31 August, 2013

Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya 2013

~ Selepas menghadiri rumah terbuka terakhir untuk syawal tahun ni di rumah kakak ipar di Bangi, singgah di Putrajaya sebab nak bawa anak-anak tengok Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya 2013. Ada 6 negara yang mengambil bahagian iaitu Malaysia, China, Korea Selatan, UAE, USA dan Perancis.

~ Sampai di Putrajaya menjelang maghrib, kami menunaikan kewajiban di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi). Lepas tu mula mencari lokasi terbaik untuk menyaksikan pertunjukan.

~ Pertandingan ni sebenarnya diadakan di Pusat Maritim Putrajaya Presint 5 (dekat PICC), tapi tak perlulah nak pergi sampai ke sana. Ada satu lokasi yang sangat strategik untuk menyaksikan pertunjukan dengan jelas, iaitu di...

  oh sebelum tu layan dulu gambar-gambar indah yang diambil oleh jurukamera amatur ni...



~ Lokasi yang dimaksudkan tadi adalah di Persiaran Tasik, Cyberjaya, Letak kereta tepi jalan, lepas tu lepak tepi tasik. Lagi bagus bawa tikar, boleh tengok sambil baring je. Khabarnya pertunjukan bermula pukul 9.00 malam, tapi dekat 10.00 malam baru nak mula. Apapun memang puas hatilah menyaksikan persembahan bunga api selama 25 minit tanpa henti, terutama bagi 3 beradik tu.

25 August, 2013

Aku dan Metallica

Entri sebelum: Aku dan Metal

~ Gua mula mengenali Metallica masa tingkatan 2, sekitar tahun 1989 melalui album keempatnya... And Justice For All. Album tu dah setahun di pasaran baru gua nak layan. Lepas tu barulah gua dengar satu persatu album-album terdahulu dari Kill 'Em All, Ride The Lightning dan Master Of Puppets. Untungnya gua tak payah beli kaset pun sebab gua tumpang dengar di rumah sewa mat-mat kilang tempat gua selalu lepak, macam gua pernah cerita dalam entri sebelum ni.

~ Ok, tak perlulah gua cerita detail pasal sejarah Metallica, cuma selepas album Metallica (lebih dikenali sebagai The Black album), gua memang kecewa dengan album penuh Metallica seterusnya iaitu Load, Reload dan St Anger yang kurang 'menangkap' di jiwa gua. Mungkin sebab unsur-unsur thrash metal makin terhakis... dah macam lagu country yang dimetalkan pun ada. Zaman ni gua dah kerja jadi ketiga-tiga album ni gua beli sendiri. Kecewa punya pasal, album seterusnya iaitu Death Magnetic gua terus boikot tak nak dengar, cuma layan lagu lama-lama je. Ya, gua mengaku gua memang peminat tegar Metallica, tapi hanya untuk 5 album pertama sahaja. 

~ Lepas kahwin, gua cuba juga mempengaruhi bini gua meminati lagu-lagu Metallica, tapi akhirnya cuma dua lagu balada Nothing Else Matters dan The Unforgiven yang mampu masuk dalam kepala beliau... haha jadilah tu.

~ Bila Metallica mengumumkan nak buat konsert di KL, tanpa fikir panjang gua terus beli tiket walaupun harganya mahal nak mampus. Tapi kalau dah minat, itu bukan halangan. Gua juga mula mendengar lagu-lagu dari album Death Magnetic di internet. Tujuannya kalau ada lagu dari album ni dimainkan masa konsert nanti, taklah gua terpinga-pinga. Terbukti tindakan gua memboikot album ni dulu memang silap. Rupanya lagu-lagu dalam album ni mirip Metallica di zaman awal kemunculannya dulu... keras dan bingit. Walaupun bukan yang terbaik dari mereka, tapi sekurang-kurangnya gua dapat melupakan album Load, Reload dan St. Anger... seolah-olah itu album Metallica yang tak pernah diterbitkan.


ini je yang termampu


Pada hari kejadian, lebih kurang 5.00 pm gua dah terpacak di lokasi kejadian, sambil menunggu dua orang rakan sepejabat gua. Rupanya dah ramai metalhead yang kebanyakannya pakai t-shirt hitam berlegar keliling stadium. Banyak gerai menjual merchandise sama ada yang official mahupun unofficial.

~ 6.00 pm, pintu masuk stadium dibuka. Boleh kata kebanyakan yang datang konsert ni berusia 30-an ke atas, dah tahap usia matang. Gua tak nafikan konsert ni salah satu perkara lagha, tapi gua hanya insan biasa yang perlukan hiburan. Disebabkan gua membesar dengan lagu-lagu Metallica, maka jangan salahkan gua kalau teruja melihat Metallica beraksi di depan mata... Takkanlah setakat tengok konsert Metallica boleh merosakkan akhlak dan akidah seseorang macam yang didakwa sesetengah pihak.

~ Oklah, gua tak berapa reti nak buat ulasan konsert, gua copy-paste je cerita penuh konsert ni yang dipetik dari Harian Metro:


Metallica buat peminat menangis oleh Riadz Radzi 
Selepas sembilan album studio, ribuan konsert di seluruh dunia, tiga anggota bertukar (termasuk seorang meninggal dunia) dan lebih tepat lagi selepas 31 tahun sejak ditubuhkan pada penghujung 1981, kumpulan heavy metal Metallica akhirnya tiba di Malaysia dalam konsert Metallica Live in Malaysia 2013 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, malam kelmarin. 
Sejak beberapa bulan lalu, kedatangan Metallica sudah heboh diperkatakan baik di media arus perdana, laman Facebook, Twitter dan blog-blog individu. Ramai yang seolah-olah tidak percaya Metallica akan singgah di Malaysia dalam konsert jelajah mereka dan malam kelmarin ia akhirnya menjadi realiti. 
Seawal jam 3 petang, perkarangan Stadium Merdeka sudah sesak dengan penonton walaupun konsert hanya dijadualkan bermula jam 9 malam. Yang pasti, penantian peminat di sini cukup berbaloi apabila hampir 30,000 penonton yang hadir puas dan teruja dengan aksi mantap daripada James Hetfield (vokal, gitar), Lars Ulrich (dram), Kirk Hammett (gitar) dan Robert Trujillo (bass). 
Mereka yang masing-masing sudah berusia setengah abad nampaknya cukup bertenaga. James, 50; Kirk, 51; dan Robert, 49, aktif bergerak dan berlari ke kanan, kiri, atas dan bawah pentas gergasi bertingkat itu. Malah, Lars, 50, sekali-sekala berlari dari set dramnya ke bahagian depan pentas untuk berkomunikasi dengan penonton. 
“Hakikatnya kami semakin tua. Lihat kumpulan Rolling Stones yang anggotanya sudah berusia lebih 60 tahun tetapi mereka masih lagi aktif. Saya tak tahu bila kami akan berhenti. Apa yang pasti kami gembira dengan apa yang kami lakukan. 
“Sebenarnya tidak ada istilah bersara dalam muzik kerana ia ada dalam jiwa anda.”
Itu kata James kepada RAP yang diberi peluang menemu bual pengasas Metallica itu beberapa jam sebelum konsert berkenaan, petang kelmarin. 
gambar official dari metallica.com
Tepat jam 9 malam, stadium bergema dengan muzik instrumental berjudul The Ecstasy of Gold sekali gus menandakan Metallica akan memulakan persembahan mereka. Lagu ciptaan komposer Ennio Morricone yang dipetik dari ‘soundtrack’ filem The Good, The Bad, The Ugly pada 1966 itu digunakan Metallica sebagai pembuka tirai setiap konsert mereka sejak 1983. 
Sebaik lagu berkenaan berakhir, kelibat empat pemuzik hebat ini mula kelihatan di atas pentas dan tanpa sebarang pembuka bicara, Metallica memulakan persembahan ‘live’ pertama mereka di Malaysia dengan lagu Hit The Lights. Ironinya, lagu terbabit juga adalah dari album pertama mereka berjudul Kill ‘Em All pada 1983. 
Bagi peminat tegar Metallica di sini, kedatangan mereka sememangnya sudah lama dinantikan. Bermula dengan mendengar lagu-lagu mereka dalam kaset membawa ke cakera padat, menonton konsert mereka dalam pita video, video cakera padat (VCD), cakera padat digital (DVD) hinggalah sekarang di YouTube, barulah peminat di Malaysia dapat menyaksikan sendiri aksi Metallica di depan mata sendiri!
Justeru, tidak hairanlah ada yang mengaku amat teruja, meremang bulu roma, malah menitiskan air mata apabila melihat James, Lars, Kirk dan Robert beraksi di depan mereka! 
Stadium makin menggegar sebaik James dan Kirk memulakan intro riff lagu Master of Puppets sebagai lagu kedua. Lagu daripada album ketiga mereka ini sememangnya lagu wajib dan ‘anthem’ dalam setiap konsert mereka. Rata-rata penonton yang sudah menghafal lirik lagu ini sejak sekian lama tidak melepaskan peluang menyanyikan bersama. 
“Saya minta maaf kerana anda terpaksa menunggu selama 31 tahun, tetapi rasanya masih belum terlambat,” kata James sebaik mereka menamatkan lagu ketiga iaitu Fuel. 
“Disebabkan anda sudah menunggu terlalu lama, kami akan memberikan yang terbaik kerana anda layak menerimanya,” katanya yang kemudian memulakan intro lagi Harvester Of Sorrow daripada album keempat ...And Justice For All sekali gus membuatkan penonton semakin tidak senang duduk!
Keseluruhannya Metallica membawakan 18 lagu dalam persembahan hampir dua jam itu antaranya Fade To Black, Ride The Lightning, Cyanide, Welcome Home (Sanitarium), Sad But True, Orion, One, For Whom The Bell Tolls, Blackened, Nothing Else Matters, Enter Sandman sebelum mereka menutup persembahan dengan tiga lagu ‘encore’ iaitu Creeping Death, Battery dan Seek & Destroy. 
Dengan pentas gergasi, sistem bunyi dan pencahayaan canggih serta kemahiran Metallica mengawal instrumen masing-masing dan sambutan hebat penonton menjadikan konsert ini antara yang paling diingati di sini. Mungkin ia tidak sehebat konsert-konsert gergasi mereka di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi persetujuan Metallica memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert jelajah mereka sudah cukup membuatkan ia menjadi yang terbaik.
Rata-rata penonton amat berpuas hati dengan susunan lagu mereka yang kebanyakannya daripada lima album terawal mereka iaitu Kill Em All, Ride The Lightning (1984), Master Of Puppets (1986), And Justice For All (1988) serta Metallica (juga dikenali sebagai ‘black album’) pada 1991. 
Melalui album-album inilah penonton yang kebanyakannya berusia 30-an ke atas membesar dengan lagu-lagu Metallica berbanding album selepasnya iaitu Load (1996), Reload (1997), St Anger (2003) dan Death Magnetic pada 2008 yang kurang popular. 
Terdahulu, konsert anjuran Galaxy Group dengan kerjasama LAMC Productions dan Rockstar Touring ini turut menampilkan persembahan kumpulan thrash metal popular tempatan iaitu Cromok. Konsert berkenaan turut mendapat sokongan Malaysia Major Events sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.




Apapun, gua memang puas hati dengan konsert ni serta setlist lagu-lagunya, ditambah pulak dengan sound system yang memang terbaeekkkk. Secara keseluruhannya, Metallica masih lagi mantap walaupun anggotanya sudah bertaraf warga emas. 

20 August, 2013

Aku dan Metal


Entri sebelum: Aku dan Rock Kapak

~ Masa umur gua belasan tahun (lebih kurang tingkatan 2-3 sekitar tahun 1989-90), gua selalu lepak kat rumah sewa mat-mat kilang, berdekatan rumah gua. Walaupun sedikit terdedah dengan beberapa pengaruh buruk, tapi gua suka lepak rumah diorang sebab ada banyak kaset dan dapat dengar macam-macam jenis lagu termasuklah band-band luar negara. Maklumlah ada banyak kepala dalam rumah tu, maka genre muziknya pun macam-macam ada.

~ Sambil layan lagu-lagu rock kapak yang menguasai zaman tu, dalam masa yang sama gua layan juga irama metal yang lebih keras dan bising. Ada banyak genre irama metal yang gua layan sampai kekadang gua pun tak reti nak beza metal jenis apa. Dari hard rock, heavy metal, thrash metal, speed metal, death metal, black metal sampailah alternative/grunge/punk pun gua layan, janji ada riff gitar dan ketukan drum yang laju dan padu, memang naik semangat gua mendengarnya.

~ Masa tu gua tak peduli sangat apa maksud lirik dalam lagu-lagu diorang tu. Gua cuma layan muziknya, lagipun banyak band metal yang suara penyanyinya asyik warghhh...warkkhhh....grrhhhh, manalah gua nak faham sangat kalau tak tengok lirik. Memang tak dinafikan ada lirik lagu metal yang ada unsur-unsur negatif tapi lebih banyak lagi yang bercerita soal kehidupan, keadilan, anti perang, isu kemanusiaan, kritikan sosial dan politik. Ambil yang positif sudah!

~ Antara band metal tempatan yang gua minat masa tu seperti XPDC, Cromok, Sil Khannaz, FTG, Silent Death, Brain Dead dan Suffercation, serta beberapa lagi band underground yang gua dah tak berapa ingat. Tak sangka pulak sekarang gua tinggal berjiran dengan bekas bassist Suffercation, kekadang sempat bersembang mengimbau kenangan lama.

~ Band-band luar negara pulak seperti Metallica, Megadeth, Slayer, Anthrax, Sepultura, Kreator, Morbid Angel, Iron Maiden, Guns n Roses dan Scorpions dan beberapa lagi band yang gua layan gitu-gitu je. Manakala band-band alternative/grunge/punk seperti Nirvana, Foo Fighters, Pearl Jam, The Offspring, Rancid dan Green Day pun gua layan.

~ Habis sekolah, zaman mat thrash bermula. Gua mula simpan rambut panjang. Paling panjang pernah mencecah paras dada. Tapi pada kebanyakan masa, gua simpan rambut paras bahu je sebab masa tu gua dah kerja dalam sektor perkhidmatan di sebuah taman tema, mana boleh simpan rambut panjang, itupun habis sorok dalam topi dah tu. Kalau rambut panjang, barulah 'happening' nak layan 'headbanging' dalam konsert/gig/konsert funfair. Cuma satu yang gua menyampah simpan rambut panjang ni, lepas 'headbang' rambut mesti bersimpul-simpul tak boleh nak sikat. Kekadang sampai seminggu rambut gua bersimpul walaupun selepas bersyampu.

~ Fesyen rasmi thrasher zaman tu, seluar jeans boot cut ...atas fit sampai ke lutut, bawah besar dan labuh boleh buat sapu lantai. Pakai pulak baju hitam gambar band metal dipadankan dengan kasut legend baru nampak ganas kononnya...haha.

beberapa gambar zaman pakcik muda-muda dulu...
(zaman tu gua tak berapa nak bergambar sangat)

Habis dah cerita zaman pra-sejarah gua. Lepas ni kalau ada orang tanya macam mana gua boleh jadi mat metal, senang cerita gua suruh je baca entri ni... gua dah malas nak cerita.


Sampai sekarang, walaupun dah beranak pinak, makin berumur dan sikit demi sikit meninggalkan perkara-perkara lagha, gua masih layan lagu-lagu metal. Walaupun dah tak membeli album, dapat layan kat youtube pun jadilah. Dan bila Metallica... salah satu band thrash metal paling gua minat mengumumkan nak buat konsert di K.L... tanpa fikir panjang gua terus beli tiket walaupun harganya mahal nak mampus!


Entri seterusnya... Aku dan Metallica



19 August, 2013

Aku dan Rock Kapak

~ Aku  membesar di zaman rock kapak sekitar tahun 80-an dan awal 90-an, zaman di mana kumpulan rock berpenampilan agak ganas dengan seluar ketat yang nak sarung bukan main susah, kekadang terpaksa sarung kaki dengan beg plastik dulu (bagi licin) baru boleh sarung seluar. Lepas tu pakai pulak baju gambar tengkorak atau baju loudness. Rambut dah tentu mengerbang macam hantu kak limah.

~ Tapi sungguh kontras sekali bila kumpulan-kumpulan rock ni popular dengan lagu-lagu cintan mendayu-dayu yang jiwang habis... dan lagu-lagu yang memuja perempuan... Nampak je ganas tapi dalam hati ada taman. Radio pulak asyik putar lagu jiwang je. Bukan tak ada lagu rock kapak yang heavy sikit, tapi kalau nak dengar terpaksalah beli kaset.

battle of the bands
~ Zaman tu, penggunaan ganti nama diri gua lu, lu gua sangat berleluasa, maka sepanjang entri ni aku bahasakan diri sebagai 'gua' lah untuk ambik 'feel' zaman tu. Sebenarnya gua pun tak pasti mana datang istilah rock kapak tu, tak pernah dengar pulak istilah rock kapak masa zaman kegemilangan rock tu... Rock kangkang pernahlah dengar. Ada yang kata sempena satu cover album kompilasi lagu rock waktu tu yang ada gambar kapak bersilang. Entahlah, yang gua tau siapa yang layan lagu rock atau ada imej rock masa tu akan digelar mat rock.

~ Faktor persekitaran menyebabkan gua terpengaruh menjadi mat rock. Kawan-kawan gua ramai yang layan rock. Stail dressing gua masa tu taklah berapa rock sangat, maklumlah masih di zaman sekolah rendah dan menengah. Rambut pun tak boleh la nak simpan panjang. Baru nak simpan ekor sikit dah kena  potong dek cikgu. Tapi gua pernahlah tempah seluar sekolah menengah dengan potongan ala jeans, poket belakang tampal kat luar.... memang trend masa tu lah. Tapi sayangnya sebelah kaki seluar tu dah kena potong sampai paras lutut oleh cikgu disiplin (tak ingat pulak nama cikgu tu). Terpaksalah gua buat selamba balik sekolah seluar pendek sebelah... haha... kelakar bila dikenang balik. Lepas tu terus gua buat seluar sekolah yang besar sikit ala GQ pulak.

~ Seluar jeans gua masa tu mesti kena koyak kat lutut... baru rock kononnya. Kasut 'hi-cut' jenama Aliph boleh dianggap kasut rasmi untuk mat-mat rock zaman tu. Sekarang kasut ni boleh dikatakan sangat 'rare' sebab dah tak dikeluarkan lagi, kilang pun dah tutup sejak awal 90-an. Gua pun ada sepasang kasut Aliph edisi Search. Hanya kumpulan Search & Lefthanded yang diberi penghormatan ada edisi istimewa kasut ni. Seingat gua, kasut ni dibeli menjelang raya. Kena ikat perut jugalah nak dapat kasut ni, nasib baik pak sedara gua bagi duit raya lebih sikit buat tambah modal. Tapi gua pun dah tak ingat mana perginya kasut gua tu. Siapa yang tak kenal kasut ni silalah gugel sendiri... ada banyak model sebenarnya.

kasut aliph gua sebijik macam ni la
(gambar ni gua cilok kat gugel je, kredit kepada pemilik yang gua tak tau siapa)

~ Dulu, malam-malam gua suka dengar permintaan lagu kat radio.. Pilihan Bersama tak silap gua.. Layan lagu rock kapak sambil bersedia dengan kaset kosong. Bila lagu dimainkan, tap... terus gua tekan butang 'record', maka terhasillah album kompilasi cetak rompak buatan sendiri... huhu. Nak jimat duit punya pasal. Tapi selalu jugalah kerja-kerja kotor gua tu terganggu bila tetiba deejay membebel masa lagu tengah dimainkan. Hampeh, terpaksa gua 'rewind' balik kaset tu dan tunggu lagu seterusnya. Aktiviti ni lebih sesuai dibuat waktu malam yang sunyi. Kalau siang agak bising, kekadang bunyi ayam berkokok pun terakam sekali... haha. Tapi aktiviti mencetak rompak tu untuk gua dengar sendiri je, kalau zaman sekarang ni sama la macam download lagu kat internet.

~ Kumpulan rock kapak yang gua betul-betul layan masa tu ialah Search, Wings, May dan Lefthanded. Tapi yang paling gua layan tentulah kumpulan hard-rock XPDC sebab muziknya lebih keras dan padu. Keras macam mana pun, mesti kena ada 1-2 lagu jiwang meleleh baru boleh jual album. Tapi lagu-lagu jiwang ni buat stok layan tidur bolehlah. Kumpulan-kumpulan rock selain tu (banyak sangat kumpulan  tak larat nak tulis) gua sekadar layan lagu-lagu yang popular je.

antara legenda rock kapak
~ Masa tu memang gila lah, sanggup ikat perut semata-mata nak beli kaset kumpulan rock. Gua ni tinggal dengan atuk dan nenek gua sejak kecik sebab mak abah gua dah berpisah dan masing-masing ada keluarga sendiri. Tapi abah gua ada la bagi duit belanja RM50 sebulan buat belanja sekolah. Duit tu lah yang gua salah guna buat beli kaset... haha. Kaset pertama yang gua dengar penuh adalah Keadilan (album pertama Lefthanded) yang dibeli oleh pak sedara gua. Lepas tu dia banyak beli kaset Jamal Abdillah je, gua pun kumpul duit beli kaset sendiri. Kaset pertama original yang gua beli adalah Hukum Karma (Wings).

~ Zaman tu cetak rompak memang sangat berleluasa. Kaset cetak rompak dijual secara terang-terangan kat pekan sehari / pasar malam. Selalunya yang berlambak dijual adalah kaset kompilasi lagu-lagu hit dan popular zaman tu. Tapi kualiti memang hancur le, kalau main banyak kali, tak lama keluar la bunyi tikus... citttt...citttt.... mengiringi lagu dari kaset tu. Lagi baik gua cetak rompak sendiri... adehh... inilah puncanya industri hiburan bungkus... Tapi nak buat macam mana, dah ada orang jual... murah pulak tu... mesti ada yang beli...

~ Bila duit terkumpul dah cukup, gua beli walkman jenama Aiwa yang paling murah masa tu, tak ingat pulak berapa harganya. Walkman pun satu lagi barang 'rare' sekarang ni. Dengan walkman ni gua boleh layan lagu 'anytime anywhere'... sambil makan, study, dalam jamban... kekadang tidur pun dengan walkman. Memang layanlah dengar lagu rock dengan sound tahap enjin jet supersonic. Telinga pun naik pekak dan berdengung memanjang.

bebudak sekarang mesti tak tau antara walkman, kaset & pensel ni ada hubungan sulit...haha

~ Konsert-konsert rock pun banyak masa tu. Penganjur konsert yang aktif masa tu adalah Ali Bakar dengan syarikatnya Boxoffice. Seingat gua masa tu ada satu je konsert besar pernah sampai kat Mentakab, tempat gua bermastautin sejak kecik sampai besar... iaitu Konsert Search. Gua dah tak ingat tahun berapa tapi seingat gua  konsert tu free je. Disebabkan konsert tu ditaja oleh Salem, setiap orang dapat sekotak Salem 7 termasuklah gua yang masih di bangku sekolah menengah. Konsert yang paling kerap gua layan mestilah setiap kali ada fun fair. Macam-macam kumpulan rock yang beraksi tapi yang paling happening pastilah aksi Raja Fun Fair... XPDC.

~ Dulu gua minat juga belajar main gitar. Ada ramai sifu bersilih ganti mengajar gua mengenal kord gitar, tapi belum sempat pandai, sifu-sifu gua tu semuanya meninggal - bukan meninggal sebab mati, tapi meninggalkan gua sebab tak tahan dapat anak murid yang bengap nak mampus macam gua... terpaksalah gua terima hakikat yang gua memang tak berbakat main gitar... last-last gua masuk kumpulan kompang je la... haha!

~ Apapun, lagu-lagu rock kapak memang terbaik, tetap evergreen sampai hari ni. Buktinya lagu jenis apa yang popular untuk dinyanyikan kat pusat karaoke, kalau bukan lagu-lagu rock kapak. Bebudak yang belum bersunat atau belum lahir zaman tu pun kalau kat pusat karaoke pun layan nyanyi lagu rock kapak jugak.

~ Menjelang pertengahan tahun 90-an... irama rock kapak mula melalui zaman suram. Mungkin sebab perubahan zaman kot. Masa tu bermulanya era lagu-lagu rap dimulai oleh KRU, 4U2C, Nico, Feminin dll, serta lagu-lagu pop rock yang dinyanyikan oleh kumpulan-kumpulan seperti Slam, Spoon, Ukays, Umbrella dll. Muzik jenis-jenis ni gua layan gitu-gitu je, tapi tak berapa nak masuk dalam kepala. Tak sesuai dengan jiwa muda gua yang agresif.  Maka muzik yang gua layan pun berkembang kepada genre yang lebih keras.... jeng jeng jeng....


Entri seterusnya... Aku dan Metal



16 August, 2013

Salam Syawal 2013


Salam Aidilfitri
Maaf Zahir Batin
dari kami sekeluarga

07 August, 2013

Alkisah Ramadhan 2013

~ Sedar tak sedar, Ramadhan tahun ini bermakna dah dua tahun aku berjaya berhenti merokok. Walaupun begitu, tak semestinya aku bebas dari sebarang risiko penyakit. Kalau masih dikelilingi kawan-kawan dari spesis 'naga berapi', ditambah pula macam-macam bahan beracun dalam makanan kita, risiko penyakit tetap ada cuma sekurang-kurangnya ada juga usaha untuk mengurangkan risiko penyakit berkaitan merokok.


~ Hari lahir aku tahun ni jatuh dalam bulan Ramadhan ... Tak sedar dua tahun lagi bakal mencecah 40 tahun sebab jiwa rasa macam masih remaja... haha. Terima kasih bini tercinta kerana sudi membelanja berbuka puasa di luar. Terima kasih kepada semua sahabat yang mengucapselamat di FB... aku doakan semoga segala doa yang baik-baik yang sahabat semua doakan untuk aku akan berbalik kepada sahabat semua... agar kita semua sama-sama panjang umur, murah rezeki, dipermudahkan segala urusan dan paling penting hidup kita diberkati dan dirahmatiNya... amiin.

~ Along (9 tahun) berjaya berpuasa penuh tahun ni tanpa sebarang rungutan lapar dahaga. Kalau penat sangat balik sekolah dia tidur kejap sementara menunggu waktu berbuka. Angah (7 tahun) pulak berjaya berpuasa selama 24 hari, walaupun sering mengadu penat. Waktu bangun sahur pun taklah susah sangat nak kejutkan mereka. Tahniah kepada Along dan Angah. Walaupun belum wajib berpuasa, nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tiada sebarang unsur paksaan untuk mereka berpuasa... cuma menggunakan teknik pujukan, teknik melekakan dengan bawa ronda-ronda naik motor sebelum waktu berbuka dan juga menjanjikan sedikit ganjaran duit raya lebih sikit dari ayah dan ibunya ni.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.




Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...