02 November, 2014

Corat-Coret Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Tahniah kepada pasukan bolasepak Pahang kerana berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut dengan menewaskan pasukan Johor Darul Ta'zim FC (JDT F.C) 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti, setelah kedudukan terikat 2-2  dalam masa tambahan. Memang sengit perlawanan ni.

~ Ini kejuaraan Piala Malaysia keempat buat Pahang selepas menang pada 1983, 1992 dan 2013. Ini juga kejuaraan ketiga Pahang musim ni setelah memenangi Piala Sumbangsih dan Piala F.A. Treble tu!

foto ihsan Bernama

~ Pahang terpaksa bermain 10 orang selama hampir sejam setelah Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah kerana menumbuk manja perut Amri Yahyah sebagai membalas perbuatan Amri  yang tak pasal-pasal menyepak kaki beliau... memang patutlah beliau naik hangin. Nasib baiklah Pahang menang, kalau kalah memang kaulah yang akan dipersalahkan Poyeng...

~ Walaupun bermain 10 orang, Pahang berjaya juga menjaringkan gol penyamaan dan mempertahankannya sehingga tamat masa tambahan 30 minit. Pahang kelihatan lebih power bila bermain 10 orang. Jadi lepas ni teruskan bermain 10 orang, biarkan pihak lawan bermain 11 orang. Oopps... kelihatan angkuh pula kenyataan itu.. hihi.

~ Walaupun JDT juga bermain baik, JDT patut menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan kelebihan hampir sejam menentang pasukan yang cuma bermain 10 orang. Sewaktu penyokong mereka mengharapkan jaringan sebaliknya pemain JDT lebih gemar main tuju tiang... hehe.

~ Tak perlu menyalahkan Matyo kerana gagal menjaringkan penalti. Sepakan penalti biasanya bergantung kepada nasib... baik kepada penendang mahupun penjaga gol. Kebetulan arah sepakan Matyo diagak dengan betul oleh Khairul Azhan... dan sepakan tu juga taklah terlalu deras maka dapatlah diselamatkan. Korang yang tak pernah ambil penalti bolehlah cakap macam-macam. Lainlah kalau sepakan penalti tu melambung ke bulan atau serong jauh ke tepi tiang gol barulah boleh dikatakan bangang.

~ Kesemua gol dalam waktu permainan sebenar dijaringkan oleh pemain import. Kedua-dua gol Pahang dijaringkan oleh Dickson Nwakaeme manakala gol-gol JDT dijaringkan oleh Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa. Penyerang tempatan seperti Fauzi Roslan (Koji) dan Matyo jadi supersub dah laa... nanti bila skuad Harimau Malaya kekurangan penyerang berbisa barulah seperti biasa FAM akan hadkan kemasukan pemain import... lol.

~ Staf kejurulatihan Pahang dibarisi 100 % anak tempatan diketuai Zainal Abidin Hassan... manakala dalam barisan kejurulatihan pasukan JDT ada 5 orang tenaga import yang diketuai oleh Bojan Hodak, termasuklah seorang (entah sapa namanya) yang dapat kad merah kerana mempertikaikan keputusan pengadil malam tu. Import sorang cukuplah supaya taklah banyak sangat wang negara mengalir keluar... kan?

~ 5 orang anak jati Pahang bermain mewakili Pahang pada malam final tu iaitu Khairul Azhan Khalid, Shahrizan Salleh, Azamuddin Akil, R.Gopinathan dan Fauzi Roslan. Manakala hanya Jasazrin Jamaluddin anak jati Johor yang bermain dalam pasukan JDT malam tu. Mungkinkah dua orang pemain kelahiran Johor yang bermain mewakili Pahang dalam final iaitu Saiful Nizam Miswan dan Faizol Hussien akan dipanggil balik ke Johor???

~ Ramai yang keliru atau mungkin ada yang tak tahu bahawa JDT FC yang bermain di final ni bukanlah pasukan negeri sebaliknya hanya pasukan berstatus kelab yang nama asalnya Johor FC kemudian dijenamakan semula (atau dalam bahasa jawanya disebut rebranding) dan bermain di liga utama iaitu Liga Super. Pasukan negeri iaitu Johor F.A pula dijenamakan semula menjadi JDT II namun kini hanya bermain di Liga Perdana. Jadi bila keluar kenyataan dalam suratkhabar yang mengatakan JDT mahu menjuarai Piala Malaysia setelah kali terakhir melakukannya 23 tahun lalu... nampak sangat kesalahan fakta di situ. Itu JDT II @ Johor F.A la... samdol punya wartawan!

~ Seperti biasa macam tahun-tahun lepas, penjualan tiket final masih jadi isu hangat. Nak beli tiket final punya pasal, para penyokong sanggup beratur sejak awal pagi,  berasak-asak sampai ada yang pengsan dan pitam, malah ada yang sanggup menyamar jadi beruk lalu memanjat pagar kaunter tiket...ish ish... Walaupun FAM telah memperkenalkan penjualan tiket secara online, jumlahnya cuma 10,000 manakala selebihnya 80,000 tiket masih diuruskan persatuan negeri dan dijual di kaunter macam biasa. Jadi masalah yang biasa kita dengar seperti ketirisan tiket angkara orang dalam, harga tiket melambung angkara ulat tiket dan orang-orang yang ada kepentingan politik yang mahukan kuota tiket untuk diagihkan kepada anak buah masing-masing (yang bukan minat bola sangat pun) akan berterusan. Akibatnya penyokong yang betul-betul fanatik tak dapat tiket. Jadi FAM... selepas ni harap dapat tingkatkan jualan tiket secara online sekurang-kurangnya kepada 50 %.

~ Kali ni tiada pula terdengar kes pergaduhan besar antara penyokong kedua-dua pasukan, kecuali sedikit kekecohan yang dicetuskan oleh segelintir penyangak bertopeng. Sebaliknya media memaparkan persahabatan antara mereka dengan bergambar bersama sebelum perlawanan. Sejuk hati menengoknya. Baguslah begitu, jangan kerana sebiji bola kita berpecah belah sesama bangsa dan seagama.

~ Budaya ultras semakin berkembang sejak 5-6 tahun kebelakangan ni. Diakui ultras Pahang iaitu Elephant Army (EA) dan ultras Johor iaitu Boys of Straits (BOS) adalah antara ultras terbaik di negara ini. Dengan 'chant' masing-masing, para penyokong tegar ni tanpa henti membangkitkan semangat pemain sejak sebelum perlawanan bermula hingga tamat. Penyokong-penyokong biasa yang selama ni tengok bola sambil makan kuaci serta memaki hamun bila pemain buat silap, pun dah terikut-ikut bersemangat menyanyi bersama ultras negeri masing-masing. Baguslah ada ultras ni... cuma harap tolong ubah lirik-lirik chant yang ada unsur mencarut dan maki hamun tu. Dosa tu dik...

~ Aku menonton final di negeri Perak... kerana menghadiri kenduri kahwin saudara sebelah isteri di Bidor, seterusnya balik rumah mertua di Ipoh. Terima kasih kepada anak kelahiran Pantai Remis, Perak... Mohd Hafiz Kamal yang menjaringkan penalti kemenangan Pahang. Khabarnya musim depan Hafiz Kamal akan berubah angin ke PDRM yang baru naik ke Liga Super. Terima kasih atas segala jasa bakti. Yang lain mungkin kekal kot.

~ Setiap kali aku tengok bola di stadium, banyak kali keputusan berakhir dengan pasukan yang aku sokong akan kalah. Lepas ni rasa  macam tak nak pergi stadium dah semata-mata untuk menyaksikan Pahang dan Malaysia kalah... entah apa badi agaknya. Mungkin lepas ni ada pulak yang nak belanja aku tengok bola di stadium kalau pasukan diorang lawan Pahang agaknya...oh tidaakkk!!!

~ Hogoh Pahang Hogoh, itulah slogan keramat skuad Tok Gajah. Ramai yang bertanya apa maksud hogoh tu? Hogoh dalam dialek Pahang bermaksud menggegar, menggoncang atau menggoyang sesuatu dengan kuat. Contoh ayat: "Ngapenye aok hogoh rumoh koi ni...runtuh rumoh koi ni karang...!!!

~ Dah panjang aku merapu ni... sebagai penutup, layan beberapa gambar yang dikirim oleh kawan-kawan melalui aplikasi Whatsapp... di mana aktiviti menganjing, membahan dan bakar-membakar begitu rancak sebelum dan selepas perlawanan. Bolasepak tanpa aktiviti menganjing antara satu sama lain umpama jeruk mangga tanpa asam boi seperti resepi Jeruk Mangga Asam Boi yang viral sekarang ni...kih3.


Akhir kata dan kesimpulannya... Johor Darul Ta'zim (JDT) bermaksud Johor Dah Tewas manakala Pahang Darul Makmur (PDM) bermaksud Pahang Dah Menang... sekian terima kasih.

2 comments :

  1. Terbaik tu tuan reviewnye..peminat fanatik ni gamaknye..yg saye tau pahang menang..tu je..lain2 kurang arif..hihi

    ReplyDelete
  2. Tq, taklah fanatik sgt...cuma teruja juga sekali-sekala negeri sndiri menang piala.. hehe

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...