23 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 4

HARI KEEMPAT, 16 NOV 2012 (JUMAAT)

~ Pagi; checkout dari homestay di Taman Wira Mergong dengan perasaan agak malu-malu pada tuan rumah kerana si Angah terkencing atas tilam. Mungkin sebab syok sangat tidur sejuk-sejuk dalam air-cond. Untuk menunjukkan sikap berbudi bahasa, bersopan santun dan berhemah tinggi yang terpendam dalam diri aku ni, aku angkat tilam tu tolong jemur kat luar. Mintak maaf la pakcik ye... heheh. 
Lepas tu anak tuan rumah yang juga sahabat lama aku si Aznizam tu datang nak bawak jalan-jalan cari sarapan pulak. Lokasinya kat Kopitiam, Jalan Teluk Wan Jah... antara medan selera yang popular untuk bersarapan kat Alor Setar ni. Waktu kami nak makan kat sini pun, ada kru Astro tengah shooting program makan-makan kot. Dulunya Kopitiam ni merupakan bangunan perhentian bas tapi kini diubah jadi medan selera setelah ada terminal bas baru kat Shahab Perdana.
Kat dalam Kopitiam ni ada berpuluh-puluh gerai makanan yang menyajikan berbagai jenis makanan. Ada nasi lemak, roti canai, kuih muih, masakan pantai timur seperti nasi dagang dan nasi kerabu, yong tau fu, laksa, berbagai jenis mee, roti john, roti jala cicah kuah kari atau kuah durian, nasi kandar, makanan barat... dan macam-macam lagi pilihan sampai tak sempat nak cerita dan tak sempat nak ambil gambar. Harga makanan pun amat berpatutan, senang kata memang best la makan kat sini.

~ Masa untuk mengucapkan salam perpisahan kepada Aznizam kerana hari ni kami akan meninggalkan negeri Kedah untuk ke destinasi seterusnya negeri Perlis. Terima kasih kepada beliau atas layanan mesra sepanjang kami berada kat Aloq Setaq ni... rasa macam nak datang selalu pulak.. hehe.

~ Dari bandaraya Alor Setar, kami menyusuri jalan Alor Setar-Kangar kemudian Jalan Persisiran Pantai Kuala Sanglang-Kuala Perlis. Di Kuala Sanglang (kira-kira 30 km dari Alor Setar) ternampak papan tanda Ladang Nipah Kipli... jom singgah kita tengok apa ada kat sini. Dalam ladang ni, pengunjung boleh bersantai di pondok-pondok di bawah rimbunan pokok nipah, sambil menikmati air nira nipah, jeli nira dan laksa... semuanya segar dari ladang, rasa tenang je lepak kat sini. Kalau nak tau macam mana caranya nak dapatkan air nira dari pokok nipah, datang sini dan tengoklah sendiri.

~ Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis, kira-kira 20 km je dari Ladang Nipah Kipli. Kelihatan tempat letak kereta sekitar Terminal Feri Kuala Perlis (jeti ke Pulau Langkawi) penuh sesak... almaklumlah musim cuti sekolah... ramai yang nak pergi Langkawi. 
Kami singgah di dataran Masjid Al-Hussain, atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung Kuala Perlis. Uniknya masjid ni sebab dinding luarnya dibina menggunakan batu-batuan semulajadi jadi tiada cat digunakan, manakala kiblatnya pula mengadap ke arah laut. Lepak sini sekejap sambil menikmati angin laut. Nak tunggu waktu solat jumaat pun masih awal lagi.

~Seterusnya kami singgah pula di Muzium Kota Kayang, Jln Behor Temak, kira-kira 5km dari Kuala Perlis. Kalau dah namanya muzium, dah tentulah tengok pameran sejarah negeri Perlis. Rasanya untuk jelajah kali ni... inilah muzium terakhir kami pergi kot. Dah 3-4 muzium kami masuk, bini aku pun dah naik muak masuk muzium.. haha. 
Aku pun sebenarnya bukan minat sangat masuk muzium... tapi muzium adalah antara tempat tarikan pelancong yang biasanya boleh masuk percuma... hehe.. lagipun bagus juga untuk dedahkan anak-anak agar lebih mengenali khazanah warisan sejarah dan budaya negara mereka. Nanti taklah jadi macam si Rozan budak Sabah ni haa... seumur hidup tak pernah masuk muzium... nasib baik lah dia ikut aku menjelajah ni, nak tak nak terpaksalah juga dia ikut masuk muzium... hihi.
~ Lepas tu kami menuju bandar Kangar dan ronda-ronda sekitar pusat bandarnya... ibu negeri Perlis ni taklah besar mana rupanya. Kemudian ke Pekan Mata Ayer (lebih kurang 8 km dari Kangar) untuk mencari tempat jalan-jalan cari makan yang aku dah survey sebelum ni... tapi kejap lagi la cerita... nak pergi solat jumaat dulu.

Kami solat jumaat (jamak dengan solat asar) di Masjid Mata Ayer... sementara kaum hawa yang dua orang tu terpaksalah tinggal dalam kereta. Bagi orang dari luar Perlis, mungkin rasa agak janggal bila lepas selesai solat... tiada bacaan doa beramai-ramai di mana imam membaca doa sambil diaminkan  oleh makmum, seperti yang biasa diamalkan di negeri-negeri lain. Masing-masing berdoa sendiri dan ada yang terus solat sunat. Aku tak pandai la nak komen bab ni... ada pro & kontra... Senang cerita, perkara-perkara khilaf macam ni kita ikut je apa yang diamalkan kat tempat tu dan jangan melabel orang lain tak betul sedangkan kita sendiri belum tentu betul...
~ Ok, masa untuk jalan-jalan cari makan...  kami makan tengah hari di Restoran Nasi Kandar Pokok Petai, Pekan Mata Ayer. Di kalangan penduduk tempatan, Pekan Mata Ayer ni lebih dikenali sebagai Pekan Pokok Petai, jadi mungkin dari situlah restoran ni mendapat namanya.


Dekorasi dalam restoran ni memang unik kerana keseluruhan perabot diperbuat daripada ukiran kayu. Siap ada buaian kayu sebelah meja makan.. budak-budak memang suka laa.. Respek kat tauke kedai ni yang memang kreatif lagi inovatif. Harga makanan yang kami pesan iaitu nasi kandar lauk ayam madu kira berpatutan la dan rasanya sedap juga.


~ Perut pun sudah kenyang, hati pun ada banyak suka. Dari Mata Ayer kami terus ke Sungai Batu Pahat sejauh 16km. Di sepanjang jalan ke Sg. Batu Pahat ni ada beberapa tempat menarik yang boleh disinggahi seperti Ladang Mempelam Harumanis, Taman Anggur Perlis, Taman Ular dan Reptilia,  Rimba Herba dan hujung sekali adalah Hutan Lipur Bukit Ayer.

Nak singgah Ladang Mempelam Harumanis, sayangnya waktu kami pergi ni bukan musimnya. Kalau datang pada bulan April-Jun memang kenyang la makan harumanis. Jadi kami tengok je la replika buah mempelam harumanis yang besar dari dalam kereta, sambil meleleh air liur... huhu.

Depan sikit dari ladang harumanis, ternampak pulak papan tanda Taman Anggur Perlis. Tapi memandangkan sebelum ni dah pernah pergi Ladang Anggur Tasik Beris kat Sik, Kedah (ladang anggur terbesar di Asia Tenggara pulak tu), jadi rasanya tak payah masuklah yang ni... lebih kurang samalah tu keadaannya. Tapi untuk membuktikan kami dah sampai sini... aku suruh si Along je turun bergambar kat papan tanda, itupun ambil gambar dari dalam kereta je... wakaka.

Seterusnya kami masuk ke Taman Ular dan Reptilia. Bayaran masuk untuk dewasa RM4, kanak-kanak RM1. Inilah satu-satunya taman ular di Malaysia ni... mungkin sebab Perlis ni banyak ular kot. Berbagai spesis ular berbisa dan tak berbisa serta beberapa jenis reptilia terdapat di sini. Tapi takde pulak aku nampak ular jinak yang boleh dipegang dan dibelai... kalau ada mesti lagi menarik tempat ni...


Dah puas tengok ular, kami singgah ke Rimba Herba Perlis. Di sinilah tempatnya kalau nak mengenali pelbagai tumbuhan dan herba yang mempunyai nilai perubatan yang digunakan nenek moyang kita sejak zaman berzaman. Kami sampai sini lagi 10 minit pukul 5.00 pm, tempat ni dah nak tutup laa... jadi kami cuma sempat berlegar-legar di ruang depan Rimba Herba ni saja la. Kalau tengok pelan lokasi rimba herba ni, mungkin ambil masa setengah hari nak pusing habis. Takpelah, dapat jejak kaki ke sini pun dah kira ok.


Kemudian kami ke Hutan Lipur Bukit Ayer, hanya 1.5 km dari Rimba Herba. Apasal orang Perlis eja air jadi ayer ya? Tadi Mata Ayer, pastu Bukit Ayer pulak...ehh tempat diorang suka hati diorang la ye tak..hehe. Waktu kami sampai ramai juga pengunjung kat sini. Ada air terjun yang mengalir  ke dalam kolam (macam kolam buatan je), tapi ayernya tak berapa jernih. Kemudahan kat sini serba lengkap...ada chalet, dewan serbaguna, surau, taman permainan kanak-kanak, tapak perkhemahan, tandas, wakaf dll. Macam biasa anak-anak aku kalau dah nampak air mulalah merengek nak mandi. Oklah, dapatlah mandi sekejap sebab tiba-tiba hujan panas la pulak.

~ Hari beransur petang... masa untuk cari tempat penginapan, untuk hari ni memang tak rancang nak menginap di mana, barulah adventure. Ronda-ronda sekitar Sg. Batu Pahat cari homestay atau chalet. Kalau tak jumpa kena berkhemah lagi la jawabnya... Pusing punya pusing... tanya homestay harga standardnya memang RM 150.00 ke ataslah... kemudian terjumpalah tempat penginapan yang besar tapi murah... beberapa rumah kayu ala kampung di Pusat Konvensyen dan Rekreasi Semarak, Sg. Batu Pahat, betul-betul sebelah Taman Ular. 


Rumah kayu 3 bilik, 1 bilik air, setiap bilik ada 2 katil bujang, kemudian ada extra 5 tilam... memang berbaloilah pada harga hanya RM 70.00. Kalau nak yang ada air-cond cuma RM 90.00. Kalau datang ramai-ramai boleh bawa toto tidur je kat ruang tamu... 


Tapi tempat ni memang untuk tidur sajalah...kalau nak tengok tv sila bawa tv sendiri... kalau nak lebih selesa dan ada duit pergilah tidur kat hotel berbintang. Bagi kami yang mengamalkan percutian berkonsep bajet, tempat macam ni dah cukup selesa dah... yang penting dapat berjalan tengok tempat orang.


Kalau berminat, sebarang pertanyaan sila hubungi 04-977 2233, 04-9866879, 017-4792675 (Puan Siti)... aku tolong promote je... bukan dapat duduk free pun.




~ Malamnya kami ke Medan Ikan Bakar Kuala Perlis,19 km dari Sg. Batu Pahat. Letaknya di tepi laut, depan Hotel Putra Brasmana. Memang ramai yang datang makan kat sini sampai nak cari parking pun agak mencabar. Ada banyak gerai yang boleh dipilih. 


Hidangan kami malam tu... laksa, ikan bakar, udang goreng tepung, ulam-ulaman... dan yang paling spesel lagi eksotik adalah belangkas bakar, yang aku kempunan nak makan masa kat Tanjung Dawai semalam. Tapi kat sini harganya agak mahal sikit, RM 18.00 seekor siap bakar. Nak rasa punya pasal, aku order la seekor, kongsi makan dengan Rozan... anak bini tak sanggup nak rasa. 




Isinya tak banyak mana, rupanya macam isi ketam, yang banyak adalah telurnya yang berwarna kekuningan. Susah nak gambarkan macam mana rasanya, siapa pernah makan belalang kunyit bakar (masa kat kampung kecik-kecik dulu selalu la aku makan), lebih kurang macam tu lah rasanya. Senang cerita, tekak aku memang boleh telan tapi rasanya tak sedap manapun... dapat rasa sekali ni pun cukup la.. asalkan tak kempunan... dan tak perlu la aku nak pergi menyerah diri kat Batu Belah Batu Bertangkup sebab kempunan nak makan belangkas bakar... 


~ Perut dah kenyang... balik ke tempat penginapan untuk menidurkan diri.



..... bersambung lagi... hari kelima... hari terakhir...



4 comments :

  1. Teruskan berkarya bro..banyak kisah2 dan pengalaman yg berharga dpt dikongsi bersama pembaca...;)

    ReplyDelete
  2. t.kasih bro... sekadar catatan pengalaman, kalau bermanfaat kpd org lain alhamdulillah... :)

    ReplyDelete
  3. terbaik Bro...anak2 mesti happy...

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq bro anon... aku happy bila tengok anak2 happy

      Delete

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...