28 September, 2014

Mendaki Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

INFO: Bukit Kutu terletak di Kuala Kubu Bharu (KKB), Hulu Selangor. Timbul kekeliruan tentang ketinggian sebenar bukit ini dari paras laut sebab melalui carian google malah pada papan tanda di puncak bukit juga ketinggiannya berbeza-beza. Ada yang kata ketinggiannya 1053 meter (3455 kaki), ada yang kata 1090 meter (3576 kaki) dan ada yang kata 1100 meter (3609 kaki). Tapi aku anggap ketinggiannya adalah 1053 meter berdasarkan papan tanda terbesar yang ada di puncak Bukit Kutu ni... haha. Disebabkan ketinggiannya yang melebihi 1000 meter, ramai pendaki menganggap bukit ni dah boleh dianggap gunung.

~ Pendakian bukit ni bermula dari Kg. Orang Asli Pertak, mengambil masa lebih kurang 4 jam, manakala perjalanan turun kira-kira 2 jam. Info selanjutnya di SINI.

~ Pada 27-28 September 2014, aku menyertai trip mendaki Bukit Kutu yang dianjurkan oleh Putrajaya Adventure Team (PAT) yang diketuai oleh Cif Pendaki Putrajaya. Biasanya orang pergi balik hari (dayhike) je tapi kali ni kami merancang untuk berkhemah di puncak... nak layan pemandangan sunset dan sunrise. Ini catatan ringkas perjalanan kami.

PESERTA: Hanya 10 orang pendaki... Cif, Abs Leo, Pak Atan dan anaknya Alang (peserta termuda berumur 12 tahun), Uncle Danny (peserta tertua berumur 63 tahun), Opie, Fakha, Fuad, Shahrul dan aku. Kesemuanya jantan-jantan perkasa. Bagi sesetengah orang mungkin rasa tak meriah tanpa kehadiran gadis-gadis, tapi bagi aku ok jer.. hehe.

27 September (Sabtu) 
8.00 AM ~ berkumpul sambil bersarapan di Restoran Fazlina Maju, KKB. Tapau barang keperluan apa yang patut di sini.

10.00 AM ~ bergerak ke tempat permulaan di Kg Orang Asli Pertak. Sempat singgah bergambar di Empangan Sungai Selangor yang semakin kering airnya. Sampai di tempat permulaan, agihkan ration dan barang keperluan serta mendengar taklimat ringkas dari Cif.

11.30 AM - memulakan pendakian. Trek permulaan melalui jalan landai sahaja dan perlu melintasi sungai 3 kali. Lintasan pertama dan kedua melalui dua jambatan besi (jambatan kedua telah roboh tapi masih boleh dilintasi dengan berhati-hati). Lintasan ketiga perlu meredah sungai. Lepas tu barulah jumpa trek hutan dan mula mendaki. Treknya taklah terlalu sukar kecuali di beberapa tempat agak licin kalau hujan, terpaksa merangkak di bawah rimbunan buluh tumbang dan banyak lebah di beberapa tempat rehat. Dalam perjalanan ke puncak terdapat dua buah gua iaitu Gua Air (terdapat sumber air mengalir dalam gua, boleh top up air di sini) dan Gua Kambing atau disebut juga sebagai Batu Tedung (kawasan berbongkah batu besar yang cantik).

6.50 PM ~ Selamat sampai di tapak perkhemahan, sebuah kawasan lapang berdekatan puncak. Khabarnya kawasan lapang ni adalah bekas runtuhan rumah rehat pegawai-pegawai British semasa zaman penjajahan dulu. Akibat dibom tentera Jepun, yang tinggal cuma dua buah perigi (salah satunya masih boleh digunakan), tangga batu dan menara cerobong asap... sejarahnya boleh rujuk di SINI. Perjalanan yang biasanya cuma 4 jam dah jadi 7 jam disebabkan kami banyak kali berhenti rehat dan mendaki dengan langkah yang sangat santai... hehe. Sempat memasang khemah (ground n fly sheet) sebelum hari gelap. Cuaca berkabus maka tak dapatlah nak tengok pemandangan matahari terbenam di puncak.

8.00 PM ~ Makan malam dengan roti tortilla yang disediakan oleh Cif.  Lepas makan sempat buat sesi ice-breaking memandangkan kami cuma 10 orang jadi taklah makan masa lama sangat. Suhu malam yang sejuk dan nyaman membuatkan mata cepat layu....zzzzzz


di Empangan Sungai Selangor

pemandangan sepanjang perjalanan

gambar paling rare... akupun tensen kalau jadi ular kapak ni...
nak rilek2 pun tak senang...hihi

di Gua Kambing... khabarnya orang asli pernah nampak kambing di sini


28 September (Ahad)
~ Lepas subuh, naik ke puncak Bukit Kutu yang taklah berapa jauh dari campsite... lebih kurang 5 minit mendaki. Perlu mendaki set tangga yang agak tinggi dan menegak. Puncaknya terdiri dari bongkah batu yang sempit, cuma boleh memuatkan 4-5 orang. Kalau ramai kena bergilir-gilir la nampaknya. Sangat perlu berhati-hati di puncak ni kerana di sekelilingnya gaung yang sangat dalam... kalau terjatuh insya Allah meninggal. Kalau gayat sebaiknya duduk je jangan berdiri.

campsite kami dari pertengahan trek ke puncak

hati-hati di puncak ni... utamakan keselamatan

dah macam tugu negara pun ada

mohon terus diberikan kekuatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya

~ Pagi ni cuaca baik cuma sedikit berjerebu, jadi dapatlah menikmati pemandangan matahari terbit yang cukup indah. Dari puncak boleh nampak pemandangan 360 darjah, boleh nampak empangan, bandar KKB serta banjaran gunung-ganang seperti Gunung Rajah dan Gunung Ulu Semangkuk.

indahnya sunrise di puncak Bukit Kutu


~ Dah puas menikmati keindahan alam ciptaan-Nya, turun semula dan trekking kira-kira 5 minit menuju satu lagi kawasan tinggalan banglo lama. Banglo yang kedua ni masih nampak bentuknya, ada tangga, pintu dan bilik-bilik. Ada versi cerita yang mengatakan ini runtuhan sebuah klinik/hospital untuk pesakit kusta... entahlah. Lepas bergambar balik semula ke campsite untuk bersarapan seterusnya berkemas untuk balik.


bergambar di chimney sebelum balik...

~ Perjalanan turun cuma memakan masa lebih kurang 2 jam lebih. Tengah hari sampai di tempat permulaan, jumpa sungai berendam dulu la untuk menyegarkan badan. Lebih kurang jam 3.00 pm kami bergerak ke parking kereta dan balik ke bandar KKB. Lepak makan nasi di Restoran Fazlina Maju lagi seterusnya pulang ke destinasi masing-masing.

~ Terima kasih kepada semua peserta yang bekerjasama menjayakan trip ni dan ribuan terima kasih kepada penganjur team P.A.T khususnya Cif Pendaki Putrajaya yang banyak berkongsi ilmu.

Kredit kepada tuan punya gambar:
~ Cif Pendaki Putrajaya dengan kamera GoPro-nya
~ Opie (Fazrils Zulkarnain) dengan DSLR-nya


17 comments :

  1. Waaa... kacak-kacak belaka ahli komplot! Aku suka gambar yang ada ular tu... rare sangat bro! Tahniah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kacak lagi ular tu... tapi kesian pulak sbb trganggu hidup dia hari tu hehe

      Delete
  2. assalam saya rozi, nak tanya kalau tanpa service guide kebarangkalian sesat tinggi ke? this is our 1st time nak hiking ke bkt kutu, perlukan permit ke?

    tq! :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. wslm rozi... seeloknya ada guide atau kwn yg pernah pergi sbb awal2 pndakian ada simpang ke lata medang... tapi klu xde guide, biasanya weekend ramai hikers...follow je diorang..

      sebenarnya klu ikutkn peraturan.. nk masuk hutan simpan/tmn negara memang perlu mohon permit kecuali hutan lipur tak perlu permit... kalau Bukit Kutu kena ambik permit kat Pejabat Hutan di Rawang

      Delete
    2. alhamdulillah sbb kami mmg nak g weekend, hopefully takde pape... lagi satu saya nak tanya kalau urusan permit n laporan polis tu wakil je boleh ke? almaklumlah kami ini dri kl

      sori yer kalau banyak tanya, biasa hiking tempat yang redah je

      Delete
    3. rasanya boleh wakil... tp x pasti sbb saya pun ikut2 org gak hihi...
      report polis boleh buat pd hari kejadian kat balai polis KKB sblum mndaki..

      *kebetulan hari ni 2 geng outdoor tersesat dlm hutan simpan air hitam... mungkin bakal didakwa sbb masuk hutan tanpa permit...

      Delete
    4. thnks bro for ur info! nak kena mark blog anda :)

      Delete
  3. Salam bro nk tanye mcm ne nk elakkan sakit lutut mase turun mdaki ek....setakat ni sy gune knee guard je..tu pon masih sakit lg..

    Tq bro..

    ReplyDelete
    Replies
    1. wslm... masalah kita sama bro... sy pun guna knee guard juga... antara yg sy amal masa turun:

      ~ sblum turun sapu minyak/krim panas... jgn lupa stretching/warm up
      ~ cuba turun secara mengereng sbb dpt mngurangkan beban (berat badan & beg) pada lutut...
      ~ gunakn secara maksimum pokok/dahan utk berpaut... pun dpt kurangkn tekanan pd lutut (awas pokok brduri)
      ~ kalau prjalanan turun makan masa 4-5 jam++.... nak tak nak kena telan painkiller gak hehe
      ~ dah sampai masa kita kena beli/pakai tongkat hehe


      Delete
  4. TEBING TINGGI BACKPACKER(fb)
    Mount guide service
    Will arrange:
    -forestry permit
    -police report
    -nature guide
    -1st aid kit

    ANDY
    017-9997790

    terima kasih tuan punya blog, hamba beriklan diruang tuan

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama2 tuan hamba... xde hal asalkan relevan

      Delete
  5. Assalamualaikum..
    Admin..sya teringin dn brmint sgt nak masuk hutan ni..cumanya sya sorang..dn sya nak cari guide utk bwk sya ke tmpat2 y mcm ni..admin kalau ada xtvt lg boleh tak sya join.☺

    ReplyDelete
    Replies
    1. wsalam zumi, join je aktiviti grup2 outdoor seperti Nature Explorer, Outerrange Adventure, National Outdoor Adventure, Silver Outdoor Sports, dll. Grup2 tu antara yang aktif menganjurkan aktiviti2 outdoor, taip je nama2 grup tu kat FB

      Delete
  6. salam..nak tnya kalau nk berkhemah dkat puncak gunung tu ad bayaran yang dikenakan x..? lepas tu agak2 brape khemah yg boleh muat dekat tapak perkhemahan tu..?

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum.
    Hi. Sy Azura n insyaallah dlm msa terdekat sy akan hiking dekat Bukit Kutu ni. Tp sy nk tanya, kat sini banyak ke binatang/serangga yang besar2? contoh mcm ular? Sje nk tambah information sbb dlm group nnt semuanya perempuan. Tq.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam azura, sy cuma jumpa ular je bertenggek atas pokok, lepas tu kat batu tedung banyak lebah...jangan ditepis nanti menyengat.. tapi dalam hutan memanglah tempat dia. Banyak haiwan dan serangga berbisa seperti ular, lipan, kala jengking, lebah, tebuan, penyengat ,agas dan semut yang boleh memudaratkan kita dalam hutan... yang penting waktu trekking ikut laluan yg sedia ada dan hati2 tempat yg kita pijak/pegang...

      haiwan buas seperti harimau, beruang atau gajah xde pulak nampak... lagipun orang kata haiwan-haiwan ni seboleh-bolehnya cuba mengelak dari terserempak dengan manusia, tapi kalau dah terserempak mungkin buruk padahnya. Jika terserempak dengan hidupan liar, elakkan pertembungan secara berhadapan. Sebaik-baiknya berundur perlahan-lahan dan jangan sesekali membuat pergerakan yang boleh membuatkan hidupan liar terkejut dan rasa tercabar.

      Delete

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...