30 August, 2015

Mendaki Pine Tree Hill - Twin Peak, Bukit Fraser

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Dulu pernah tertipu masa mendaki Bukit Kutu... nama je bukit tapi ketinggiannya dah taraf gunung. Kali ni mendaki Bukit Pokok Pain & Puncak Kembar pulak (pelik pulak bunyinya bila di-translate..hehe), aku tertipu lagi.

~ Ketinggian Pine Tree Hill (1448 m / 4751 kaki d.p.l) dan Twin Peak (1505 m / 4938 kaki d.p.l) sebenarnya dah boleh masuk kategori gunung. Tapi tak kiralah bukit atau gunung, dah sampai redah je lah.

~ Jam 12.30 tengah malam, dua kereta bertolak ke Bukit Fraser. Trip kali ni kami cuma berlapan, termasuk Along & Angah. Lebih kurang 2.30 pagi, sampai Bukit Fraser, tidur dalam kereta berdekatan dataran menara jam mercu tanda Bukit Fraser tu sementara menunggu subuh.

~ Lepas solat subuh di Masjid Bukit Fraser, sarapan di Kedai Makan Hamzah yang terletak di sebelah masjid. Roti canai, nasi lemak dan sambal sotongnya memang sedap.

~ Penyerahan baju merah berbintang kuning mungkin bermakna aku dah diterima secara rasmi masuk geng bintang kuning ni. Terima kasih kepada ahkak kawasan...hihi.

~ 9.00 pagi; pendakian bermula dari pintu gerbang berdekatan Rest House TNB. Info di papan tanda mengatakan trail ni sejauh 5.5 km, dan ada beberapa pondok rehat di dua km pertama trail. Ada pondok yang masih elok dan ada yang dah usang atau runtuh dihempap pokok tumbang.

~ Permulaan trail agak santai menuruni laluan tangga batu, kemudian trail mula turun naik yang agak mencabar juga. Mujur buat daytrip je, tak perlu nak pikul beban berat.

~ Selepas kira-kira sejam, akan jumpa batu tanda sempadan negeri Pahang dan Selangor. Lepas tu akan jumpa pulak pokok yang macam ada gua di bawahnya.

~ Terdapat satu tapak perkhemahan yang dekat dengan satu punca air. Tapi berdasarkan papan tanda, dikatakan punca air tersebut dah tercemar dan tak selamat diminum.


~ Menghampiri puncak, kami terpaksa memanjat tebing menegak 70-80 darjah, setinggi kira-kira 10 meter. Terima kasih kepada yang memasang tali yang memudahkan pendakian selain berpaut pada akar-akar pokok.

~ Seperti biasa, Along mendaki dengan rentak slow & steadynya, manakala Angah sentiasa laju ke depan macam tak ingat ayahnya yang mencungap kat belakang ni... memanjang nak kena sound suruh slow sikit...

~ Agak santai sebenarnya pergerakan kami dan banyak kali juga berhenti rehat. Lebih kurang jam 1.30 petang, barulah kami sampai di puncak Pine Tree Hill. Cuaca baik, suhu agak dingin tapi agak berkabus (atau mungkin berjerebu). Kawasan puncak taklah besar mana, pemandangan hampir 180 darjah.


~ Selepas sesi bergambar sakan, Perjalanan diteruskan lagi ke Twin Peak yang hanya memakan masa kira-kira 30-40 minit, trek banyak menaik dari menurun. Pemandangan kali ini 360° dan membolehkan kami menikmati pemandangan indah bukit serta gunung-ganang sekitar.

~ Perut pun dah lapar. Masak mamee slurpy + telur, memang sedap dimakan panas-panas secara berjemaah di puncak gunung. 

~ Hampir sejam lepak di puncak Twin Peak. Lepas solat jamak zuhur & asar, bersiap untuk turun. Tetiba Along nak terberak pulak, 3 ketul hasilnya kata Along. Cheiitt... itupun nak cerita ke.

~ Jam 4.00 petang, kami turun semula ke tempat permulaan. Selepas melewati puncak Pine Tree, pergerakan kami agak perlahan ketika menuruni cerun curam tadi. 

~ Hari beransur gelap dan berkabus. Si Angah yang tadinya becok mulutnya dah makin diam je, pewai le tu. Along masih steady. Setelah mendaki semula tangga batu yang kali ni dirasakan sangat jauh, akhirnya kami sampai di starting point pada jam 8.30 malam.


 ~ Selesai membersihkan diri, kami lepak makan di Medan Selera Bukit Fraser. Along dan Angah dah pewai sangat sampai tertidur kat meja makan. Tahniah buat Along & Angah kerana berjaya mengharungi pendakian paling tinggi dan paling panjang setakat ni. Pertama kali diorang trekking sampai malam.

~ Lepas makan terus balik. Semua dah lelap dalam kereta, kepenatan dan kepeningan melalui jalan Bukit Fraser yang berliku-liku tu. Selamat sampai rumah jam 2.00 pagi.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-58.... MERDEKA!

No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...