24 June, 2013

Ulu Kenas-Lumut-Ipoh

Menghantar orang rumah dan pak mertuaku menghadiri mesyuarat agung tahunan koperasi kat Kuala Kangsar. Mesyuarat yang wajib pergi sebab elaun datang mesyuarat pun dah RM300. Kaya betul koperasi ni.

Mesyuaratnya dari pagi sampai ke tengahari, takkan aku dan anak-anak nak tunggu kat tempat mesyuarat je. Lagi bagus bawa anak-anak pergi berkelah di Hutan Lipur Ulu Kenas...12 km dari Kuala Kangsar. Memandangkan pagi-pagi lagi dah sampai, belum ada orang lain pun kat sungai tu. Memang si Along, Angah dan Aina conquer habislah tempat yang kami mandi tu.




Lepas habis meeting tengahari tu, ikut cadangan orang rumah nak jalan-jalan kat Lumut, 88 km dari Kuala Kangsar. Sempat singgah di Pekan Manong, mengimbau nostalgia melawat rumah lama keluarga mertua yang pernah tinggal selama 8 tahun di kuarters jabatan hutan di situ.

Cuaca berjerebu menyambut ketibaan kami di Bandar Lumut. Banyak gerai menjual hasil laut di sini, ronda-ronda dan beli-belah sikit, kemudian lepak kat jeti Lumut... otai (mertua) dah tak larat nak jalan jauh. Dalam perjalanan balik, singgah tengok kaum kerabat kera di Taman Paya Bakau, kemudian terus balik ke Ipoh.




22 June, 2013

Lelaki Keluli @ Manusia Super

Itulah maksud Man of Steel @ Superman, kalau suruh pakcik google buat terjemahan. Seperti biasa setiap kali ada filem superhero@adiwira baru di pawagam, anak-anak pasti akan ajak menontonnya. Aku tak reti nak buat ulasan filem jadi baca sajalah ulasan yang agak bernas di SINI.


Bimbingan dari ibu bapa memang diperlukan semasa menonton filem ini sebab agak tak sesuai untuk ditonton kanak-kanak kerana babak-babak keganasannya. Anak-anakku, sesungguhnya semua superhero dalam filem itu hanya khayalan semata-mata. Di dunia realiti, ayah dan ibumu inilah superhero yang sebenar... ehh terpecah rahsia pulak di situ!

Apahal pun aku respek pada Superman kali ni sebab dah insaf tak nak pakai spender kat luar dah. Mungkin sebab dah tak tahan kena bahan le tu!

20 June, 2013

Sukan Tahunan 2013

Err... sukaneka tahunan sebenarnya yang Angah sertai tu. Untuk murid tahap 1-3 cuma diadakan acara sukaneka. Sukan tahunan yang ada acara lumba lari tu diadakan pada hari berasingan, khusus untuk murid-murid tahun 4-6.


Apapun, tahniah kepada Angah kerana memenangi pingat pertama dalam hidup beliau. Apa pun warna pingatnya, ayah dan ibu tetap berbangga.

18 June, 2013

Memancing di Tasik Kenyir

Catatan trip memancing di Tasik Kenyir menaiki boat house bersama rodong-rodong (kawan-kawan) sekampung...

Tarikh: 15-17 Jun 2013 (Sabtu-Isnin)

Pemancing terlibat: 18 orang, termasuk seorang wanita (isteri kepada ketua komplot Abg. Umar) yang bertindak sebagai tukang masak. 

Kemudahan yang disediakan dalam rumah bot sepanjang trip:
- 4 buah bot kecil, 2 buah bilik lengkap tilam dan bantal, tandas, dapur yang lengkap dengan peralatan memasak, bbq dan pinggan mangkuk, siaran Astro dan karaoke.

Umpan: Ikan hidup, isi ikan, dedak, roti, cengkerik, sawit peram, umpan tapa & gewang pelbagai jenis untuk casting.

Hasil tangkapan: Toman, Sebarau, Belida, Baung, Lampam, Rong, Potok, ikan buntal pun ada... lupa pulak nak kira berapa ekor tapi memang banyaklah jugak terutamanya ikan lampam.

Hari Pertama:
- 8.30 pagi, bertolak dari jeti Pengkalan Gawi, kata tekong perjalanan ke lokasi yang dituju mengambil masa lebih kurang 5 jam. Masa terluang diisi dengan acara setting joran, menetapkan peraturan untuk acara jackpot dan tidur. Jam 12.30 tengahari baru sampai di pintu masuk Taman Negara Terengganu di jeti Tanjung Mentong. Selesaikan urusan permit masuk di sini dan teruskan perjalanan sejam lagi. 

- Sebaik selesai makan tengahari dan rumah bot ditambat di lokasi strategik berhampiran tebing, masing-masing terus memulakan aktiviti memancing sampai ke malam. Petangnya, keempat-empat bot kecik digunakan untuk meredah lubuk oleh kaki-kaki casting.






Hari Kedua:
- Pagi ni grup kami berpecah, ada yang memancing di rumah bot, ada yang meneruskan aktiviti casting, dan aku ikut grup trekking ke hulu Sungai Trenggan, kononnya untuk memburu kelah. Tapi sampai ke petang yang dapat cuma anak ikan rong je... Balik ke boat house memancing ikan lampam je lah...


- Lewat petang, sebuah bot belum balik ke rumah bot, hantar sebuah bot untuk rescue, rupa-rupanya terkandas sebab masalah enjin. Malamnya sambung memancing dari atas boat house je sampai ke pagi, sambil diserikan dengan acara bermain kad dan dihiburkan dengan bunyi gajah dari dalam hutan berhampiran tebing.




Hari Ketiga:
- Awal pagi sempat lagi memancing. 9.00 pagi tekong menghidupkan enjin menandakan masa untuk balik ke pangkalan.



Alhamdulillah, rata-rata semuanya dapat merasa tarikan ikan tak kira lah kecil atau besar. Terima kasih kepada tukang masak yang menyediakan makanan tepat pada masa dari pagi hingga ke malam tanpa mengenal penat lelah. Terima kasih juga kepada rodong-rodong kerana sudi memberi tunjuk ajar dan ilmu memancing kepada bapak budak baru belajar ini, kalau salah tolong jolokkan.

Jumpa lagi di trip lain.

* Semua gambar dicilok dari FB rodong-rodong.

08 June, 2013

Bowling POG 2013

Setiap tahun ofis aku akan mengadakan kejohanan bowling tertutup. Dan seperti biasa aku hanya mahu bermain sambil bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan. Nak mencabar kejuaraan tu aku tak berminat sangat (padahal memang tak terrer pun haha).


Cerita penuh di SINI

05 June, 2013

Ulangtahun ke-10: Jelajah Kuantan-Pekan-Rompin

~ Ketika berpuluh ribu rakyat Pahang dan Elephant Army berkonvoi ke Stadium Bukit Jalil untuk menyokong pasukan Tok Gajah menentang pasukan Harimau Selatan di separuh akhir Piala F.A, aku sekeluarga pula menyongsang arus menuju Kuantan.

1 Jun 2013 (Sabtu)

~ Hari ini genap 10 tahun aku dan isteri melayarkan bahtera  merentasi samudera, ditemani 3 orang anak kapal yang perangainya bermacam ragam. Syukur kepada-Nya kerana bahtera kami jarang sekali dilanda ribut membadai mahupun ombak bergelora. Semoga bahtera ini terus kekal utuh hingga selamat tiba di pelabuhan terakhirnya iaitu sebuah tempat yang bernama alam barzakh.... seterusnya hingga ke syurga... aamiinn.

~ Kebetulan sekarang cuti sekolah, ambil peluang bawa anak bini jalan-jalan, destinasi yang dituju adalah sekitar daerah Kuantan, Pekan dan Rompin. Walaupun aku anak jati Pahang, ada dua tempat dalam Pahang ni yang belum pernah aku jejaki iaitu daerah Pekan dan Rompin.

~ Destinasi pertama dituju ialah pantai Teluk Cempedak, Kuantan... pantai yang banyak bongkah batu besar ni memang indah... teringat kenangan zaman remaja pernah berkhemah di pantai ni.


~ Dari Teluk Cempedak, jalan-jalan cari makan sebab perut dah berbunyi minta diisi. Singgah di Warung Paksu & Maksu di Tanjung Lumpur (sebelah Pondok Polis Peramu). Gerai nampak biasa je tapi apahal la banyak kereta parking depan warung ni... mesti ada 'sesuatu' ni. Rupanya macam-macam makanan Pantai Timur ada di warung ni. Nasi dagang, nasi minyak, nasi kerabu, pulut kuning cicah kari ayam, laksam, sata, otak-otak, keropok lekor, makanan laut yang digoreng celup tepung dan pelbagai jenis kuih tradisional. Harganya pulak memang sangat berpatutan... kami siap tapau sata lagi. Oh, syok mentekedarah, sampai lupa nak ambil gambar. Lepas makan, jangan lupa mensyukuri nikmat dengan mengerjakan suruhan-Nya, kami solat jamak di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

~ Selesai solat, bergegas ke Caribbean Bay Suites, Bukit Gambang Resort City, tempat penginapan yang aku dah tempah sebelum ke sini. Tiada perancangan untuk bermandi-manda di Bukit Gambang Waterpark, sekadar mahu menginap di sini sebab kebanyakan hotel lain yang aku survey semuanya penuh. Penginapan di sini jenis apartment 2 bilik, memang sesuai rasanya untuk kami laki bini yang nak berbulan madu kali kedua sempena meraikan ulangtahun ke-10 ni. Nak bulan madu berdua-duaan, tak sampai hati pulak rasanya nak meninggalkan anak-anak dan menyusahkan orang lain menjaga mereka.

~ Masa nak check-in, begitu ramai manusia lain yang menunggu giliran, siap kena ambil nombor lagi... almaklumlah musim cuti sekolah ni. Nombor giliran yang aku ambil, ada dekat 200 orang lagi sebelum giliran aku... gila nak menunggu, mau sampai malam ni. Nasib baik ada seorang kakitangan hotel yang bersimpati melihat muka seposen kami sekeluarga, lalu menghulurkan 2 tiket dewasa komplimentari  untuk masuk ke Bukit Gambang Safari Park, satu tarikan baru di sini. Katanya pergilah berjalan-jalan dulu sementara nak tunggu check in, terima kasih kepada beliau. Tambah RM54 lagi (RM18 seorang) untuk tiket masuk anak-anak, memang agak mahal tapi berbaloi dengan keseronokan yang dirasai anak-anak.

semuanya haiwan betul... kecuali singa & rimau le...

~ Dari 4.00 petang hingga 8.30 malam, kami menjelajah seluruh Bukit Gambang Safari Park, termasuk menyaksikan persembahan haiwan dan pertunjukan api. Makan malam nasi beriani di restoran yang ada dalam Safari Park ni je. Anak-anak pun dah letih, masa untuk check-in hotel.


2 Jun 2013 (Ahad)

~ Lepas bersarapan di hotel, bagi peluang anak-anak mandi di kolam renang hotel selama 2 jam sebelum check-out. Destinasi kami seterusnya, menuju daerah Pekan yang merupakan bandar diraja Pahang dan kawasan parlimen Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Memandangkan kesuntukan masa, kami hanya sempat singgah di Muzium Sultan Abu Bakar.

sekitar Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan

~ Dari Pekan, kami meneruskan perjalanan sejauh 75 km menuju Kampung Leban Condong, Kuala Rompin. Tujuannya hanya satu iaitu untuk menikmati keenakan udang galah Rompin yang terkenal itu sebelum balik ke KL petang ni. Ada beberapa gerai makan yang terletak di R&R Leban Condong ni (berhampiran simpang ke Muadzam Shah) yang menyediakan hidangan udang galah.


~ Gerai Makan Azizah menjadi pilihan kami. Khabarnya tersohor juga gerai ni sebab pernah masuk TV3. Di sebelahnya Gerai Mak Ngah pun agak famous juga. Kita boleh pilih udang yang dah siap masak atau nak suruh dia masak ikut selera kita pun boleh. Berbagai jenis masakan udang galah ada di sini sama ada masak bercili, masak tomato, masak halia,  masak lemak cili api ataupun goreng kunyit. Harga antara 50-70 sekilogram ikut saiz dan gred. Kalau udang saiz besar, 4-5 ekor pun dah cecah sekilo. Dapat rasa seekor pun dah puas makan. Udang saiz sederhana pulak setengah kilo pun dah cukup. Rasanya memang manis, segar dan dihidang pulak panas-panas... pehh memang mengancam. Kalau nak beli yang mentah untuk dibawa pulang pun boleh.

~ Lepas makan, kami ronda-ronda sekitar bandar Kuala Rompin, kira-kira 16 km dari Kg. Leban Condong. Selain terkenal sebagai Bandar Udang Galah, perairan Kuala Rompin juga terkenal sebagai ''Destinasi Antarabangsa Sukan Memancing Ikan Layaran". Berdekatan bandar Kuala Rompin ada sebuah pantai tempat bersantai iaitu Pantai Hiburan. Tak taulah hiburan apa yang ada kat sini, tapi petang-petang memang ramai yang datang lepak, mandi-manda dan main layang-layang.

~ 1 km dari Pantai Hiburan, ada sebuah tempat penginapan iaitu Rompin Beach Resort. Kami mengambil keputusan tergempar untuk bermalam di sini memandangkan keadaan perut aku (dan biniku juga) yang bergelora, tak begitu selesa untuk memandu pulang sejauh 320 km. Mungkin sebab banyak makan udang galah kot... tapi baru je makan takkan dah sakit perut. Jadi suspek utamanya adalah macam-macam makanan yang disumbat masa sarapan kat Caribbean Bay Suites, Bukit Gambang pagi tadi. Mujur anak-anak ok sebab diorang makan sikit je. Takpe esok ambik m.c je lah. Masaklah kalau bos aku tau ni, jangan marah bos...haha!

~ Lepas 'melabur' sepuas-puasnya di bilik penginapan berbentuk chalet, bawa anak-anak mandi-manda... dari kolam renang, kemudian ke pantai dan ke kolam renang semula.

kolam dan pantai
~ Malamnya, singgah di sebuah gerai di medan selera Kuala Rompin (sebelah Pasaraya Tunas Manja). Pelanggan takde la ramai sangat tapi servis memang lembab dan selepas hampir sejam menunggu, awek pelayan tu dengan selambanya kata bahan-bahan untuk masak nasi goreng yang kami pesan dah habis... pergghh... Aku terus bayar harga air sambil berterima kasih banyak-banyak pada tauke kedai. Walaupun tauke kedai langsung tak minta maaf tapi aku agak kagum dengan diri sendiri kerana berjaya mengawal diri dari mencarutkan beliau. Akhirnya ikut cadangan anak-anak pergi makan KFC lagi cepat siap... huhu. (Tak perlu rasanya aku sebut nama gerai tu, tak nak menjejaskan rezeki dia... mungkin ada hikmah di sebaliknya yang kita tak tau).


3 Jun 2013 (Isnin)

~ Lepas solat subuh, ajak anak-anak ke pantai menikmati pemandangan matahari terbit di pantai Rompin. Lepas bersarapan di hotel, bagi anak-anak mandi kolam selama 2 jam lagi. Lepas check-out, kami menuju pekan Tanjung Gemok. Terdapat jeti ke Pulau Tioman di sini dan juga jambatan menyeberangi Sungai Endau yang merupakan sempadan negeri Pahang-Johor. 

indahnya 'sunrise' di pantai Rompin

~ Kemudian berpatah balik menuju Kuala Rompin. Ternampak papan tanda Taman Negeri Endau-Rompin sejauh 28 km melalui Felda Selendang. Singgah nak tengok apa yang ada kat sana. Setelah melalui jalan berbukit bukau dan jalan yang rosak dilanyak lori, sampai juga kami di pintu masuk Taman Negeri Endau-Rompin dari sebelah negeri Pahang. Sunyi sepi je keadaan di sini tanpa pengunjung, mungkin sebab kami datang pada hari Isnin, sebab tu takde orang kot. Yang menarik di sini cuma ada jeram untuk mandi-manda, mujurlah anak-anak tidur lena dalam kereta. Kalau tak, panjang ceritanya, diorang ni spesis yang pantang jumpa air. Dapat bergambar kat papan tanda pun cukuplah. Menurut seorang kakitangan jabatan perhutanan yang bertugas di situ, hujung minggu ramai juga pengunjung yang berkhemah di sini, banyak aktviti hutan boleh dilakukan... boleh rujuk di SINI.



~ Hari pun dah tengah hari, kami singgah sekali lagi di Gerai Makan Azizah, untuk menikmati masakan udang galah sepuas-puasnya, bukan selalu datang sini jadi belasahlah cukup-cukup. Lepas makan, masa untuk pulang ke KL. Singgah solat jamak di Masjid Muadzam Shah.

Perjalanan kami sejauh hampir 900 km : A.Sungai Buloh - B.Kuantan - C.Bukit Gambang - D.Pekan -
E.Kg. Leban Condong - F.Endau - G.Taman Negeri Endau-Rompin - H. Muadzam Shah - I.Sg.Buloh...

~ Alhamdulillah, selamat sampai di rumah hampir menjelang maghrib.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...