki selama lebih 4 jam. Masa kami sampai ramai pendaki dah mula beransur-ansur turun... ada yang ikut trek Pangsun dan sesetengahnya ikut Janda Baik. Baguslah, sekarang puncak ni kami yang punyaa.. hahaha.

~Aktiviti di puncak... menikmati bekalan makanan yang siap dibungkus pagi tadi, solat zohor, beri makan tupai jinak, sembang dengan geng baju merah yang baru dikenali serta menghayati pemandangan indah dari puncak... nun jauh di sana nampak Empangan Pangsun...

geng baju merah tak sengaja

~ Rasanya aku lebih suka ikut trek Janda Baik ni sebab lebih bersih, cantik dan treknya taklah terlalu susah... bagus untuk training. Trek permulaan ikut kebun sayur yang mendamaikan, lepas sejam jumpa sungai dan air terjun yang cantik... ada campsite kecil di sini dan juga last waterpoint.... lepas tu barulah jumpa trek yang mencanak dan sedikit landai berselang-seli.

~ 3.30 pm, Geng Baju Merah mula turun (secara santai juga) dan sampai di tempat permulaan kira-kira 7.00pm. Lepak dinner bersama di sebuah restoran berdekatan ILMU. Jumpa lagi!


05 February, 2015

Aku dan Basikal

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Masa zaman sekolah rendah, aku tak ingat aku ada basikal ke tak. Seingat aku rasa macam takde je, pergi sekolah dan merayau keliling kampung jalan kaki je. Keluarga aku agak susah... tinggal dengan atuk dan nenek, yang ada cuma sebiji basikal tua kepunyaan arwah atuk aku.

~ Zaman sekolah menengah, dah pandai sikit-sikit cari duit sendiri... ambil upah buat macam-macam kerja kampung... menebas, tolong jual buah dan kerja part time di kilang papan masa cuti sekolah. Hasil menabung, dapatlah beli basikal BMX terpakai dari kawan aku berharga RM30. Itulah satu-satunya basikal yang aku ada sampailah aku habis sekolah dan aku pakai basikal tu sampai jahanam.

~ Zaman dah mula bekerja, apa barang nak pakai basikal pulak? Dah ada duit tentulah nak beli motor idaman dulu... hihi.

~ Zaman dah beranak pinak, anak-anak merengek minta dibelikan basikal... kenalah belikan. Dah pandai naik basikal nanti senang di kemudian hari, boleh pergi sekolah sendiri naik basikal... ayahnya juga yang senang dah tak payah hantar.. hehe. Itupun mulai darjah 3 barulah Along dan Angah dibenarkan naik basikal ke sekolah. Walaupun risau tentang keselamatan mereka meredah jalan taman perumahan yang kadang-kadang agak sibuk, tawakkal dan berdoa sajalah mohon semoga anak-anak selamat.

basikal pertama mereka

~ Hari ni, pergi ke kedai basikal dengan tujuan untuk membaiki basikal Angah. Sedang apek tu membaiki basikal, aku terpandang sebuah basikal mountain bike (MTB) yang diletak di luar kedai lalu saja-sajalah bertanyakan harganya. Kata apek tu, itu basikal terpakai di mana pemilik asalnya nak upgrade kepada basikal yang spesifikasinya lebih baik. Basikal berjenama GTA itu cuma berharga RM180, kalau yang baru harganya mencecah RM700++... kata apek tu lah...


~ Ehh tiba-tiba tak pasal-pasal basikal tu dah berada di kawasan rumah aku...haha. Kebetulan ada duit sikit hasil tajaan 'seseorang'... terus sambar basikal tu. Tapi terpaksa la apek tu bagi tutorial dulu kat aku cara-cara nak guna gear basikal tu... aku mana la pernah naik basikal yang ada gear... huhu.

~ Dah ada basikal ni bolehlah ronda-ronda keliling taman dengan anak-anak. Dapat juga beriadah mengeluarkan peluh sambil menguatkan kaki. Bila kaki dah kuat nanti mungkin boleh join kelab berbasikal kat tempat aku ni yang khabarnya aktif juga...


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...