02 March, 2014

Trekking ke Air Terjun Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu

Pada 2 Mac 2014 (Ahad),  aku dan Angah bersama beberapa rakan sepejabat iaitu Bazri, Rohaizad, Faizal & isteri, Shahrul serta Rozan & sepupunya berkesempatan menyertai aktiviti trekking di Air Terjun Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu. Sempena musim kemarau dan mungkin rumah masing-masing sedang mengalami catuan air, kelihatan mereka begitu bersemangat untuk mencari ketenangan (atau mencari air) di air terjun ini.

Setelah membeli sedikit bekalan makanan di Pasar Peladang Kuala Kubu Baru, perjalanan diteruskan. Air Terjun Sungai Chilling ini terletak kira-kira 14 km dari pekan Kuala Kubu Bharu, mengikuti jalan menuju ke Bukit Fraser. Selepas Empangan Sungai Selangor dan selepas melalui satu jambatan sempit,  akan jumpalah jalan masuknya di sebelah kanan jalan melalui pintu gerbang tertulis Santuari Ikan Sungai Chiling. Tempat ini dibuka untuk pelawat hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Hari-hari lain ditutup untuk kerja-kerja pemuliharaan.


Faizal dan isterinya telah menunggu kami di pintu gerbang tersebut. Dari pintu masuk tersebut kena trekking pula lebih kurang 500 meter sampailah jumpa tapak perkhemahan yang cukup luas dan lengkap dengan kemudahan tandas, surau, wakaf dan kaunter pendaftaran. Santuari ini dijaga dan diuruskan oleh Jabatan Perikanan. Bayaran masuk cuma RM 1 seorang.

Aku pernah berkhemah sekeluarga di sini tahun lepas, ceritanya di SINI

9.00 pagi, kami memulakan trekking ke air terjun menyusuri laluan yang agak landai, memakan masa kira-kira 45 minit dan perlu melintasi anak sungai 6 kali termasuk 1 jambatan gantung (sungai yang sama sebenarnya, cuma kena lintas banyak kali sebagai jalan pintas ke air terjun). Selepas 3.00 petang tak dibenarkan mendaki ke air terjun atas sebab-sebab keselamatan. Petang-petang selalu hujan, khabarnya di sini bila hujan sering berlaku kejadian kepala air, kalau terkandas atau dilanda kepala air buruk padahnya.



seronok betul angah mandi air terjun & main dengan ikan kelah

Di sepanjang sungai banyak ikan kelah dan tengas berkejar-kejaran dan akan mengerumuni kita kalau ditabur makanan. Makanan ikan boleh dibeli di kaunter pendaftaran tadi pada harga RM 2 sebungkus. Dilarang sama sekali menangkap ikan di sini dengan apa cara sekalipun, sama ada memancing, menjala, menyauk, menuba mahupun jika ilmu anda hebat dan mampu menangkap ikan menggunakan tangan kosong. Hukumannya agak berat iaitu boleh didenda sehingga RM 10,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Terdapat tiga tingkat air terjun di sini. Tingkat paling bawah paling ramai pengunjung, tingkat kedua sangat curam dan tiada laluan, manakala untuk ke air terjun tingkat ketiga perlu mendaki melalui laluan yang agak curam di tepi air terjun serta tidak begitu sesuai untuk kanak-kanak.

 Tapi alang-alang dah sampai, kami terus menuju air terjun tingkat ketiga di mana terdapat kolam yang besar untuk berenang dan berendam. Selepas itu kami turun semula dan singgah sebentar di air terjun pertama yang dipenuhi pengunjung.  Memikirkan tidak selesa untuk mandi di situ, kami mencari lokasi lain yang lebih baik untuk berenang dan berendam sepuas-puasnya sebelum meneruskan perjalanan balik menjelang tengah hari. 


No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...