27 October, 2013

Jalan-jalan @ Bukit Fraser

Aku seorang kuli. Kekadang hari sabtu dan ahad pun kena kerja. Untungnya kerja aku ni jenis kerja di luar pejabat... meronda-ronda masuk kampung orang, jadi tak le bosan sangat terperuk di pejabat.

Penat berlari dalam StatsRun pun tak hilang lagi, tapi demi tugas untuk negara aku gagahkan kaki (dan hati) untuk keluar bekerja di hari minggu di kawasan berdekatan Kuala Kubu Baru. Angkut anak bini sekali. Habis kerja, tanpa dirancang bawa anak bini jalan-jalan ke Bukit Fraser.

Udara nyaman dan segar kat sini, memang sesuai untuk rehatkan minda. Sempat kami sekeluarga bermain golf sembilan lubang di sini. Oh, bunyi lagak macam orang kaya tapi sebenarnya kami cuma bermain mini golf... hahaa. Untuk kanak-kanak sebenarnya tapi mak bapaknya pun tak pernah seumur hidup pegang kayu golf, jadi belasah je main sama-sama... hahaa. Nampak macam senang tapi sebiji bola pun tak dapat dimasukkan kecuali bola yang parking betul-betul tepi lubang...


Selepas penat bermain golf (cheh penat la sangat), hujan turun agak lebat dan kami berteduh sambil mengisi perut di restoran berdekatan. Tapi dalam perjalanan turun, ketiga-tiga anak aku tewas kepeningan dengan keadaan jalan yang bengkang bengkok dan berselekoh tajam... habis keluar balik apa yang dimakan tadi... Bini aku pun pening, dah tobat tak nak datang lagi... hahaa... Habis tu bila pulak kita nak main golf lagi ni???


26 October, 2013

Larian Statistik (StatsRun) 2013 - Putrajaya

Tak pernah-pernah masuk acara larian, tetiba masuk acara larian StatsRun sejauh 10km. Saja seronok-seronok berlari ramai-ramai sambil nak cari stamina sebab bulan 12 nanti nak naik gunung standard hardcore lagi. Sempat le jogging 2-3 kali sebagai persediaan seminggu sebelumnya.

Hari kejadian; lari lebih kurang 100 meter, berjalan pulak 50 meter sebab pancit... dan gitulah seterusnya hingga selamat sampai ke garisan penamat sejam setengah kemudian... alhamdulillah. Untuk rekod, catatan masa juara adalah kira-kira 30 minit je... jadi aku ketinggalan sejam jugak la... hahahaaaa


What? Statistics Run 2013 (StatsRun 2013)

When? 26 Oct 2013 (Saturday) 7:30am flag off

Where? (START/FINISH) Kompleks Sukan Air, Precint 6, Putrajaya

Who? Organised by Persatuan Perangkawan, Persatuan Penolong Pegawai Perangkaan, Kesatuan Pembantu Perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia collaboration with Perbadanan Putrajaya

Why? In celebration of the 2013 International Year of Statistics (IYOS 2013). The main objective of StatsRun 2013 is to create awareness amongst the public on the importance of statistics for the nation’s planning and development.

How far? 10KM (Men & Women Open and Men & Women Veteran) 3KM (Men & Women VVIP and Fun Run)



5W1H disalin-tampal dari SINI

18 October, 2013

Alhamdulillah...selamat diaqiqah...

"Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya... " (maksud hadis Rasulullah s.a.w)
gambar ihsan dari korbanaqiqah.com.my

Maka ketahuilah olehmu wahai anak-anakku Along, Angah dan Aina, pada hari ini 18 Oktober 2013, bersamaan 13 Zulhijjah 1434H, ayah telah menyempurnakan pelaksanaan aqiqah untuk kamu bertiga. Tapi bukan di sini anak-anakku, tapi nun jauh di negara Kemboja.

Kenapa jauh sangat sampai ke Kemboja???

~ Korban dan Aqiqah dilaksanakan ditempat yang ramai umat Islam miskin. Masyarakat Melayu Champa merupakan kaum minoriti dengan jumlah penduduk 500 ribu daripada 13 juta rakyat Kemboja. Pengislaman orang-orang Cham bermula sejak tahun 1000 Masihi lagi. Umat Islam di Kemboja masih dirundung kemiskinan yang melarat serta tahap pendidikan yang rendah.  
~ Program ini memudahkan peserta menunaikan tuntutan agama. Harga yang murah. Yuran penyertaan RM270 untuk satu bahagian lembu atau RM530 untuk satu ekor kambing bagi ibadah korban. Manakala untuk ibadah aqiqah pula RM270 untuk satu bahagian lembu atau RM530 untuk satu ekor kambing. Yuran penyertaan Aqiqah telahpun termasuk kos jamuan Aqiqah.  
~ Sijil penyertaan yang disahkan oleh Pengerusi Program dan Mufti Kerajaan Kemboja. Biasanya pengesahan pelaksanaan akan diperolehi oleh peserta dalam tempoh 14 hingga 30 hari daripada tarikh penyertaan.

Terima kasih kepada Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd yang menguruskan pelaksanaan ibadah aqiqah ini. Semoga diterima dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t.

Sesiapa yang berminat, maklumat lanjut di SINI.


07 October, 2013

Jalan-jalan @ Melaka

4-6 Oktober 2013, kami sekeluarga sempat bercuti ke Melaka. Hari Jumaat malam lepas kerja, kami bertolak ke Melaka. Sampai di hotel yang telah ditempah kira-kira jam 9.00 malam. Hotel kami berdekatan Dataran Pahlawan, di mana terletaknya tempat-tempat tarikan pelancong utama seperti Menara Taming Sari, Duck Tour, Mahkota Parade dll.

Memandangkan semua tempat tu kami dah pernah pergi, kami memutuskan naik beca berhias menuju tempat tarikan yang belum pernah kami pergi, iaitu River Cruise Melaka. Khabarnya kalau naik waktu malam lebih cantik pemandangan sebahagian bandaraya Melaka. Malas nak cerita tengok je la gambar.

terang benderang.... banyak guna elektrik Melaka ni

Pagi Sabtu, lepaskan anak-anak mandi kolam sampai tengah hari. Lepas checkout, dalam perjalanan balik singgah Pantai Pengkalan Balak. Tetiba rasa macam malas nak balik... cari chalet tidur semalam lagi. Sayangnya lupa bawa khemah, kalau bawak boleh belasah berkhemah je kat sini. Tapi kat pantai ni ada banyak chalet. Hari ni puaslah anak-anak aku mandi... pagi sampai tengah hari mandi kolam hotel, sebelum checkout mandi dalam bathtub bilik hotel, petang sampai senja mandi laut pulak... Malam, makan seafood di Restoran Nelayan Pantai Kundur... memang santai makan di meja makan yang terletak di atas pasir pantai.

mandi... mandi... mandi

Pagi Ahad, lepas subuh bermalas-malasan tidur balik di chalet. 10.00 pagi lebih terus 'brunch'. Singgah sekejap di Pusat Konservasi Penyu, Pantai Padang Kamunting (sebelah Pantai Pengkalan Balak). Anak-anak boleh dapat info pasal penyu di sini, dan boleh tengok beberapa ekor penyu hidup dalam kolam takungan. Lepas tu balik.

mengenal penyu

Tak banyak tempat pun kami pergi, banyak masa dihabiskan dengan mandi... mandi... mandi. Sampai kecut dan rentung bebudak tu, haha!



01 October, 2013

Bakal Al-Hafiz???


Dah masuk tahun 3, akhirnya si Along berjaya memperolehi piala/pingat pertama dalam hidupnya.

Bukan menerusi acara sukan... tapi menjadi naib johan musabaqah hafazan al-Quran peringkat sekolah agamanya.

Tahniah, ayah dan ibu bangga dengan kejayaan Along.

Hantar masuk tahfiz nak???
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...