21 December, 2014

The Hobbit - The Battle of the Five Armies.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Sempena harijadi Angah, kami sekeluarga menonton filem The Hobbit: The Battle of Five Armies. Disebabkan dah menonton kedua-dua filem terdahulu, tak lengkap rasanya kalau tak menonton sekuel terakhir trilogi pengembaraan Bilbo dan rakan-rakannya. Malas aku nak mengulas, jadi lebih baik kopipes ulasan orang yang lebih rajin...hehe.


Ulasan oleh : IZZAT MOHD ANUAR (MYNEWSHUB.CC) 
Siri adaptasi daripada karya agung J.R.R Tolkien itu bermula dengan filem pertama, The Hobbit – An Unexpected Journey (2012) diikuti sekuel The Hobbit – The Desolation of Smaug (2013).
Plot yang ditampilkan dalam sekuel terbaharu, akan merungkai nasib yang menimpa penduduk Laketown apabila Smaug, naga gergasi yang penuh amarah menyerang perkampungan tersebut. Smaug bertindak demikian setelah Bilbo Baggins, Thorin Oakenshield dan rakan-rakan menceroboh ke ‘Lonely Mountain’ dan cuba untuk membunuhnya bagi merampas kembali tempat tinggal dan emas yang diambil Smaug.  
Bukan itu sahaja, pertarungan hebat bakal ditampilkan melalui babak peperangan beberapa puak, antaranya Orc, Elf, manusia dan orang kerdil (dwarves).

Untuk informasi, The Hobbit merupakan prekuel kepada trilogi popular, The Lord of The Rings yang ditayangkan pada 2001 – 2003. Sutradara hebat Peter Jackson yang menangani kedua-dua trilogi ini, secara purata berjaya memungut hampir US$3 bilion bagi kutipan trilogi The Lord of The Rings dan bagi trilogi The Hobbit, US$2 bilion sudah pun berhasil dikutip menerusi dua siri terdahulu. 
Setelah memakan masa lebih 10 tahun untuk tampil dengan keenam-enam siri, nampaknya filem terbaharu kali ini bakal jadi yang terakhir. Ia berikutan perselisihan faham antara syarikat penerbitan Warner Bros dan waris Tolkien dalam isu pemilikan karya-karya terdahulu, lantas, buku terakhir yang masih berkisar tentang fantasi itu, The Silmarillion, tak dapat diadaptasi ke layar perak. 
Maka, ini satu lagi alasan kukuh mengapa para peminat trilogi epik The Hobbit perlu ke panggung untuk menyaksikan kesudahannya! - MYNEWSHUB.CC

Selamat Hari Lahir ke-8, Angah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Selamat hari lahir yang ke-8 buat anakku Angah.

Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Semoga dikurniakan kesihatan yang baik.

Semoga menjadi anak yang soleh.

Semoga beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.
Aamiin.


19 December, 2014

Gebu makin gebu... datang pulak si Kontot

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 Julai lepas, bini aku mengutip seekor anak yatim yang dinamakan Gebu... sebab bulunya warna putih gebu. Masa kecik teruk juga Gebu dibuli oleh si Memey.



Sekarang Memey dah hilang entah ke mana, sejak musim mengawan yang lepas... entah ikut jantan mana agaknya. Gebu pulak umurnya dah lebih kurang enam bulan... makin gebu, makin nakal dan makin kuat makan. Tiba-tiba hari ni Angah kutip pulak seekor lagi anak yatim terbuang... bersungguh-sungguh nak bela katanya. Kucing warna putih hitam tu dinamakan si Kontot sebab ekornya kontot. Kali ni giliran Gebu pulak membuli Kontot.

25 November, 2014

Sungkai - Putrajaya - Seoul

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Situasi:
Si ibu nak pergi jalan-jalan ke negara asal k-pop bersama kawan-kawan sepejabatnya, memang dah dirancang lama dan menabung ala kutu setahun sebelumnya. Nak pergi sekeluarga belum mampu sebab kos tinggi. Si ayah pulak tiada masalah nak jaga anak-anak sepanjang ketiadaan si ibu, give & take la sebab kalau si ayah pergi hiking, seminggu juga si ibu ditinggalkan bersama anak-anak. Tapi malangnya sampai masa si ibu nak'terbang'... si ayah terpaksa menghadiri kursus berkaitan kerja selama seminggu lamanya. Pening juga memikirkan siapa nak jaga bebudak tu. Mujurlah kakak ipar yang tinggal di Bangi sudi menawarkan diri untuk menjaga mereka.

Sungkai:
Dari 18-21 November (Selasa-Jumaat) menghadiri kursus pertama dan bersambung pula kursus kedua dari 23-25 November (Ahad - Selasa)... Bosan sungguh rasanya terpaksa berkursus selama seminggu... dari pagi membawa ke malam pulak tu. Tapi bila difikir secara positifnya, dapat juga menambah ilmu.
ada sesi motivasi dan aktiviti riadah

Putrajaya:
22 November (Sabtu) - Sempat balik rumah menjenguk kucing kami si Gebu, menguruskan makan minum dan membersihkan sisa buangannya. Kemudian ke Bangi menjenguk anak-anak. Kesian pulak terperap je kat rumah kakak ipar cuma bermain dengan sepupu-sepupu mereka, bawa diorang dan kakak ipar sekali jalan-jalan ke Karnival Upin Ipin di PICC Putrajaya. Sesak dan padat sebab ada 3 acara besar dijalankan serentak iaitu Karnival Upin Ipin, konvokesyen kolej MAHSA dan perhimpunan persatuan cina apa entah. Jalan nak ke PICC sesak teruk, parking pun jauh, dalam dewan tempat berlangsungnya karnival pun padat dengan mak bapak dan anak-anak... dewan tu pulak tak berapa luas. Menyesal pulak pergi, tapi demi anak-anak diredah jugalah. Dapatlah tengok persembahan Ultraman spesis baru, itupun terpaksa bergilir-gilir memikul si Angah dan Aina. Si Along pulak berjaya menyusup masuk sampai depan pentas. Habis show, pergi 2-3 gerai pameran... terus balik hantar anak-anak. Malamnya balik ke rumah sebab esok nak balik semula ke Sungkai sambung berkursus.
banyak gambar kat luar je... kat dalam padat sangat


Seoul:
Sementara itu di Seoul, Korea Selatan, si ibu seronok berjalan sakan. Nak cerita banyak pun tak reti sebab bukan aku yang pergi. Kalau tengok pada gambar... antara tempat yang dilawati seperti Nami Island, War Memorial, Gangnam, Seoul Tower, Ice Museum, Trickeye Museum, Aiins World... dan tempat-tempat shopping. Apa yang menariknya tempat-tempat tu... sila google sendiri. Bila jalan-jalan sampai ke luar negara ni mesti orang nampak macam orang berada je... tapi yang sebenarnya melancong ala-bajet je tu. Beli tiket murah masa tengah promosi, menginap dekat hostel, makan pun ala kadar je, duit belanja pun kena menabung dulu beransur-ansur, jadi tak kaya mana pun boleh je makan angin jauh sikit.



Terima kasih sangat kepada kakak ipar yang sudi menjaga anak-anak kami!

19 November, 2014

Selamat Hari Jadi Ke-5, Aina

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Selamat hari lahir yang ke-5, Aina. Tapi sayangnya ayah dan ibu tak dapat bersama-sama pada hari kejadian. Ayah terpaksa menghadiri kursus selama seminggu, manakala si ibu kebetulan walk-walk eat wind ke negara k-pop bersama rakan-rakannya yang telah dirancang setahun sebelumnya. Apapun, dua hari sebelum kejadian kami dah buat sambutan kecil-kecilan in advance di rumah...

Sepanjang ketiadaan kami, budak 3 beradik tu terpaksa ditinggalkan di rumah mak sedara mereka di Bangi. Sempat juga mereka mengadakan sambutan harijadi Aina bersama maktam dan anaknya  Mira yang kebetulan jatuh pada tarikh yang sama... meriahlah sikit.


Begitu pantas masa berlalu, tahun depan Aina dah nak masuk tadika. Sudahpun didaftarkan di tadika yang sama dengan abang-abangnya dulu. Semoga anak dara ayah ni diberkati dan dirahmati Allah dunia akhirat.

16 November, 2014

Ulasan Filem Big Hero 6

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terpengaruh dengan promo di tv sejak beberapa minggu lepas, si Along dan adik-adiknya beria-ia mengajak aku menonton wayang cerita ni. Oklah, sebab dah habis peperiksaan akhir tahun... mari kita tenangkan fikiran dengan menonton filem animasi ni.

Filem Big Hero 6 ini diadaptasi dari komik adiwira Marvel dengan tajuk yang sama, mengisahkan tentang persaudaraan, persahabatan dan dunia robotik... ada babak komedi, aksi yang tidak melampau dan ada juga babak sedih hinggakan si Along hampir menitiskan air mata...hehe. Pendek kata, memang seronok ditonton oleh bukan saja kanak-kanak...malah juga bapak kanak-kanak yang dah hampir nak masuk umur 4 siri ni...hihi.


Sekian...itu sajalah ulasan filem yang mampu dibuat oleh seorang bapak budak... kah3. Saya bagi 4 bintang!

15 November, 2014

Tahniah Angah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Tahniah buat Angah kerana berjaya mendapat kedudukan yang baik dalam kelas pada peperiksaan akhir tahun sekolah agama... Kalau tahun lepas si Along yang naik pentas, tahun ni prestasinya agak merosot jadi dia 'pass'kan pada adiknya pulak naik pentas terima anugerah.


Semoga anak-anak ayah dan ibu beroleh ilmu yang bermanfaat lagi berkat... supaya dapat diamalkan dan menjadi bekalan untuk berjaya di dunia dan akhirat. Aamiin.


08 November, 2014

Melawat Muzium Sultan Alam Shah dan Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Walaupun dah bertahun bertugas dan menetap berdekatan Shah Alam, baru hari ni tergerak nak singgah di kedua-dua tempat ni... Seharian kami meluangkan masa di sini.

Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam
Biar anak-anak lebih mengenali khazanah warisan sejarah bangsa dan negaranya



Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam
Untuk memupuk minat membaca dan cintakan ilmu,
sebab diorang ni memang agak liat bila disuruh membaca...

Maklumat lanjut sila klik link di atas, semua maklumat lengkap ada di situ... malas nak tulis sebenarnya hehe.

02 November, 2014

Corat-Coret Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Tahniah kepada pasukan bolasepak Pahang kerana berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut dengan menewaskan pasukan Johor Darul Ta'zim FC (JDT F.C) 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti, setelah kedudukan terikat 2-2  dalam masa tambahan. Memang sengit perlawanan ni.

~ Ini kejuaraan Piala Malaysia keempat buat Pahang selepas menang pada 1983, 1992 dan 2013. Ini juga kejuaraan ketiga Pahang musim ni setelah memenangi Piala Sumbangsih dan Piala F.A. Treble tu!

foto ihsan Bernama

~ Pahang terpaksa bermain 10 orang selama hampir sejam setelah Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah kerana menumbuk manja perut Amri Yahyah sebagai membalas perbuatan Amri  yang tak pasal-pasal menyepak kaki beliau... memang patutlah beliau naik hangin. Nasib baiklah Pahang menang, kalau kalah memang kaulah yang akan dipersalahkan Poyeng...

~ Walaupun bermain 10 orang, Pahang berjaya juga menjaringkan gol penyamaan dan mempertahankannya sehingga tamat masa tambahan 30 minit. Pahang kelihatan lebih power bila bermain 10 orang. Jadi lepas ni teruskan bermain 10 orang, biarkan pihak lawan bermain 11 orang. Oopps... kelihatan angkuh pula kenyataan itu.. hihi.

~ Walaupun JDT juga bermain baik, JDT patut menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan kelebihan hampir sejam menentang pasukan yang cuma bermain 10 orang. Sewaktu penyokong mereka mengharapkan jaringan sebaliknya pemain JDT lebih gemar main tuju tiang... hehe.

~ Tak perlu menyalahkan Matyo kerana gagal menjaringkan penalti. Sepakan penalti biasanya bergantung kepada nasib... baik kepada penendang mahupun penjaga gol. Kebetulan arah sepakan Matyo diagak dengan betul oleh Khairul Azhan... dan sepakan tu juga taklah terlalu deras maka dapatlah diselamatkan. Korang yang tak pernah ambil penalti bolehlah cakap macam-macam. Lainlah kalau sepakan penalti tu melambung ke bulan atau serong jauh ke tepi tiang gol barulah boleh dikatakan bangang.

~ Kesemua gol dalam waktu permainan sebenar dijaringkan oleh pemain import. Kedua-dua gol Pahang dijaringkan oleh Dickson Nwakaeme manakala gol-gol JDT dijaringkan oleh Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa. Penyerang tempatan seperti Fauzi Roslan (Koji) dan Matyo jadi supersub dah laa... nanti bila skuad Harimau Malaya kekurangan penyerang berbisa barulah seperti biasa FAM akan hadkan kemasukan pemain import... lol.

~ Staf kejurulatihan Pahang dibarisi 100 % anak tempatan diketuai Zainal Abidin Hassan... manakala dalam barisan kejurulatihan pasukan JDT ada 5 orang tenaga import yang diketuai oleh Bojan Hodak, termasuklah seorang (entah sapa namanya) yang dapat kad merah kerana mempertikaikan keputusan pengadil malam tu. Import sorang cukuplah supaya taklah banyak sangat wang negara mengalir keluar... kan?

~ 5 orang anak jati Pahang bermain mewakili Pahang pada malam final tu iaitu Khairul Azhan Khalid, Shahrizan Salleh, Azamuddin Akil, R.Gopinathan dan Fauzi Roslan. Manakala hanya Jasazrin Jamaluddin anak jati Johor yang bermain dalam pasukan JDT malam tu. Mungkinkah dua orang pemain kelahiran Johor yang bermain mewakili Pahang dalam final iaitu Saiful Nizam Miswan dan Faizol Hussien akan dipanggil balik ke Johor???

~ Ramai yang keliru atau mungkin ada yang tak tahu bahawa JDT FC yang bermain di final ni bukanlah pasukan negeri sebaliknya hanya pasukan berstatus kelab yang nama asalnya Johor FC kemudian dijenamakan semula (atau dalam bahasa jawanya disebut rebranding) dan bermain di liga utama iaitu Liga Super. Pasukan negeri iaitu Johor F.A pula dijenamakan semula menjadi JDT II namun kini hanya bermain di Liga Perdana. Jadi bila keluar kenyataan dalam suratkhabar yang mengatakan JDT mahu menjuarai Piala Malaysia setelah kali terakhir melakukannya 23 tahun lalu... nampak sangat kesalahan fakta di situ. Itu JDT II @ Johor F.A la... samdol punya wartawan!

~ Seperti biasa macam tahun-tahun lepas, penjualan tiket final masih jadi isu hangat. Nak beli tiket final punya pasal, para penyokong sanggup beratur sejak awal pagi,  berasak-asak sampai ada yang pengsan dan pitam, malah ada yang sanggup menyamar jadi beruk lalu memanjat pagar kaunter tiket...ish ish... Walaupun FAM telah memperkenalkan penjualan tiket secara online, jumlahnya cuma 10,000 manakala selebihnya 80,000 tiket masih diuruskan persatuan negeri dan dijual di kaunter macam biasa. Jadi masalah yang biasa kita dengar seperti ketirisan tiket angkara orang dalam, harga tiket melambung angkara ulat tiket dan orang-orang yang ada kepentingan politik yang mahukan kuota tiket untuk diagihkan kepada anak buah masing-masing (yang bukan minat bola sangat pun) akan berterusan. Akibatnya penyokong yang betul-betul fanatik tak dapat tiket. Jadi FAM... selepas ni harap dapat tingkatkan jualan tiket secara online sekurang-kurangnya kepada 50 %.

~ Kali ni tiada pula terdengar kes pergaduhan besar antara penyokong kedua-dua pasukan, kecuali sedikit kekecohan yang dicetuskan oleh segelintir penyangak bertopeng. Sebaliknya media memaparkan persahabatan antara mereka dengan bergambar bersama sebelum perlawanan. Sejuk hati menengoknya. Baguslah begitu, jangan kerana sebiji bola kita berpecah belah sesama bangsa dan seagama.

~ Budaya ultras semakin berkembang sejak 5-6 tahun kebelakangan ni. Diakui ultras Pahang iaitu Elephant Army (EA) dan ultras Johor iaitu Boys of Straits (BOS) adalah antara ultras terbaik di negara ini. Dengan 'chant' masing-masing, para penyokong tegar ni tanpa henti membangkitkan semangat pemain sejak sebelum perlawanan bermula hingga tamat. Penyokong-penyokong biasa yang selama ni tengok bola sambil makan kuaci serta memaki hamun bila pemain buat silap, pun dah terikut-ikut bersemangat menyanyi bersama ultras negeri masing-masing. Baguslah ada ultras ni... cuma harap tolong ubah lirik-lirik chant yang ada unsur mencarut dan maki hamun tu. Dosa tu dik...

~ Aku menonton final di negeri Perak... kerana menghadiri kenduri kahwin saudara sebelah isteri di Bidor, seterusnya balik rumah mertua di Ipoh. Terima kasih kepada anak kelahiran Pantai Remis, Perak... Mohd Hafiz Kamal yang menjaringkan penalti kemenangan Pahang. Khabarnya musim depan Hafiz Kamal akan berubah angin ke PDRM yang baru naik ke Liga Super. Terima kasih atas segala jasa bakti. Yang lain mungkin kekal kot.

~ Setiap kali aku tengok bola di stadium, banyak kali keputusan berakhir dengan pasukan yang aku sokong akan kalah. Lepas ni rasa  macam tak nak pergi stadium dah semata-mata untuk menyaksikan Pahang dan Malaysia kalah... entah apa badi agaknya. Mungkin lepas ni ada pulak yang nak belanja aku tengok bola di stadium kalau pasukan diorang lawan Pahang agaknya...oh tidaakkk!!!

~ Hogoh Pahang Hogoh, itulah slogan keramat skuad Tok Gajah. Ramai yang bertanya apa maksud hogoh tu? Hogoh dalam dialek Pahang bermaksud menggegar, menggoncang atau menggoyang sesuatu dengan kuat. Contoh ayat: "Ngapenye aok hogoh rumoh koi ni...runtuh rumoh koi ni karang...!!!

~ Dah panjang aku merapu ni... sebagai penutup, layan beberapa gambar yang dikirim oleh kawan-kawan melalui aplikasi Whatsapp... di mana aktiviti menganjing, membahan dan bakar-membakar begitu rancak sebelum dan selepas perlawanan. Bolasepak tanpa aktiviti menganjing antara satu sama lain umpama jeruk mangga tanpa asam boi seperti resepi Jeruk Mangga Asam Boi yang viral sekarang ni...kih3.


Akhir kata dan kesimpulannya... Johor Darul Ta'zim (JDT) bermaksud Johor Dah Tewas manakala Pahang Darul Makmur (PDM) bermaksud Pahang Dah Menang... sekian terima kasih.

19 October, 2014

Mendaki Bukit Tabur East, Taman Melawati

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

19 Oktober 2014 ~ Setelah mendaki Bukit Tabur West beberapa tahun lalu, kali ni nak mendaki Bukit Tabur East pulak bersama grup Putrajaya Adventure Team (PAT). Disertai agak ramai juga pendaki, kira-kira 30 orang, termasuk seorang anak kecil berumur 3 tahun++ . Ini catatan ringkas log pendakian pada hari tu:

INFO: 
~ Bukit Tabur dengan ketinggian 396 meter terletak di Taman Melawati, Gombak. Bukit yang membentuk rabung kuarza yang dikatakan terpanjang di dunia sepanjang lebih kurang 14 km ini berada dalam Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan 1 dan ianya boleh dilihat dari lebuhraya MRR2. Dari atas bukit boleh nampak pemandangan indah sekitar Ulu Kelang, bandaraya Kuala Lumpur, UIAM Gombak, lebuhraya Karak serta tasik Empangan Klang Gates.

~ Terdapat empat trek di Bukit Tabur: West (446 meter d.p.l), East (275 meter), Far-East (tiada info ketinggian buat masa ni) dan Extreme (396 meter). Di sesetengah tempat, treknya sangat berbahaya dengan laluan rabung sempit serta terpaksa memanjat tebing berbatu yang curam. Banyak kes kemalangan terjatuh gaung dan kematian terjadi di sini terutamanya di Tabur West. Tidak digalakkan mendaki ketika hujan kerana laluan akan menjadi licin dan berbahaya.

~ Walaupun ramai yang main redah je, Permit Memasuki Hutan Simpan sepatutnya perlulah diperolehi terlebih dahulu daripada Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah dengan bayaran sebanyak RM5/seorang.

~ Dah malas pulak nak tulis, aku dah jumpa info yang lebih lengkap, sila ke SINI.

                                                           gambar dari kamera hp aku


LOG:
6.30 AM ~ Berkumpul di gerai nasi ayam dekat Balai Polis Tmn Melawati utk sarapan.

7.30 AM ~ Bergerak ke starting Point berdekatan pintu masuk Empangan Klang Gates.

8.30 AM ~ Memulakan pendakian secara santai. Berhati-hati dengan struktur batu yang agak longgar, ada batu-batu yang bergolek ke bawah, termasuk sebiji batu sebesar penumbuk yang kena tepat kat kepala aku...adehh... pening sekejap nasib baik tak pecah kepala. Di awal pendakian, trek Tabur East ni agak mencanak tapi taklah terlalu sukar berbanding Tabur West, cuma puncak terakhir yang menegak agak mencabar terutama bagi yang gayat. Kena panjat bergilir-gilir dengan sokongan tali .

11.30 AM ~ Sampai di puncak. Minum pagi berserta hotdog disediakan oleh Cif & krew.

1.00 PM ~ Mula turun. Agak lama menunggu giliran untuk menuruni puncak terakhir tadi seorang demi seorang. Balik ikut trek kebun dan keluar melalui Kg. Klang Gates.

2.30 PM ~ Sampai di parking. Makan nasi ayam di Taman Melawati sebelum bersurai.


                                     gambar yang dibelanja oleh kawan-kawan dan penganjur


~ Terima kasih kepada penganjur Putrajaya Adventure Team (PAT) kerana menganjurkan pendakian ini serta semua peserta yang bekerjasama menjayakan trip ni. Ramai sangat sampai tak sempat nak kenal semua. Jumpa lagi.

10 October, 2014

Gajah liar masuk kampung

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Baru-baru ni sekumpulan gajah liar masuk kampung aku... banyak juga tanaman keluarga aku dimusnahkan. Dah 3-4 kali juga rasanya kejadian ni berlaku. Bila ada kes gajah masuk kampung, nampak macam kampung aku ni jauh sangat di pedalaman, tapi sebenarnya kampung aku ni cuma 10 km dari bandar Mentakab dan tak jauh pun  dari jalan besar (jalan lama KL-Kuantan). Cuma di belakang kampung tu bersempadan dengan hutan simpan.

Harap-harap gajah-gajah ni tak mengancam keselamatan dan nyawa penduduk kampung aku dan semoga pihak berkuasa terutama PERHILITAN dapat mengatasi segera masalah ini. Ironinya, gajah-gajah ni masuk kebun keluarga aku pada malam pasukan bolasepak Pahang tewas kepada Perak dalam perlawanan terakhir Liga Super 2014... kecewa le tu kot Pahang kalah, habis semua dihogohnya...hihi.

Ini berita yang dipetik dari Sinar Harian 

MENTAKAB – Beberapa keluarga di Kampung Desa Bakti, di sini dikejutkan dengan kehadiran tiga gajah liar yang berkeliaran di dalam kampung tersebut pada tengah malam bermula dua hari lalu.

Seorang penduduk, Zabidah Ibrahim 66, berkata, gajah liar yang berkeliaran di halaman rumah tidak berpagar itu telah memusnahkan beberapa tanaman seperti kelapa dan pisang miliknya. Menurutnya, paling menakutkan apabila gajah itu memakan pokok pisang dan kelapa yang terletak hanya tiga meter dari pintu dapur rumahnya.

“Sepanjang 26 tahun tinggal di sini, tiga tahun kebelakangan ini semakin kerap gajah liar memasuki kawasan kampung dan kami sembilan keluarga di sini antara yang kerap berhadapan dengan haiwan itu. Ini serangan ketiga sepanjang saya tinggal di sini, walaupun gajah ini tidak membahayakan kami tetapi ia telah memusnahkan tanaman pokok buah-buahan milik kami. Sejak dua hari lalu, saya kerugian apabila enam pokok kelapa dan berpuluh pokok pisang ditumbangkan gajah liar ini,” katanya.

Zabidah berkata, pada Isnin lalu jam 4.30 pagi, dua gajah liar memakan pokok kelapa dan pisang dalam kawasan halaman rumahnya. Menurutnya, kumpulan gajah itu bertambah kepada tiga ekor, semalam dan pergerakan haiwan liar itu semakin jauh ke dalam kampung menyebabkan lebih banyak kerosakan tanaman penduduk.

Seorang lagi penduduk, Md Hairuman Ramli 38, berkata, meskipun rumah dan tanaman buah-buahan miliknya tidak diancam gajah liar tetapi dia turut mengambil berat soal keselamatan penduduk. Menurutnya, kampung tersebut bersempadan dengan kawasan Hutan Simpan Kemasul yang menjadi habitat banyak gajah liar.

“Saya tahu ada serangan gajah dalam kampung kami tetapi tidak menyangka serangan kali ini agak teruk kerana gajah berkeliaran dan memasuki jauh ke dalam penempatan penduduk. Diharap tindakan segera dapat dilakukan pihak berkuasa terutama Jabatan Perhilitan dalam mengatasi masalah ini,” katanya.
Hairuman (kiri) dan Zabidah melihat pokok pisang yang musnah kira-kira tiga meter dari pintu dapur rumahnya 

Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Desa Bakti mengesahkan Jabatan Perhilitan telah meninjau kumpulan gajah liar itu dan akan mengambil tindakan segera menghalau gajah jauh ke dalam hutan.


UPDATE: Seekor gajah liar telah berjaya ditangkap menggunakan tembakan ubat pelali oleh Jabatan Perhilitan, manakala yang lain sempat melarikan diri. Operasi pemindahan ke habitat asal yang lebih sesuai akan dibantu melalui komunikasi antara gajah denak dengan gajah liar. Tapi mengikut kata Perhilitan, kos pemindahan seekor gajah sangat tinggi sebenarnya... mencecah puluhan ribu juga khabarnya.

Menurut beberapa sumber, ada saksi pernah ternampak puluhan ekor gajah dalam hutan simpan tersebut. Hutan habitat asalnya telah diceroboh dan diterokai untuk tanaman getah... hmmmm... patutlah masuk kampung cari makan... puncanya tangan-tangan manusia juga... :

06 October, 2014

Salam Aidil Adha...Berkelah di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

5 Oktober 2014 (Ahad) ~ Salam Aidil Adha. Kami cuma mengorbankan diri dengan tak pulang ke kampung, sebaliknya cuma beraya di rumah sendiri. Selesai solat raya dan tolong melapah seekor lembu yang dikorbankan di kejiranan aku, melepak saja di rumah bersama keluarga.

6 Oktober 2014 (Isnin) ~ Cuti gantian sebab raya semalam jatuh hari ahad. Pagi tu kami merancang nak berkelah di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu. Masa pergi Bukit Kutu minggu lepas, ternampak satu port baik untuk berkelah sebab bebas dari pencemaran, insya Allah mintak dijauhkan dari virus kencing tikus. Airnya juga taklah terlalu dalam dan deras jadi sesuailah untuk budak-budak main air.


~ Untuk ke port ni perlu trekking kira-kira 1 km melalui trek yang agak landai, dua kali menyeberangi sungai menggunakan dua jambatan besi dan sekali lagi lintas sungai dengan meranduk air. Sebenarnya di sebelah bawah pun boleh berkelah, tapi biasanya ramai pengunjung dan banyak pulak sampah. 3.00 PM - cuaca mula mendung... masa untuk balik. Kira puaslah anak-anak mandi-manda dari pagi sampai petang.

28 September, 2014

Mendaki Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

INFO: Bukit Kutu terletak di Kuala Kubu Bharu (KKB), Hulu Selangor. Timbul kekeliruan tentang ketinggian sebenar bukit ini dari paras laut sebab melalui carian google malah pada papan tanda di puncak bukit juga ketinggiannya berbeza-beza. Ada yang kata ketinggiannya 1053 meter (3455 kaki), ada yang kata 1090 meter (3576 kaki) dan ada yang kata 1100 meter (3609 kaki). Tapi aku anggap ketinggiannya adalah 1053 meter berdasarkan papan tanda terbesar yang ada di puncak Bukit Kutu ni... haha. Disebabkan ketinggiannya yang melebihi 1000 meter, ramai pendaki menganggap bukit ni dah boleh dianggap gunung.

~ Pendakian bukit ni bermula dari Kg. Orang Asli Pertak, mengambil masa lebih kurang 4 jam, manakala perjalanan turun kira-kira 2 jam. Info selanjutnya di SINI.

~ Pada 27-28 September 2014, aku menyertai trip mendaki Bukit Kutu yang dianjurkan oleh Putrajaya Adventure Team (PAT) yang diketuai oleh Cif Pendaki Putrajaya. Biasanya orang pergi balik hari (dayhike) je tapi kali ni kami merancang untuk berkhemah di puncak... nak layan pemandangan sunset dan sunrise. Ini catatan ringkas perjalanan kami.

PESERTA: Hanya 10 orang pendaki... Cif, Abs Leo, Pak Atan dan anaknya Alang (peserta termuda berumur 12 tahun), Uncle Danny (peserta tertua berumur 63 tahun), Opie, Fakha, Fuad, Shahrul dan aku. Kesemuanya jantan-jantan perkasa. Bagi sesetengah orang mungkin rasa tak meriah tanpa kehadiran gadis-gadis, tapi bagi aku ok jer.. hehe.

27 September (Sabtu) 
8.00 AM ~ berkumpul sambil bersarapan di Restoran Fazlina Maju, KKB. Tapau barang keperluan apa yang patut di sini.

10.00 AM ~ bergerak ke tempat permulaan di Kg Orang Asli Pertak. Sempat singgah bergambar di Empangan Sungai Selangor yang semakin kering airnya. Sampai di tempat permulaan, agihkan ration dan barang keperluan serta mendengar taklimat ringkas dari Cif.

11.30 AM - memulakan pendakian. Trek permulaan melalui jalan landai sahaja dan perlu melintasi sungai 3 kali. Lintasan pertama dan kedua melalui dua jambatan besi (jambatan kedua telah roboh tapi masih boleh dilintasi dengan berhati-hati). Lintasan ketiga perlu meredah sungai. Lepas tu barulah jumpa trek hutan dan mula mendaki. Treknya taklah terlalu sukar kecuali di beberapa tempat agak licin kalau hujan, terpaksa merangkak di bawah rimbunan buluh tumbang dan banyak lebah di beberapa tempat rehat. Dalam perjalanan ke puncak terdapat dua buah gua iaitu Gua Air (terdapat sumber air mengalir dalam gua, boleh top up air di sini) dan Gua Kambing atau disebut juga sebagai Batu Tedung (kawasan berbongkah batu besar yang cantik).

6.50 PM ~ Selamat sampai di tapak perkhemahan, sebuah kawasan lapang berdekatan puncak. Khabarnya kawasan lapang ni adalah bekas runtuhan rumah rehat pegawai-pegawai British semasa zaman penjajahan dulu. Akibat dibom tentera Jepun, yang tinggal cuma dua buah perigi (salah satunya masih boleh digunakan), tangga batu dan menara cerobong asap... sejarahnya boleh rujuk di SINI. Perjalanan yang biasanya cuma 4 jam dah jadi 7 jam disebabkan kami banyak kali berhenti rehat dan mendaki dengan langkah yang sangat santai... hehe. Sempat memasang khemah (ground n fly sheet) sebelum hari gelap. Cuaca berkabus maka tak dapatlah nak tengok pemandangan matahari terbenam di puncak.

8.00 PM ~ Makan malam dengan roti tortilla yang disediakan oleh Cif.  Lepas makan sempat buat sesi ice-breaking memandangkan kami cuma 10 orang jadi taklah makan masa lama sangat. Suhu malam yang sejuk dan nyaman membuatkan mata cepat layu....zzzzzz


di Empangan Sungai Selangor

pemandangan sepanjang perjalanan

gambar paling rare... akupun tensen kalau jadi ular kapak ni...
nak rilek2 pun tak senang...hihi

di Gua Kambing... khabarnya orang asli pernah nampak kambing di sini


28 September (Ahad)
~ Lepas subuh, naik ke puncak Bukit Kutu yang taklah berapa jauh dari campsite... lebih kurang 5 minit mendaki. Perlu mendaki set tangga yang agak tinggi dan menegak. Puncaknya terdiri dari bongkah batu yang sempit, cuma boleh memuatkan 4-5 orang. Kalau ramai kena bergilir-gilir la nampaknya. Sangat perlu berhati-hati di puncak ni kerana di sekelilingnya gaung yang sangat dalam... kalau terjatuh insya Allah meninggal. Kalau gayat sebaiknya duduk je jangan berdiri.

campsite kami dari pertengahan trek ke puncak

hati-hati di puncak ni... utamakan keselamatan

dah macam tugu negara pun ada

mohon terus diberikan kekuatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya

~ Pagi ni cuaca baik cuma sedikit berjerebu, jadi dapatlah menikmati pemandangan matahari terbit yang cukup indah. Dari puncak boleh nampak pemandangan 360 darjah, boleh nampak empangan, bandar KKB serta banjaran gunung-ganang seperti Gunung Rajah dan Gunung Ulu Semangkuk.

indahnya sunrise di puncak Bukit Kutu


~ Dah puas menikmati keindahan alam ciptaan-Nya, turun semula dan trekking kira-kira 5 minit menuju satu lagi kawasan tinggalan banglo lama. Banglo yang kedua ni masih nampak bentuknya, ada tangga, pintu dan bilik-bilik. Ada versi cerita yang mengatakan ini runtuhan sebuah klinik/hospital untuk pesakit kusta... entahlah. Lepas bergambar balik semula ke campsite untuk bersarapan seterusnya berkemas untuk balik.


bergambar di chimney sebelum balik...

~ Perjalanan turun cuma memakan masa lebih kurang 2 jam lebih. Tengah hari sampai di tempat permulaan, jumpa sungai berendam dulu la untuk menyegarkan badan. Lebih kurang jam 3.00 pm kami bergerak ke parking kereta dan balik ke bandar KKB. Lepak makan nasi di Restoran Fazlina Maju lagi seterusnya pulang ke destinasi masing-masing.

~ Terima kasih kepada semua peserta yang bekerjasama menjayakan trip ni dan ribuan terima kasih kepada penganjur team P.A.T khususnya Cif Pendaki Putrajaya yang banyak berkongsi ilmu.

Kredit kepada tuan punya gambar:
~ Cif Pendaki Putrajaya dengan kamera GoPro-nya
~ Opie (Fazrils Zulkarnain) dengan DSLR-nya


21 September, 2014

Sepetang di Bukit Bendera (Penang Hill)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Selesai majlis persandingan Fain & Farah di Ayer Itam, masih awal lagi untuk balik ke tempat penginapan. Kami membuat keputusan (spontan) untuk ke Bukit Bendera (Penang Hill)... tak jauh dari Ayer Itam tu. Cuma ikut papan tanda sampailah kami di stesen keretapi kabel Bukit Bendera.

~ Tempat letak kereta dengan kadar RM4 sekali masuk disediakan di sebelah belakang pintu masuk. Kena pandu turun sikit kemudian belok kiri dan naik bukit sikit. Dari tempat letak kereta ada jalan pintas untuk pejalan kaki ke pintu masuk.

~ Setiap hujung minggu dan cuti sekolah, Bukit Bendera ni memang ramai pengunjung. Sebaiknya datang awal pagi kalau tak nak beratur panjang. Tiket keretapi dijual mengikut umur dan berbeza antara warga tempatan dan asing. Warga tempatan perlu tunjukkan MyKad untuk pengesahan. Mujurlah ada tiket pakej keluarga pergi-balik iaitu RM19 untuk 2 dewasa dan 3 kanak-kanak... dapatlah kami yang dalam kategori pelancong bajet ni berjimat sikit. Kalau nak lagi jimat, khabarnya ada trek mendaki bukit ni tapi aku pun tak tau mula di mana. Maklumat lanjut harga tiket boleh rujuk di SINI.

~ Dari luar, keretapi ni nampak condong dalam posisi mendaki bukit tapi jangan risau, kita takkan jatuh tertonggeng mahupun terlentang sebab binaan dalamannya dibuat secara menegak. Perjalanan menaiki keretapi kabel berkuasa elektrik menuju puncak cuma memakan masa lebih kurang 7 minit, dengan kekerapan setiap 30 minit. Pergi dan balik kami terpaksa berdiri sebab ramai penumpang (siapa cepat dapat duduk).

~ Ketinggian Bukit Bendera mencecah 823 meter (2700 kaki) dari paras laut. Cuaca di puncak memang nyaman, berangin dan agak dingin dengan suhu kira-kira 21 darjah Celcius walaupun kami sampai pada jam 3.00 petang dengan matahari agak terik.

kredit gambar : penanghill.gov.my
~ Dari puncak, kita dapat melihat hampir keseluruhan sebelah timur Pulau Pinang dan bandaraya Georgetown termasuk Komtar, pemandangan laut, Pulau Jerjak, Jambatan Pulau Pinang lama, tanah besar Seberang Perai dan lain-lain. Teropong turut disediakan untuk melihat pemandangan yang lebih jelas tapi kena masukkan RM1 untuk meneropong selama 5 minit.

~ Di puncak, terdapat kafe, masjid, kuil, pejabat pos, hotel, taman bunga, taman permainan kanak-kanak dan gerai cenderahati. Tarikan terbaru di sini adalah Muzium Burung Hantu (The Owl Museum). Bayaran masuk RM10 untuk dewasa, kanak-kanak masuk percuma.

~ Kalau malas nak berjalan, boleh menaiki kereta buggy meronda sekitar puncak bukit dengan bayaran RM30 selama 25 minit atau RM60 (45 minit).

~ Selain tu boleh melawat Love Lock (khabarnya tiru konsep macam dekat Rome, Paris, Seoul dll) di mana mangga kunci yang siap ditulis nama pasangan bercinta (termasuk suami isteri kot) dimanggakan pada pagar... kononnya sebagai simbol percintaan sehidup semati yang tak mungkin dipisahkan... puuiiiiii. Harga mangga kunci antara RM10-RM30 siap ditulis nama. Kepada pasangan Melayu Islam, aku nasihatkan lebih baik beli buah mangga RM10 dapat 3kg dan dimakan bersama-sama... kemudian bijinya ditanam... tumbuhnya pokok tu pun boleh jadi simbol percintaan jugak... dapat pahala lagi kalau buahnya disedekahkan pulak... kah3.


~ Setelah puas menikmati keindahan dan suasana nyaman di puncak Bukit Bendera, pada jam 5.00 PM kami turun semula dan balik ke tempat penginapan di TM Resort Tanjung Bungah, layan anak-anak mandi kolam pulak.


Selamat Pengantin Baru Fain-Farah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ 19-21 September - Bertolak ke Penang untuk meraikan anak saudara sebelah isteri yang menjadi pengantin baru. Keluarga besar kami menginap beramai-ramai di TM Resort, Tanjung Bungah. Majlis akad nikah dilangsungkan selepas solat Jumaat, manakala majlis persandingan keesokan harinya di Dewan FRU Padang Tembak... dekat-dekat dengan Ayer Itam.


~ Selamat Pengantin Baru buat pasangan Fain & Farah, semoga berkekalan bahagia hingga ke akhir hayat serta dirahmati dan diberkati hingga ke syurga... aamiin.

~ Selesai majlis persandingan Fain & Farah di Ayer Itam, masih awal lagi untuk balik ke tempat penginapan. Kami membuat keputusan (spontan) untuk ke Bukit Bendera (Penang Hill)... tak jauh dari Ayer Itam tu. Nantilah cerita dalam entri lain pulak.

 

04 September, 2014

Selamat Hari Lahir Isteriku... selamat mencari jalan ke syurga

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Selamat hari lahir buat isteriku yang ke 30++ (sensitif kot kalau letak umur sebenar hehe). Semoga sentiasa dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia, dikurniakan kesihatan yang baik serta dipermudahkan perjalanan hidup bersama... siapa lagi kalau bukan suami dan anak-anakmu yang tersayang ini..

Kadang-kadang tak perlu hadiah istimewa berbentuk harta benda (sebab aku sememangnya tak berharta hihi). Cukup dengan doa dan harapan agar kita sekeluarga hidup bahagia, diberkati dan dirahmati hingga membawa ke syurga. Macam mana seorang isteri nak ke syurga? Aku pasti isteriku tahu tapi mari refresh balik ciri-ciri isteri yang dekat dengan syurga:


 “Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)

1. Seorang isteri yang menyedari dan menerima dengan ikhlas bahwa lelaki (suami) adalah pemimpin kaum wanita.

2. Seorang isteri yang menyedari bahawa kedudukan suami itu satu tingkat lebih tinggi jika dibandingkan dengan isteri.

3. Seorang isteri yang selalu taat dan penuh hormat kepada suami selagi bukan diajak dalam hal kemaksiatan (durhaka kepada ALLAH).

4. Seorang isteri yang tetap berpegang teguh menjaga kehormatan dirinya dan yang tidak mahu keluar rumah dengan sesuka hati tanpa izin suami.

5. Seorang isteri yang selalu memenuhi keinginan suami dalam nafkah batin (kecuali dengan suatu alasan yang kuat terpaksa menolaknya).

6. Seorang isteri yang selalu mendahulukan kepentingan suami berbanding urusan yang lain. Termasuk kepentingan orang tua sekalipun (kecuali mendapat izin dari suami).

7. Seorang isteri yang selalu menjaga kehormatan dirinya jika suami tidak ada di rumah.
 

8. Seorang isteri yang pandai menjaga harta suami (tidak boros) dan juga menjaga kehormatan suami baik saat ada ataupun sedang tidak di rumah.

9. Seorang isteri yang sentiasa berusaha mempercantik dirinya ketika berada di depan suami.

10. Seorang isteri yang selalu menyenangkan hati suami dengan raut wajah yang tampak berseri dan murah senyum agar suami merasa tenteram hatinya.

11. Seorang isteri yang tidak suka berdandan berlebihan agar nampak cantik oleh lelaki lain.

(Dipetik dari Buku : Petunjuk Sunnah dan Adab Sehari-hari - H.A. Abdurrahman Ahmad)
Sumber: Aisyah Humaira

Si isteri mungkin dah nampak jalan nak ke syurga... macam mana pulak dengan suaminya ni... takpe nanti kita google di lain hari... hihi.

02 September, 2014

Mendaki Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat (CUS) - Compress

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

INFO: Gunung Chamah terletak di Hutan Belum, Kelantan dengan ketinggian 2171m (7123 kaki) manakala Gunung Ulu Sepat  setinggi 2161 meter (7089 kaki) pula terletak di Tasek Temenggor, Perak. Gunung Chamah dan Ulu Sepat merupakan gunung ke-5 dan ke-7 tertinggi di semenanjung Malaysia dan kedua-duanya dalam kategori G7. Trek mendaki gunung-gunung tersebut adalah antara yang paling sukar, terpencil lagi mencabar di mana amat menguji ketahanan fizikal dan mental para pendaki.

Dari 29 Ogos - 1 September 2014, aku menyertai xpdc pendakian Gunung Chamah-Ulu Sepat (CUS) yang dianjurkan oleh grup Outerrange Adventure (ORA) diketuai oleh Bro. Amiruzami yang turut disertai oleh 28 orang pendaki termasuk guider... dalam misi melengkapkan G7 yang dah banyak kali tertangguh. Biasanya trip CUS ini memakan masa 6-7 hari, jadi agak susah aku nak cari kelapangan masa/cuti untuk ikut trip yang panjang. Jadi aku cuba ikut misi kali ini yang dipadatkan (compress) menjadi 4 hari...semestinya kami sudah terbayang kena overtime setiap hari.

Berikut adalah catatan ringkas perjalanan aku. Masa tidaklah 100% tepat, cuma anggaran aku je dan pastinya berbeza dengan orang lain yang berjalan lebih laju.

LINE-UP: Amir, Ajis, Anip, Emran, Huzer, Wan, Asid, Nizam, Fifi, Nina, Shahrul, Akim, Afnan, Afiq, Megat, Robert Chan, Julie Chin, Elsa Ng, Chuan Wang, Aqila, Lokman, Adi, Arif, Soleh Udin, Pijol, Fazi, Shahrul Kecik, Faliq dan aku.


28 OGOS 2014, KHAMIS
- Seramai 26 pendaki terdiri daripada 20 orang lelaki dan 6 wanita berkumpul di Hentian Bas Putra untuk menaiki bas ekspres Mutiara jam 9.30 malam menuju ke Gua Musang, Kelantan yang menjadi titik permulaan pendakian kami.

HARI PERTAMA - 29 OGOS 2014, JUMAAT
2.30 AM - Tiba di R&R Gua Musang... makan, rehat, bahagi ration dan tunggu 4WD datang ambil. Disertai oleh 3 orang lagi pendaki dari Penang.
4.00 AM - Naik 4WD melalui Kuala Betis memakan masa hampir 5 jam mengikuti jalan balak... melambung-lambung kami dikerjakan duduk belakang 4WD tu. Beberapa kali juga terpaksa turun dari 4WD kerana beban yang berat. Akhirnya berhenti berdekatan Pos Simpoh di mana di situ adalah had maksimum 4WD boleh sampai sebab jalan makin teruk.
10.45 AM - Lepas bersarapan nasi lemak, mula berjalan kaki mengikuti laluan balak dan denai hutan menuju perkampungan orang asli Kg. Rekom.
1.30 PM - sampai di Kg. Rekom, singgah di khemah tetamu dan daftar nama dalam buku pelawat. Lepas tu menuju tapak perkhemahan di tepi sungai. Lepas siap pasang khemah dan makan tengah hari, penganjur memutuskan untuk buat daypack ke puncak Gunung Chamah.
4.00 PM - memulakan perjalanan.
4.30 PM - tiba di Kem Pakma, rehat dan tunggu semua pendaki sampai.
5.15 PM - tiba di Kem Tengah, rehat dan tunggu semua pendaki sampai.
5.45 PM - teruskan perjalanan ke Kem Tongkat Ali, beberapa rakan diserang penyengat.
7.30 PM - tiba di Kem Tongkat Ali (last waterpoint). Agak lama di sini, makan malam roti pita dan solat jamak di sini.
9.00 PM - teruskan perjalanan menuju Anak Chamah. Trek mula mencanak.
11.00 PM - tiba di Anak Chamah... rehat dan tidur sekejap sebab dah mula pewai dari malam tadi tak tidur (dalam bas tak dapat tidur)
11.15 PM - teruskan perjalanan ke puncak Gunung Chamah, dijangka memakan masa 3 jam lagi. Trek turun naik sebab melalui 7 puncak tipu.




HARI KEDUA - 30 OGOS 2014, SABTU
2.50 AM - Dalam kelaparan, mengantuk dan entah berapa kali terlelap atas trek, akhirnya aku berjaya sampai di puncak Gunung Chamah. Diraikan dengan hidangan kek pisang. Tidak lama di puncak sebab suhu sejuk dan tiada pemandangan untuk dinikmati. Lepas ambil gambar lebih kurang, turun semula ke Anak Chamah seterusnya balik ke tapak perkhemahan di Kg. Rekom.
4.30 AM - belum sempat sampai Anak Chamah, terserempak beberapa pendaki bergelimpangan tidur atas trek. Join tidur sekalilah.
5.30 AM - teruskan perjalanan. Agak perlahan kerana menemankan dua rakan sepejabat yang aku racun ikut trip ni yang dah mula mental down sebab kena berjalan tanpa henti dari semalam. Silap aku juga ajak diorang yang baru join hiking ikut trip compress dan hardcore ni.
12.30 PM - akhirnya sampai di tapak perkhemahan Kg. Rekom. Yang dah sampai awal sempatlah tidur. Makan tengahari, mandi, solat jamak dan berkemas semula untuk meneruskan perjalanan. Khemah 2-man-tent yang dipasang semalam dibuka semula tanpa sempat ditiduri... huhu.
3.00 PM - Memulakan perjalanan ke Gunung Ulu Sepat.
6.00 PM - tiba di Kem Peres, rehat dan makan malam di sini.
7.30 PM - Lepas maghrib teruskan perjalanan ke Kem Sg.Retak (Kem Maggi). Perjalanan yang dijangka kira-kira 2-3 jam berlarutan kerana marking di trek yang tidak jelas dan mengelirukan. Ada satu tempat kami terpaksa berhenti kira-kira 2 jam sementara para guider mengesan laluan. Aku terlelap di situ. Menurut para guider, ada sikit 'gangguan' yang menyebabkan mereka tak jumpa jalan.




HARI KETIGA - 31 OGOS 2014, AHAD
2.30 AM - akhirnya sampai di Kem Sg.Retak (Kem Maggi). Pasang khemah dan masak maggi, kelaparan dah ni. Lepas makan nasi yang dimasak oleh penganjur, masuk khemah tidur, dapatlah tidur lama sikit hari ni.
10.00 AM - kemaskan barang dan meneruskan perjalanan ke Gunung Ulu Sepat.
12.30 PM - tiba di Kem Sempadan (sempadan Perak-Kelantan). Teruskan perjalanan dan berhenti makan tengahari di Puncak View/Orkid.
1.00 PM - Teruskan perjalanan, hujan mula turun. Laluan di sini mula becak, berselut, banyak pokok rotan dan ada kesan-kesan gajah baru lalu.
5.00 PM - tiba di Kem Sg. Lepir (tinggi 1640 meter), punca air terakhir sebelum puncak Gunung Ulu Sepat. Hujan masih turun, terpaksa pasang fly untuk berteduh, memasak dan makan malam.
7.30 PM - Lepas solat jamak, mula bergerak ke puncak G.Ulu Sepat.
11.45 PM - tiba di simpang ke puncak... tinggalkan beg di sini.
11.59 PM - tiba di puncak Gunung Ulu Sepat. Bergambar sakan sambil mengibar bendera Malaysia sempena kemerdekaan yang ke-57 dan sempena aku berjaya grad G7... alhamdulillah.




HARI KEEMPAT - 1 SEPTEMBER 2014, ISNIN
12.30 AM - turun semula ke simpang. Rehat sebentar masak maggi buat alas perut dan melelapkan mata sebentar. Hari ni kena overtime lagi.
1.45 AM - Mula turun menuju ke Kem Sungai Lenweng dalam hujan diiringi petir. Laluan menjunam turun kemudian melalui trek licin, banyak kali juga jatuh tergelincir. Perjalanan terasa amat jauh dan begitu mencabar fizikal dan mental. Beberapa kali juga berhenti take-5 untuk melelapkan mata sekejap.
6.30 AM - tiba di Kem Sg. Lenweng... mandi dan solat subuh. Masak air, kena minum air panas untuk memanaskan badan.
7.45 AM - teruskan perjalanan melalui trek landai ke Kem Sungai Y melalui kampung orang asli dan tepi sungai. Di pertengahan perjalanan terasa lapar, lepak di tebing sungai masak maggi.
9.30 AM - Selepas beberapa kali melintasi sungai, tiba di Kem Sungai Y. Pendaki yang tiba lebih awal bersarapan di sini. Sebaik sampai, kami bergerak terus ke Kg. Lerlar... dah tak sabar-sabar nak keluar dari hutan. Sempat menikmati durian hutan yang banyak tumbuh di sepanjang trek. Keluar dari trek hutan, perjalanan belum berakhir.. terpaksa pula berjalan tengah panas terik melalui kawasan yang diteroka oleh orang asli.
2.00 PM - selamat tiba di Kg. Lerlar, Grik... dijamu durian, rambutan dan langsat. Sementara menunggu 4WD sampai, sempat mandi sungai membersihkan diri.
2.30 PM - Naik 4WD menuju ke jeti untuk menaiki bot ke Pengkalan Trojan.
3.30 PM - Menaiki bot merentasi Tasik Temenggor.
4.30 PM - tiba di Pengkalan Trojan. Naik van pula menuju bandar Grik.
5.30 PM - selamat tiba di dunia yang lebih bertamadun di bandar Grik. Tiket bas ke KL dah habis sempena cuti merdeka. Terpaksa bayar lebih untuk sewa bas khas. Tak kisahlah asalkan kami dapat balik.
8.00 PM - bas sewa khas bertolak ke KL. Semuanya terlena keletihan dalam bas.
2.45 AM - tiba di Hentian Putra. Tamat xpdc.





CORETAN

~ Berdasarkan GPS, anggaran jarak perjalanan berjalan kaki selepas turun dari 4WD menuju Kg.Rekom, Gua Musang hinggalah keluar ke Kg. Lerlar, Grik = 60km... memang lunyai la kaki... lepas ni mesti ramai yang fikir 2-3 kali nak mendaki CUS... hihihi.
~ Anggaran jarak perjalanan keseluruhan dari Gua Musang menaiki 4WD, berjalan kaki mendaki Gunung Chamah dan G.Ulu Sepat, naik 4WD dari Kg Lerlar ke jeti Tasik Temenggor, menaiki bot ke jeti Pangkalan Trojan dan naik van hingga ke Bandar Gerik = 140 km.
~  Kalau naik kereta ikut jalan darat dari Gua Musang-Jeli-Gerik, jaraknya lebih kurang 230 km... bayangkan berapa jauh dapat dijimatkan dengan mengikut jalan pintas ni... kira-kira 90 km tuuu... haha.
~ Akhirnya di usia yang dah tak berapa muda, aku berjaya juga grad G7... alhamdulillah. Kejayaan ini bukanlah untuk dibanggakan-banggakan... sekadar untuk kepuasan peribadi.
~ Disebabkan trip ni compress, memang tak dapatlah nak layan view di kedua-dua puncak gunung ni, apa taknya sampai puncak gunung pun dah tengah malam buta. Aku pun tak feel sangat ikut trip compress macam ni. Kena join trip santai barulah dapat nikmati pemandangan/bau/bunyi hutan di sepanjang trek.
~ Untuk mendaki kedua-dua gunung ni, perlulah siapkan diri dengan latihan secukupnya. Pendakian gunung ni benar-benar mencabar mental dan fizikal. Alhamdulillah, kami semua selamat dan berjaya menamatkan xpdc. Tahniah buat semua.
~ Terima kasih dan tahniah kepada semua kru team Outerrange Adventure kerana berjaya mengendalikan trip ini dengan baik. Jumpa lagi.
                       


23 August, 2014

Mendaki Gunung Angsi

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Seminggu lagi menjelang trip hardcore mendaki Gunung Chamah & Ulu Sepat, hanya sempat jogging dua kali dan training di Gunung Angsi, Negeri Sembilan (ketinggian 825 meter/2076 kaki). Bersama-sama Along, Angah, Kecik, Faliq & Jiha carpool sekereta, kami mendaki ikut trek dari kawasan perkelahan Hutan Lipur Ulu Bendul yang jaraknya ke puncak sejauh lebih kurang 6km. Kalau ikut satu laluan lagi dari Bukit Putus, jarak perjalanan kurang separuh iaitu kira-kira 3km. Dah alang2 nak training baik ikut yang jauh terus.

Kami mula mendaki dengan santai pada jam 10.00 pagi menyusuri trek yang agak landai di tepi sungai. Selepas kira2 sejam kami sampai di Kem Tangga Batu (atau nama glamernya Jeram Kak Lang...). Dari sini kena lintas sungai dua kali. Bila jumpa marking '60 minit ke puncak' barulah trek agak mencanak. Si Angah tiada masalah cuma si Along seperti biasa perlu diberi banyak kata2 perangsang... almaklumlah badan makin subur.

 
Tak berapa jauh dari puncak kami terpaksa melalui Bukit Botak, kawasan tebing yang licin dan curam... mujurlah ada disediakan tali utk memanjatnya. Kami sampai di puncak hampir jam 2.00 petang. Hanya ada 5-6 orang pendaki lain yg kami jumpa di puncak. Berehat sebentar di puncak sambil menikmati bihun goreng dan cempedak goreng yang dimasak oleh ibu mereka subuh2 tadi.

Jam 2.30 petang kami turun semula. Ketika dah nak hampir sampai, hujan turun agak lebat. Sempat mandi sungai sekejap membersihkan diri. Lepas tu lepak makan di Medan Selera Hutan Lipur Ulu Bendul. Lepas maghrib baru bergerak balik KL.

Alhamdulillah, tamatlah trip latihan di Gunung Angsi. Tahniah buat Along & Angah.

19 August, 2014

Al-fatihah buat Mokde

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salam takziah buat sepupu-sepupuku di atas pemergian Mokde (23.11.1949-18.08.2014). Setelah lama menderita sakit, semoga arwah tenang di sana. Al-fatihah.

 "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati.
Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." - (Ali Imran:185).

31 July, 2014

Catatan Perjalanan Julai 2014 (Ramadhan & Syawal)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

19 Julai (Sabtu) - 21 Ramadhan, majlis berbuka puasa bersama rakan sepejabat & keluarga masing-masing. Orang lain buat majlis iftar di restoran/hotel... kami buat di pejabat shj... lebih murah dan menjimatkan. Menunya meriah juga... nasi beriyani, daging kambing panggang sendiri, ayam masak merah, daging masak hitam, dalca, acar, mi kari, murtabak raja, kek lapis Sarawak, sagu santan dan pelbagai kuih-muih dan pencuci mulut lain.



25 Julai (Jumaat) - 27 Ramadhan, hari lahir yang ke.... huh??? .. setahun lagi bakal mencecah angka 4 siri. Apapun... yang bertambah hanya angka... hakikatnya umur aku di dunia ni makin berkurangan. Tak perlu ada sambutan... hanya berbuka seperti biasa.

27-30 Julai (Ahad-Rabu) - Aidilfitri di Pahang. Aku ada banyak keluarga yang wajib diziarahi. Maka kawasan beraya juga agak luas meliputi Lanchang-Mentakab-Temerloh-Bera-Jerantut. Kebetulan pulak sekarang musim buah... jadi kena juga beraya sambil mengutip buah di dusun. Nasib tak baik kena sengat tebuan 3 das semasa memanjat pokok rambutan... terpaksa lepak sejam di unit kecemasan untuk mendapatkan suntikan anti-bisa....huhu.



31 Julai - 2 Ogos (Khamis-Sabtu) - Aidilfitri di Perak. Cuma beraya di sekitar Ipoh & Bidor. Memandangkan dah raya ke -4, ramai ipar duai yang tak sempat berjumpa... tapi masih tetap meriah. Owh... ada juga sambutan hari lahir untuk ahli keluarga yang lahir bulan Julai... terima kasihhh.



Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.
Sekian adanya.

10 July, 2014

Selamat Datang Gebu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Seekor anak yatim yang ditemui merayau-rayau di tepi pejabat bini aku menjadi ahli keluarga kami yang baru. Agak-agak umurnya baru lebih kurang seminggu... Terpaksalah beli botol susu dan susu tepung untuknya.


Disebabkan warna bulunya yang putih gebu... kami sepakat menamakannya Gebu. Nampaknya akak Memey tiada masalah menerima kehadiran Gebu... ada juga kawan bermain nanti.

18 June, 2014

Menjelajah Gunung, Sungai dan Laut di Sabah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Misi menakluk puncak Gunung Kinabalu yang gagal kerana AMS pada 2009 harus ditebus semula.
~ Terjumpa event ke sana di fb dari 13-17 Jun 2014, kebetulan dianjurkan oleh seorang kawan lama.
~ Pertama kali menggunakan KLIA2 yang baru sebulan beroperasi.

GUNUNG
~ 14-15 Jun 2014 (Sabtu-Ahad)... misi menakluk Puncak Kinabalu.
~ Line-up 20 orang - Aku, Abg Omar, Abg Shahran, Khairul & Fuziah, Rahmat, Shahrul, Rozan, Kuek & Ling, Balkiss, Loges, Azrul & Ain, Neesa, Zul, Faizal, Aishah, Allen dan Azimah.
~ Dulu ikut Timpohon, kali ni ikut trek Mesilau... lebih jauh 2km, lebih cantik dan treknya ada turun naik.
~ Makan ubat mabuk sejam sebelum mendaki, sebagai ikhtiar mengelak terkena AMS lagi.
~ Mula mendaki 9.00 am, taknak jalan laju-laju macam dulu, biar badan perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan alititude tinggi... sampai Laban Rata 4.10 pm dalam hujan renyai.
~ Menginap di dorm Laban Rata Resthouse... satu bangunan dengan tempat makan, tak perlu jalan jauh.
~ Cuma sempat tidur-tidur ayam, 1.30 am dah kena bangun, bersarapan dan alhamdulillah kali ni tak pening.
~ 2.30 am, mula mendaki, sampai puncak Low pada 5.40 am. Alhamdulillah, misi berjaya.
~ Turun semula kali ni ikut Timpohon, sampai Kinabalu Park hampir jam 4.00 pm.
~ Bergerak ke Kota Kinabalu dan menginap di Marina Court Resort Condo.



SUNGAI
~ 16 Jun (Isnin)... misi hari ni mencuba aktiviti ekstrim berakit arus deras (white water rafting) gred 3-5 di Sungai Padas.
~ Seawal jam 6.00 am mula bergerak ke Pekan Beaufort menaiki bas Riverbug, memakan masa 1 1/2 jam.
~ Dari Beaufort perlu naik keretapi antik menuju Pekan Tenom, malangnya kepala keretapi rosak menyebabkan perancangan asal terpaksa dibatalkan.
~ Tukar plan-B, berpatah balik ke KK seterusnya ke Sungai Kiulu, Tuaran.
~ Sg. Kiulu ni gred 1-2 je, sesuai la untuk beginner macam kebanyakan dari kami.
~ Jarak 7.5 km, tempoh hampir 2 jam, makan disediakan....
~ Balik ke KK, singgah rumah kenalan Abg Omar untuk aktiviti penyampaian sijil mendaki dan makan lagi.
~ Balik ke hotel penginapan... aktiviti bebas. Ke Pasar Filipin layan seafood pulak.... makan lagi...



LAUT
~ 17 Jun (Selasa)... aktiviti santai di Pulau Sapi.
~ aktiviti yang ada di pulau ni...snorkeling, selam skuba, flying fox merentasi laut antara Pulau Sapi dan Pulau Gaya dan juga parasailing (naik payung terjun yang ditunda dengan bot).
~ aktiviti sampingan... sesi mencuci mata melihat 'pemandangan indah' di tepi pantai dan upacara mandi tepung untuk seorang birthday girl dalam grup kami.
~ Balik semula ke KK untuk check-out dan sempatlah lagi untuk shopping sementara menunggu penerbangan balik ke KL pada jam 7.25 pm.



Terima kasih kepada semua yang bersama aku mencapai misi menakluk puncak Kinabalu.
Maafkan segala keterlanjuran perbuatan mahupun perkataan.
Terima kasih juga kepada bro Bazri yang sudi menghantar dan menjemput di airport.
Jumpa lagi.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...