25 August, 2013

Aku dan Metallica

Entri sebelum: Aku dan Metal

~ Gua mula mengenali Metallica masa tingkatan 2, sekitar tahun 1989 melalui album keempatnya... And Justice For All. Album tu dah setahun di pasaran baru gua nak layan. Lepas tu barulah gua dengar satu persatu album-album terdahulu dari Kill 'Em All, Ride The Lightning dan Master Of Puppets. Untungnya gua tak payah beli kaset pun sebab gua tumpang dengar di rumah sewa mat-mat kilang tempat gua selalu lepak, macam gua pernah cerita dalam entri sebelum ni.

~ Ok, tak perlulah gua cerita detail pasal sejarah Metallica, cuma selepas album Metallica (lebih dikenali sebagai The Black album), gua memang kecewa dengan album penuh Metallica seterusnya iaitu Load, Reload dan St Anger yang kurang 'menangkap' di jiwa gua. Mungkin sebab unsur-unsur thrash metal makin terhakis... dah macam lagu country yang dimetalkan pun ada. Zaman ni gua dah kerja jadi ketiga-tiga album ni gua beli sendiri. Kecewa punya pasal, album seterusnya iaitu Death Magnetic gua terus boikot tak nak dengar, cuma layan lagu lama-lama je. Ya, gua mengaku gua memang peminat tegar Metallica, tapi hanya untuk 5 album pertama sahaja. 

~ Lepas kahwin, gua cuba juga mempengaruhi bini gua meminati lagu-lagu Metallica, tapi akhirnya cuma dua lagu balada Nothing Else Matters dan The Unforgiven yang mampu masuk dalam kepala beliau... haha jadilah tu.

~ Bila Metallica mengumumkan nak buat konsert di KL, tanpa fikir panjang gua terus beli tiket walaupun harganya mahal nak mampus. Tapi kalau dah minat, itu bukan halangan. Gua juga mula mendengar lagu-lagu dari album Death Magnetic di internet. Tujuannya kalau ada lagu dari album ni dimainkan masa konsert nanti, taklah gua terpinga-pinga. Terbukti tindakan gua memboikot album ni dulu memang silap. Rupanya lagu-lagu dalam album ni mirip Metallica di zaman awal kemunculannya dulu... keras dan bingit. Walaupun bukan yang terbaik dari mereka, tapi sekurang-kurangnya gua dapat melupakan album Load, Reload dan St. Anger... seolah-olah itu album Metallica yang tak pernah diterbitkan.


ini je yang termampu


Pada hari kejadian, lebih kurang 5.00 pm gua dah terpacak di lokasi kejadian, sambil menunggu dua orang rakan sepejabat gua. Rupanya dah ramai metalhead yang kebanyakannya pakai t-shirt hitam berlegar keliling stadium. Banyak gerai menjual merchandise sama ada yang official mahupun unofficial.

~ 6.00 pm, pintu masuk stadium dibuka. Boleh kata kebanyakan yang datang konsert ni berusia 30-an ke atas, dah tahap usia matang. Gua tak nafikan konsert ni salah satu perkara lagha, tapi gua hanya insan biasa yang perlukan hiburan. Disebabkan gua membesar dengan lagu-lagu Metallica, maka jangan salahkan gua kalau teruja melihat Metallica beraksi di depan mata... Takkanlah setakat tengok konsert Metallica boleh merosakkan akhlak dan akidah seseorang macam yang didakwa sesetengah pihak.

~ Oklah, gua tak berapa reti nak buat ulasan konsert, gua copy-paste je cerita penuh konsert ni yang dipetik dari Harian Metro:


Metallica buat peminat menangis oleh Riadz Radzi 
Selepas sembilan album studio, ribuan konsert di seluruh dunia, tiga anggota bertukar (termasuk seorang meninggal dunia) dan lebih tepat lagi selepas 31 tahun sejak ditubuhkan pada penghujung 1981, kumpulan heavy metal Metallica akhirnya tiba di Malaysia dalam konsert Metallica Live in Malaysia 2013 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, malam kelmarin. 
Sejak beberapa bulan lalu, kedatangan Metallica sudah heboh diperkatakan baik di media arus perdana, laman Facebook, Twitter dan blog-blog individu. Ramai yang seolah-olah tidak percaya Metallica akan singgah di Malaysia dalam konsert jelajah mereka dan malam kelmarin ia akhirnya menjadi realiti. 
Seawal jam 3 petang, perkarangan Stadium Merdeka sudah sesak dengan penonton walaupun konsert hanya dijadualkan bermula jam 9 malam. Yang pasti, penantian peminat di sini cukup berbaloi apabila hampir 30,000 penonton yang hadir puas dan teruja dengan aksi mantap daripada James Hetfield (vokal, gitar), Lars Ulrich (dram), Kirk Hammett (gitar) dan Robert Trujillo (bass). 
Mereka yang masing-masing sudah berusia setengah abad nampaknya cukup bertenaga. James, 50; Kirk, 51; dan Robert, 49, aktif bergerak dan berlari ke kanan, kiri, atas dan bawah pentas gergasi bertingkat itu. Malah, Lars, 50, sekali-sekala berlari dari set dramnya ke bahagian depan pentas untuk berkomunikasi dengan penonton. 
“Hakikatnya kami semakin tua. Lihat kumpulan Rolling Stones yang anggotanya sudah berusia lebih 60 tahun tetapi mereka masih lagi aktif. Saya tak tahu bila kami akan berhenti. Apa yang pasti kami gembira dengan apa yang kami lakukan. 
“Sebenarnya tidak ada istilah bersara dalam muzik kerana ia ada dalam jiwa anda.”
Itu kata James kepada RAP yang diberi peluang menemu bual pengasas Metallica itu beberapa jam sebelum konsert berkenaan, petang kelmarin. 
gambar official dari metallica.com
Tepat jam 9 malam, stadium bergema dengan muzik instrumental berjudul The Ecstasy of Gold sekali gus menandakan Metallica akan memulakan persembahan mereka. Lagu ciptaan komposer Ennio Morricone yang dipetik dari ‘soundtrack’ filem The Good, The Bad, The Ugly pada 1966 itu digunakan Metallica sebagai pembuka tirai setiap konsert mereka sejak 1983. 
Sebaik lagu berkenaan berakhir, kelibat empat pemuzik hebat ini mula kelihatan di atas pentas dan tanpa sebarang pembuka bicara, Metallica memulakan persembahan ‘live’ pertama mereka di Malaysia dengan lagu Hit The Lights. Ironinya, lagu terbabit juga adalah dari album pertama mereka berjudul Kill ‘Em All pada 1983. 
Bagi peminat tegar Metallica di sini, kedatangan mereka sememangnya sudah lama dinantikan. Bermula dengan mendengar lagu-lagu mereka dalam kaset membawa ke cakera padat, menonton konsert mereka dalam pita video, video cakera padat (VCD), cakera padat digital (DVD) hinggalah sekarang di YouTube, barulah peminat di Malaysia dapat menyaksikan sendiri aksi Metallica di depan mata sendiri!
Justeru, tidak hairanlah ada yang mengaku amat teruja, meremang bulu roma, malah menitiskan air mata apabila melihat James, Lars, Kirk dan Robert beraksi di depan mereka! 
Stadium makin menggegar sebaik James dan Kirk memulakan intro riff lagu Master of Puppets sebagai lagu kedua. Lagu daripada album ketiga mereka ini sememangnya lagu wajib dan ‘anthem’ dalam setiap konsert mereka. Rata-rata penonton yang sudah menghafal lirik lagu ini sejak sekian lama tidak melepaskan peluang menyanyikan bersama. 
“Saya minta maaf kerana anda terpaksa menunggu selama 31 tahun, tetapi rasanya masih belum terlambat,” kata James sebaik mereka menamatkan lagu ketiga iaitu Fuel. 
“Disebabkan anda sudah menunggu terlalu lama, kami akan memberikan yang terbaik kerana anda layak menerimanya,” katanya yang kemudian memulakan intro lagi Harvester Of Sorrow daripada album keempat ...And Justice For All sekali gus membuatkan penonton semakin tidak senang duduk!
Keseluruhannya Metallica membawakan 18 lagu dalam persembahan hampir dua jam itu antaranya Fade To Black, Ride The Lightning, Cyanide, Welcome Home (Sanitarium), Sad But True, Orion, One, For Whom The Bell Tolls, Blackened, Nothing Else Matters, Enter Sandman sebelum mereka menutup persembahan dengan tiga lagu ‘encore’ iaitu Creeping Death, Battery dan Seek & Destroy. 
Dengan pentas gergasi, sistem bunyi dan pencahayaan canggih serta kemahiran Metallica mengawal instrumen masing-masing dan sambutan hebat penonton menjadikan konsert ini antara yang paling diingati di sini. Mungkin ia tidak sehebat konsert-konsert gergasi mereka di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi persetujuan Metallica memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert jelajah mereka sudah cukup membuatkan ia menjadi yang terbaik.
Rata-rata penonton amat berpuas hati dengan susunan lagu mereka yang kebanyakannya daripada lima album terawal mereka iaitu Kill Em All, Ride The Lightning (1984), Master Of Puppets (1986), And Justice For All (1988) serta Metallica (juga dikenali sebagai ‘black album’) pada 1991. 
Melalui album-album inilah penonton yang kebanyakannya berusia 30-an ke atas membesar dengan lagu-lagu Metallica berbanding album selepasnya iaitu Load (1996), Reload (1997), St Anger (2003) dan Death Magnetic pada 2008 yang kurang popular. 
Terdahulu, konsert anjuran Galaxy Group dengan kerjasama LAMC Productions dan Rockstar Touring ini turut menampilkan persembahan kumpulan thrash metal popular tempatan iaitu Cromok. Konsert berkenaan turut mendapat sokongan Malaysia Major Events sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.




Apapun, gua memang puas hati dengan konsert ni serta setlist lagu-lagunya, ditambah pulak dengan sound system yang memang terbaeekkkk. Secara keseluruhannya, Metallica masih lagi mantap walaupun anggotanya sudah bertaraf warga emas. 

No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...