19 August, 2013

Aku dan Rock Kapak

~ Aku  membesar di zaman rock kapak sekitar tahun 80-an dan awal 90-an, zaman di mana kumpulan rock berpenampilan agak ganas dengan seluar ketat yang nak sarung bukan main susah, kekadang terpaksa sarung kaki dengan beg plastik dulu (bagi licin) baru boleh sarung seluar. Lepas tu pakai pulak baju gambar tengkorak atau baju loudness. Rambut dah tentu mengerbang macam hantu kak limah.

~ Tapi sungguh kontras sekali bila kumpulan-kumpulan rock ni popular dengan lagu-lagu cintan mendayu-dayu yang jiwang habis... dan lagu-lagu yang memuja perempuan... Nampak je ganas tapi dalam hati ada taman. Radio pulak asyik putar lagu jiwang je. Bukan tak ada lagu rock kapak yang heavy sikit, tapi kalau nak dengar terpaksalah beli kaset.

battle of the bands
~ Zaman tu, penggunaan ganti nama diri gua lu, lu gua sangat berleluasa, maka sepanjang entri ni aku bahasakan diri sebagai 'gua' lah untuk ambik 'feel' zaman tu. Sebenarnya gua pun tak pasti mana datang istilah rock kapak tu, tak pernah dengar pulak istilah rock kapak masa zaman kegemilangan rock tu... Rock kangkang pernahlah dengar. Ada yang kata sempena satu cover album kompilasi lagu rock waktu tu yang ada gambar kapak bersilang. Entahlah, yang gua tau siapa yang layan lagu rock atau ada imej rock masa tu akan digelar mat rock.

~ Faktor persekitaran menyebabkan gua terpengaruh menjadi mat rock. Kawan-kawan gua ramai yang layan rock. Stail dressing gua masa tu taklah berapa rock sangat, maklumlah masih di zaman sekolah rendah dan menengah. Rambut pun tak boleh la nak simpan panjang. Baru nak simpan ekor sikit dah kena  potong dek cikgu. Tapi gua pernahlah tempah seluar sekolah menengah dengan potongan ala jeans, poket belakang tampal kat luar.... memang trend masa tu lah. Tapi sayangnya sebelah kaki seluar tu dah kena potong sampai paras lutut oleh cikgu disiplin (tak ingat pulak nama cikgu tu). Terpaksalah gua buat selamba balik sekolah seluar pendek sebelah... haha... kelakar bila dikenang balik. Lepas tu terus gua buat seluar sekolah yang besar sikit ala GQ pulak.

~ Seluar jeans gua masa tu mesti kena koyak kat lutut... baru rock kononnya. Kasut 'hi-cut' jenama Aliph boleh dianggap kasut rasmi untuk mat-mat rock zaman tu. Sekarang kasut ni boleh dikatakan sangat 'rare' sebab dah tak dikeluarkan lagi, kilang pun dah tutup sejak awal 90-an. Gua pun ada sepasang kasut Aliph edisi Search. Hanya kumpulan Search & Lefthanded yang diberi penghormatan ada edisi istimewa kasut ni. Seingat gua, kasut ni dibeli menjelang raya. Kena ikat perut jugalah nak dapat kasut ni, nasib baik pak sedara gua bagi duit raya lebih sikit buat tambah modal. Tapi gua pun dah tak ingat mana perginya kasut gua tu. Siapa yang tak kenal kasut ni silalah gugel sendiri... ada banyak model sebenarnya.

kasut aliph gua sebijik macam ni la
(gambar ni gua cilok kat gugel je, kredit kepada pemilik yang gua tak tau siapa)

~ Dulu, malam-malam gua suka dengar permintaan lagu kat radio.. Pilihan Bersama tak silap gua.. Layan lagu rock kapak sambil bersedia dengan kaset kosong. Bila lagu dimainkan, tap... terus gua tekan butang 'record', maka terhasillah album kompilasi cetak rompak buatan sendiri... huhu. Nak jimat duit punya pasal. Tapi selalu jugalah kerja-kerja kotor gua tu terganggu bila tetiba deejay membebel masa lagu tengah dimainkan. Hampeh, terpaksa gua 'rewind' balik kaset tu dan tunggu lagu seterusnya. Aktiviti ni lebih sesuai dibuat waktu malam yang sunyi. Kalau siang agak bising, kekadang bunyi ayam berkokok pun terakam sekali... haha. Tapi aktiviti mencetak rompak tu untuk gua dengar sendiri je, kalau zaman sekarang ni sama la macam download lagu kat internet.

~ Kumpulan rock kapak yang gua betul-betul layan masa tu ialah Search, Wings, May dan Lefthanded. Tapi yang paling gua layan tentulah kumpulan hard-rock XPDC sebab muziknya lebih keras dan padu. Keras macam mana pun, mesti kena ada 1-2 lagu jiwang meleleh baru boleh jual album. Tapi lagu-lagu jiwang ni buat stok layan tidur bolehlah. Kumpulan-kumpulan rock selain tu (banyak sangat kumpulan  tak larat nak tulis) gua sekadar layan lagu-lagu yang popular je.

antara legenda rock kapak
~ Masa tu memang gila lah, sanggup ikat perut semata-mata nak beli kaset kumpulan rock. Gua ni tinggal dengan atuk dan nenek gua sejak kecik sebab mak abah gua dah berpisah dan masing-masing ada keluarga sendiri. Tapi abah gua ada la bagi duit belanja RM50 sebulan buat belanja sekolah. Duit tu lah yang gua salah guna buat beli kaset... haha. Kaset pertama yang gua dengar penuh adalah Keadilan (album pertama Lefthanded) yang dibeli oleh pak sedara gua. Lepas tu dia banyak beli kaset Jamal Abdillah je, gua pun kumpul duit beli kaset sendiri. Kaset pertama original yang gua beli adalah Hukum Karma (Wings).

~ Zaman tu cetak rompak memang sangat berleluasa. Kaset cetak rompak dijual secara terang-terangan kat pekan sehari / pasar malam. Selalunya yang berlambak dijual adalah kaset kompilasi lagu-lagu hit dan popular zaman tu. Tapi kualiti memang hancur le, kalau main banyak kali, tak lama keluar la bunyi tikus... citttt...citttt.... mengiringi lagu dari kaset tu. Lagi baik gua cetak rompak sendiri... adehh... inilah puncanya industri hiburan bungkus... Tapi nak buat macam mana, dah ada orang jual... murah pulak tu... mesti ada yang beli...

~ Bila duit terkumpul dah cukup, gua beli walkman jenama Aiwa yang paling murah masa tu, tak ingat pulak berapa harganya. Walkman pun satu lagi barang 'rare' sekarang ni. Dengan walkman ni gua boleh layan lagu 'anytime anywhere'... sambil makan, study, dalam jamban... kekadang tidur pun dengan walkman. Memang layanlah dengar lagu rock dengan sound tahap enjin jet supersonic. Telinga pun naik pekak dan berdengung memanjang.

bebudak sekarang mesti tak tau antara walkman, kaset & pensel ni ada hubungan sulit...haha

~ Konsert-konsert rock pun banyak masa tu. Penganjur konsert yang aktif masa tu adalah Ali Bakar dengan syarikatnya Boxoffice. Seingat gua masa tu ada satu je konsert besar pernah sampai kat Mentakab, tempat gua bermastautin sejak kecik sampai besar... iaitu Konsert Search. Gua dah tak ingat tahun berapa tapi seingat gua  konsert tu free je. Disebabkan konsert tu ditaja oleh Salem, setiap orang dapat sekotak Salem 7 termasuklah gua yang masih di bangku sekolah menengah. Konsert yang paling kerap gua layan mestilah setiap kali ada fun fair. Macam-macam kumpulan rock yang beraksi tapi yang paling happening pastilah aksi Raja Fun Fair... XPDC.

~ Dulu gua minat juga belajar main gitar. Ada ramai sifu bersilih ganti mengajar gua mengenal kord gitar, tapi belum sempat pandai, sifu-sifu gua tu semuanya meninggal - bukan meninggal sebab mati, tapi meninggalkan gua sebab tak tahan dapat anak murid yang bengap nak mampus macam gua... terpaksalah gua terima hakikat yang gua memang tak berbakat main gitar... last-last gua masuk kumpulan kompang je la... haha!

~ Apapun, lagu-lagu rock kapak memang terbaik, tetap evergreen sampai hari ni. Buktinya lagu jenis apa yang popular untuk dinyanyikan kat pusat karaoke, kalau bukan lagu-lagu rock kapak. Bebudak yang belum bersunat atau belum lahir zaman tu pun kalau kat pusat karaoke pun layan nyanyi lagu rock kapak jugak.

~ Menjelang pertengahan tahun 90-an... irama rock kapak mula melalui zaman suram. Mungkin sebab perubahan zaman kot. Masa tu bermulanya era lagu-lagu rap dimulai oleh KRU, 4U2C, Nico, Feminin dll, serta lagu-lagu pop rock yang dinyanyikan oleh kumpulan-kumpulan seperti Slam, Spoon, Ukays, Umbrella dll. Muzik jenis-jenis ni gua layan gitu-gitu je, tapi tak berapa nak masuk dalam kepala. Tak sesuai dengan jiwa muda gua yang agresif.  Maka muzik yang gua layan pun berkembang kepada genre yang lebih keras.... jeng jeng jeng....


Entri seterusnya... Aku dan Metal



8 comments :

  1. Ђɱɱ aku ingat zaman tu..aku nk ucapkan terima kasih sebab lu dah mengingatkan gua pada zaman persekolahan dulu..masa tu rasanya dunia ni tempat yg aman,x perlu bimbang apa2,cuma bimbang x siap kerja sekolah dengan kaki buli je hahaaa...

    ReplyDelete
  2. alamak..mmang best kalau dengar cerita zaman ni..maklum lah..zaman nie gua tak lahir lagi. nasib masih ade lagi band rock kapak macam syj yang buat show..dunia rock sekarang semua underground je..pape tetap layan..yang penting masa pergi konsert kasut aliph tu mesti ada..(peminat rock tegar)

    ReplyDelete
    Replies
    1. alamak bro...x sangka walaupun lu blum lahir zaman tu tapi boleh jadi peminat rock tegar... wa caya lu.. yeahhh

      Delete
  3. hahahaha, mcm sm je, zmn dulu2 pnh sll rakam lagu kat kaset kosong, tp paling x best bila dj membebel so terakam sekali, hahha. gile la...

    ReplyDelete
    Replies
    1. zaman tu ramai lagi yg perangai sama mcm kita.. hahaha

      Delete
  4. AKu carik info pasal Aliph terjumpa pulak blog kau bro. terima kasih menguntum nostalgia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama2 bro.. susah nak cari aliph skrg ni...

      Delete

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...