02 September, 2014

Mendaki Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat (CUS) - Compress

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

INFO: Gunung Chamah terletak di Hutan Belum, Kelantan dengan ketinggian 2171m (7123 kaki) manakala Gunung Ulu Sepat  setinggi 2161 meter (7089 kaki) pula terletak di Tasek Temenggor, Perak. Gunung Chamah dan Ulu Sepat merupakan gunung ke-5 dan ke-7 tertinggi di semenanjung Malaysia dan kedua-duanya dalam kategori G7. Trek mendaki gunung-gunung tersebut adalah antara yang paling sukar, terpencil lagi mencabar di mana amat menguji ketahanan fizikal dan mental para pendaki.

Dari 29 Ogos - 1 September 2014, aku menyertai xpdc pendakian Gunung Chamah-Ulu Sepat (CUS) yang dianjurkan oleh grup Outerrange Adventure (ORA) diketuai oleh Bro. Amiruzami yang turut disertai oleh 28 orang pendaki termasuk guider... dalam misi melengkapkan G7 yang dah banyak kali tertangguh. Biasanya trip CUS ini memakan masa 6-7 hari, jadi agak susah aku nak cari kelapangan masa/cuti untuk ikut trip yang panjang. Jadi aku cuba ikut misi kali ini yang dipadatkan (compress) menjadi 4 hari...semestinya kami sudah terbayang kena overtime setiap hari.

Berikut adalah catatan ringkas perjalanan aku. Masa tidaklah 100% tepat, cuma anggaran aku je dan pastinya berbeza dengan orang lain yang berjalan lebih laju.

LINE-UP: Amir, Ajis, Anip, Emran, Huzer, Wan, Asid, Nizam, Fifi, Nina, Shahrul, Akim, Afnan, Afiq, Megat, Robert Chan, Julie Chin, Elsa Ng, Chuan Wang, Aqila, Lokman, Adi, Arif, Soleh Udin, Pijol, Fazi, Shahrul Kecik, Faliq dan aku.


28 OGOS 2014, KHAMIS
- Seramai 26 pendaki terdiri daripada 20 orang lelaki dan 6 wanita berkumpul di Hentian Bas Putra untuk menaiki bas ekspres Mutiara jam 9.30 malam menuju ke Gua Musang, Kelantan yang menjadi titik permulaan pendakian kami.

HARI PERTAMA - 29 OGOS 2014, JUMAAT
2.30 AM - Tiba di R&R Gua Musang... makan, rehat, bahagi ration dan tunggu 4WD datang ambil. Disertai oleh 3 orang lagi pendaki dari Penang.
4.00 AM - Naik 4WD melalui Kuala Betis memakan masa hampir 5 jam mengikuti jalan balak... melambung-lambung kami dikerjakan duduk belakang 4WD tu. Beberapa kali juga terpaksa turun dari 4WD kerana beban yang berat. Akhirnya berhenti berdekatan Pos Simpoh di mana di situ adalah had maksimum 4WD boleh sampai sebab jalan makin teruk.
10.45 AM - Lepas bersarapan nasi lemak, mula berjalan kaki mengikuti laluan balak dan denai hutan menuju perkampungan orang asli Kg. Rekom.
1.30 PM - sampai di Kg. Rekom, singgah di khemah tetamu dan daftar nama dalam buku pelawat. Lepas tu menuju tapak perkhemahan di tepi sungai. Lepas siap pasang khemah dan makan tengah hari, penganjur memutuskan untuk buat daypack ke puncak Gunung Chamah.
4.00 PM - memulakan perjalanan.
4.30 PM - tiba di Kem Pakma, rehat dan tunggu semua pendaki sampai.
5.15 PM - tiba di Kem Tengah, rehat dan tunggu semua pendaki sampai.
5.45 PM - teruskan perjalanan ke Kem Tongkat Ali, beberapa rakan diserang penyengat.
7.30 PM - tiba di Kem Tongkat Ali (last waterpoint). Agak lama di sini, makan malam roti pita dan solat jamak di sini.
9.00 PM - teruskan perjalanan menuju Anak Chamah. Trek mula mencanak.
11.00 PM - tiba di Anak Chamah... rehat dan tidur sekejap sebab dah mula pewai dari malam tadi tak tidur (dalam bas tak dapat tidur)
11.15 PM - teruskan perjalanan ke puncak Gunung Chamah, dijangka memakan masa 3 jam lagi. Trek turun naik sebab melalui 7 puncak tipu.




HARI KEDUA - 30 OGOS 2014, SABTU
2.50 AM - Dalam kelaparan, mengantuk dan entah berapa kali terlelap atas trek, akhirnya aku berjaya sampai di puncak Gunung Chamah. Diraikan dengan hidangan kek pisang. Tidak lama di puncak sebab suhu sejuk dan tiada pemandangan untuk dinikmati. Lepas ambil gambar lebih kurang, turun semula ke Anak Chamah seterusnya balik ke tapak perkhemahan di Kg. Rekom.
4.30 AM - belum sempat sampai Anak Chamah, terserempak beberapa pendaki bergelimpangan tidur atas trek. Join tidur sekalilah.
5.30 AM - teruskan perjalanan. Agak perlahan kerana menemankan dua rakan sepejabat yang aku racun ikut trip ni yang dah mula mental down sebab kena berjalan tanpa henti dari semalam. Silap aku juga ajak diorang yang baru join hiking ikut trip compress dan hardcore ni.
12.30 PM - akhirnya sampai di tapak perkhemahan Kg. Rekom. Yang dah sampai awal sempatlah tidur. Makan tengahari, mandi, solat jamak dan berkemas semula untuk meneruskan perjalanan. Khemah 2-man-tent yang dipasang semalam dibuka semula tanpa sempat ditiduri... huhu.
3.00 PM - Memulakan perjalanan ke Gunung Ulu Sepat.
6.00 PM - tiba di Kem Peres, rehat dan makan malam di sini.
7.30 PM - Lepas maghrib teruskan perjalanan ke Kem Sg.Retak (Kem Maggi). Perjalanan yang dijangka kira-kira 2-3 jam berlarutan kerana marking di trek yang tidak jelas dan mengelirukan. Ada satu tempat kami terpaksa berhenti kira-kira 2 jam sementara para guider mengesan laluan. Aku terlelap di situ. Menurut para guider, ada sikit 'gangguan' yang menyebabkan mereka tak jumpa jalan.




HARI KETIGA - 31 OGOS 2014, AHAD
2.30 AM - akhirnya sampai di Kem Sg.Retak (Kem Maggi). Pasang khemah dan masak maggi, kelaparan dah ni. Lepas makan nasi yang dimasak oleh penganjur, masuk khemah tidur, dapatlah tidur lama sikit hari ni.
10.00 AM - kemaskan barang dan meneruskan perjalanan ke Gunung Ulu Sepat.
12.30 PM - tiba di Kem Sempadan (sempadan Perak-Kelantan). Teruskan perjalanan dan berhenti makan tengahari di Puncak View/Orkid.
1.00 PM - Teruskan perjalanan, hujan mula turun. Laluan di sini mula becak, berselut, banyak pokok rotan dan ada kesan-kesan gajah baru lalu.
5.00 PM - tiba di Kem Sg. Lepir (tinggi 1640 meter), punca air terakhir sebelum puncak Gunung Ulu Sepat. Hujan masih turun, terpaksa pasang fly untuk berteduh, memasak dan makan malam.
7.30 PM - Lepas solat jamak, mula bergerak ke puncak G.Ulu Sepat.
11.45 PM - tiba di simpang ke puncak... tinggalkan beg di sini.
11.59 PM - tiba di puncak Gunung Ulu Sepat. Bergambar sakan sambil mengibar bendera Malaysia sempena kemerdekaan yang ke-57 dan sempena aku berjaya grad G7... alhamdulillah.




HARI KEEMPAT - 1 SEPTEMBER 2014, ISNIN
12.30 AM - turun semula ke simpang. Rehat sebentar masak maggi buat alas perut dan melelapkan mata sebentar. Hari ni kena overtime lagi.
1.45 AM - Mula turun menuju ke Kem Sungai Lenweng dalam hujan diiringi petir. Laluan menjunam turun kemudian melalui trek licin, banyak kali juga jatuh tergelincir. Perjalanan terasa amat jauh dan begitu mencabar fizikal dan mental. Beberapa kali juga berhenti take-5 untuk melelapkan mata sekejap.
6.30 AM - tiba di Kem Sg. Lenweng... mandi dan solat subuh. Masak air, kena minum air panas untuk memanaskan badan.
7.45 AM - teruskan perjalanan melalui trek landai ke Kem Sungai Y melalui kampung orang asli dan tepi sungai. Di pertengahan perjalanan terasa lapar, lepak di tebing sungai masak maggi.
9.30 AM - Selepas beberapa kali melintasi sungai, tiba di Kem Sungai Y. Pendaki yang tiba lebih awal bersarapan di sini. Sebaik sampai, kami bergerak terus ke Kg. Lerlar... dah tak sabar-sabar nak keluar dari hutan. Sempat menikmati durian hutan yang banyak tumbuh di sepanjang trek. Keluar dari trek hutan, perjalanan belum berakhir.. terpaksa pula berjalan tengah panas terik melalui kawasan yang diteroka oleh orang asli.
2.00 PM - selamat tiba di Kg. Lerlar, Grik... dijamu durian, rambutan dan langsat. Sementara menunggu 4WD sampai, sempat mandi sungai membersihkan diri.
2.30 PM - Naik 4WD menuju ke jeti untuk menaiki bot ke Pengkalan Trojan.
3.30 PM - Menaiki bot merentasi Tasik Temenggor.
4.30 PM - tiba di Pengkalan Trojan. Naik van pula menuju bandar Grik.
5.30 PM - selamat tiba di dunia yang lebih bertamadun di bandar Grik. Tiket bas ke KL dah habis sempena cuti merdeka. Terpaksa bayar lebih untuk sewa bas khas. Tak kisahlah asalkan kami dapat balik.
8.00 PM - bas sewa khas bertolak ke KL. Semuanya terlena keletihan dalam bas.
2.45 AM - tiba di Hentian Putra. Tamat xpdc.





CORETAN

~ Berdasarkan GPS, anggaran jarak perjalanan berjalan kaki selepas turun dari 4WD menuju Kg.Rekom, Gua Musang hinggalah keluar ke Kg. Lerlar, Grik = 60km... memang lunyai la kaki... lepas ni mesti ramai yang fikir 2-3 kali nak mendaki CUS... hihihi.
~ Anggaran jarak perjalanan keseluruhan dari Gua Musang menaiki 4WD, berjalan kaki mendaki Gunung Chamah dan G.Ulu Sepat, naik 4WD dari Kg Lerlar ke jeti Tasik Temenggor, menaiki bot ke jeti Pangkalan Trojan dan naik van hingga ke Bandar Gerik = 140 km.
~  Kalau naik kereta ikut jalan darat dari Gua Musang-Jeli-Gerik, jaraknya lebih kurang 230 km... bayangkan berapa jauh dapat dijimatkan dengan mengikut jalan pintas ni... kira-kira 90 km tuuu... haha.
~ Akhirnya di usia yang dah tak berapa muda, aku berjaya juga grad G7... alhamdulillah. Kejayaan ini bukanlah untuk dibanggakan-banggakan... sekadar untuk kepuasan peribadi.
~ Disebabkan trip ni compress, memang tak dapatlah nak layan view di kedua-dua puncak gunung ni, apa taknya sampai puncak gunung pun dah tengah malam buta. Aku pun tak feel sangat ikut trip compress macam ni. Kena join trip santai barulah dapat nikmati pemandangan/bau/bunyi hutan di sepanjang trek.
~ Untuk mendaki kedua-dua gunung ni, perlulah siapkan diri dengan latihan secukupnya. Pendakian gunung ni benar-benar mencabar mental dan fizikal. Alhamdulillah, kami semua selamat dan berjaya menamatkan xpdc. Tahniah buat semua.
~ Terima kasih dan tahniah kepada semua kru team Outerrange Adventure kerana berjaya mengendalikan trip ini dengan baik. Jumpa lagi.
                       


14 comments :

  1. Tahniah Tuan. Penuh cabaran. Aku baca pun dah rasa lenguh kaki ni. Teruskan hobi tuan ni untuk dikongsi pengalamannya bersama pembaca lain.

    ReplyDelete
  2. t.kasih tuan ali... haha baru baca pun dah lenguh... jom le panjat gunung... ringan2 dulu naik bukit broga pun ok bawa anak2..

    ReplyDelete
  3. assalammualaikum.. hehehe.. seksa kan layan trek CUS ni... ni catatan izan psl CUS ni... http://adidas-izan.blogspot.com/2011/01/g7-chamah-ulu-sepat.html

    nanti kita kampoi G11 erk...

    ReplyDelete
  4. w'salam... memang sgt menyeksakan.. tak sanggup dah nk repeat mcm izan... kira otai tu smpai 2x grad g7 hihi

    ReplyDelete
  5. Replies
    1. trbaik juga bro arip... aku ingat lagi ko pun mental masa sweep kami dari chamah ke rekom kan...haha

      Delete
  6. 60 km.perhhh,hmm mungkin jugak sy pun grad G7 dengan CUS,dgr cerita CUS ni lagi mencabar dari Tahan.huwaa, btw nice info. ada catatan untuk trip KorGa tak tuan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. x kira CUS atau Tahan, masing2 ada cabaran tersendiri utk dinikmati... selamat grad dik... korga shj x pernah try... semua tapau sekali masa buat V2 je dulu.. :)

      Delete
  7. Seronok baca post you :) saja baca sebab my group Insyaallah nak pegi bulan 3 nanti. :)

    Nenny

    ReplyDelete
  8. rindu geng2 ni...Musafir Dari Ufuk Timur..

    ReplyDelete
  9. haha.... baca ni dah mula ragu2 keupayaan diri nak mendaki ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. jgn ikut trip compress... join trip santai inshaAllah boleh MomTom...

      Delete

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...