27 April, 2013

Aina dah ada bilik sendiri

"Along & Angah selalu tak bagi Aina masuk main dalam bilik diorang, lepas ni diorang tak boleh nak eksyen lagi. Terima kasih ayah dan ibu...". Mungkin itulah agaknya kata Aina, 3 tahun 5 bulan, setelah mendapat bilik sendiri. Walaupun masih tidur di bawah ketiak ibunya, bilik sendiri tu sebagai persediaan untuk tidur sendiri bila dah besar sikit nanti.


Lebih setengah hari jugalah ayah dan ibunya ni bertungkus lumus mengemas dan menyiapkan bilik untuk Aina. Sebuah katil 'double decker' yang asalnya disediakan untuk Along & Angah (dua-dua tak nak tidur sebelah atas) diubahsuai tingkat bawahnya jadi tempat bermain. Bila Aina dah sekolah nanti boleh letak meja tulis jadi tempat belajar pulak.


14 April, 2013

Silat Pengantin @ Melaka

 "tahun depan Along nak belajar silat..." kata Along, 9 tahun, setelah menyaksikan persembahan
silat pengantin di sebuah majlis perkahwinan saudara sebelah ayahnya di Sg. Rambai, Melaka.


Sekian, sebuah entri malas!

09 April, 2013

Gulai Tempoyak Ikan Baung

~ Suatu hari, seorang bapa yang agak mithali mengambil cuti kecemasan untuk menjaga anak sulungnya yang tetiba demam setelah balik dari berkhemah. Tinggallah mereka berdua-duaan di rumah sementara si ibu pergi bekerja, anak yang tengah ke sekolah dan anak yang bongsu ke taska.

~ Untuk makan tengah hari, si bapa mengamalkan konsep memasak saja apa yang dijumpai di dalam dapur. Setelah memasak nasi, beliau menggoreng telur dadar kemudian hentam sahaja resipi spontan iaitu memasak setin sup ayam Campbell dicampur bersama isi ayam dan daun bayam. Maka dinamakanlah resipi baru ini Sup Ayam Bayam Campbell.

~ Kemudian dalam peti sejuk, si bapa ternampak seekor ikan baung saiz sederhana yang diberi oleh seorang sahabat (yang tak makan ikan sungai) dan juga semangkuk tempoyak. Terlintas idea bernas untuk masak gulai tempoyak, lalu beliau menggugel resipi yang berkaitan. Maka lahirlah masakan ini yang diubahsuai dari resipi gulai tempoyak ikan patin (praktikalnya diubahsuai mengikut apa yang ada di dapur ketika itu).


Bahan-bahan kalau ikut sebijik dalam resipi
dan praktikalnya hentam sajalah (seperti dalam kurungan)

- 2 ketul isi ikan patin (ikan baung je yang ada, kiranya suku-sakat patin juga ni, potong jadi 4 ketul)
- 3 biji cili merah (ehh tak jumpa pulak cili merahnya)
- 1 batang serai (nasib baik ada tanam dalam pasu)
- 3 biji cili padi (sebab suka pedas, taruk sampai 5 biji)
- 5 sudu makan tempoyak (laa... dalam mangkuk tu tinggal 3 sudu je)
- 1 inci kunyit (bantai je la kunyit serbuk 1/2 sudu)
- 2 keping asam keping (mana pulak asam keping ni, yang ada jeruk belimbing buluh je pemberian sorang sahabat, kira bolehlah tu janji ada masam-masam sikit)
- 1 biji timun bulat, dipotong setebal 1/2 inci (nasib baik ada timun)
- sedikit garam, gula dan serbuk perasa

yang hitam tu jeruk belimbing buluh


Penyediaannya kalau ikut sebijik dalam resipi
dan praktikalnya hentam sajalah (seperti dalam kurungan) 


1. Kisar cili merah, cili padi dan kunyit bersama-sama tempoyak.
(bahan yang ada cuma cili padi, tumbuk je lah)

2. Rebus bahan yang dikisar hingga mendidih.
(Masukkan 2 gelas air dalam periuk, masukkan cili padi, serbuk kunyit dan tempoyak)

3. Masukkan asam keping, timun bulat, serai yang telah dititik serta sedikit gula, garam dan serbuk perasa. (Masukkan jeruk belimbing buluh dan... samalah seperti di atas)

4. Masukkan ikan dan masak sehingga didih.

5. Sedia untuk dihidang... rupanya seperti gambar di atas.


~ Waktu rehat tengahari, si ibu dan si anak yang tengah pulang ke rumah untuk makan. Resipi baru Sup Ayam Bayam Campbell (lupa pulak nak ambil gambar), memang sesuailah untuk budak demam, yang penting anak-anak kata rasanya sedap sampai licin sup tu dihirupnya. Si bapa peduli apa kalau orang lain rasa tak sedap.

~ Paling penting, Gulai Tempoyak Ikan Baung pulak memang kena dengan tekak si bapa merangkap tukang masaknya. Begitu juga si ibu yang memuji masakan tersebut (tak pasti sama ada beliau terpaksa memuji untuk menjaga hati tapi dari bahasa tubuhnya, pujian beliau kelihatan agak ikhlas).. haha.


Apahal pulak tetiba ada resipi masakan dalam blog ni? Dah jadi blog masakan ke apa? Selalunya blogger kaum hawa je yang rajin buat entri masakan nih. Bukan apa, si bapa tu memang jarang memasak, tambahan pulak pertama kali masak gulai tempoyak... sebab tu agak teruja... heheh!

08 April, 2013

Berkhemah di Santuari Ikan Sungai Chiling

6-7 April 2013 (Sabtu-Ahad) - Cubaan membuat pakatan tak rasmi untuk perkhemahan keluarga di Sungai Chiling sambil 'reunion' dengan beberapa sahabat lama sepergunungan tidak kesampaian. Mungkin sibuk dengan urusan masing-masing, hanya Wak Rashid sekeluarga yang berkelapangan untuk turut serta. Apadahal, dua keluarga berkhemah bersama pun dah cukup meriah.

~ Sungai Chilling ni terletak 14 km dari pekan Kuala Kubu Bharu, jalan menuju ke Fraser Hill. Lepas Empangan Sungai Selangor dan lepas satu jambatan kecik, nampak banyak kereta parking tepi jalan kira dah sampailah tu. Jalan masuknya melalui pintu gerbang tertulis Santuari Ikan Sungai Chiling. Tempat ni dibuka untuk pelawat hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Hari lain tutup untuk kerja-kerja pemuliharaan.

~ Dari pintu masuk kena trekking lebih kurang 500 meter sampailah jumpa tapak perkhemahan yang cukup luas dan lengkap dengan kemudahan tandas, surau, wakaf dan kaunter pendaftaran. Tempat ni sekarang dijaga oleh Jabatan Perikanan. Dah lebih 10 tahun tak ke sini, nampak banyak perubahan bila tempat ni dimajukan. Bayaran masuk cuma RM 1 seorang.

ada peta takkan sesat kot...
banyak pantang larangnya tuu...

~ Tapi kalau nak berkhemah kena bayar deposit minimum RM 150 sekumpulan atau RM 10 seorang bagi kumpulan melebihi 15 orang. Tujuan dikenakan deposit adalah untuk menjaga kebersihan tapak perkhemahan. Kalau balik tinggalkan sampah bersepah maka hanguslah deposit jawabnya. Masa kami sampai selepas asar, ramai pelajar dari UPSI turut berkhemah di sini.

~ Dah siap pasang khemah, 'ground & fly sheet', lepaskan anak-anak yang dah tak sabar-sabar nak mandi sungai. Sungai di tapak perkhemahan ni memang jernih dan agak cetek, sesuai untuk budak-budak mandi. Banyak ikan kelah dan tengas berkeliaran dan akan mendekati kita kalau ditabur makanan. Makanan ikan boleh dibeli di kaunter pendaftaran pada harga RM 2 sebungkus kecil, kalau bawa sendiri lagi menjimatkan sebab kalau anak-anak yang bagi, sekejap je habis makanan ikan tu ditaburnya. Ikan-ikan di sini bersaiz agak kecil, mungkin ada ikan saiz besar di lubuk-lubuk tertentu.

geramnya tengok ikan kelah ni.... rasa macam nak tebar jala je...
santai petang

~ Dilarang sama sekali memancing ikan di sini.  Kalau ada berani dan sanggup ambil risiko didenda atau penjara atau kedua-duanya sekali, silakan memancing tapi kalau kantoi jangan kata aku yang suruh. 10 tahun dulu masa tempat ni belum diwartakan sebagai santuari ikan kelah, aku pernah memancing kat air terjun tingkat ketiga paling atas. Meleleh air liur bila tengok sekumpulan besar ikan kelah dan tengas sebesar lengan tapi seekor pun tak menyangkut, mungkin sebab umpan tak sesuai (masa tu kalau tak silap aku pakai cengkerik je).

ada berani???

~ Menjelang maghrib hujan renyai-renyai mula turun dan kadang kala agak lebat. Tanpa dirancang kedua-dua keluarga berkongsi makanan seadanya. Menu malam ni nasi berlauk kari sardin, kari ayam, ayam BBQ, sosej dan sayur kubis masak kicap. Ahh, dalam hutan makan apa pun sedap. Kekenyangan melanda... malam pun masih muda, tapi hujan masih belum reda... apa lagi tidur le jawabnya... (ada unsur-unsur pantun di situ nampaknya).

santapan malam

~ Ahad, menu sarapan pagi ni agak mewah... nasi goreng, mi segera, sandwich dan roti john. Anak-anak terutamanya perlu makan banyak sebab hari ni akan banyak menggunakan tenaga nak mandi sungai sampai kecut. 


~ Kelihatan ramai yang mula trekking naik ke air terjun, memakan masa kira-kira 45 minit dan kena melintasi sungai 6 kali termasuk 1 jambatan gantung (sungai yang sama sebenarnya, cuma kena lintas banyak kali sebagai jalan pintas ke air terjun). Selepas 3.00 petang tak dibenarkan mendaki ke air terjun atas sebab-sebab keselamatan. Petang-petang selalu hujan, khabarnya di sini bila hujan sering berlaku kejadian kepala air, kalau terkandas atau dilanda kepala air buruk padahnya.

pandangan dari atas jambatan gantung berdekatan tapak perkhemahan
mandi la puas-puas...

~  Memandangkan aku bawa anak kecik, lain kali je lah aku trekking ke air terjun, tunggu anak-anak besar sikit. Lebih kurang jam 3.00 petang, elok-elok siap je berkemas nak balik, hujan turun... nasib baik sempat lipat khemah semua.

OK, cukup setakat ni... lepas ni nak camping di mana pulak?

 
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...