20 May, 2013

Aku dan Manchester United

~ Dulu-dulu, sekitar tahun 1980-an, seingat aku rakyat Malaysia hanya terdedah kepada bolasepak luar negara melalui Liga Inggeris dan Itali. Tak silap aku jarang ada siaran langsung di tv macam sekarang, yang selalu ada hanya bolasepak tempatan, Piala Dunia 4 tahun sekali serta 'highlights' Liga Divisyen Satu Inggeris dan Italian Soccer yang disiarkan seminggu sekali. Pernah sekali tu tv kat rumah aku rosak, sanggup aku ke rumah jiran dengan harapan mereka pasang siaran bola...tapi alangkah hampanya sebab mereka layan 'Drama Minggu Ini' pulak... chehh... hampeh!

~ Sekitar tahun 1988, masa aku tingkatan 1... aku amat meminati aksi Bryan Robson. Di mata aku yang masih hingusan masa tu, corak permainan beliau mengemudi jentera tengah Manchester United dan England, begitu tenang dan 'cool'. Tapi sayangnya kelab beliau ketika tu bukanlah kuat sangat... kelab kelompok pertengahan yang dah berpuluh tahun tak menang liga, cuma pernahlah 2-3 kali menang Piala FA. Sekitar tahun 1980-an tu Liverpool memang kuat nak mampus, memanjang jadi juara liga. Arsenal, Everton dan Spurs pun boleh tahan kuatnya. Pasukan-pasukan seperti Chelsea dan Manchester City tak payah cakaplah, kelompok bawahan je masa tu.

Masa tu juga aku sedang tercari-cari kelab luar untuk disokong. Oh, dah tentulah aku menyokong pasukan negeri kelahiran aku, Pahang. Tapi disebabkan beberapa kawan rapat aku ada pasukan luar kegemaran masing-masing (kebanyakannya menyokong Liverpool la)... aku pun kena cari satu... pengaruh rakan sebaya haha! Rasa macam nak sokong Liverpool sebab aku minat juga kat John Barnes dan John Aldridge (yang muka sebijik macam Ian Rush tu), tapi akhirnya aku memilih untuk menyokong pasukan yang ada pemain pujaan aku Bryan Robson, iaitu Manchester United.

~ Selama 3-4 tahun jugalah aku menanggung derita hanya mampu meleleh air liur tengok pasukan lain jadi juara. Hero aku si Bryan Robson tu pulak manjang cedera je. Rasa macam nak suruh pengurusnya si Alex Ferguson tu letak jawatan dan rasa macam nak sokong team lain pun ada... hehe... biasalah zaman budak-budak bukanlah fanatik sangat pun.

~ Tahun 1992, masa aku tingkatan 5... Liga Divisyen 1 ditukar jadi Liga Perdana. Ketibaan Eric Cantona di Old Trafford mengubah segala-galanya. Dibantu kebangkitan pemain-pemain muda seperti Beckham, Giggs, Scholes, Butt dan Neville adik-beradik, Manchester United akhirnya berjaya merangkul kejuaraan liga pada musim 1992-93 setelah kempunan selama 26 tahun. Setelah menang juara liga lagi musim berikutnya musim 1993-94, serta-merta aku 'melantik' Eric Cantona sebagai hero baru aku. Itulah lebih kurang asal-usulnya macam mana aku boleh terjebak jadi penyokong Manchester United... memang tak menyesal la pilih pasukan ni dulu.

2 pemain pujaan aku... Captain Marvel & King Eric
1993-94, musim terakhir Bryan Robson di Old Trafford...
menjulang kejuaraan liga bersama Steve Bruce

~ Zaman 1990-an hingga 2012, tak payah ceritalah, semua orang tau itulah zaman kebangkitan dan kegemilangan Manchester United, dengan bintang-bintangnya datang dan pergi silih berganti... Dalam tempoh tu, Manchester United menang juara liga 12 kali, juara Champions League 2 kali dan beberapa piala lagi. Zaman inilah yang menyebabkan para penyokong Manchester United hari ni digelar 'Gloryhunters' oleh para pembenci (haters) kelab ini.

Bagi aku perkara ni memang tak dapat dielakkan sebab ramai penyokong Manchester United hari ni lahir ketika zaman kegemilangan kelab ni, lahir-lahir je diorang hanya tau kelab ni je yang paling hebat. Memang tak dapat dinafikan ramai penyokong kelab ni yang agak angkuh dengan kehebatan kelab ni dan ramai juga yang poyo kerana mengisytihar jadi penyokong kelab ni untuk kelihatan hebat dan 'cool'... walaupun sebenarnya diorang tak minat bola sangat pun. Tapi nak buat macam mana... 'Glory Glory' dan Man. United memang tak dapat dipisahkan.... haha. (oh, aku kelihatan agak angkuh juga di situ).

~ Tahun 2013, Manchester United terus mencatat kejayaan memenangi kejuaraan liga buat kali ke-20, di mana 13 daripadanya di bawah pimpinan Sir Alex Ferguson (SAF), yang turut mengumumkan persaraannya sebagai pengurus. Berakhirlah satu era di mana aku membesar melihat SAF mengatur strategi memantapkan pasukan dan bermulanya era baru di bawah bakal penggantinya David Moyes. Adakah Manchester United akan meneruskan kecemerlangan atau bermula zaman kejatuhan (harap-harap itu tak berlaku) di era David Moyes? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

CHAMP20NS

Goodbye Legends...

Semua gambar, kredit ManUnited.com
~ Sepanjang hampir 25 tahun menjadi penyokong Manchester United (1988-2013), pelbagai asam garam pahit dan manis telah dilalui. Tapi kebanyakannya yang manis-manis la. Bersorak gembira dah selalu sangat setiap kali pasukan kesayangan menang dan angkat piala. Memprovokasi dan menganjing kawan-kawan yang menyokong pihak lawan pun dah jadi perkara wajib.

Tapi setiap orang akan melalui fasa perubahan dalam hidup. Pertambahan usia semakin mematangkan aku untuk menjadi penyokong yang lebih beretika. Selain itu, setelah merujuk hukum memakai jersi Manchester United, mulai musim 2010/2011, aku tidak lagi membeli jersi Manchester United. Tapi 3-4 helai jersi sedia ada masih aku pakai, itupun hanya setelah aku buang lambang setannya. Senang je nak membuangnya, putuskan dan tarik saja benang-benang merah di belakang lambang yang membentuk rupa setan tu. Memang lambang di jersi tu akan nampak cacatnya, tapi itulah usaha yang mampu aku buat untuk menjauhi perkara yang menimbulkan keraguan.

Walaubagaimanapun, selagi pihak kelab tidak menyatakan pendirian rasmi yang menunjukkan mereka menyokong kejahatan atau sesuatu yang bersifat kesyaitanan, aku anggap lambang itu hanya sekadar lambang dan aku akan tetap menjadi penyokong Manchester United sampai mati.

'GLORY GLORY MANCHESTER UNITED'

* Entri ini siap ditulis setelah tamat perlawanan terakhir di bawah pengurusan Sir Alex Ferguson, di mana Manchester United seri 5-5 dengan West Bromwich Albion di tempat lawan. Dah macam perlawanan pertunjukan pulak dapat tengok sampai 10 gol.


No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...