28 February, 2013

Trans-Titiwangsa V2

Intro:

Dah lebih tiga tahun tak mendaki mana-mana gunung, tiba-tiba buat gila dengan menyertai xpdc mendaki Trans Titiwangsa V2, antara pendakian gunung dalam kategori hardcore. Segalanya bermula bila terjumpa event ni melalui FB Grup Nature Explorer, diterajui Bro. Sham Castello.

Ada 4 gunung utama yang bakal didaki iaitu Gunung Yong Yap, Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar yang merupakan antara gunung utama yang membentuk Banjaran Titiwangsa. Gunung-gunung dalam kategori G7 ini juga antara yang tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan ketinggian melebihi 7000 kaki.

Dengan persiapan ala kadar (sekadar berjogging 3 kali seminggu, dua bulan sebelum pergi ), aku sebenarnya tak pasti mampukah aku menghadapi cabaran getir yang menguji fizikal dan mental di tahap maksimum ni. Tapi alang-alang dah mendaftar, dah ambil cuti dan membayar segala kos, aku redah saja... Ini catatan pengembaraan aku untuk diceritakan kepada anak cucu aku nanti. Catatan yang agak panjang dan memakan masa hampir sebulan untuk ditulis... dan aku pun dah ingat-ingat lupa apa yang berlaku sepanjang misi tu.


Jurupandu arah: Are-xam Tikusletrik & Mat Tembakau (guide Orang Asli)

24 Pendaki tegar: Big, Uncle Alam, Acap, Amin, Raja, Apek, Shah, Fadzly, Hirwan, Mirul, Hanny, Isz, Myra, Izan, Zahid, Tiqa, Sarah, Abas, Shimi, Apex Iqbal, Ustaz Azrin, Ariff ,Yazid dan aku.

Laluan: Kg. Raja- Kg. Sg. Rengil - Kem Sungai Y - Kem Agas - Kem Balak Pecah - Puncak G.Yong Yap - Puncak G.Bubu - Kem Lopak Air - Puncak Kayong - Puncak Kambing - Puncak G.Tok Nenek - Kem Kacang - Puncak Belumut - Bonsai Semak - Kem DGU - Puncak View - Bonsai Tengah - Kem Lembah Agas - Anak Junction - Puncak G.Junction - Kem Cerek - Puncak G.Korbu - Puncak G.Gayong - Kem Cerek - Puncak G.Junction - Kem H2O - Puncak H2O - Kem Kuali - Puncak G.Yong Belar - Kem Kasut - Kem Tudung Periuk - Blue Valley Dam - Kg. Raja.

pandangan dari puncak Yong Yap, kredit gambar SOS


HARI 0 (8 Feb. 2013 - Jumaat) : KL - Kg. Raja, Cameron Highlands.

Mulai jam 11 malam, para pendaki mula berkumpul di Putra LRT Gombak. Kesesakan jalanraya sempena cuti Tahun Baru Cina menyebabkan kelewatan beberapa pendaki untuk tiba di sini. Dari sini kami berkongsi kereta dan aku menumpang kereta Citroen milik Bro. Fadzly bersama Hirwan dan Mirul. Hampir jam 1.00 pagi barulah kami bergerak menuju Kg. Raja. Lalu lintas agak sibuk sempena cuti panjang dan kami berhenti seketika di R&R Tapah untuk menyegarkan mata pemandu Citroen yang dah mula layu.


HARI 1 (9 Feb. 2013 - Sabtu) : Kg. Raja - Kem Agas 

Hampir jam 5.00 pagi, kami tiba di Masjid Kg. Raja. Dalam kedinginan pagi di Cameron Highlands, kami cuba melelapkan mata buat seketika sementara menunggu waktu subuh. Dalam tidur-tidur ayam, kami terjaga setelah terdengar azan subuh dilaungkan oleh seorang bilal veteran yang dah agak semput (manakah perginya anak muda di Kg. Raja ni agaknya?). Selesai solat subuh berjemaah, para pendaki diberikan ration untuk 8 hari dan ada yang terpaksa re-packing beg masing-masing untuk menyumbat muatan tambahan yang baru diterima. Bagi yang bawa ration sendiri tiada masalah rasanya.
Setelah mengisi perut di gerai berdekatan, kami berkumpul pula di Sek. Keb. Kg. Raja untuk meletak kereta seterusnya menaiki 4x4 yang telah menunggu untuk membawa kami ke kampung Orang Asli Sg. Rengil. Perjalanan memakan masa lebih kurang 40 minit. Di sini kami menunggu seketika sementara Sham Castello melaporkan senarai nama pendaki di Balai Polis Lojing.

11.30 pagi, dari Kg Sg Rengil kami memulakan cabaran V2 menuju ke Kem Agas, singgah makan tengah hari yang telah ditapau sebelumnya di Simpang Sungai Y (kalau tak silap). Trek menuju Kem Agas ni taklah terlalu mencabar, cuma aku rasa berpuluh kali jugalah meredah sungai yang sama untuk sampai ke kem ni. 

Aku sampai ke Kem Agas kira-kira jam 5.30 petang. Pendaki lain yang lebih pantas dah sampai lebih awal malah dah siap pasang khemah dan flysheet... bolehlah aku menumpang tidur.. hehe. Kem Agas ni mewah dengan air sebab sungai ada berdekatan, dan syukur waktu kami di sini taklah banyak sangat agas. Lepas menjamah makan malam yang disediakan oleh Hirwan (chef tak bertauliah untuk yang makan ration company), aku pun lena sampai ke pagi menumpang di bawah fly budak-budak UMP. Terima kasih Abas, Apex dan Shimi!






HARI 2 (10 Feb. 2013 - Ahad) : Kem Agas - Puncak G.Yong Yap 
9.00 pagi, selesai bersarapan dan dengan berbekalkan sebungkus nasi putih berlauk sambal ikan bilis untuk makan tengah hari, kami memulakan misi V2 hari ini untuk menakluk puncak Gunung Yong Yap. Singgah makan tengah hari di Kem Balak Pecah.

Perjalanan hari ni agak jauh dan mencabar kerana terpaksa menempuh trek yang pacak lagi mencanak hampir 80 darjah... betul-betul mencabar mental dan fizikal. Ditambah pula terpaksa memikul beg berat serta lebih 4 liter air (untuk kegunaan di puncak Yong Yap) dari last water point di Kem Balak Pecah tadi...

6.15 petang, akhirnya aku berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Yong Yap (2168 meter/7113 kaki). Syukur alhamdulillah tapi sayang pemandangan di puncak agak terhalang kerana berkabus. Kami bermalam di sini sambil menggigil melayan kesejukan dengan suhu mencecah 12'C.





HARI 3 (11 Feb. 2013 - Isnin) : Puncak G.Yong Yap - Puncak Kambing 

9.00 pagi, selesai bersarapan dan bergambar di Puncak Yong Yap yang masih berkabus, kami meneruskan misi V2 menuju sasaran tempat bermalam seterusnya iaitu ke Puncak Kambing. Khabarnya perjalanan hari ni lebih mencabar mental dan fizikal kerana treknya yang jauh dan pendakian menegak sehingga ke puncak Gunung Bubu.

Aku selamat sampai di puncak Gunung Bubu (1974 meter/6476 kaki) pada jam 3.30 petang. Singgah lama sikit di sini menunaikan solat jamak dan makan tengah hari. Hanya ada 5-6 orang rakan pendaki yang aku temui di sini, yang lain telah meneruskan perjalanan... memang laju diorang ni.

Kemudian teruskan perjalanan dan sampai di Kem Lopak Air (last water point) pada jam 6.30 petang. Terpaksa turun sikit ke lembah untuk mengambil bekalan air dari lopak yang mengalir perlahan... siap terceduk berudu masuk dalam botol... kira halal je lah. Hari pun dah beransur gelap, nampak gayanya hari ni kena kerja over time. Waktu ni kebetulan pulak aku berjalan berempat (dengan Fadzly, Hirwan & Mirul) yang sama-sama berkongsi satu kereta, bolehlah digelar Citroen Rally Team kot.

Tiba di Puncak Kayong lebih kurang jam 8.30 malam. Dalam kegelapan, berkabus dan angin bertiup agak kencang, kami meredah trek pacak yang seolah-olah tak berkesudahan... Akhirnya sengsara berakhir bila selamat tiba di Puncak Kambing (1905 meter/6250 kaki) pada jam 9.00 malam. Kumpulan terakhir pula tiba kira-kira jam 11.00 malam.


Campsite di sini agak sempit. Lepas makan malam, pasang fly & ground di satu ruang sempit yang agak curam, letak beg di hujung kaki sebagai penahan... asalkan tak menggelungsur dan boleh lelapkan mata kira ok lah tu. Satu kesilapan besar yang aku buat dalam misi V2 ni adalah aku tak teringat langsung nak bawa ground mat untuk alas tidur, sungguh sengsara dalam suhu sejuk pergunungan ni. Nasib baik ada sahabat sudi berkongsi... terima kasih Mirul, jasamu dikenang!


HARI 4 (12 Feb. 2013 - Selasa) : Puncak Kambing - Kem DGU

Pagi ini, kami bergerak dari Puncak Kambing menuju ke Puncak Gunung Tok Nenek (1916 meter/6286 kaki), yang cuma memakan masa 10 minit. Puncaknya yang berbatu ini turut menyajikan pemandangan indah 360 darjah sekitar Banjaran Titiwangsa. Tapi sayangnya nasib tak menyebelahi kami kerana puncak Gunung Tok Nenek diselubungi kabus tebal yang menghadkan jarak penglihatan... Namun begitu, sesi bergambar sakan tetap diteruskan.




Dah puas bergambar, kami meneruskan perjalanan turun ke Kem Kacang, dan kemudian perlu mendaki semula kira-kira 1 jam ke Puncak Belumut. Jam 4.00 petang, aku sampai di Puncak Bonsai Semak (1844 meter/6050 kaki). Hujan mula turun walaupun tak begitu lebat. Akhirnya dalam kebasahan dan kesejukan, selamat sampai di Kem DGU pada jam 5.30 petang.. Alhamdulillah hari ni tak perlu OT. 

Kem DGU (bermaksud Don't Give Up atau Dah Give Up... boleh pilih mana suka mengikut situasi masing-masing), campsitenya agak besar dan ada sungai di sini. Selepas membersihkan diri di anak sungai dan makan malam, aku menumpang tidur dalam khemah bro. Ariff... Walaupun tidur dalam khemah, tapi disebabkan hujan sepanjang malam, kami tidur dalam keadaan lembab, sleeping bag pun basah.



HARI 5 (13 Feb. 2013 - Rabu) : Kem DGU - Puncak Gunung Junction

Cuaca yang lembab menyebabkan pergerakan turut menjadi lembab, tapi perjalanan harus diteruskan. Hampir jam 10.00 pagi baru meninggalkan Kem DGU menuju ke destinasi seterusnya iaitu Puncak Junction. 


Kira-kira jam 11.00 pagi, aku tiba di Puncak View (1800 meter/5905 kaki) yang melalui kawasan permatang gunung yang sempit. Kata orang, pemandangan di sini memang memukau mata di mana di kiri kanan kelihatan banjaran-banjaran yang menjadi tulang belakang semenanjung. Tapi sayang aku hanya mampu membayangkan kerana cuaca berkabus menghadkan pandangan. Memang takde rezeki agaknya nak tengok pemandangan sepanjang trip ni.


Seterusnya aku dan beberapa rakan di kelompok pertengahan tiba di Puncak Bonsai Tengah (1860 meter /6102 kaki), berhenti melepak di sini hampir setengah jam kerana menikmati cahaya matahari yang dah beberapa hari tak dirasai, bertambah nikmatnya bila ada insan yang bermurah hati menghulurkan coklat... terima kasih Myra.


3.00 petang, kami sampai di last water point Kem Lembah Agas. Berhenti solat jamak, makan tengah hari dan mengambil bekalan air dari sungai di sini. Perjalanan masih jauh. Halangan pertama dari Kem Lembah Agas pun dah menguji mental bila mana terpaksa memanjat melepasi pokok balak tumbang di tepi tebing yang menghalangi trek. Adehh, sampai terkangkang aku, boleh hilang teruna dibuatnya.


Setelah berhenti seketika untuk menghormati waktu maghrib, aku berjalan bertiga bersama Shah dan Izan. Hujan serta angin yang bertiup kencang hampir mematahkan semangat kami. Mental kami begitu terseksa kerana kesejukan dan kepenatan yang melampau...senang cerita dah pewai lah tu. Suluhan headlamp juga terhad jaraknya kerana berkabus.

Aku dah tak mampu lagi mengira bukit yang kami redah. Setiap kali mendaki bukit, harapnya itulah bukit terakhir yang terpaksa kami daki. Tambah menyeksakan bila terpaksa merangkak di bawah pokok... memang tangkap lutut. Hari ni perjalanan terasa begitu jauh sekali, betul-betul menguji kekuatan mental. Lebih kurang jam 8.00 malam, kami sampai di Puncak Junction.... oh tidakkk.... rupanya baru sampai Anak Junction... adoiii... bila la nak sampai ni?

Kira-kira jam 9.00 malam, akhirnya penyeksaan kami seharian berakhir bila kami selamat tiba di Puncak Gunung Junction (2072 meter/6798 kaki). Terus tukar baju dan berteduh di bawah fly kerana hujan dan tiupan angin yang agak kencang. Selepas menikmati air kundur panas dan juga cekodok panas yang dimasak oleh Myra, aku tidur dalam kepenatan yang tak terkata.. walaupun tak begitu lena kerana basah dek tempias dan juga fly yang bocor.

Oh, menjelang tengah malam rupanya masih ada rakan yang belum sampai ke Puncak Junction, iaitu Ariff dan Isz... Apakah yang telah terjadi kepada mereka??? Masing-masing berdoa agar tiada perkara buruk berlaku.


HARI 6 (14 Feb. 2013 - Khamis) : Puncak Junction - Puncak Korbu & Gayong - Puncak Junction.

Kemunculan Ariff dan Isz di Puncak Junction pagi ni melegakan semua orang... alhamdulillah mereka selamat. Rupanya mereka berdua bermalam di Anak Junction kerana dah pewai tahap maksimum dan tak mampu lagi meneruskan perjalanan malam tadi... nasib baik juga si Ariff ada bawa khemah bersama. Semoga peristiwa ni menjadi pengajaran kepada semua.

Dari malam membawa ke pagi, hujan masih tak berhenti. Cuaca yang lembab malah pakaian dan sleeping bag yang lembab turut menyebabkan mental aku pun lembab selembab-lembabnya. Terasa nak sambung tidur dan tak sanggup rasanya nak menyarung baju treking yang dah basah lencun tu dalam suhu sejuk begini. Bagi yang gagah perkasa mental dan fizikal seperti Ustaz Azrin dan grup Uncle Alam & the geng, semuanya telah bersiap untuk menakluk puncak Korbu dan Gayong hari ni, kemudian kembali bermalam di sini. Tapi aku hanya mampu menyahut seruan kawan-kawan dengan mengatakan: "aku tak pergilah wehh...tidur lagi syok, lain kali je lah aku repeat Korbu dan Gayong ni!"

Tapi seruan alam tak siapa dapat menahan. Rasa nak terkencing yang amat sangat memaksa aku bangun juga untuk mengosongkan pundi kencing. Alang-alang aku dah bangun kemudian dibakar dan digegar pula dengan kata-kata semangat oleh si Hirwan, tiba-tiba terus menukar baju treking dan bersiap untuk menakluk KorGa. Sementara menunggu rakan-rakan lain bersiap serta memasak sarapan dan lunch pack, sempat juga aku menadah dua botol air hujan buat bekalan untuk company hari ni.

Hanya 18 pendaki tegar yang masih bersemangat meneruskan cabaran hari ni. Perjalanan ke puncak Korbu dan Gayong secara daypack sahaja, hanya bawa kudap-kudapan dan lunch pack untuk mengisi perut di puncak Korbu nanti. Perjalanan menuju Kem Cerek agak laju kerana treknya menurun dan kami tak perlu membawa bebanan backpack.

11.30 pagi , aku sampai di Kem Cerek, terdapat cerek usang tergantung di sini. Rakan-rakan yang tiba lebih awal menunggu di sini. Sementara menunggu rakan lain, kesejukan yang masih terasa menyebabkan kami terpaksa berhimpit-himpit untuk mengekalkan suhu badan. Ada yang turun mengambil air di punca air yang mana perjalanan turun mengambil masa kira-kira 20 minit. Nak naik balik dah tentu makan masa 30-40 minit... tak sanggup dah aku, cukuplah dua botol air hujan yang ditadah di Puncak Junction tadi.

Perjalanan ke Puncak Korbu diteruskan. Hampir sejam kemudian aku sampai di simpang Korbu dan Gayong. Teruskan perjalanan ke Korbu menyusuri trek permatang yang agak becak. Cuaca masih berkabus... ya Allah berilah hambaMu ini peluang untuk menyaksikan keindahan alam ciptaanMu dari puncak gunung.

3.00 petang, akhirnya aku sampai di Puncak Gunung Korbu (2183 meter/7162 kaki). Rakan-rakan yang lebih awal sampai ada yang dah siap masak air. Memang sungguh nikmat makan nasi berlaukkan serunding sambil disulami dengan aktiviti spontan; scan personaliti berdasarkan tarikh lahir oleh Ustaz Azrin. Dalam pada itu, dari komunikasi sesama abang guide, dapat khabar yang mengejutkan dari abang guide di Gunung Tahan, malam tadi seorang pendaki meninggal dunia dalam pendakian ke Gunung Tahan, dipercayai akibat sesak nafas. Al-Fatihah buat Allahyarham Amir Kamaruzaman Ab. Wahab. Beritanya di SINI.

Setengah jam melepak di Puncak Korbu, kami turun semula menuju ke simpang Gayong. Dalam perjalanan turun ni, kabus semakin menipis dan dapatlah kami menikmati pemandangan indah puncak Korbu yang baru kami tinggalkan, serta pemandangan sekitar banjaran Titiwangsa di kiri kanan kami, memang sejuk mata memandang. Alhamdulillah doa kami dimakbulkan, walaupun cuma untuk seketika kerana sebaik aku sampai di simpang Gayong pada jam 5.05 petang, cuaca kembali berkabus diiringi hujan renyai-renyai.

Dari simpang tu, hanya kira-kira 10 minit berjalan akhirnya aku berjaya tiba di Puncak Gunung Gayong (2173 meter/7129 kaki) pada jam 5.15 petang. Waktu ni aku berdua je dengan Hirwan... yang lain semua dah turun balik ke Kem Cerek. Dua-dua pulak jenis kaki menumpang bergambar kat kamera orang je..haha. Siapa yang nak ambil gambar sebagai bahan bukti kami dah sampai puncak Gayong ni? Terpaksalah aku mencuba nasib dengan mengeluarkan handphone yang baterinya dah nyawa-nyawa ikan tu... nasib baik dapat juga snap 2-3 keping gambar. Lepas tu kami terus turun semula ke Kem Cerek, seterusnya mendaki semula balik ke Puncak Junction.


Kalau masa turun dari Puncak Junction pagi tadi bukan main seronok berlari, masa nak balik ni terimalah pula azabnya mendaki trek pacak lagi mencanak. Berjalan bertiga dalam kesejukan dengan Hirwan dan Isz, meredah hujan serta angin kencang. Melewati waktu maghrib, kami masih tak sampai-sampai. Si Isz nampaknya dah pewai habis sampai nak tidur kejap kat trek, walaupun si Hirwan tak henti-henti memberi kata-kata perangsang. Aku pulak dah tak mampu berkata apa-apa sebab badan menggigil dah rasa lain macam. Kami ambil keputusan tinggalkan Isz seorang diri, biar dia berehat seketika sementara menunggu Hanny dan Are-xam di belakang.

Akhirnya pada jam 9.30 malam kami selamat kembali ke Puncak Junction. Rakan-rakan yang telah tiba awal ada yang dah sedap tidur. Tanpa berlengah terus tukar pakaian kering, pekena air kundur Lo Han Kuo panas, nak makan pun tak lalu, kemudian masuk dalam sleeping bag yang masih lembab... Badan menggigil kesejukan dan perut rasa senak, pedih, berangin dan apa yang masuk rasa macam nak keluar balik. Tak pernah-pernah rasa macam ni dan aku pun tak tau apa yang tak kena dengan badan aku ni. Mungkin tanda-tanda kena hypothermia kot. Malam tu, sambil tidur-tidur ayam, aku muntah-muntah sampai ke pagi.

Panjang gila pulak cerita hari ke-6 ni.... rasa macam tak percaya dapat menakluk KorGa setelah hampir kecundang di awal pagi.


HARI 7 (15 Feb. 2013 - Jumaat) : Puncak Junction - Kem Kuali

Pagi ni agak liat untuk bangun, mungkin disebabkan keletihan kerja overtime semalam dan mungkin sebab tidur tak berapa lena. Cuaca masih berkabus seperti biasa. Tinggal lagi dua hari untuk berada dalam hutan. Keadaan fizikal kurang memuaskan, tapi alhamdulillah dari segi mental masih kuat.

Hari ni kami akan menempuh satu lagi perjalanan jauh menuju Kem Kuali. Trek dari puncak Junction banyak yang menurun, tambah mencabar bila terpaksa menuruni cerun-cerun yang agak curam serta menyusup di celah dan bawah akar pokok.

2.30 petang, aku tiba di Kem H2O yang terletak di lembah. Sesuai dengan namanya, ketibaan aku disambut dengan air sungai yang mengalir deras. Menunaikan solat jamak dan makan tengah hari di sini. Waktu ni, makan adalah satu penyiksaan kerana perut terasa pedih bila dimasuki makanan. Insaf bila membayangkan nikmat makan ditarik balik. Perjalanan diteruskan, kali ni lebih banyak trek mendaki.

6.00 petang, tiba di Puncak H2O, sebuah puncak kecil yang hanya berkeluasan kira-kira 2 meter persegi dan dikelilingi semak belukar. Hujan mula turun renyai-renyai. Aku meneruskan perjalanan bersama Hirwan dan Ariff.

10.00 malam, dalam kesejukan akibat hujan dan tiupan angin kencang, kami selamat sampai di Kem Kuali. Tapak perkhemahannya memang sempit dan menjadi laluan angin. Malam ni sekali lagi aku tak mampu menjamah nasi, siap pasang khemah terus tidur. Khemah dipasang di atas tanah yang becak dan akar berselirat, asal boleh tidur sudah. Oh, siang tadi, melihat keadaan aku yang tak begitu sihat, si Mirul yang tidur sekhemah dengan Hirwan sudi menawarkan tempatnya. Maka buat pertama kalinya setelah 7 hari merasa juga aku tidur dalam khemah.. terima kasih Mirul...


HARI 8 (16 Feb. 2013 - Sabtu) : Kem Kuali - Puncak Yong Belar - Blue Valley Dam

Pagi ni angin masih bertiup kencang. Dek kesejukan, masing-masing bertambah liat nak bangun. Tapi mengenangkan hari ni hari terakhir untuk trekking dalam misi Trans V2 ini, kami kuatkan semangat dan tekad untuk menakluk satu lagi gunung iaitu Gunung Yong Belar. Rupanya malam tadi ketika semua pendaki bermalam di Kem Kuali, seorang pendaki iaitu Ustaz Azrin telah meneruskan perjalanan dan bermalam secara solo di puncak Yong Belar. Menurut beliau, ini dilakukan kerana ingin meraikan kejayaan Grad G7 dengan cara yang unik. Ikut suka Ustaz laa, tapi kepada orang lain dinasihatkan jangan tiru aksi ini kalau 'dada tidak berisi'.

Jam 11.30 pagi, baru mula bergerak meninggalkan Kem Kuali menuju puncak Yong Belar. Walaupun trek agak mencanak, kira-kira jam 12.20 tengah hari aku berjaya menjejak kaki di puncak ketiga tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Yong Belar (2181 meter/7156 kaki). Sekali lagi ditakdirkan tak dapat melihat pemandangan sekitar kerana cuaca berkabus.

Kesemua puncak dalam misi Trans V2 ini telah berjaya dijejaki, hari ni semua pendaki kelihatan tak sabar-sabar untuk menamatkan misi dan keluar segera dari hutan. Setelah puas bergambar, kami bergerak menuruni Gunung Yong Belar, melalui Kem Kasut tanpa disinggahi dan sampai di Kem Tudung Periuk pada jam 4.30 petang... Berhenti makan dan masak air untuk memanaskan badan kerana kesejukan trekking dalam hujan.

Dari Kem Tudung Periuk perjalanan diteruskan menuju Blue Valley Dam (BVD), berjalan di kelompok pertengahan bersama Hirwan, Mirul, Abas, Apex Qbal dan Shimi. Treknya juga mencabar mental dan fizikal kerana dalam keadaan kaki aku yang terseliuh, terpaksa pula meredah naik turun 6-7 bukit termasuk beberapa puncak tipu hingga sampai ke Pintu Rimba.

Dari Pintu Rimba kami menyusuri denai yang dipenuhi pokok resam dan menuruni cerun tanah liat yang agak licin hingga sampai ke Kem Kabin. Menjelang waktu maghrib, kami menyeberangi sebatang sungai dan kemudian meniti di atas batang-batang paip pvc yang membekalkan air ke kawasan ladang pertanian di Cameron Highlands.

Dalam cuaca berkabus, lebih sejam juga rasanya kami meniti batang-batang paip yang berselirat dan licin.  Seterusnya kami terpaksa pula menuruni lebih 200++ anak tangga yang curam dan agak berbahaya kalau tersalah langkah. Akhirnya pada jam 8.50 malam, kami sampai di penghujung tangga menandakan telah selamat sampai ke BVD, tempat di mana berakhirnya misi Trans Titiwangsa V2, disambut oleh Sham Castello & Co. serta 4x4 yang telah menunggu. Sementara itu rakan-rakan di kelompok depan telah selamat meninggalkan BVD.

Sementara menunggu 5 orang rakan yang belum sampai (guider Mat Tembakau, Ariff, Isz, Hanny dan Izan), kami dijamu kopi panas dan kudap-kudapan... sungguh nikmat bagi kami yang kelaparan dan kesejukan ini. Menjelang jam 10.50 malam, mereka masih belum sampai. Pemandu 4x4 mengambil keputusan untuk menghantar kami dulu keluar dari hutan kembali ke dunia bertamadun.


11.30 malam, sampai di SK Kg Raja, tempat kami meletak kereta. Sementara menunggu pilot Citroen yang dah sampai lebih awal, di sini kami membersihkan diri serta mengemas dan melupuskan barang-barang dalam backpack. Lepas tu makan tengah malam di sebuah restoran mamak di Brinchang dan seterusnya ke tempat penginapan, sebuah apartment 3 bilik di Desa Anthurium, memang meriah bila disumbatkan dengan 24 pendaki, jam 2.00 pagi baru tidur.

Khabarnya, 5 orang pendaki di belakang akhirnya sampai di BVD menjelang hampir jam 1.00 pagi... bergerak perlahan mungkin disebabkan kepenatan dan trek yang tak begitu jelas dalam kegelapan malam dan berkabus. Walau bagaimanapun, alhamdulillah semuanya selamat sampai. Esoknya balik KL.


Penghargaan:

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana misi cabaran Trans Titiwangsa V2 bersama grup Nature Explorer ditamatkan dengan jayanya. Jutaan tahniah untuk semua, tahniah juga untuk mereka yang dah Grad G7 dalam misi kali ni.

Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat memberi bantuan, nasihat, teguran, kata-kata pembakar semangat, bagi tumpang khemah dan yang sudi menjadi peneman masa trekking.

Jutaan kemaafan di atas sebarang kesulitan yang timbul dan jika ada senda-gurau berlebihan serta terkasar bahasa harap dimaafkan, serta dihalalkan makan minum. 

Semoga berjumpa lagi.


P/S: 

~ Setelah melihat dan memeriksa kedua-dua belah kaki dan tangan aku yang bengkak, calar balar serta disahkan mengidap gastrik (patut pun perut rasa semacam)... ditambah pula buat muka kesian, akhirnya doktor bermurah hati memberi MC selama dua hari... hehe.

~ Satu rekod baru peribadi juga tercipta dalam misi V2 ini tapi rekod yang tidaklah boleh untuk dibanggakan... iaitu rekod paling lama tidak melepaskan isi perut. Pada hari ke-8 setelah keluar dari hutan barulah ada rasa untuk melepaskan isi perut di Apartment Desa Anthurium... ahh... leganya. Bukan sengaja ditahan-tahan... tapi dah memang tiada rasa nak berak, nak buat macam mana... huhu.




02 February, 2013

Basikal baru...

Semasa si ayah mendapat ganjaran bonus hujung tahun lalu, tidak banyak yang boleh diraikan kerana habis diperuntukkan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Maka sempena meraikan hari bonus si ibu bulan ni, anak-anak mendapat tempiasnya dengan 3 buah basikal baru dibawa pulang... yeay!



"Terima kasih ibuku sayang yang baik hati...", demikianlah ayat-ayat yang mengandungi unsur membodek yang keluar dari mulut si Along dan Angah setiap kali mendapat sesuatu.

Dah terrer bawa basikal nanti bolehlah pergi sekolah sendiri... tak payah ayah hantar lagi ye.


Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...