02 May, 2013

Menjelang PRU-13: Pandangan Dari Atas Pagar!

Hari ini dalam sejarah... sebuah entri pertama dalam blog ini berkenaan politik...

~ Aku berasal dari Pahang, tinggal dan cari makan di Selangor. Terus terang, aku tak begitu minat dunia politik.. . sekadar jadi pemerhati...  sekadar mengambil tahu secara luaran tapi tak begitu mendalami. Nak cerita pasal politik pun tak pandai sebenarnya. Bagi aku politik lebih banyak menyebabkan perpecahan sesama manusia. Siapa pun yang memerintah sama saja. Setiap manusia ada baik buruknya, mana ada yang sempurna... begitu juga dengan orang politik tanpa mengira dari parti mana pun... baik Barisan mahupun Pakatan. (disebabkan sekarang ni belum ada kerajaan yang sah, hanya kerajaan sementara... biar aku sebutkan dua pihak ni sebagai Barisan dan Pakatan).

kredit : gambar dari FB, pemilik asal sila tuntut hakmilik dengan menyertakan link... :)

~ Maka aku memilih untuk menjadi golongan atas pagar. Aku percaya ramai lagi macam aku... dari rakyat marhain macam aku hinggalah golongan berpendidikan tinggi dan profesional. Ada yang kata golongan ni 'silent majority'. Ada yang kata golongan macam kami tak ada pendirian... macam lalang. Siapa cakap? Memilih untuk duduk atas pagar itulah pendirian kami. Dari atas pagar, aku dapat melihat dan menilai kebaikan dan keburukan kedua belah pihak secara lebih adil. Aku bebas untuk mengkritik mana yang salah dan memuji mana yang benar... tanpa perlu taksub atau menjaga kepentingan mana-mana pihak.

~ Aku menjadi pengundi berdaftar sebaik sahaja melepasi syarat umur  21 tahun. Pernah berpeluang menjadi kerani tempat mengundi pada PRU-10 tahun 1999, pilihanraya yang hangat dan panas selepas DSAI dipecat dari kerajaan. Aku dapat peluang tu sebab mengikut kawan aku yang jadi pengurus tempat mengundi. Sebagai petugas tempat mengundi, aku dijanjikan untuk mengundi secara pos, tapi sampai ke sudah tak dapat pun kertas undi pos tu.... Adakah ada tangan ghaib yang tolong pangkah untuk aku? Entahlah, tiada bukti untuk menuduh! Masa tu aku pun tak ambil tau sangat, janji dapat elaun! Haha!


Pandangan aku tentang Barisan:

~ Tak dapat dinafikan sebagai kerajaan yang telah memerintah selama lebih setengah abad, kerajaan ini sangat berpengalaman mentadbir dan dah banyak berjasa dalam memajukan negara. Di zaman PM baru ni pun, banyak pembaharuan diperkenalkan terutama dengan beratus-ratus program 1Malaysianya yang bagi aku secara teorinya memang bagus dan mesra rakyat. Tapi jasa-jasa itu bukanlah untuk diungkit dan dibangga-banggakan kerana memang itulah tanggungjawab sesebuah kerajaan kepada rakyatnya.

~ Walaupun dah banyak berjasa, bukan rahsia lagi  bahawa banyak juga penyelewengan berlaku yang aku perhatikan di sekeliling aku, malah para pemimpinnya makin angkuh dan bercakap besar bahawa hanya mereka yang mampu memerintah negara dengan baik. Menjelang PRU-13, beberapa pemimpin Barisan bercakap besar mendakwa lawan mereka bakal hilang wang pertaruhan. Malah MB negeri asal aku pun berani dan sanggup dipotong telinganya kemudian terjun sungai kalau Barisan kalah... bagi aku ini sangat memualkan!


Pandangan aku tentang Pakatan:

~Terus terang sejak kebelakangan ni hati aku lebih dekat dengan perjuangan menegakkan Islam. Cuma aku agak ragu-ragu dan masih samar dengan masalah ketidaksepakatan sesama mereka dalam beberapa isu dan sudah tentu isu moral para pemimpinnya seperti yang dituduh serta bukti-bukti video yang mereka dakwa fitnah tu... Dah jadi budaya orang Melayu Islam, jika berani bersumpah dengan nama Allah untuk melaknat diri sendiri, aku melihat dia di pihak yang benar... jadi apa nak takut bersumpah jika mereka di pihak yang benar? Kepada yang berani bersumpah, aku harap kebenaran akan ditunjukkan untuk mereka. Tapi kalau tak benar, semoga mereka dilaknati Allah kerana berani mempersendakan kekuasaan Allah.

~ Pihak Barisan sendiri mendakwa Pakatan tak akan mampu mentadbir negara. Ehh memanglah, sebab tak diberi peluang. Kalau aku tengok secara kasar pentadbiran kerajaan Pakatan di 4 negeri tu, tidaklah pulak sampai negeri-negeri tu hancur punah ditadbir mereka. Memanglah akan ada sikit sebanyak kekurangan sebab mana ada kerajaan di dunia ni yang sempurna.

~ Aku ada kawan di Penang dan Kedah, yang memilih untuk jadi golongan atas pagar juga. Menurut mereka keadaan sebenar taklah seteruk seperti yang digambarkan media pro-Barisan, malah dalam beberapa situasi lebih baik dan telus dari kerajaan sebelumnya. Contohnya pemberian kontrak dibuat secara tender terbuka...  jika cukup syarat, kontraktor yang sebelum ni diketahui pro-Barisan pun boleh dapat projek. Begitu juga di Penang misalnya, walaupun ditadbir oleh Cina, peruntukan untuk perbelanjaan menegakkan syiar Islam juga ditambah setiap tahun...  Apapun, itu hanyalah sekadar dengar-dengar cakap orang je, aku tak berada di tempat kejadian jadi aku memilih untuk tak ambil berat sangat.

~ Lagi baik aku cerita apa yang aku alami sendiri di Selangor ni. Tak perlulah aku  cerita pasal data-data ekonomi atau laporan audit negeri yang semakin baik... sebab bagi orang biasa, manalah nak faham sangat, mungkin itu sekadar dakwaan pemimpin yang cuma membentangkan data yang baik-baik atau ditokok tambah....

~ Lebih baik aku bagi contoh yang mudah; misalnya acara sambutan tahun baru masihi dan sambutan merdeka yang sebelum ini di bawah kerajaan lama lebih mesra maksiat dengan konsert di sana sini, tapi sejak kerajaan Pakatan memerintah... sambutan diisi dengan acara bercirikan Islam... serta menjemput penceramah terkenal. Majlis-majlis ilmu juga lebih subur di sana sini. Di masjid tempat aku ni, hari-hari ada majlis ilmu (bukan ceramah berunsur politik), antara nak pergi  dengan tak nak je. Aku yang pernah hidup di zaman jahiliah ni rasa sejuk je hati hidup dalam suasana macam ni. Begitu juga dengan bekalan air percuma walaupun manfaatnya tak sebesar mana (sebelum ni bil air rumah aku tak lebih RM10 pun), tapi itu bukti benda tu boleh dilaksanakan walaupun pada awalnya kerajaan sebelumnya mendakwa Selangor akan muflis jika bagi air percuma kepada rakyat.


Media: 

~ Setiap hari kita dihidangkan dengan laporan yang amat berat sebelah dan terlalu berlebihan. Media arus perdana yang pro- Barisan melaporkan segalanya indah-indah dan segalanya berjalan lancar di pihak Barisan manakala segala-galanya buruk dan busuk di pihak Pakatan. Begitu juga sebaliknya media pro-Pakatan akan melaporkan yang baik-baik sahaja di pihak mereka manakala pihak Barisan digambarkan sangat kotor lagi busuk. Sama juga dengan media sosial dan blog, jarang sekali yang bebas dan tidak memihak.

~ Alangkah indahnya kalau ada media yang melaporkan berita yang seimbang, adil dan benar. Setakat yang aku nampak, cuma sebuah akhbar yang melaporkan berita yang agak seimbang mengenai PRU-13 ni iaitu Sinar Harian. Kedua-dua belah pihak diberi ruang .. Tapi kalau dah masing-masing mengaku di pihak yang benar, keliru dan celaru juga kita jadinya. Akhirnya terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing untuk menilai mana yang benar mana yang fitnah. Nak buat macam mana, kita hidup di akhir zaman di mana fitnah bermaharajalela. Kalau rasa tak berapa bijak, percayalah mana-mana pihak yang kita rasa betul kemudian berdoa dan berharaplah supaya apa/siapa yang kita percaya itu di pihak yang benar.


Lain-lain:

~ Bagi aku cara berkempen dengan mengibarkan beribu-ribu bendera dan poster di sepanjang jalan seperti yang diamalkan sekarang ni dah ketinggalan zaman dan membazir.... Kononnya nak bagi meriah la kot. Kalau poster besar yang menerangkan manifesto atau akujanji dan dipasang di tempat-tempat strategik tu aku boleh terima lagi. Tapi kalau bendera dan poster muka calon dipasang berderet rapat-rapat sepanjang jalan naik menyemak pulak. Aku tak pasti berapa juta agaknya diperuntukkan kedua-dua pihak untuk buat bendera dan poster ni. Kan lebih baik duit tu dibelanjakan untuk benda-benda yang lebih berfaedah. Pulak tu ada yang sampai bergaduh rebut kawasan nak pasang bendera dan poster.. ada yang mati jatuh pokok... Baru-baru ni ada yang mati tercucuk buluh bendera kat leher... tak pasal-pasal orang lain jadi mangsa.

~ Pada 6 Mei, jika pihak Barisan diberi peluang kekal mentadbir negara 5 tahun lagi... situasi akan kekal seperti biasa dan mungkin lebih baik. Jika Pakatan pulak yang dipilih rakyat, tak semestinya negara akan hancur seperti yang digembar-gemburkan. Takkanlah orang dalam Pakatan terlalu bodoh dan bengap sampai nak menghancurkan negara dan menyusahkan rakyat. Bagi aku tak salah nak tukar kerajaan. Bila ada situasi kerajaan boleh ditukar, maka kerajaan yang dipilih pastinya akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sebab takut dijatuhkan. Kalau kerajaan yang dipilih menyusahkan rakyat, kita tarik balik sokongan kita dalam pilihanraya akan datang.

~ Ehh panjang pulak cerita pasal politik ni... itu cuma pandangan aku berdasarkan realiti yang aku nampak... setiap orang ada pandangan masing-masing, dan tak salah pun kalau berbeza pendapat.

~ Akhir kata selamat mengundi. Tak tau nak undi calon mana? Sila solat istikharah! Kemudian sama-samalah kita berdoa calon yang kita pilih adalah calon yang tepat dan boleh membawa ke arah kebaikan. Semoga PRU-13 ni berjalan lancar, harap semuanya berfikiran matang... tak perlu timbulkan kekecohan dan kacau-bilau.

kredit: azriff.com

~ Aku dah ada calon yang aku nak pangkah (pastinya bukan tiga orang kat atas tu)... tapi masih 50/50. Kepada tukang kempen dan perayu undi dari pihak Barisan dan Pakatan, anda masih berpeluang untuk mendapat 1 undi berharga dari aku. Marilah berkempen dan pujuk aku dengan lemah lembut... lagi bagus kalau bawak buah tangan... hahaha!

No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...