22 December, 2012

The Hobbit : An Unexpected Journey

Berbekalkan 2 tiket wayang percuma yang dihadiahkan oleh Nokia yang seminggu lagi dah nak tamat tempoh ... (dan kemudian terpaksa mendapatkan 3 lagi tiket yang tidak percuma), kami sekeluarga ke AEON Rawang untuk menonton filem The Hobbit: An Unexpected Journey.


Bagi peminat trilogi filem fantasi pengembaraan Lord of the Ring... mesti suka filem Hobbit ni. Dengan durasi tayangan selama 2 jam 46 minit, anak-anak nampak agak bosan pada awal filem sebab banyak babak bercakap je. Tapi bila macam-macam makhluk pelik dah muncul... barulah diorang terpegun duk layan cerita ni. Ibu bapak diorang pulak lebih terpegun tengok pemandangan indah dalam filem ni... tetiba rasa macam nak pergi New Zealand pulak.

The Hobbit ni juga dibuat dalam bentuk trilogi, anak-anak pun dah kata nak tengok part 2  pulak tahun depan.

Untuk ulasan filem yang lebih profesional, sila ke SINI

21 December, 2012

Angah dah 6 tahun

Ketika ramai orang yang mempercayai berakhirnya kalendar puak Maya sedang bersiap-sedia untuk menyelamatkan diri dari 'Hari Kiamat' pada 21/12/2012... Angah pula dengan selambanya menyambut harijadi beliau yang ke-6 tahun.

Belikan sebiji kek aiskrim untuk dimakan bersama kawan-kawan di taska... makan ramai-ramai barulah meriah. Di rumah pulak, cuma beli set 4 gulung swiss roll perasa pandan,coklat, cappucino dan vanilla berserta set nasi ayam Ayamas... dimakan bersama keluarga makan apa pun mesti sedap.
 

Doa ayah & ibu : Semoga jadi anak yang soleh yang boleh menjadi harta peninggalan kami yang paling berharga. Semoga dilindungi, dirahmati dan diberkati dunia dan akhirat. Amin.


10 December, 2012

Majlis Khatan Perdana Masjid An-Nur : Anakku, ucapkanlah selamat tinggal kepada kulupmu itu ...

Sekadar mencatat salah satu peristiwa besar dalam hidup anak-anak bujang aku:

poster iklan inilah punca segala-galanya...


SEBELUM HARI KEJADIAN

~ Bila diusulkan cadangan untuk bersunat kepada anak-anak, bukan main seronok lagi diorang. Mula-mula aku cadang nak sunatkan si Along (8 tahun) sorang je, tapi si Angah (6 tahun) menawarkan diri nak sunat sekali dengan abangnya. Sebabnya aku pernah gatal mulut berjanji untuk menghadiahkan permainan PSP yang dah lama mereka idam-idamkan lepas bersunat nanti... Sebab itulah agaknya mereka langsung takde rasa takut nak bersunat dan mungkin juga sebab terpengaruh dengan cerita Upin & Ipin... "alaahh, sakit sikit macam kena gigit semut je..." Jom kita layan animasi ni dulu.




~ Sehari sebelum hari kejadian, para peserta majlis berkhatan beramai-ramai ni diraikan dalam satu majlis kenduri di masjid. Dua ekor lembu disumbangkan oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan seorang hamba Allah untuk ditumbangkan sebagai lauk kenduri ni. PAID juga memperuntukkan perbelanjaan makanan untuk 500 orang, memang perdana sungguh!

Selepas solat maghrib, kami sekeluarga ke masjid untuk mendengar ceramah kekeluargaan yang disampaikan oleh seorang ustaz dari PAID sementara menunggu waktu isya'. Lepas solat isya', para muslimat masjid mengalunkan marhaban dan selawat, khusus untuk budak-budak tu. Kemudian AJK masjid menyampaikan taklimat ringkas, hadiah wang tunai RM10 setiap seorang peserta dan mengadakan undian nombor giliran peserta berkhatan.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan. Wahh... nampaknya hidangan untuk peserta berkhatan agak mewah dan istimewa berbanding dengan hidangan untuk tetamu lain. Berselera sungguh mereka makan nasi berlauk ayam panggang, udang goreng tepung, telur puyuh dan sup daging, sambil menonton perlawanan Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Indonesia di ruang legar masjid (berkesudahan Malaysia menang 2-0). Takpe, bagilah diorang seronok-seronok dulu, esok taulah nasib korang huahahaa... (gelak jahat)

kenduri sakan dulu sebelum 'dikendurikan'


HARI KEJADIAN

~ Pagi-pagi lagi dah bangun kerana acara bermula 7.30 pagi... bersemangat sungguh.  Selepas dijamu dengan sarapan, aturcara dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh imam masjid, taklimat dari doktor bertugas seterusnya ucapan perasmian oleh Y.B Dato' Hj Amiruddin b. Setro, ADUN Jeram.

~ Kemudian acara paling ditunggu-tunggu iaitu semburan air bomba. Acara ni sebenarnya untuk bagi budak-budak seronok dan mengurangkan rasa cuak je. Dah puas berseronok mandi air pancut, sampai masanya untuk disunatkan, menggunakan kaedah terbaru iaitu Alisklamp.

berseronok-seronok dahulu, bersakit-sakit kemudian

~ Nampak konfiden je anak-anak aku tu. Mujurlah diorang dapat giliran  awal, no. 4 dan 5 dari 60 peserta. Jadi kuranglah sikit mendengar jeritan, raungan dan tangisan peserta lebih awal.. Aku dapat bayangkan kalau dapat giliran lambat, memang cuak lagi tertekan punya, rasa macam nak lari pun ada kot. Teringat masa dulu aku pun dapat giliran awal iaitu no. 3 dari 30 lebih peserta. Lepas kena sunat siap boleh takut-takutkan budak lain pulak... haha.

~ Kemudian masuk ke bilik bersunat yang cuma ditutup dengan tirai. Disebabkan nombor giliran yang berturutan, agak kelam kabut juga aku nak menguruskan kedua-duanya (ibunya duk luar je jaga Aina). Selesai giliran si Along, terpaksa pulak pujuk si Angah yang dah cuak tak nak sunat bila dengar tangisan abangnya masa kena sunat tadi... Akhirnya... dalam masa 5-10 minit setiap seorang, alhamdulillah semuanya selamat dan berjalan lancar.

mula-mula je nampak cool ni...

sejurus lepas dikhatan, buat muka sedih tak sanggup berpisah dengan kulup masing-masing... hehe
dah dapat mainan PSP (cap ayam je)... terus lupa rasa sakit...


SELEPAS HARI KEJADIAN

~ Jangka masa antara lepas bersunat hingga hari ke-4, dah boleh pakai seluar sebab si anu tu terlindung dalam klamp, diorang kata sakit sikit-sikit je. Yang penting sapu krim antibiotik kat tempat yang dipotong. Nak kencing pun senang sebab ikut saluran klamp tu je. Ikut kata doktor, bersunat dengan kaedah Alisklamp ni tak perlu pantang makan... jadi makan je seperti biasa...

~ Hari ke-5, datang semula ke masjid untuk buka klamp. Kali ni tiada sistem nombor giliran, beratur ikut giliran siapa datang dulu. Kami datang agak lambat, jadi sambil beratur menunggu giliran... kami terpaksa mendengar jeritan dan tangisan demi tangisan lagi... sakit juga la kot nak buka klamp ni. Amat mengerikan bagi budak-budak yang datang kemudian.

Maka skrip yang sama masa disunatkan berulang semula masa nak buka klamp ni. Jadi aku copy paste je beberapa ayat di atas dan edit sikit-sikit je:  Selesai giliran si Along, terpaksa pulak pujuk si Angah yang dah cuak tak nak buka klamp bila dengar tangisan abangnya masa kena buka klamp tadi... Akhirnya... dalam masa 2-3 minit setiap seorang, alhamdulillah semuanya selamat dan berjalan lancar.

~ Bila dah buka klamp dan si anu dah terdedah, barulah ada rasa ngilu sikit bila tergesel kain. Selepas seminggu, luka pun dah beransur kering... si Along dah mintak nak duduk kat kampung seminggu, ok je lah sebab cuti sekolah pun lama lagi.

~ Tahniah anak-anakku kerana dah selamat bersunat, hanya tunggu masa untuk menempuh alam remaja dan seterusnya menjadi lelaki dewasa yang hensem seperti ayahmu ini... kui3. Semoga anak-anak ayah berjaya dan berbahagia di dunia dan akhirat. Aamin.

  
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...