23 February, 2014

Mendaki Bukit Kledang, Ipoh

Dah lebih 10 tahun bertemu jodoh dengan orang Ipoh, baru hari ni tergerak hati nak mendaki Bukit Kledang yang terletak di Menglembu, Ipoh. Bukit setinggi 800 meter (2640 kaki) ni adalah salah satu lokasi orang Ipoh beriadah. Sampai di kaki bukit 7.30 pagi, dah ramai orang rupanya. Dari peringkat warga emas, dewasa hinggalah budak-budak, kebanyakannya berbangsa cina. Sikap mereka yang mementingkan penjagaan kesihatan dengan selalu bersenam patut kita contohi.

- Tanya kat sorang apek, katanya nak mendaki bukit ni ada 3-4 laluan. Tapi yang biasa orang buat adalah ikut jalan tar tapi agak jauh, atau ikut laluan bertangga yang lebih dekat. Nak yang lebih mencabar boleh ikut trek hutan. Jadi untuk pendakian solo pertama ni aku bercadang waktu naik nak ikut jalan tar dan balik nanti ikut tangga je.

- Sepanjang laluan jalan tar, terdapat banyak kemudahan seperti wakaf tempat rehat, tandas, kemudahan senaman, taman bunga dan ada juga air terjun kecik semulajadi. Ramai juga yang mendaki dengan basikal.

- Yang ramai-ramai tadi kebanyakannya mendaki sampai stesen seismologi je (rasanya tak sampai setengah perjalanan sampai ke puncak.) Sampai situ ramai yang lepak sambil buat senaman ringan, lepas tu turun balik.

- Puncak tertinggi di sini adalah puncak yang ada menara pemancar RTM. Selepas dua jam mendaki aku cuma mampu sampai menara pemancar TV3 je... jarak antara keduanya lebih kurang setengah jam mendaki je (kalau orang yang aku tanya tu tipu maka fakta yang aku bagi ni pun tipu jugak la).

nampak rendah je... tapi dari tempat gambar ni diambil nak ke menara TV3 tu
kena mendaki selama lebih kurang 45 minit lagi


- Balik ikut trek bertangga... aku macam biasalah bila turun bukit... tangkap lutut woo!


16 February, 2014

Mari menubuhkan koperasi sambil reunion @ Port Dickson

Bila sahabat-sahabat lama masa sekolah ramai yang berjaya dalam bidang masing-masing terutamanya yang bergiat dalam bisnes, ada cadangan untuk menubuhkan koperasi alumni sekolah. Tujuannya supaya bila bergerak atas nama koperasi, mudah sikit nak mendapatkan projek yang lebih besar serta mudah sikit nak uruskan sebab boleh buat secara bersama. Maka dapatlah menjana lebih pendapatan untuk koperasi sambil memberi faedah lebih besar untuk ahli.

Sebagai pekerja gomen yang biasa-biasa je, apa sangat yang mampu aku buat selain hanya menyokong usaha kawan-kawan dari belakang, jadi ahli biasa sudahlah. Untuk menjalankan aktiviti koperasi kita serahkan pada yang pakar.


Mesyuarat Agung Permulaan penubuhan koperasi ni dijalankan di Restoran D'Oasis, Port Dickson pada 15 Feb.2014. Ada seorang wakil dari Suruhanjaya Koperasi untuk memantau dan membantu perjalanan mesyuarat. Untuk pengetahuan, dalam mesyuarat pertama bila nak menubuhkan koperasi, agendanya adalah:

1.   Perlantikan Pengerusi Mesyuarat.
2.   Persetujuan menubuhkan koperasi.
3.   Permohonan bagi didaftarkan sebagai Koperasi.
4.   Pemilihan Undang-Undang Kecil Koperasi.
5.   Pemilihan Anggota Lembaga.
6.   Pemilihan anggota yang akan turut sama menandatangani permohonan pendaftaran (sekiranya bilangan anggota Lembaga kurang dari 10 orang).
7.   Menimbang dan meluluskan belanjawan tahunan koperasi.
8.   Meluluskan elaun yang diberikan kepada anggota Lembaga dan saraan yang dibayar kepada mana-mana anggota Lembaga yang dilantik sebagai pengarah subsidiarinya, jika ada.
9.   Meluluskan perlantikan suatu panel yang tidak kurang daripada dua orang juruaudit, yang merupakan juruaudit yang diluluskan oleh Suruhanjaya atau pegawai Suruhanjaya, untuk mengaudit akaun koperasi.
10. Menimbang dan meluluskan ruang lingkup dan had pelaburan yang dibiayai oleh kumpulan wang lebihan koperasi.
11. Menentukan had maksimum keterhutangan koperasi.


Bagus juga hadir mesyuarat koperasi ni. Sambil bermesyuarat, sambil bertemu sahabat-sahabat lama yang hampir 20 tahun tak jumpa, sambil dapat juga bawa mertua dan kakak ipar sekeluarga bercuti (sewa satu apartment 3 bilik di Glory Beach Resort).


13 February, 2014

Pembicaraan Pembahagian Harta Pusaka

Perebutan dan pergaduhan adik beradik disebabkan oleh harta pusaka sudah begitu sinonim dengan masyarakat Melayu. Isunya ialah pergaduhan kerana harta dan perebutan tanah pusaka peninggalan orang tua yang sudah meninggal dunia. 
Talian persaudaraan menjadi buruk dan boleh terputus kerana perselisihan dan pertengkaran mengenai siapa yang lebih berhak terhadap harta dan tanah pusaka. Hakikatnya Islam telah datang menyelesaikan masalah mengenai warisan harta apabila Allah swt telah mengajarkan kepada Rasulullah saw berkaitan pengurusan pusaka kematian di dalam al-Quran. 
Allah swt telah berfirman yang bermaksud :
“Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.” (An-Nisa : 7) 
Manakala Nabi saw juga pernah bersabda daripada Ibnu Abbas ra dengan sabdanya yang bermaksud : "Hendaklah kamu membahagi-bahagikan harta (pusaka) di antara ahli waris itu berdasarkan Kitabullah.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud) 
Membahagikan harta menurut panduan Al-Quran dan As-Sunnah ialah suatu kewajipan sebagai amanah daripada Allah swt dan sebagai bukti keimanan manusia kepada keadilan Islam. Hal ini juga merupakan salah satu perintah yang termasuk dalam ayat-ayat yang mewajibkan manusia berhukum dengan hukum Allah swt. 
Malangnya, dalam masyarakat kita hari ini khususnya orang Melayu, pembahagian harta pusaka tidak dilakukan secara telus dan adil mengikut hukum syarak sebaliknya dipengaruhi oleh unsur-unsur penipuan dan penyelewengan. Hal ini terjadi kerana didorong oleh sifat tamak, dengki dan penyakit hati yang dikaburi oleh kemewahan harta dan kecintaan kepada dunia yang menyebabkan manusia lupa kepada azab dan janji-janji seksa bagi mereka yang melanggar amanah dan perintah daripada Allah swt. 
Allah swt berfirman yang bermaksud :
“Dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan (yang halal dan yang bathil), Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan. Jangan (berbuat demikian). apabila bumi digoncangkan berturut-turut, Dan datanglah Tuhanmu; sedang Malaikat berbaris-baris. Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi perbuatan mengingat itu baginya." (Al-Fajr : 19-23) 
Daripada Abdullah bin Umar ra yang berkata secara marfu yang bermaksud : “Sesiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa hak walaupun sedikit maka dia pasti akan ditenggelamkan dengannya di hari kiamat sehingga ke tujuh lapis bumi.” (Riwayat Bukhari) 
Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ya’la bin Murrah ra bahawa Rasulullah saw bersabda : “ Sesiapa yang menzalimi orang lain dengan mengambil tanahnya walau sejengkal maka nescaya Allah akan membuatkan dia menggali tanah tersebut dan dalam riwayat yang lain menyebut : “Tanah itu akan dihadirkan sebanyak tujuh lapis bumi yang dalam lalu dibebankan kepadanya pada hari kiamat sehingga seluruh manusia diadili.” (hadis riwayat Tibrani) 
Syaitan telah menjadikan tanah pusaka sebagai alat untuk menjadikan manusia saling bergaduh, memutuskan silaturrahim dan perhubungan darah yang sepatutnya terikat utuh dan kukuh. Akhirnya manusia yang tamak itulah yang akan menjadi bahan bakar api neraka. 
Dalam masyarakat kita bukanlah perkara yang ganjil dan pelik perbuatan menipu dalam persoalan harta khasnya yang melibatkan urusan tanah pusaka. Betapa ramai orang yang mengubah geran, jumlah tanah dan ada yang sampai menukar nama pemilik tanah kepada namanya sendiri demi tamakkan harta. 
Nabi saw pernah bersabda : “Allah melaknat orang yang mengubah batu penanda batas tanah.” (Hadis riwayat Muslim) 
Ketahuilah wahai saudara-saudari sekalian, sesungguhnya adalah tidak berbaloi berebut tanah pusaka yang akhirnya membawa petaka dan bala bencana serta seksa neraka. Biarlah rugi di dunia kerana tidak mendapat warisan harta asalkan kita terselamat daripada seksa dan neraka Allah swt.  
Sesungguhnya syurga itu amatlah nikmat jika dibanding dengan segala harta dan pusaka.

Tulisan di atas disalin/diedit dari tulisan Ustaz Emran Ahmad, untuk renungan kita bersama. 

Aku baru lepas hadir pembicaraan pembahagian harta pusaka peninggalan arwah abahku di pejabat KPTG. Alhamdulillah semua waris yang berhak iaitu ibu tiri dan adik beradik aku (sebapa) dapat hadir, pembicaraan pun berlangsung dengan lancar tanpa sebarang pertikaian, semua bermuafakat untuk membahagikan harta secara sama rata. Harta pun taklah sebanyak mana. Mana yang aku rasa patut lepaskan, aku lepaskan... harta bukan boleh dibawa masuk kubur. Alhamdulillah pembicaraan ini dah selesai dan semoga keluarga ini terus harmoni.


08 February, 2014

Kejohanan Futsal Tertutup JP Selangor Siri 1/2014

Entri ini disalin-tampal dari blog kelab sukan ofis aku... tak sangka team aku boleh Champion! :D
8 Feb. 2014 (Sabtu) - Kelab Sukan, Kebajikan dan Sosial (KSKS) Jab. Perangkaan Malaysia Negeri Selangor telah menganjurkan Kejohanan Futsal Tertutup Siri 1/2014 bertempat di Sport Planet, Sek. 16 Shh Alam.  
Kejohanan ini juga dijadikan sebagai medan pemilihan pemain untuk mewakili Jabatan dalam Kejohanan Futsal Jemputan Piala Pengarah Jabatan Audit Negeri Selangor yang akan diadakan pada 01 Mac 2014 nanti.
Setiap seksyen dan pejabat operasi diwajibkan menghantar satu pasukan untuk menyertai kejohanan futsal ini. POG tidak ketinggalan menghantar pasukan yang dirasakan terkuat untuk mencabar kejuaraan. Penyertaan ditaja sepenuhnya oleh K-POG, menyebabkan para pemain diselubungi tekanan yang agak tinggi untuk memberikan yang terbaik.
Tanpa disangka-sangka, pasukan POG telah berjaya menjadi juara kejohanan dengan rekod tanpa kalah dalam kesemua 6 perlawanan. Keputusan kejohanan adalah seperti berikut :
Pejabat Operasi Gombak vs Harga; 0-0
Pejabat Operasi Gombak vs Pejabat Operasi Kajang; 2-2
Pejabat Operasi Gombak vs Rangka; 4-1
Pejabat Operasi Gombak vs Ekonomi; 2-0
Pejabat Operasi Gombak vs PSH Ekonomi; 3-0
Pejabat Operasi Gombak vs PSH Isirumah; 6-2
 

Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang sama-sama menjayakan kejohanan ini. Kepada pasukan yang tidak berjaya, masih ada ruang dan peluang pada siri akan datang. Yang penting, tujuan utama kejohanan ini adalah untuk mengeratkan silaturahim di antara kakitangan di samping memupuk budaya hidup sihat di kalangan anggota JP Selangor.


03 February, 2014

Cuti-cuti Malaysia @ Cherating

Memandangkan isteri dah sembuh dari demam denggi dan kebetulan ada rezeki lebih sikit, kami meneruskan perancangan untuk bercuti di Cherating sempena cuti raya cina bersama keluarga sebelah mak aku. Kalau tak jadi leburlah bayaran sewa hotel apartment yang dah habis dibayar.

Kami menginap di hotel apartment 3 bilik di Sanctuary Resort, Sg. Ular... agak jauh dari Cherating kira-kira 8km. Maklumlah cuti raya cina hotel, homestay dan chalet di Cherating semua penuh. Tambahan pulak apartment macam ni lah yang sesuai untuk famili yang ramai ahli macam kami. Pantai kat hotel ni pun memang cantik, ada pemandangan pulau dan muara sungai.

Dipendekkan cerita (dah malas nak tulis sebenarnya)...  aktiviti sepanjang percutian ni :

- Aktiviti santai di tepi pantai... tiupan angin memang kuat sepanjang kami di sini.
- mandi kolam sampai kecut... sejuk betul sebab angin kuat.
- makan malam di Intan Seafood Restaurant, Kg. Cherating
  (makanan boleh tahan sedap tapi kena tunggu sejam setengah baru makanan sampai)
- melawat Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu (sebelah Club Med Cherating)
- memborong satar dan otak-otak isi ikan di Chukai, Kemaman.
- memborong keropok lekor dan keropok keping (banyak gerai di sempadan Pahang-Terengganu)

pantai dan kolam


Sepanjang aku hidup, ini kali pertama aku bawa mak, bapak tiri, adik-adik serta anak-anak buah aku bercuti bersama. Seronok tengok mereka seronok. Lepas ni kalau ada rezeki lebih lagi, bolehlah ajak famili sebelah abah aku pulak pergi bercuti.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...