31 December, 2015

Tips & Petua Menjaga Kesihatan Mata

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Entri penutup untuk tahun 2015, aku kongsikan beberapa tips dan petua menjaga kesihatan mata.
Petua ni sesuai diamalkan sesiapa sahaja, terutama pelajar atau individu yang bekerja dalam bidang berkaitan komputer & internet. Tak kiralah anda seorang programer, pereka laman web, pereka grafik, usahawan internet mahupun blogger. Ataupun saja suka-suka menghabiskan masa berjam-jam di depan komputer misalnya main games, menggunakan media sosial, baca artikel di blog, cari info dsb.


1. Setiap kali mandi atau berwudhu (bagi muslim), pastikan jangan pejamkan mata semasa air melalui mata anda, sebaliknya kelip-kelipkan mata anda beberapa kali, biar air mandian itu mencuci mata anda. Memang mata kita akan terasa pedih sikit. Walaupun tiada kajian saintifik mengenai petua ni, tapi setelah mengamalkannya beberapa lama, alhamdulillah setakat ni mata aku belum rabun lagi biarpun berjam-jam di depan komputer.

2.  Amalkan senaman untuk mata anda. Bukan badan je perlukan senaman, mata pun perlu bersenam juga. Caranya:
a. Senaman mata ketika solat. Ikutilah sunnah dengan sentiasa mengekalkan mata dalam keadaan terbuka dan fokuskan penglihatan pada titik tengah sejadah, sama ada ketika berdiri, rukuk mahupun sujud. Ketika rukuk, tarikan graviti akan menyebabkan otot mata menekan anak mata untuk meningkatkan penglihatan dan bila kita berdiri otot itu akan rehat kembali. Bila sujud, otot mata akan menguncup disebabkan jarak antara penglihatan kita dengan tempat sujud. Bila berdiri semula, otot mata akan rehat balik. Inilah yang akan membuatkan otot dan saraf mata kita bersenam.

b. Pergi ke luar rumah, lihat satu objek berdekatan anda, kemudian beransur-ansur lihat pula objek yang lebih jauh, dan jauh, jauh lagi, sejauh-jauhnya la. Lepas tu balik semula beransur-ansur lihat objek yang berdekatan anda. Ulang proses ini beberapa kali sampai anda naik bosan atau naik menyampah... jangan sampai naik angin dah la ye. Dalam proses tadi sekiranya anda ternampak satu objek menarik (misalnya ada awek cun melintas) bolehlah fokuskan sekejap pada objek tu (kira senaman mata gak tu..hehe), tapi jangan tengok lama-lama ye, berdosa dan mata anda juga berisiko untuk terkena lontaran objek-objek berbahaya.
c. Gerakkan mata anda ke kanan semaksimum mungkin, tahan dan berhenti sekejap, kemudian ke kiri, berhenti sekejap, seterusnya ke atas, bawah dan tengah (sampai mata naik juling), beransur-ansur lajukan proses ini.

d. Setelah 1-2 jam di depan komputer, berhenti sekejap, lihatlah objek-objek berwarna hijau di luar rumah anda, seperti pokok-pokok dsb, sesungguhnya warna hijau itu menenangkan & merehatkan mata anda. 

3. Amalkan makan makanan yang kaya dengan vitamin A & C- susu, telur, sayur-sayuran (seperti lobak merah, tomato, bawang putih, bayam dan brokoli) dan buah-buahan (terutama avocado, aprikot & anggur) dsb.

4. Untuk menyegarkan mata yang letih atau rasa gatal-gatal akibat sakit mata, ambil beberapa helai daun sirih muda, basuh bersih-bersih. Ramas-ramaskan sampai lumat dan didihkan seketika. Tapis airnya dgn kain bersih ke dlm mangkuk dan biar hingga suam-suam kuku. Lepas tu rendamkan atau jiruskan terus pun boleh, pada mata anda sambil kelip-kelipkan mata berulang kali. Insya Allah mujarab.

Elakkan menggosok mata menggunakan tangan dengan kuat. Gunakan kain bersih untuk menggosok mata bagi mengelakkan sebarang jangkitan. Menggosok mata dengan kuat mampu merosakkan sel-sel serta saraf pada mata. Read more http://www.healthyvitagarden.com/tips-mudah-menjaga-kesihatan-mata/

Copy the BEST Traders and Make Money : http://bit.ly/fxzulu
Elakkan menggosok mata menggunakan tangan dengan kuat. Gunakan kain bersih untuk menggosok mata bagi mengelakkan sebarang jangkitan. Menggosok mata dengan kuat mampu merosakkan sel-sel serta saraf pada mata. Read more http://www.healthyvitagarden.com/tips-mudah-menjaga-kesihatan-mata/

Copy the BEST Traders and Make Money : http://bit.ly/fxzulu
5. Elakkan menggosok mata dengan tangan, sebaliknya gunakan kain yang bersih untuk mengelakkan sebarang jangkitan.
Elakkan menggosok mata menggunakan tangan dengan kuat. Gunakan kain bersih untuk menggosok mata bagi mengelakkan sebarang jangkitan. Menggosok mata dengan kuat mampu merosakkan sel-sel serta saraf pada mata. Read more http://www.healthyvitagarden.com/tips-mudah-menjaga-kesihatan-mata/

Copy the BEST Traders and Make Money : http://bit.ly/fxzulu

6. Elakkan melihat benda-benda yang tak sepatutnya dilihat terutamanya di internet ni macam-macam bahan yang boleh merosakkan mata & minda anda... hehe, faham-faham sendirilah ye.

P/S: Petua-petua ni untuk orang yang belum rabun, tapi yang dah sedia rabun tu tak dapat dipastikan keberkesanannya, bolehlah dicuba kot... insya Allah.


27 December, 2015

Berkhemah di The Nahara, Kalumpang

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Balik je dari menghadiri kem cuti sekolah, bagi anak-anak tenangkan fikiran pulak dengan membawa mereka berkhemah di The Nahara, Kalumpang. Boleh berkubang, berendam, terjun dan bergayut puas-puas.

~Tempat ni nampaknya diselenggara dengan baik... persekitaran cantik dan bersih. Tempat parking pun banyak, ada banyak wakaf untuk lepak dan BBQ, chalet, tandas yang bersih, surau, padang, sungai yang bersih dan tak banyak batu serta tapak khemah untuk team building atau hari keluarga.

~ Kami berkhemah berdekatan dengan sekumpulan otai-otai yang mengadakan hari keluarga sambil reunion. Selain masak sendiri, malam tu rezeki kami memang murah dengan makanan yang dihantar oleh grup otai-otai tu... siap ada lemang dan rendang lagi tu, pagi esoknya pulak dapat merasa sarapan ubi rebus cicah sambal.... alhamdulillah, terima kasih bebanyak. Cuma malam tu kena tunggu sampai pukul 12.30 malam baru dapat tidur lena sikit... sampai otai-otai habis berkarok.. hehe.


~ Bayaran untuk berkhemah (bawa sendiri) adalah RM15 sekepala untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak. Kalau takde khemah boleh sewa. Boleh juga sewa chalet pada harga RM150 satu malam atau banglo 5 bilik berharga RM1800 satu malam... sesuai untuk keluarga yang datang ramai-ramai. 

25 December, 2015

Kem Cuti Sekolah Pra-Tahfiz

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Cuti sekolah hujung tahun dah hampir ke penghujung. Cukuplah sebulan si Along & Angah bersukaria menghabiskan masa cuti dengan main je kerjanya.  Kini masa untuk mengisi masa dengan aktiviti yang lebih berfaedah. Dari 21-25 Disember, hantar Along & Angah menyertai Kem Cuti Sekolah Pra-Tahfiz.

~ Antara aktivitinya; latihan menghafaz Juz Amma, tahsin solat, latihan dalam kumpulan, sukan memanah dan sebagainya.


21 December, 2015

Selamat Harijadi ke-9, Angah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 2 hari sebelum harijadi Angah, kami sekeluarga ke D'Pulze Shopping Complex, Cyberjaya... ambil race-kit untuk acara larian MyBuddies Run. Lepas tu sempat tengok wayang; Star Wars: The Force Awakens, bolehlah dikatakan hadiah harijadi in advance untuk Angah.

~ Selamat hari lahir yang ke-9 tahun buat Angah.

"Ya Allah, sihatkanlah dan panjangkanlah umur anak kami ini, terangilah hatinya, teguhkanlah imannya,
baguskanlah amal perbuatannya, lapangkanlah rezekinya, dekatkanlah menuju kebaikan, jauhkanlah dari keburukan.Ya Allah, kabulkanlah doa kami ini, agar anak kami menjadi anak yang soleh dan solehah,
yang sentiasa taat kepadaMu dan berbakti kepada kedua orang tuanya... Amin ya rabbal ‘Alamiin"

20 December, 2015

MyBuddies Run

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


~ Gambar-gambar di atas masa masuk acara larian MyBuddies Run di Cyberjaya. Memang meriah sebab ada acara masked fun run (Darth Vader & Stormtrooper pun ada), persembahan artis (Ayai Illusi & Awi Rafael) dan cabutan bertuah yang hadiah utamanya dua buah kereta Axia selain motosikal dan basikal.

~ Kalau nak jogging sendiri memanglah tak berapa rajin, itulah sebabnya masuk acara ni. Seronok dan meriah lari 10km beramai-ramai, sambil dapat juga keluar peluh dan meningkatkan stamina.

~ ... Agak-agak penat berlari kita berjalan, yang penting sampai garisan penamat.  Catatan masa kali ni, 1 jam, 23 min, 03 saat... jauh ditinggalkan juara yang mencatat masa sekitar 30 minit lebih je...hihi.


13 December, 2015

Selamat Pengantin Baru Jaja & Eric

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Selamat pengantin baru buat Jaja (anak buah sebelah isteri) dan pasangannya Eric Kong. Kenduri sebelah pengantin perempuan diadakan di Bangi, manakala majlis resepsi sebelah pengantin lelaki dijalankan selang seminggu di Danga Bay, JB. Kami berkesempatan hadir ke kedua-dua majlis.


~ Semoga berkekalan bahagia hingga ke akhir hayat.

01 December, 2015

Hobi Mendaki Gunung (Hiking)

Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk.(Surah Al-Anbiyaa':31)
  
 
Ini cerita tentang sedikit pengalaman mendaki gunung… dari kacamata seorang pendaki yang taklah berapa tegar! (naik gunung dalam setahun tu ada la 4-5 kali je). Mungkin sikit sebanyak boleh dijadikan panduan kepada pendaki-pendaki baru. Entri ini agak panjang, kalau rajin baca, tak nak sudah! Tujuan aku tulis entri ni pun cuma untuk mendokumentasikan dan berkongsi pengalaman aku dengan anak cucu aku nanti je.


ASAL-USUL

~ Masa zaman sekolah asrama tahun 1994 kat Muar dulu, aku dan kawan-kawan pernah la buat satu aktiviti perkhemahan haram masa cuti hujung minggu kat air terjun Gunung Ledang (kononnya haram pasal pergi berkhemah tanpa pengetahuan cikgu dan warden). Nak ke campsite tu kami terpaksa mendaki entah berapa puluh ratus anak tangga (kalau tak silap nama tempat tu Bukit Semput…cheh..patut pun semput nak sampai ke situ!). Campsite tepi air terjun tu juga terletak dalam laluan untuk mendaki Gunung Ledang. Bila tengok ramai pendaki lalu dekat campsite kami tu, teringin pulak aku nak join. Tapi aku nak mendaki dengan sapa? Geng aku nak lepak air terjun je.  Mulai hari tu la aku pasang impian untuk mendaki gunung suatu hari nanti. 


MULA TERJEBAK

~ Tahun 1996, join xpdc ke Taman Negara Kuala Tahan dgn kawan-kawan sekerja (masa ni kerja kat Genting Highlands). Kat sini ada la mendaki satu bukit... Bukit Teresik yang ketinggiannya cuma lebih kurang 335 meter dari paras laut (dpl).

~ Tahun 1999,  kelab sukan pejabat aku menganjurkan aktiviti mendaki Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan.  Gunung yang taklah berapa tinggi tu menjadi gunung pertama berjaya aku daki sampai ke puncaknya. 

~ Tahun 2001, aku join satu grup mendaki, Discovery Challenge (DC) Group yang agak aktif menganjurkan aktiviti mendaki pada masa tu. Zaman tu kalau nak join aktiviti mendaki kena tengok iklan trip yang disiarkan dalam suratkhabar Utusan... tak macam sekarang bersepah trip kalau tengok kat FB. Sepanjang tahun 2001 tu boleh dikatakan setiap bulan aku join xpdc mendaki dengan grup ni sehinggalah tahun 2003.

~ Tahun 2003; tak sangka pulak seorang gadis yang aku jumpa atas puncak gunung akan menjadi jodoh aku. Gadis yang kini bukan gadis lagi itu sudah menjadi ibu kepada 3 orang anak aku. 3-4 tahun lepas kahwin, seingat aku cuma 4-5 kali aku mendaki... itupun gunung-gunung yang berdekatan je yang boleh buat daypack. Kesibukan menguruskan rumahtangga, anak-anak yang masih kecil, kekangan masa di samping faktor kewangan yang tak berapa ada lebihan, menyebabkan aku terpaksa berehat seketika dari aktiviti mendaki. Lagipun bapak mithali macam aku takkan la tergamak pergi berpoya-poya meninggalkan anak bini…chewah!  

~ Aku pernah juga terfikir nak beri nama anak aku dengan nama Bahlawan, perkataan Arab bermaksud Pendaki Gunung. Tapi sebab rasa macam pelik je, tak jadilah aku nak bagi nama tu…hehe! Tapi kalau korang sanggup silakan… cuba bagi nama anak korang Muhammad Bahlawan bin Meon… atau Nur Bahlawani bt Buntat… hmm… nampak macam ok jugak! Hihi!


Gunung Stong-Baha-Ayam, Dabong, Kelantan


TARIKAN

~ Apa yang best sangat mendaki gunung ni? Aku rasa aku ni termasuk dalam kategori pencinta alam semulajadi kot... masa kecik suka main dalam hutan belukar (sebab kampung sebelah hutan) melastik dan menjebak burung, suka tengok pokok menghijau, suka bau dan bunyi-bunyi dalam hutan... rasa tenang je lepak dalam hutan ni, mungkin sebab tu lah aku mudah jatuh cinta dengan aktiviti mendaki gunung ni. 

~ Aktiviti mendaki gunung ni memang banyak dugaan dan cabarannya. Tapi segala kesukaran dan kepenatan terubat sekelip mata bila dapat menikmati keindahan alam ciptaan-Nya sepanjang perjalanan menuju puncak, melalui kawasan air terjun bertingkat-tingkat, dengan kepelbagaian flora dan faunanya. Perasaan bila sampai ke puncak  pulak sukar nak digambarkan… terasa bebas dan puas. Segala susah payah dan penat lelah terbalas bila dapat menikmati keindahan panorama dari puncak gunung. Bayangkan dapat makan, minum dan tidur di atas awan, menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam dari puncak gunung, melihat hamparan luas bumi dari tempat tinggi, menikmati cuaca dingin dan menghirup udara nyaman tanpa pencemaran… hanya orang yang dah sampai ke puncak je yang tahu nikmatnya. 

~ Dapat mengeratkan silaturahim dan berjumpa kenalan baru dari berbagai lapisan masyarakat yang mempunyai minat yang sama. Semasa mendaki tak ada pangkat mahupun gelaran, semua sama dan setaraf. Perjalanan untuk sampai ke puncak mengambil masa dan sudah pasti dapat melihat ‘wajah’ sebenar rakan mendaki. Orang kata keperibadian sebenar seseorang akan terserlah apabila kepenatan atau berada dalam situasi susah. Jadi menerusi aktiviti pendakian juga kita boleh belajar mengenai hubungan sesama manusia... silap-silap boleh bertemu jodoh macam aku… hehe. Dari pemerhatian aku, ramai lagi rakan-rakan pendaki yang juga bertemu jodoh sesama sendiri.

~ Dapat memupuk semangat kerjasama misalnya semasa aktiviti memasak, ambil air, cari kayu, pasang khemah, merentas halangan, membantu rakan yang cedera atau mengalami keletihan melampau (kalau istilah di gunung biasanya disebut pewaidan sebagainya. Bila pergi ramai-ramai dalam satu kumpulan, semangat setiakawan itu penting. Perlu ambil berat keadaan kawan-kawan lain sepanjang pendakian pergi dan balik... bukan hanya mementingkan diri sendiri untuk mencari kepuasan peribadi.

~ Walaupun selepas balik dari mendaki gunung, boleh dikatakan seluruh badan akan rasa sakit-sakit, tapi rasa kejang, lenguh dan sengal itu hanyalah bersifat sementara. Dalam jangka panjang aktiviti ini dapat menyihatkan dan menguatkan stamina dan otot badan kita serta dapat mencegah penyakit, seperti menyihatkan jantung, melancarkan perjalanan darah, mengurangkan risiko serangan strok, mencegah kanser, osteoporosis, darah tinggi, kencing manis, depresi, membakar lemak dan melangsingkan badan. Bagaimanapun dengan syarat mestilah amalkan juga gaya hidup sihat, menjaga makan minum serta tak merokok. Ini tidak, tengah pewai berhenti jap hisap rokok, lepas je mendaki mesti melantak tak ingat punya...hihi. Info lanjut rujuk di SINI.

~ Bagi yang gayat, inilah peluang untuk mencabar diri melawan ketakutan berada di tempat tinggi.

~ Aktiviti mendaki gunung ni juga mengajar aku satu perkara; seberat manapun cabaran dan halangan yang kita hadapi di depan kita, asalkan kita optimis dan bermotivasi, kita akan mampu mencapainya. Mendaki juga menguji kesabaran, mendidik diri terus berusaha dan lebih berdikari. 



di puncak Gunung Santubong, Sarawak

CABARAN

~ Aktiviti mendaki gunung ni betul-betul menguji ketahanan mental dan fizikal. Pendakian bukan setakat membawa badan saja, tapi juga kena angkut bebanan beg berisi barangan keperluan seperti pakaian, makanan, khemah dan beberapa peralatan lain, khususnya pendakian yang memerlukan kita bermalam dalam hutan beberapa hari. Sesetengah gunung juga tiada punca air untuk minuman, jadi nak tak nak terpaksa angkut air dari bawah. Kadang-kadang terpaksa pulak bawa beg rakan pendaki lain yang cedera, kejang otot atau pewai (biasanya dialami oleh pendaki baru atau yang dah lama tak hiking… itulah orang suruh training tak nak training!).

~ Jadi sesapa yang nak join aktiviti ni sepatutnya mempunyai kesihatan dan kekuatan fizikal yang baik dan pastikan badan tu betul-betul fit, buatlah latihan kecergasan (jogging, main bola, berenang, dsb) sebelum ikut mana-mana  aktiviti mendaki. Jangan lupa juga buat regangan (warming up) sebelum memulakan pendakian bagi mengelak kecederaan. Berjalanlah mengikut langkah sendiri dan ambil masa serta tahu had kekuatan fizikal anda. Sebaiknya setiap pendaki membawa sendiri bekalan ubatan asas untuk kegunaan peribadi seperti pil sakit kepala, sakit perut, sakit otot, plaster, krim antiseptik dan minyak angin mengikut keperluan masing-masing. Bagus juga bawa Oral Rehydration Salts (ORS) atau air 100 Plus untuk mencegah dehidrasi dan menggantikan kehilangan garam galian dari badan seterusnya mengelakkan kekejangan otot. Kekuatan mental juga penting. Sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang situasi. Jangan terlalu mementingkan nak cepat sampai puncak. Jangan terlalu memaksa diri, berehatlah sekejap bila penat atau bila jantung berdegup laju. Jalan perlahan kalau tak mampu laju, insyaAllah lama-lama sampai juga ke puncak nanti. Kalau mental tak kuat, tak sampai setengah pendakian maka ramai la yang merengek nak balik. Mulalah terlintas di fikiran; “Apa kejadah la yang aku buat kat gunung ni… duk rumah tengok tv kan lagi bagus…!!!”.

~ Cuaca ekstrim juga memberi cabaran yang amat getir. Banyak kali juga aku mendaki sambil menahan kesejukan dalam hujan, kadang-kadang disertai juga angin kencang. Kalau tiada tempat berteduh nak tak nak redah sajalah. Jangan lupa bawa baju hujan atau payung. Kalau kena hujan ditambah pulak suhu kawasan pergunungan yang memang sejuk, juga boleh menyebabkan hipotermia... kalau serius boleh membawa maut tu. Aku pernah tengok rakan pendaki aku kena hipotermia tapi masa tu tak tau nak buat apa cuma tukar pakaian dia kepada pakaian kering, sapu minyak angin panas, selimutkan dan bagi minuman panas... alhamdulillah ok. Selain tu, mungkin kita pernah dengar pendaki maut disambar petir seperti yang pernah berlaku di Gunung Rajah. Itupun salah satu risiko tapi bagi aku cuma kes terpencil sebab kalau tak mendaki pun ada juga yang mati kena petir. Ajal maut kan di tangan Tuhan, kalau dah nak mati tu tak kira tempat. Apapun kita perlulah mengambil langkah sepatutnya untuk mengelakkan perkara buruk dari berlaku. Jika angin kuat, hujan lebat, guruh atau petir, tangguh dan hentikan aktiviti atau perjalanan. Cari tempat perlindungan berdekatan dan elakkan berlindung berhampiran pokok besar. Jika berlaku ribut petir ketika kita berada di puncak, cepat-cepatlah turun semula ke aras yang lebih rendah. 

~ Keadaan laluan/trek – Sebelum memulakan pendakian, sebaik-baiknya dapatkan maklumat berkenaan keadaan laluan/trek/rentis, cuaca, peralatan yang perlu dan peraturan/permit memasuki hutan. Lain gunung lain keadaan laluan yang akan ditempuhi. Di sesetengah gunung, kita perlu menyusuri jalan pembalakan semata-mata untuk ke kaki gunung (kadang-kadang terpaksa naik kenderaan 4WD). Ada juga yang kena ikut laluan berbatu, berselut, trek runtuh, semak berduri, merangkak di bawah akar/balak tumbang/buluh, tebing curam di kawasan rabung atau permatang (laluan sempit manakala kiri kanan terdapat gaung yang dalam), memanjat tebing menggunakan tali, trekking waktu malam atau laluan naik turun bukit silih berganti. Seboleh-bolehnya pastikan aktiviti hiking / trekking tamat sebelum hari gelap. Jika terpaksa berjalan dalam gelap pastikan berjalan dalam satu kumpulan yang besar. Selain tu, selepas hujan laluan akan menjadi sangat licin. Kadang-kadang kita perlu beberapa kali meredah air untuk menyeberangi sungai.  Kemungkinan anak sungai yang sebelumnya mudah kita seberangi tiba-tiba bertukar menjadi sungai besar lagi deras airnya dilanda kepala air. Terkandaslah jawabnya macam yang aku pernah alami di Gunung Stong dan Endau-Rompin. Sentiasa berhati-hati bila cuaca nampak mendung di hulu sungai. Sentiasa perhatikan tanda-tanda seperti air sungai yang tiba-tiba naik mendadak, bunyi air lebih kuat dari biasa, air sungai bertukar menjadi keruh disertai dengan kelodak ranting dan daun-daun mati di permukaan air. Kalau ada tanda-tanda tu cepat-cepatlah beredar dari dalam sungai ke tempat selamat sebab kepala air ni datang sekelip mata je.

~ Kemalangan – Biasalah bagi aktiviti yang agak ekstrim macam ni, risiko kemalangan dan kecederaan tak dapat dielakkan manakala sesetengahnya berlaku disebabkan kecuaian sendiri. Jatuh tergelincir hingga mengalami kecederaan serius dan terpaksa diselamatkan pasukan penyelamat adalah perkara yang biasa kita dengar.  Malah ada juga kes kematian pendaki akibat kemalangan semasa mendaki. Pernah juga berlaku kematian akibat kebocoran gas dalam khemah seperti yang pernah berlaku di Gunung Korbu. Perkara penting sebelum mendaki... beritahu rakan atau keluarga berkenaan perancangan perjalanan kita. Kemudian laporkan diri di balai polis berdekatan untuk kemudahan semua pihak jika berlaku kemalangan. Sentiasalah berhati-hati ketika melangkah. Mata kena sentiasa mengawasi persekitaran agar dapat mengesan bahaya lebih awal. Dulu-dulu aku kalau turun dari puncak gunung, biasanya aku berlari je pasal nak cepat sampai ke kaki gunung atau sebab nak ‘rescue’ kawan-kawan yang cedera atau pewai. Sebagai pendaki yang walaupun taklah berapa otai, aku nak juga nasihatkan pendaki-pendaki muda supaya tak payahlah main terjah begitu. Bukan saja terdedah kepada kemalangan tapi juga memberi kesan kepada lutut bila korang semakin berumur. Kalau semua kau main lompat je lama-lama tangkap lutut juga woo! Inilah yang aku tengah menanggung ni…adehh sakitnya lutut pakcik!

~ Misteri Nusantara – Sedangkan kat kampung dan bandar pun ada unsur-unsur ghaib lagi mistik, inikan pulak kat hutan dan gunung…  memang sah tempat tinggal kegemaran makhluk jin . Tapi setakat ni aku belumlah pernah ternampak, terdengar mahupun terhidu apa-apa yang pelik semasa mendaki gunung. Tengok rakan pendaki yang kena rasuk tu pernahlah. Bukan nak cakap besar dan aku pun bukannya berani sangat... hihi, jadi lagi bagus la tak mengalami perkara-perkara mistik ni. Tapi kalau dengar cerita kawan-kawan memang banyak cerita seram ni. Antaranya terjumpa makhluk berambut panjang mengilai atas pokok, terjumpa ahli keluarga yang dah lama meninggal, terserempak lembaga menyerupai muka kita sendiri atau muka kawan-kawan tapi sebenarnya kawan tu tengah syok tidur kat khemah, disesatkan hingga berpusing-pusing di laluan yang sama, dan macam-macam lagilah! Malas dah aku nak cerita banyak-banyak nanti korang terkencing pulak...hehe. Yang penting jaga tutur kata dan kelakuan sepanjang berada dalam hutan dan gunung. Jangan takbur mahupun celupar. Kalau mengalami perkara-perkara misteri, tunggulah selesai hiking, barulah bercerita kepada kawan-kawan. Amalkan juga membaca doa dan ayat-ayat Al-Quran sebagai pendinding diri sebelum memulakan perjalanan dalam hutan... sebagai ikhtiar semoga dilindungi dari segala keburukan, insya Allah. Antara yang boleh diamalkan: 

  • Sebelum mula hiking atau sambil berjalan masa mula hiking, baca Bismillah 6 (1.Bismillahir rahmanir rahim. 2. Bismillahis syaafi. 3. Bismillahil kaafi. 4. Bismilahil mu'aafi. 5. Bismillahil lazi la yadhurru ma'asmihi...dan seterusnya. 6. Bismillahi tawakkaltu 'alallah... dan seterusnya). 
  • Diikuti surah Al-Fatihah, Al-Baqarah ayat 1-5, Al-Baqarah 255 (Ayatul Kursi), ayat-ayat akhir Al-Baqarah 284-286, kemudian ditutup dengan 4 Qul (Al-Kafirun, Al-Ikhlas, Al-Falaq & An-Naas).
  • Sambil berjalan menghayati keindahan alam, kalau takde kawan nak bersembang, atau dah pewai tak larat nak sembang, baik amalkan Zikir Rabbaniyah, ada 7 zikir untuk diamalkan... sila google sendiri bacaan zikir tersebut.
  • Kalau rasa nak melepas hajat baik yang kecik mahupun yang besar, tak payahlah minta izin tok  nenek tumpang kencing/berak... syirik tu. Bila pulak tok nenek kita kahwin dengan puak-puak tu? Baca je basmalah dan doa masuk tandas yang biasa kita baca pun boleh. Adapun amalan beri salam kepada Nabi Sulaiman (salaamun 'alaa Sulaiman fil 'aalamiin) tiada nas ditemui dalam Al-Quran atau hadith sahih, tapi mungkin boleh diamalkan sebagai ikhtiar... wallahu 'a'lam. Satu lagi jangan melepas hajat di dalam lubang-lubang kerana dikatakan lubang adalah antara tempat tinggal kegemaran jin.
  • Waktu nak tidur, baca Ayat Kursi dan basmalah 21x... insya Allah dilindungi sampai pagi.
  • Kalau ditakdirkan ternampak juga... bacalah doa "Al 'anuka bila'natillah" (Laknatlah engkau dengan laknat daripada Allah), atau kalau terdengar bunyi yang pelik-pelik... bacalah doa "Au'zubikalimaatillahi taammaati minsyarrima khalaq, wamin syarri syayaatin wa'in yahdhuruun" (Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah Yang Maha Sempurna, daripada sebarang kejahatan apa yang diciptakan, dan juga dari kejahatan syaitan-syaitan bila mereka menjelma). Untuk sebutan lebih tepat sila google sendiri doa yang tersebut di atas.
  • (Ini sekadar petua & ikhtiar, Allah jua yang berkuasa menentukan)


~ Sesat/tersasar – Aku belum pernah, dan tak ingin mengalaminya. Selain disesatkan secara misteri, sesat juga berlaku biasanya disebabkan pendaki terpisah agak jauh dengan rakan-rakan lain, berpunca daripada tahap kecergasan masing-masing yang berbeza. Dah tertinggal tak tahu jalan pulak, tu yang jadi sesat tu. Kadang-kadang kita terleka melihat keindahan alam, atau leka bergambar/ambil gambar… sedar-sedar dah kena tinggal seterusnya tersesat. Sebaiknya elakkan jalan berseorangan, jangan berpecah dan sentiasa bersama kumpulan... paling kurang 2-3 orang. Kalau rasa nak membuang hajat, beritahu kawan dan tinggalkan beg di tepi trek menandakan kita off trek sekejap untuk memerut (biasanya kalau sweeper nampak dia akan tunggu). Jika rasa dah tersesat jangan panik, berehat sebentar dan banyakkan berdoa agar diberi petunjuk dan pertolongan dari-Nya, kemudian berpatah balik supaya anda mudah dicari dan ditemui. Tinggalkan juga tanda/ jejak bahawa anda pernah melalui jalan itu seperti mematahkan ranting pokok, membuat tanda anak panah dari kayu atau menyusun batu-batu kecil yang akan memudahkan pasukan pencari dan penyelamat mencari anda. Sangat penting juga bawa wisel untuk beri isyarat jika tersesat. Sebaiknya juga bawa bekalan makanan kecemasan yang memberi tenaga seperti kurma, coklat, biskut dan sebagainya. Info lanjut boleh rujuk di SINI. Kalau kita ingat kisah yang terjadi kepada Umaisarah pada tahun 2009 yang sesat berbelas hari dalam hutan semasa mendaki Gunung Tahan, kira respek jugalah pengalaman dia ‘survive’ dalam hutan tu. Ada juga yang hilang terus tanpa dapat dikesan seperti yang berlaku kepada Hassan Ayat yang hilang ketika menuruni Gunung Yong Yap... juga pada tahun 2009. Kalau tersesat/disesatkan sampai berpusing-pusing di tempat yang sama, ada juga orang tua bagi petua...

  • Baca Isti'azah (A'uuzubillahi minasy syaitonirrojim) 3x
  • Baca Ayat Penggerak (Bismillahi lazii laa yadhurru ma'asmihi... sampai habis) 3x
  • Baca surah Ad-Dhuha 11x atau lebih... insya Allah ditunjukkan jalan keluar.
  • (Ini sekadar petua & ikhtiar, Allah jua yang berkuasa menentukan)

~ Haiwan liar – Hutan memanglah tempat dia. Banyak haiwan dan serangga berbisa atau menyebabkan kegatalan seperti ular, lipan, kala jengking, lebah, tebuan, penyengat, ulat bulu dan semut yang boleh memudaratkan kita dalam hutan. Haiwan yang tak berbisa tapi menghisap darah seperti pacat, agas dan nyamuk pun boleh mencabar kesabaran kita. Kalau dah dalam hutan tu, lebih baik korang berharap tak terserempak dengan haiwan buas seperti harimau, beruang, babi hutan atau gajah.  Walaupun orang kata haiwan-haiwan ni seboleh-bolehnya cuba mengelak dari terserempak dengan manusia, tapi kalau dah terserempak mungkin buruk padahnya. Jika terserempak dengan hidupan liar, elakkan pertembungan secara berhadapan. Sebaik-baiknya berundur perlahan-lahan dan jangan sesekali membuat pergerakan yang boleh membuatkan hidupan liar terkejut dan rasa tercabar. Pengalaman aku, pernahlah juga diserang penyengat, pernah juga terhidu betapa hamisnya bau pak belang dan dengar ngaumannya, dan biasa juga terjumpa kesan tapak kaki harimau, beruang, babi hutan dan gajah, kadang-kadang dengan najisnya yang masih baru. Elok diamalkan doa menghindari haiwan buas atau berbisa ketika nak masuk hutan sebagai ikhtiar. Bacalah doa dari ayat 79 surah As-Saffat... Salaamun 'alaa Nuuhin fil 'aalamiin (kesejahteraan dilimpahkan atas Nuh di seluruh alam) bersempena dengan peristiwa Nabi Nuh yang membawa berbagai jenis haiwan buas dan berbisa dalam bahtera di mana haiwan-haiwan tersebut tidak berkelahi sesama sendiri mahupun menyerang manusia. (Ini pun sekadar petua & ikhtiar, Allah jua yang berkuasa menentukan)

~ AMS – Bila berada di ketinggian melebihi 2400 meter (8000 kaki)  dari aras laut, sesetengah orang akan mengalami gejala Acute Mountain Sickness (AMS). Tanda-tandanya seperti pening kepala, loya-loya dan muntah-muntah. Aku pun tak pasti punca sebenar gejala ni sebab pendaki yang betul-betul fit pun boleh kena AMS, jadi aku rasa tahap kecergasan bukan faktornya. Kemungkinan besar disebabkan sistem badan tak sempat atau agak lambat menyesuaikan diri dengan perubahan altitud, kekurangan oksigen dan suhu persekitaran. Aku pernah rasa kena AMS ni masa pertama kali mendaki Gunung Kinabalu dulu. Almaklumlah masa tu jiwa dan tenaga muda, mendaki dari Timpohon ke Laban Rata hanya makan masa kira-kira 4 jam je (kebiasaannya orang buat antara 5-8 jam). Sampai je Laban Rata terus pening, berterusan sampai keesokannya. Ada juga rakan yang muntah-muntah. Azabnya menahan sakit kepala sampaikan aku terpaksa hantuk kepala kat batu untuk melegakan kesakitan. Agak hilang kewarasan masa tu tapi tetap berdegil untuk teruskan pendakian ke puncak. Dah makan ubat pun takde kesan. Kalau ikut kata guide, takde cara lain…hentikan pendakian, turun balik ke aras yang lebih rendah dan berehat… insya Allah ok. Jadi untuk pendakian kali kedua ke Kinabalu aku belajar dari pengalaman, jalan rilek-rilek je supaya badan dapat beransur-ansur sesuaikan diri dengan perubahan altitud... alhamdulillah tak kena AMS sampai ke puncak. Bagaimanapun, kalau mendaki gunung-gunung yang lebih tinggi (ABC, EBC dsb), kalau kita ada tanda-tanda kena AMS ni seeloknya turunlah balik ke aras yang lebih rendah untuk mengelakkan risiko kena HACE & HAPE (kesan susulan dari AMS yang lebih serius - sila google sendiri untuk info lanjut). Boleh koma dan membawa maut katanya.


 Gunung Kinabalu


PESANAN CINTAI ALAM SEKITAR

~ Ramai pendaki gunung yang mendakwa mereka pencinta alam sekitar, tapi cakap tak serupa bikin sebab dalam masa yang sama turut mencemarkan alam sekitar. Yang merokok tu gi hisap jauh-jauh sikit, respek la orang yang tak merokok yang nak menghirup udara nyaman di puncak gunung. Seharusnya kita sentiasa mengamalkan bawa keluar apa-apa yang dibawa masuk. Tin-tin makanan, bekas dan pembungkus plastik termasuklah puntung-puntung rokok jangan sesekali ditinggalkan. Sisa makanan hendaklah ditanam di dalam lubang sekurang-kurangnya 30 cm dan dikambus semula tanpa meninggalkan sebarang kesan. Jangan tinggalkan apa-apa sampah di atas trek, terutamanya bungkusan makanan yang dibuka ketika berhenti rehat, walaupun cuma sekecil pembungkus gula-gula. Semasa berjalan, kutip apa jua sampah / bahan asing yang tidak sepatutnya berada atas trek dan simpan untuk pelupusan yang sepatutnya. Selain itu, tuala wanita/tisu basah hendaklah dibersihkan dan dibungkus sebaiknya, dinasihatkan dibawa keluar dan elakkan dibuang di dalam hutan sebab bahan-bahan tu ambil masa lama nak mereput. Naik gunung punyalah gagah, takkan nak bawa turun sampah pun tak mampu kan?

~ Di tempat-tempat yang disediakan tandas, gunakan kemudahan yang ada sebaik mungkin, selenggarakan dengan sempurna selepas guna dan sebelum meninggalkan kawasan perkhemahan yang terdapat kemudahan tandas. Jika tiada tandas, jangan buang air besar merata-rata mahupun dalam sungai, kesian orang di hilir sungai terpaksa menghadapi risiko penyakit bawaan najis anda. Bayangkan anda di tempat mereka. Sebaiknya lupuskan sisa buangan anda dengan menggali lubang dan timbus setelah selesai, jangan lupa letakkan kayu/batu penanda untuk mengelakkan rakan anda tergali tempat yang sama... kes naya tu. Kalau nak kencing, ni aku kongsi satu petua...jangan sekali-kali kencing di dalam air tak kira lelaki mahupun perempuan. Maksudnya jangan kencing sewaktu kemaluan kita terendam dalam air. Bila berada di sungai dan line tak clear ni yang selalu korang buat kan? Ini sekadar petua orang-orang tua tanpa ada bukti saintifik lah. Rasionalnya mungkin sebab bila tekanan yang tinggi dari dalam pundi kencing bertembung pulak dengan tekanan tinggi dalam air di luar, mungkin dalam jangka panjang akan melemahkan atau merosakkan sistem perkumuhan dan pembiakan kita.. huhu. Terpulanglah nak percaya ke tak. Apapun itulah yang aku amalkan... Kalau nak cover tak nak bagi orang perasan, ni pakcik nak ajar... duduklah atas batu atau berdiri dalam air dengan kemaluan berada ngam-ngam di atas paras air, kemudian tangan tu buat-buatlah kocak air sikit sambil menyanyikan lagu "suriram ram suuriram ram ram... suriraam yang maniss" (taktik nak alihkan perhatian)... lepas tu kencing je dalam seluar insya Allah orang tak perasan...selesai hajat boleh sambung berendam... hihi... terbongkar pulak rahsia.

~ Tinggalkan dan biarkan apa yang dilihat atau ditemui seperti segala batuan, bahan galian, tumbuhan, hidupan liar, serangga, bahan sejarah atau artifak dalam keadaan semulajadi. Jangan gatal-gatal nak bawa balik, nanti 'ada' yang suruh pulangkan balik di tempat asalnya tak pasal-pasal kena datang balik. Jangan juga gatal tangan nak menconteng/mengukir nama 'Saya Was Here' pada papan tanda, pondok, batu atau batang pokok sebab tiada siapa peduli mahupun respek anda dah berjaya sampai ke situ tapi dalam masa yang sama mencemarkan pemandangan semulajadi yang indah. Bak kata pepatah orang putih ni; "Bring Out What You Bring In, Take Nothing But Photograph, Leave Nothing But Footprints, Keep Nothing But Memories & Waste Nothing But Your Time."

~ Dan apa guna mencintai alam sekitar... kalau dalam masa yang sama tak mencintai Pencipta alam ini. Buatlah segala suruhan-Nya, tinggalkan segala larangan-Nya. Mendaki...mendaki juga, solat jangan dilupa... tinggalkan maksiat, batas pergaulan hendaklah dijaga.


SEDIKIT PENCAPAIAN

~ Gunung Kinabalu, Sabah (via Timpohon & Mesilau) – 4095 meter / 13435 kaki
~ Gunung Trus Madi (via Tambunan), Sabah - 2642 m / 8669 k
~ Gunung Tambuyukon, Sabah - 2579 m / 8461 k
~ Gunung Murud, Sarawak - 2423 m / 7950 k
~ Gunung Mulu, Sarawak - 2376 m / 7795 k)
~ Gunung Tahan, Pahang (via Merapoh-Kuala Tahan) - 2187 m / 7175 k
~ Gunung Korbu, Perak - 2183 m / 7162 k
~ Gunung Yong Belar, Perak-Kelantan - 2181 m / 7156 k
~ Gunung Gayong, Perak - 2173 m / 7129 k
~ Gunung Chamah, Kelantan - 2171 m / 7123 k
~ Gunung Yong Yap, Perak-Kelantan - 2167 m / 7110 k
~ Gunung Ulu Sepat, Perak - 2161 m / 7089 k
~ Gunung Irau, Pahang -  2110 m / 6923 k
~ Gunung Gerah, Perak-Kelantan - 2103m / 6898 k
~ Gunung Bilah, Perak-Kelantan - 2081m / 6830 k
~ Gunung Bieh, Perak - 2073 / 6800 k
~ Gunung Junction, Perak-Pahang-Kelantan - 2071 m / 6796 k
~ Gunung Gedung, Pahang - 2065 m / 6776 k
~ Gunung Brinchang, Pahang -  2031 m / 6663 k
~ Gunung Siku, Pahang - 1916 m / 6286 k
~ Gunung Tok Nenek, Perak - 1904 m / 6248 k
~ Gunung Rajah, Pahang (via Chamang) - 1684 m / 5526 k
~ Gunung Reskit, Pahang - 1666 m / 5466 k
~ Gunung Bubu, Perak - 1657 m / 5437 k
~ Gunung Tangga 15, Pahang - 1539 m / 5049 k
~ Twin Peak, Bukit Fraser, Pahang-Selangor - 1505 m / 4938 k
~ Gunung Ayam, Kelantan - 1504 m / 4934 k
~ Gunung Nuang, Selangor (via Ulu Langat & Janda Baik) - 1493 m / 4898 k
~ Gunung Pangkin, Pahang - 1462 m / 4797 k
~ Pine Tree Hill, Bukit Fraser, Pahang-Selangor - 1448 m / 4751 k
~ Gunung Bunga Buah, Selangor -  1430 m / 4692 k
~ Gunung Baha, Kelantan - 1410 m / 4626 k
~ Gunung Stong, Kelantan - 1399 m / 4590 k
~ Gunung Ulu Semangkuk, Selangor - 1394 m / 4558 k
~ Gunung Ledang, Johor (via Sagil) - 1276 m / 4186 k
~ Gunung Api (Pinnacles), Sarawak - 1245 m / 4085 k
~ Gunung Kenderung, Perak - 1223 m / 4013 k
~ Gunung Telapak Buruk, N.Sembilan - 1193 m / 3913 k
~ Gunung Gap, Selangor - 1183 m / 3868 k
~ Bukit Kutu, Selangor - 1053 m / 3455 k
~ Gunung Berembun (CBL),Terengganu - 1038 m / 3405 k  
~ Gunung Berembun, N.Sembilan - 1014 m / 3326 k
~ Gunung Datuk, N.Sembilan -  885 m / 2904 k
~ Gunung Angsi, N.Sembilan (via Ulu Bendul & Bukit Putus) - 825 m / 2707 k
~ Bukit Berkelah, Pahang -818 m / 2684 k
~ Gunung Santubong, Sarawak – 810 m / 2658 k
~ Bukit Kledang, Perak - 800 m / 2640 k
~ Gunung Tok Wan, Selangor - 675 m / 2215 k
~ Gunung Rajah, Taman Negara Pahang - 576 m / 1890 k
~ Gunung Baling, Kedah - 546 m / 1791 k
~ Gunung Tempurung, Perak (xplorasi gua) - 497 m / 1631 k
~ Gunung Senyum, Pahang (xplorasi gua) - 486 m / 1595 k
~ Bukit Broga, Selangor - 400 m / 1312 k
~ Bukit Putih (Bkt Apek), Selangor - +-400 m (1312 k) 
~ Bukit Saga, Selangor - +-400 m (1312 k) 
~ Bukit Tabur (West, East, Far-East & Extreme), Selangor - 357-396 m / 1171-1299 k
~ Bukit Senaling, N.Sembilan - 394 m / 1293 k
~ Bukit Teresik, Pahang - 335 m / 1099 k
~ Bukit Panorama, Pahang - 291 m / 955 k
~ Bukit Batu Putih, P.D, N.Sembilan (tak pasti ketinggiannya)


Trans (merentasi beberapa gunung dalam satu perjalanan):

~ Trans Murud; via Ba' Kelalan - Bario
~ Trans Tahan; via Merapoh-Kuala Tahan (G.Tahan-Gedung-Reskit-Tangga 15-Pangkin-Rajah)
~ Trans Titiwangsa V2 (G.Yong Yap-Bubu-Tok Nenek-Korbu-Gayong-Junction-Yong Belar)
~ Trans Chamah-Ulu Sepat (Kelantan-Perak)
~ Trans Jelawang 3G; G.Stong-G.Ayam-G.Baha (Kelantan)
~ Trans Gerah-Bieh-Bilah (Perak-Kelantan)
~ TransNasional....??? Itu bas ekspress daaa.....

Ada pro & kontra tentang istilah trans ni sebenarnya, ada yang kata mesti naik tempat lain turun tempat lain barulah boleh dianggap trans. Ada yang kata asalkan mendaki/merentasi beberapa gunung dalam satu perjalanan dan turun di laluan yang sama semasa naik pun dah boleh dianggap trans. Bagi aku, kalau dalam kamus pun tiada definisi yang jelas maksud trans ni, boleh je pakai mana-mana pendapat tu... tak perlu berbalah... takde faedah!

Laaa….. itu je senarai gunung yang berjaya didaki? Chehh…sembang macam la otai sangat… keh3.


ANAK-ANAK

Sementara tu, anak-anak pun aku dah pernah bawa mendaki bukit dan gunung, tapi cuma level yang mudah-mudah je dulu. Nak melentur buluh biarlah dari rebungnya... biar lebih kenal alam semulajadi, biar lebih mencintai alam sekitar dan biar diorang lebih lasak.

~ Along : Bukit Broga, Bukit Apek, Gunung Tokwan, Gunung Angsi, Gunung Datuk, Pine Tree Hill & Twin Peak.

~ Angah : Bukit Broga, Bukit Apek, Gunung Tokwan, Gunung Angsi, Gunung Datuk, Pine Tree Hill & Twin Peak, Gunung Gap & Gunung Ulu Semangkuk.

~ Aina : Bukit Batu Putih, PD, Gunung Gap & Gunung Ulu Semangkuk.

Itu je setakat ni. Takpe banyak masa lagi bagi diorang untuk menjelajah gunung-gunung lain... itu pun kalau berminat.


KASUT

Dari dulu hingga kini, kasut getah atau adidas kampung tetap menjadi pujaan hatiku. Murah, tahan lasak, kalis air, cengkaman terbaik di semua jenis permukaan! Walaupun mungkin kurang selesa dipakai oleh sesetengah orang, bagi aku ok je. Yang penting gunakan kasut getah yang lebih satu saiz dari saiz kaki kita dan pakai stokin dua lapis... untuk mengelakkan melecet dan tak makan kuku. Bagi yang tak selesa pakai kasut getah, belilah kasut hiking yang elok sikit dan sesuai dengan kaki. Kasut getah memang terbaik la bagi aku untuk gunung-gunung kat Malaysia ni. Untuk gunung-gunung luar negara aku tak pasti lah sebab setakat ni aku cuma mampu mendaki gunung dalam negara je..


BEG


Karrimor Discovery 65L Rucksack

Dibeli pada tahun 1996 berharga RM250++ kalau tak silap. 


Inilah satu-satunya beg hiking yang aku ada dan masih dipakai sampai sekarang.

Masih elok maklumlah aku bukan pendaki tegar, guna beg ni pun 4-5 kali setahun je.

Sekarang dah boleh dianggap barang 'rare' ni. Selagi masih elok, belum terfikir nak beli beg baru walaupun beg zaman sekarang ni lebih selesa dipakai.





di puncak Gunung Tahan


SASARAN

~ Tujuan utama aku melibatkan diri dalam aktiviti outdoor, khususnya mendaki gunung ni adalah untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya, mencabar diri keluar dari kehidupan selesa di rumah serta cuba mengamalkan gaya hidup sihat.


~ Tak kiralah bukit mahupun gunung, jika ada kelapangan masa dan bajet aku akan pergi. Tapi tak salah rasanya untuk menetapkan sasaran mendaki gunung yang lebih mencabar untuk mencari pengalaman baru, merasai cabaran yang berbeza di tempat dan suasana/pemandangan yang berbeza serta sekadar untuk memenuhi kepuasan diri... bukanlah untuk dibangga-banggakan sebab dah beribu-ribu orang lain mempunyai pencapaian yang jauh lebih hebat.

~ Sasaran untuk mendaki tujuh puncak tertinggi  di Semenanjung Malaysia (G7) dengan ketinggian melebihi 7000 kaki iaitu Gunung Tahan, Korbu, Yong Belar, Gayong, Chamah, Yong Yap & Ulu Sepat sudahpun tercapai.

~  Kemudian lima puncak tertinggi di Malaysia yang kesemuanya terletak di Pulau Borneo (G5 atau disebut juga Big 5) iaitu Gunung Kinabalu, Trusmadi, Tambuyukon, Murud & Mulu juga sudah berjaya dijejaki. 

~ Bila 7 puncak tertinggi di semenanjung (G7) digabungkan dengan 5 puncak tertinggi di  Borneo (G5), dikenali juga sebagai puncak G12.

~ Sekarang sedang mencari kelapangan masa untuk tambah lagi 4 gunung di semenanjung dengan ketinggian menghampiri 7000 kaki atau melebihi 2100 m (digelar G7-11 bila digabung dengan gunung-gunung G7) iaitu Gunung Batu Putih, Irau, Benum dan Gerah. Setakat ni hanya puncak Gunung Irau dan Gunung Gerah yang mampu dijejaki.


~ Buat masa ni aku cuma mampu hiking dalam negara je lah dulu. Kalau ada rezeki lebih bolehlah mendaki gunung-gunung di negara jiran sekitar Asia Tenggara, seperti Indonesia, Vietnam, Filipina dll. Nak juga merasa mendaki gunung berapi macam di Indonesia.

~ Kalau ada rezeki lebih lagi dan badan masih bertenaga, teringin juga nak merasa mendaki gunung bersalji macam di Banjaran Himalaya seperti Annapurna Base Camp (ABC), Island Peak, K2 Base Camp atau Everest Base Camp (EBC)... tapi kena menabung lama tu sebab kosnya agak tinggi dan memakan masa yang agak lama (kena ambik cuti panjang tu).


~ Nak mendaki 7 Summit (puncak tertinggi di 7 benua)??? Rasa macam dah di luar kemampuan diri dan kewangan dah tu...huhu.

~ Sama ada sasaran tu dapat direalisasikan atau tidak, kita kena berangan-angan dulu. Ada rezeki insya Allah jadi. Yang pasti aku sentiasa ada perasaan rindu nak menikmati suasana di dalam hutan dan puncak gunung,  jadi kalau panjang umur dan kaki masih kuat, belum rasa nak bersara lagi sebab faktor umur tak boleh dijadikan alasan dan penghalang. Malu aku kat pendaki-pendaki yang lebih otai yang aku pernah jumpa kat trek... umur dah  60-70 tahun pun masih aktif mendaki. Respek!



lagu ni terhasil masa nak belajar buat video, masa nak masukkan lagu latar 
tetiba timbul idea nak ubah lirik biar sesuai dengan cerita dalam video... nyanyi sendiri je,
sumbang pun sumbanglah... semoga terhibur, kalau tak terhibur lantak koranglah.. hahaha


Wassalam.
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...