24 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 5

HARI KELIMA, 17 NOV. 2012 (SABTU)



~ Hari terakhir; sarapan pagi ni kami masak sendiri je... menghabiskan bekalan mi segera dan buat sandwic tuna. Dari tempat penginapan di Pusat Konvensyen dan Rekreasi Semarak, Sungai Batu Pahat, kami memulakan perjalanan ke Wang Kelian sejauh 36 km. Mula-mula perjalanan lancar je sebab laluan landai dengan pemandangan sawah padi dan ladang getah. Melepasi pekan Kaki Bukit, laluan agak mencabar kerana melalui kawasan berbukit, jalannya berliku-liku dengan selekoh tajam.

Wang Kelian ni adalah salah satu pintu sempadan antara Malaysia dengan Thailand. Di sebelah Malaysia dipanggil Wang Kelian, sebelah Thailand pulak dikenali sebagai Wang Prachan. Wang bermaksud 'lembah' dalam bahasa Siam.

Yang menariknya, setiap Sabtu dan Ahad, rakyat kedua-dua negara bebas keluar masuk sempadan tanpa sebarang dokumen perjalanan (maksudnya tanpa border pass atau passport je, IC tetap kena bawa). Tapi ianya terhad setakat lebih kurang 1 km je dari Pos Kawalan Imigresen kedua-dua negara. Maknanya rakyat kita boleh berkeliaran sekitar Pekan Sehari  Wang Prachan, manakala orang Siam pulak sampai Arked Pekan Sehari Wang Kelian je.



Kami sampai lebih kurang jam 9.00 pagi... boleh kira awal juga tu. Kalau sampai awal boleh parking dekat sikit dengan Pos Imigresen, jadi tak perlu menapak jauh sangat. Sebaik melepasi pintu sempadan... aku pun menjerit yabedabeduuuu (dalam hati je la)... agak teruja juga sebab ini pertama kali aku menjejakkan kaki ke luar negara (walaupun cuma kat sempadan je), tanpa passport pulak tu...kui3.



Macam-macam ada jual kat sini seperti pakaian, beg, peralatan dapur, kraftangan malah motor dan kereta mainan yang besar pun banyak. Agak panjang juga pekan sehari ni sampai tak larat nak jalan sampai hujung, ditambah pulak dengan cuaca panas. Jadi takde apa sangat yang kami beli kat sini, sebab niat nak jalan-jalan je, cuma beli baju bertulis 'Thailand' untuk kami sekeluarga sebagai kenangan kami dah sampai sini. Harga barang kat sini boleh kata agak murah tapi pilihan agak kurang... mungkin sebab cuma gerai kecik tepi jalan.




~  Setelah hampir 2 jam kami menghabiskan masa di negara orang, kami pun selamat kembali ke Malaysia yang tercinta (chehhh macam la jauh sangat). Destinasi kami seterusnya ialah Gua Kelam, Kaki Bukit... 12 km dari Wang Kelian dan terletak dalam kawasan Taman Negeri Perlis. Bayaran masuk... parking RM1, dewasa RM1, kanak-kanak RM0.50.

Dalam gua ni ada terowong semulajadi sepanjang 370 meter, kita boleh masuk ke dalam gua melalui jambatan kayu yang kukuh, kat bawah jambatan pulak ada aliran anak sungai yang mengalir entah ke mana... Tak perlu takut pada kegelapan sebab sepanjang laluan ni diterangi cahaya lampu. Err... tapi kalau tiba-tiba blackout macam mana ya? 


~ Seterusnya kami menuju ke Padang Besar, 14 km dari Gua Kelam. Sampai sini dah tengahari... kena jalan-jalan cari makan dulu. Ternampak deretan gerai makan kat sebelah arked niaga... jom kita cari makan apa yang spesel kat sini. Kami semua sepakat makan pulut je tengahari ni. Ada yang makan pulut mangga, pulut durian dan pulut ayam yang dimakan bersama somtam (kerabu betik ala-Thai)... memang sedap sampai menjilat... sudu!
Dah makan barulah ada tenaga nak ronda-ronda Arked Niaga Padang Besar. Memang ramai manusia kat sini, maklumlah sekarang musim cuti sekolah... peniaga pun agak menyombong la, kena ada skil tawar menawar yang tinggi. Kat arked berbumbung ni lebih selesa dan lebih banyak pilihan nak shopping atau cuma window shopping kalau nak dibandingkan dengan Wang Kelian.  Keliling bangunan arked tu pun ada lagi deretan kedai dan gerai yang menjual pelbagai barangan. Macam-macam barang Siam ada di sini... pakaian, aksesori wanita, beg, kasut, jersi bola, permainan kanak-kanak, peralatan dapur dll. 

Kat dalam arked ni aku biarkan bini aku jalan sendiri dengan anak daranya, biarkan kaum hawa shopping dengan cara mereka dan kaum adam dengan cara kami yang sempoi ni... Aku cuma beli permainan dan t-shirt untuk anak-anak bujang, aku sendiri tak beli apa-apa sebab takde yang berkenan... hanya beli kacang badam dan gajus untuk dimakan dalam kereta nanti. Lepas berjumpa semula... owh...nampaknya bini aku pun tak banyak mana barang yang dibelinya... bagus3.



~ Masa untuk bergerak balik. Singgah solat jamak zuhur dan asar di sebuah hentian rehat di tepi Tasik Empangan Timah-Tasoh. Kemudian meneruskan perjalanan melalui ladang tebu Chuping dan seterusnya meninggalkan negeri Perlis. 


~ Sempat juga kami singgah di Bukit Kayu Hitam, sempadan Kedah-Thailand. Mula-mula masuk Kompleks Bebas Cukai, tapi bagi aku harganya macam tak bebas cukai pun. Mungkin yang murah cuma coklat, rokok dan liquor je kot. Kemudian ke Bazar Bukit Kayu Hitam di sebelahnya, barang jualannya macam kat Padang Besar tapi tempatnya kecik je... jalan tengok-tengok je kat sini.


~ 5.30 pm, bertolak balik ke KL menempuh perjalanan sejauh 465 km dalam hujan dan jalan jem di beberapa tempat. Singgah makan malam kat exit Bidor, sampai rumah Rozan jam 1.00 pagi, dan sampai rumah kami kira-kira 1.30 pagi. Penat...  tapi puas!



FAKTA JELAJAH


~ Jumlah keseluruhan jarak perjalanan pergi dan balik sepanjang jelajah Kedah/Perlis ni adalah 1750 km.


~ Sepanjang penjelajahan ni, hanya aku sorang yang memandu sebab aku takde pulak rasa penat atau mengantuk masa memandu. Syaratnya mesti pekena Red Bull kurang manis dan ada makanan ringan atau asam untuk dikunyah. 


~ Sepanjang 4 malam ni, 2 malam kami tidur dalam khemah dan 2 malam lagi menginap di homestay. Amat menjimatkan kerana kosnya cuma RM 230.


~ Gambar-gambar agak kurang berkualiti sebab cuma diambil menggunakan kamera handphone. Nak beli DSLR tak mampuuuu.... ehh yang sebenarnya tak minat aku nak usung kamera besar-besar ni... asal ada gambar sudah.



Sekian saja perkongsian pengalaman aku untuk jelajah kali ni. Wassalam.



"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu, mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)

(Surah Al-Mulk: ayat 15)




5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 1
5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 2
5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 3
5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 4

No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...