18 April, 2015

Mendaki Bukit Putih a.k.a Bukit Apek, Cheras

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Sabtu, 18 April 2015; aku dan beberapa rakan lain berkesempatan mendaki Bukit Putih, Cheras. Bawa bersama Along dan Angah yang dah lama tak masuk hutan. Lemau nanti kalau dibiar main dalam bandar je, sekali-sekali kena bawa main dalam hutan pulak, biar lasak sikit dan lebih mengenali alam sekitar.


~ Bukit Putih atau lebih dikenali sebagai Bukit Apek terletak di Hutan Simpan Bukit Sungai Putih, berdekatan Cheras, Hulu Langat. Ketinggian Bukit Putih atau Bukit Apek ni tak dapat dipastikan, tapi mengikut peta topo ketinggiannya lebih kurang 400 meter dari paras laut. Asalnya bukit ni dijadikan sebagai tempat riadah warga emas kaum Cina (sebab tu dipanggil Bukit Apek agaknya), tapi lama-kelamaan makin popular di kalangan pendaki dari luar sebagai tempat latihan sebelum mendaki gunung lain.

~ Ramai yang keliru antara Bukit Apek dan Bukit Saga. Sebenarnya kedua-duanya bukit yang berbeza dan terletak bersebelahan tapi treknya bertemu dalam hutan simpan yang sama. Untuk mendaki Bukit Saga, tempat permulaannya dari Jalan Saga 28, Taman Saga, Ampang. Manakala untuk mendaki Bukit Apek ada beberapa tempat permulaan seperti dari Taman Wangsa Cheras dan Cheras Hartamas tapi kebiasaannya tempat permulaan yang sering jadi tumpuan adalah di Jalan Awana 23, Taman Cheras Awana.

~ Ada 5 stesen/check point yang akan dilalui sebelum tiba di puncak Bukit Apek yang juga dikenali sebagai Apek Hilltop (Stesen 6). Setiap stesen dijaga bersih oleh Persatuan Pendaki Bukit Apek, ada beberapa stesen yang menyediakan bekalan air minuman dan peralatan senaman buatan sendiri. Bagaimanapun di Stesen 2, ada simpang yang membolehkan pendaki terus menuju ke puncak Bukit Apek (Stesen 6) tanpa perlu melalui stesen-stesen lain.

~ Pendakian dari tempat permulaan ke puncak Bukit Apek memakan masa lebih kurang 30 minit - 1 jam bergantung kepada stamina masing-masing. Keadaan trek macam-macam ada... trek mendatar dan landai ada, naik mencanak  dan trek menurun pun ada. Sampai di puncak Bukit Apek, ada apek yang buka gerai menjual air minuman sejuk.

~ Dari Stesen 5, ada trek menurun bukit menuju ke air terjun. Perjalanan ke air terjun kira-kira 30-45 minit. Terdapat dua air terjun yang terletak berdekatan, satu besar dan satu lagi kecil sedikit. Biasanya ramai yang tertumpu di air terjun yang agak besar. Bagaimanapun di air terjun ni tiada kolam mahupun lubuk untuk berenang atau berendam, kalau ada pun cuma separas dada itik sahaja... nak berenang kuak itik bolehlah kot.

~ Ada juga kes pendaki tersesat di sekitar trek Bukit Saga dan Bukit Apek ni sebab keliru dengan trek yang banyak simpang. Ada yang naik ikut trek dari Taman Saga tapi tersalah trek turun ke Taman Cheras Awana, tak pasal-pasal kena balik naik teksi ke Taman Saga. Walaupun ada papan tanda arah tapi dalam tulisan cina, jadi jangan malu bertanya arah kepada apek-apek di Bukit Apek.


No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...