22 December, 2012

The Hobbit : An Unexpected Journey

Berbekalkan 2 tiket wayang percuma yang dihadiahkan oleh Nokia yang seminggu lagi dah nak tamat tempoh ... (dan kemudian terpaksa mendapatkan 3 lagi tiket yang tidak percuma), kami sekeluarga ke AEON Rawang untuk menonton filem The Hobbit: An Unexpected Journey.


Bagi peminat trilogi filem fantasi pengembaraan Lord of the Ring... mesti suka filem Hobbit ni. Dengan durasi tayangan selama 2 jam 46 minit, anak-anak nampak agak bosan pada awal filem sebab banyak babak bercakap je. Tapi bila macam-macam makhluk pelik dah muncul... barulah diorang terpegun duk layan cerita ni. Ibu bapak diorang pulak lebih terpegun tengok pemandangan indah dalam filem ni... tetiba rasa macam nak pergi New Zealand pulak.

The Hobbit ni juga dibuat dalam bentuk trilogi, anak-anak pun dah kata nak tengok part 2  pulak tahun depan.

Untuk ulasan filem yang lebih profesional, sila ke SINI

21 December, 2012

Angah dah 6 tahun

Ketika ramai orang yang mempercayai berakhirnya kalendar puak Maya sedang bersiap-sedia untuk menyelamatkan diri dari 'Hari Kiamat' pada 21/12/2012... Angah pula dengan selambanya menyambut harijadi beliau yang ke-6 tahun.

Belikan sebiji kek aiskrim untuk dimakan bersama kawan-kawan di taska... makan ramai-ramai barulah meriah. Di rumah pulak, cuma beli set 4 gulung swiss roll perasa pandan,coklat, cappucino dan vanilla berserta set nasi ayam Ayamas... dimakan bersama keluarga makan apa pun mesti sedap.
 

Doa ayah & ibu : Semoga jadi anak yang soleh yang boleh menjadi harta peninggalan kami yang paling berharga. Semoga dilindungi, dirahmati dan diberkati dunia dan akhirat. Amin.


10 December, 2012

Majlis Khatan Perdana Masjid An-Nur : Anakku, ucapkanlah selamat tinggal kepada kulupmu itu ...

Sekadar mencatat salah satu peristiwa besar dalam hidup anak-anak bujang aku:

poster iklan inilah punca segala-galanya...


SEBELUM HARI KEJADIAN

~ Bila diusulkan cadangan untuk bersunat kepada anak-anak, bukan main seronok lagi diorang. Mula-mula aku cadang nak sunatkan si Along (8 tahun) sorang je, tapi si Angah (6 tahun) menawarkan diri nak sunat sekali dengan abangnya. Sebabnya aku pernah gatal mulut berjanji untuk menghadiahkan permainan PSP yang dah lama mereka idam-idamkan lepas bersunat nanti... Sebab itulah agaknya mereka langsung takde rasa takut nak bersunat dan mungkin juga sebab terpengaruh dengan cerita Upin & Ipin... "alaahh, sakit sikit macam kena gigit semut je..." Jom kita layan animasi ni dulu.




~ Sehari sebelum hari kejadian, para peserta majlis berkhatan beramai-ramai ni diraikan dalam satu majlis kenduri di masjid. Dua ekor lembu disumbangkan oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan seorang hamba Allah untuk ditumbangkan sebagai lauk kenduri ni. PAID juga memperuntukkan perbelanjaan makanan untuk 500 orang, memang perdana sungguh!

Selepas solat maghrib, kami sekeluarga ke masjid untuk mendengar ceramah kekeluargaan yang disampaikan oleh seorang ustaz dari PAID sementara menunggu waktu isya'. Lepas solat isya', para muslimat masjid mengalunkan marhaban dan selawat, khusus untuk budak-budak tu. Kemudian AJK masjid menyampaikan taklimat ringkas, hadiah wang tunai RM10 setiap seorang peserta dan mengadakan undian nombor giliran peserta berkhatan.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan. Wahh... nampaknya hidangan untuk peserta berkhatan agak mewah dan istimewa berbanding dengan hidangan untuk tetamu lain. Berselera sungguh mereka makan nasi berlauk ayam panggang, udang goreng tepung, telur puyuh dan sup daging, sambil menonton perlawanan Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Indonesia di ruang legar masjid (berkesudahan Malaysia menang 2-0). Takpe, bagilah diorang seronok-seronok dulu, esok taulah nasib korang huahahaa... (gelak jahat)

kenduri sakan dulu sebelum 'dikendurikan'


HARI KEJADIAN

~ Pagi-pagi lagi dah bangun kerana acara bermula 7.30 pagi... bersemangat sungguh.  Selepas dijamu dengan sarapan, aturcara dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh imam masjid, taklimat dari doktor bertugas seterusnya ucapan perasmian oleh Y.B Dato' Hj Amiruddin b. Setro, ADUN Jeram.

~ Kemudian acara paling ditunggu-tunggu iaitu semburan air bomba. Acara ni sebenarnya untuk bagi budak-budak seronok dan mengurangkan rasa cuak je. Dah puas berseronok mandi air pancut, sampai masanya untuk disunatkan, menggunakan kaedah terbaru iaitu Alisklamp.

berseronok-seronok dahulu, bersakit-sakit kemudian

~ Nampak konfiden je anak-anak aku tu. Mujurlah diorang dapat giliran  awal, no. 4 dan 5 dari 60 peserta. Jadi kuranglah sikit mendengar jeritan, raungan dan tangisan peserta lebih awal.. Aku dapat bayangkan kalau dapat giliran lambat, memang cuak lagi tertekan punya, rasa macam nak lari pun ada kot. Teringat masa dulu aku pun dapat giliran awal iaitu no. 3 dari 30 lebih peserta. Lepas kena sunat siap boleh takut-takutkan budak lain pulak... haha.

~ Kemudian masuk ke bilik bersunat yang cuma ditutup dengan tirai. Disebabkan nombor giliran yang berturutan, agak kelam kabut juga aku nak menguruskan kedua-duanya (ibunya duk luar je jaga Aina). Selesai giliran si Along, terpaksa pulak pujuk si Angah yang dah cuak tak nak sunat bila dengar tangisan abangnya masa kena sunat tadi... Akhirnya... dalam masa 5-10 minit setiap seorang, alhamdulillah semuanya selamat dan berjalan lancar.

mula-mula je nampak cool ni...

sejurus lepas dikhatan, buat muka sedih tak sanggup berpisah dengan kulup masing-masing... hehe
dah dapat mainan PSP (cap ayam je)... terus lupa rasa sakit...


SELEPAS HARI KEJADIAN

~ Jangka masa antara lepas bersunat hingga hari ke-4, dah boleh pakai seluar sebab si anu tu terlindung dalam klamp, diorang kata sakit sikit-sikit je. Yang penting sapu krim antibiotik kat tempat yang dipotong. Nak kencing pun senang sebab ikut saluran klamp tu je. Ikut kata doktor, bersunat dengan kaedah Alisklamp ni tak perlu pantang makan... jadi makan je seperti biasa...

~ Hari ke-5, datang semula ke masjid untuk buka klamp. Kali ni tiada sistem nombor giliran, beratur ikut giliran siapa datang dulu. Kami datang agak lambat, jadi sambil beratur menunggu giliran... kami terpaksa mendengar jeritan dan tangisan demi tangisan lagi... sakit juga la kot nak buka klamp ni. Amat mengerikan bagi budak-budak yang datang kemudian.

Maka skrip yang sama masa disunatkan berulang semula masa nak buka klamp ni. Jadi aku copy paste je beberapa ayat di atas dan edit sikit-sikit je:  Selesai giliran si Along, terpaksa pulak pujuk si Angah yang dah cuak tak nak buka klamp bila dengar tangisan abangnya masa kena buka klamp tadi... Akhirnya... dalam masa 2-3 minit setiap seorang, alhamdulillah semuanya selamat dan berjalan lancar.

~ Bila dah buka klamp dan si anu dah terdedah, barulah ada rasa ngilu sikit bila tergesel kain. Selepas seminggu, luka pun dah beransur kering... si Along dah mintak nak duduk kat kampung seminggu, ok je lah sebab cuti sekolah pun lama lagi.

~ Tahniah anak-anakku kerana dah selamat bersunat, hanya tunggu masa untuk menempuh alam remaja dan seterusnya menjadi lelaki dewasa yang hensem seperti ayahmu ini... kui3. Semoga anak-anak ayah berjaya dan berbahagia di dunia dan akhirat. Aamin.

  

24 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 5

HARI KELIMA, 17 NOV. 2012 (SABTU)



~ Hari terakhir; sarapan pagi ni kami masak sendiri je... menghabiskan bekalan mi segera dan buat sandwic tuna. Dari tempat penginapan di Pusat Konvensyen dan Rekreasi Semarak, Sungai Batu Pahat, kami memulakan perjalanan ke Wang Kelian sejauh 36 km. Mula-mula perjalanan lancar je sebab laluan landai dengan pemandangan sawah padi dan ladang getah. Melepasi pekan Kaki Bukit, laluan agak mencabar kerana melalui kawasan berbukit, jalannya berliku-liku dengan selekoh tajam.

Wang Kelian ni adalah salah satu pintu sempadan antara Malaysia dengan Thailand. Di sebelah Malaysia dipanggil Wang Kelian, sebelah Thailand pulak dikenali sebagai Wang Prachan. Wang bermaksud 'lembah' dalam bahasa Siam.

Yang menariknya, setiap Sabtu dan Ahad, rakyat kedua-dua negara bebas keluar masuk sempadan tanpa sebarang dokumen perjalanan (maksudnya tanpa border pass atau passport je, IC tetap kena bawa). Tapi ianya terhad setakat lebih kurang 1 km je dari Pos Kawalan Imigresen kedua-dua negara. Maknanya rakyat kita boleh berkeliaran sekitar Pekan Sehari  Wang Prachan, manakala orang Siam pulak sampai Arked Pekan Sehari Wang Kelian je.



Kami sampai lebih kurang jam 9.00 pagi... boleh kira awal juga tu. Kalau sampai awal boleh parking dekat sikit dengan Pos Imigresen, jadi tak perlu menapak jauh sangat. Sebaik melepasi pintu sempadan... aku pun menjerit yabedabeduuuu (dalam hati je la)... agak teruja juga sebab ini pertama kali aku menjejakkan kaki ke luar negara (walaupun cuma kat sempadan je), tanpa passport pulak tu...kui3.



Macam-macam ada jual kat sini seperti pakaian, beg, peralatan dapur, kraftangan malah motor dan kereta mainan yang besar pun banyak. Agak panjang juga pekan sehari ni sampai tak larat nak jalan sampai hujung, ditambah pulak dengan cuaca panas. Jadi takde apa sangat yang kami beli kat sini, sebab niat nak jalan-jalan je, cuma beli baju bertulis 'Thailand' untuk kami sekeluarga sebagai kenangan kami dah sampai sini. Harga barang kat sini boleh kata agak murah tapi pilihan agak kurang... mungkin sebab cuma gerai kecik tepi jalan.




~  Setelah hampir 2 jam kami menghabiskan masa di negara orang, kami pun selamat kembali ke Malaysia yang tercinta (chehhh macam la jauh sangat). Destinasi kami seterusnya ialah Gua Kelam, Kaki Bukit... 12 km dari Wang Kelian dan terletak dalam kawasan Taman Negeri Perlis. Bayaran masuk... parking RM1, dewasa RM1, kanak-kanak RM0.50.

Dalam gua ni ada terowong semulajadi sepanjang 370 meter, kita boleh masuk ke dalam gua melalui jambatan kayu yang kukuh, kat bawah jambatan pulak ada aliran anak sungai yang mengalir entah ke mana... Tak perlu takut pada kegelapan sebab sepanjang laluan ni diterangi cahaya lampu. Err... tapi kalau tiba-tiba blackout macam mana ya? 


~ Seterusnya kami menuju ke Padang Besar, 14 km dari Gua Kelam. Sampai sini dah tengahari... kena jalan-jalan cari makan dulu. Ternampak deretan gerai makan kat sebelah arked niaga... jom kita cari makan apa yang spesel kat sini. Kami semua sepakat makan pulut je tengahari ni. Ada yang makan pulut mangga, pulut durian dan pulut ayam yang dimakan bersama somtam (kerabu betik ala-Thai)... memang sedap sampai menjilat... sudu!
Dah makan barulah ada tenaga nak ronda-ronda Arked Niaga Padang Besar. Memang ramai manusia kat sini, maklumlah sekarang musim cuti sekolah... peniaga pun agak menyombong la, kena ada skil tawar menawar yang tinggi. Kat arked berbumbung ni lebih selesa dan lebih banyak pilihan nak shopping atau cuma window shopping kalau nak dibandingkan dengan Wang Kelian.  Keliling bangunan arked tu pun ada lagi deretan kedai dan gerai yang menjual pelbagai barangan. Macam-macam barang Siam ada di sini... pakaian, aksesori wanita, beg, kasut, jersi bola, permainan kanak-kanak, peralatan dapur dll. 

Kat dalam arked ni aku biarkan bini aku jalan sendiri dengan anak daranya, biarkan kaum hawa shopping dengan cara mereka dan kaum adam dengan cara kami yang sempoi ni... Aku cuma beli permainan dan t-shirt untuk anak-anak bujang, aku sendiri tak beli apa-apa sebab takde yang berkenan... hanya beli kacang badam dan gajus untuk dimakan dalam kereta nanti. Lepas berjumpa semula... owh...nampaknya bini aku pun tak banyak mana barang yang dibelinya... bagus3.



~ Masa untuk bergerak balik. Singgah solat jamak zuhur dan asar di sebuah hentian rehat di tepi Tasik Empangan Timah-Tasoh. Kemudian meneruskan perjalanan melalui ladang tebu Chuping dan seterusnya meninggalkan negeri Perlis. 


~ Sempat juga kami singgah di Bukit Kayu Hitam, sempadan Kedah-Thailand. Mula-mula masuk Kompleks Bebas Cukai, tapi bagi aku harganya macam tak bebas cukai pun. Mungkin yang murah cuma coklat, rokok dan liquor je kot. Kemudian ke Bazar Bukit Kayu Hitam di sebelahnya, barang jualannya macam kat Padang Besar tapi tempatnya kecik je... jalan tengok-tengok je kat sini.


~ 5.30 pm, bertolak balik ke KL menempuh perjalanan sejauh 465 km dalam hujan dan jalan jem di beberapa tempat. Singgah makan malam kat exit Bidor, sampai rumah Rozan jam 1.00 pagi, dan sampai rumah kami kira-kira 1.30 pagi. Penat...  tapi puas!



FAKTA JELAJAH


~ Jumlah keseluruhan jarak perjalanan pergi dan balik sepanjang jelajah Kedah/Perlis ni adalah 1750 km.


~ Sepanjang penjelajahan ni, hanya aku sorang yang memandu sebab aku takde pulak rasa penat atau mengantuk masa memandu. Syaratnya mesti pekena Red Bull kurang manis dan ada makanan ringan atau asam untuk dikunyah. 


~ Sepanjang 4 malam ni, 2 malam kami tidur dalam khemah dan 2 malam lagi menginap di homestay. Amat menjimatkan kerana kosnya cuma RM 230.


~ Gambar-gambar agak kurang berkualiti sebab cuma diambil menggunakan kamera handphone. Nak beli DSLR tak mampuuuu.... ehh yang sebenarnya tak minat aku nak usung kamera besar-besar ni... asal ada gambar sudah.



Sekian saja perkongsian pengalaman aku untuk jelajah kali ni. Wassalam.



"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu, mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)

(Surah Al-Mulk: ayat 15)




5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 1
5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 2
5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 3
5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 4

23 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 4

HARI KEEMPAT, 16 NOV 2012 (JUMAAT)

~ Pagi; checkout dari homestay di Taman Wira Mergong dengan perasaan agak malu-malu pada tuan rumah kerana si Angah terkencing atas tilam. Mungkin sebab syok sangat tidur sejuk-sejuk dalam air-cond. Untuk menunjukkan sikap berbudi bahasa, bersopan santun dan berhemah tinggi yang terpendam dalam diri aku ni, aku angkat tilam tu tolong jemur kat luar. Mintak maaf la pakcik ye... heheh. 
Lepas tu anak tuan rumah yang juga sahabat lama aku si Aznizam tu datang nak bawak jalan-jalan cari sarapan pulak. Lokasinya kat Kopitiam, Jalan Teluk Wan Jah... antara medan selera yang popular untuk bersarapan kat Alor Setar ni. Waktu kami nak makan kat sini pun, ada kru Astro tengah shooting program makan-makan kot. Dulunya Kopitiam ni merupakan bangunan perhentian bas tapi kini diubah jadi medan selera setelah ada terminal bas baru kat Shahab Perdana.
Kat dalam Kopitiam ni ada berpuluh-puluh gerai makanan yang menyajikan berbagai jenis makanan. Ada nasi lemak, roti canai, kuih muih, masakan pantai timur seperti nasi dagang dan nasi kerabu, yong tau fu, laksa, berbagai jenis mee, roti john, roti jala cicah kuah kari atau kuah durian, nasi kandar, makanan barat... dan macam-macam lagi pilihan sampai tak sempat nak cerita dan tak sempat nak ambil gambar. Harga makanan pun amat berpatutan, senang kata memang best la makan kat sini.

~ Masa untuk mengucapkan salam perpisahan kepada Aznizam kerana hari ni kami akan meninggalkan negeri Kedah untuk ke destinasi seterusnya negeri Perlis. Terima kasih kepada beliau atas layanan mesra sepanjang kami berada kat Aloq Setaq ni... rasa macam nak datang selalu pulak.. hehe.

~ Dari bandaraya Alor Setar, kami menyusuri jalan Alor Setar-Kangar kemudian Jalan Persisiran Pantai Kuala Sanglang-Kuala Perlis. Di Kuala Sanglang (kira-kira 30 km dari Alor Setar) ternampak papan tanda Ladang Nipah Kipli... jom singgah kita tengok apa ada kat sini. Dalam ladang ni, pengunjung boleh bersantai di pondok-pondok di bawah rimbunan pokok nipah, sambil menikmati air nira nipah, jeli nira dan laksa... semuanya segar dari ladang, rasa tenang je lepak kat sini. Kalau nak tau macam mana caranya nak dapatkan air nira dari pokok nipah, datang sini dan tengoklah sendiri.

~ Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis, kira-kira 20 km je dari Ladang Nipah Kipli. Kelihatan tempat letak kereta sekitar Terminal Feri Kuala Perlis (jeti ke Pulau Langkawi) penuh sesak... almaklumlah musim cuti sekolah... ramai yang nak pergi Langkawi. 
Kami singgah di dataran Masjid Al-Hussain, atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung Kuala Perlis. Uniknya masjid ni sebab dinding luarnya dibina menggunakan batu-batuan semulajadi jadi tiada cat digunakan, manakala kiblatnya pula mengadap ke arah laut. Lepak sini sekejap sambil menikmati angin laut. Nak tunggu waktu solat jumaat pun masih awal lagi.

~Seterusnya kami singgah pula di Muzium Kota Kayang, Jln Behor Temak, kira-kira 5km dari Kuala Perlis. Kalau dah namanya muzium, dah tentulah tengok pameran sejarah negeri Perlis. Rasanya untuk jelajah kali ni... inilah muzium terakhir kami pergi kot. Dah 3-4 muzium kami masuk, bini aku pun dah naik muak masuk muzium.. haha. 
Aku pun sebenarnya bukan minat sangat masuk muzium... tapi muzium adalah antara tempat tarikan pelancong yang biasanya boleh masuk percuma... hehe.. lagipun bagus juga untuk dedahkan anak-anak agar lebih mengenali khazanah warisan sejarah dan budaya negara mereka. Nanti taklah jadi macam si Rozan budak Sabah ni haa... seumur hidup tak pernah masuk muzium... nasib baik lah dia ikut aku menjelajah ni, nak tak nak terpaksalah juga dia ikut masuk muzium... hihi.
~ Lepas tu kami menuju bandar Kangar dan ronda-ronda sekitar pusat bandarnya... ibu negeri Perlis ni taklah besar mana rupanya. Kemudian ke Pekan Mata Ayer (lebih kurang 8 km dari Kangar) untuk mencari tempat jalan-jalan cari makan yang aku dah survey sebelum ni... tapi kejap lagi la cerita... nak pergi solat jumaat dulu.

Kami solat jumaat (jamak dengan solat asar) di Masjid Mata Ayer... sementara kaum hawa yang dua orang tu terpaksalah tinggal dalam kereta. Bagi orang dari luar Perlis, mungkin rasa agak janggal bila lepas selesai solat... tiada bacaan doa beramai-ramai di mana imam membaca doa sambil diaminkan  oleh makmum, seperti yang biasa diamalkan di negeri-negeri lain. Masing-masing berdoa sendiri dan ada yang terus solat sunat. Aku tak pandai la nak komen bab ni... ada pro & kontra... Senang cerita, perkara-perkara khilaf macam ni kita ikut je apa yang diamalkan kat tempat tu dan jangan melabel orang lain tak betul sedangkan kita sendiri belum tentu betul...
~ Ok, masa untuk jalan-jalan cari makan...  kami makan tengah hari di Restoran Nasi Kandar Pokok Petai, Pekan Mata Ayer. Di kalangan penduduk tempatan, Pekan Mata Ayer ni lebih dikenali sebagai Pekan Pokok Petai, jadi mungkin dari situlah restoran ni mendapat namanya.


Dekorasi dalam restoran ni memang unik kerana keseluruhan perabot diperbuat daripada ukiran kayu. Siap ada buaian kayu sebelah meja makan.. budak-budak memang suka laa.. Respek kat tauke kedai ni yang memang kreatif lagi inovatif. Harga makanan yang kami pesan iaitu nasi kandar lauk ayam madu kira berpatutan la dan rasanya sedap juga.


~ Perut pun sudah kenyang, hati pun ada banyak suka. Dari Mata Ayer kami terus ke Sungai Batu Pahat sejauh 16km. Di sepanjang jalan ke Sg. Batu Pahat ni ada beberapa tempat menarik yang boleh disinggahi seperti Ladang Mempelam Harumanis, Taman Anggur Perlis, Taman Ular dan Reptilia,  Rimba Herba dan hujung sekali adalah Hutan Lipur Bukit Ayer.

Nak singgah Ladang Mempelam Harumanis, sayangnya waktu kami pergi ni bukan musimnya. Kalau datang pada bulan April-Jun memang kenyang la makan harumanis. Jadi kami tengok je la replika buah mempelam harumanis yang besar dari dalam kereta, sambil meleleh air liur... huhu.

Depan sikit dari ladang harumanis, ternampak pulak papan tanda Taman Anggur Perlis. Tapi memandangkan sebelum ni dah pernah pergi Ladang Anggur Tasik Beris kat Sik, Kedah (ladang anggur terbesar di Asia Tenggara pulak tu), jadi rasanya tak payah masuklah yang ni... lebih kurang samalah tu keadaannya. Tapi untuk membuktikan kami dah sampai sini... aku suruh si Along je turun bergambar kat papan tanda, itupun ambil gambar dari dalam kereta je... wakaka.

Seterusnya kami masuk ke Taman Ular dan Reptilia. Bayaran masuk untuk dewasa RM4, kanak-kanak RM1. Inilah satu-satunya taman ular di Malaysia ni... mungkin sebab Perlis ni banyak ular kot. Berbagai spesis ular berbisa dan tak berbisa serta beberapa jenis reptilia terdapat di sini. Tapi takde pulak aku nampak ular jinak yang boleh dipegang dan dibelai... kalau ada mesti lagi menarik tempat ni...


Dah puas tengok ular, kami singgah ke Rimba Herba Perlis. Di sinilah tempatnya kalau nak mengenali pelbagai tumbuhan dan herba yang mempunyai nilai perubatan yang digunakan nenek moyang kita sejak zaman berzaman. Kami sampai sini lagi 10 minit pukul 5.00 pm, tempat ni dah nak tutup laa... jadi kami cuma sempat berlegar-legar di ruang depan Rimba Herba ni saja la. Kalau tengok pelan lokasi rimba herba ni, mungkin ambil masa setengah hari nak pusing habis. Takpelah, dapat jejak kaki ke sini pun dah kira ok.


Kemudian kami ke Hutan Lipur Bukit Ayer, hanya 1.5 km dari Rimba Herba. Apasal orang Perlis eja air jadi ayer ya? Tadi Mata Ayer, pastu Bukit Ayer pulak...ehh tempat diorang suka hati diorang la ye tak..hehe. Waktu kami sampai ramai juga pengunjung kat sini. Ada air terjun yang mengalir  ke dalam kolam (macam kolam buatan je), tapi ayernya tak berapa jernih. Kemudahan kat sini serba lengkap...ada chalet, dewan serbaguna, surau, taman permainan kanak-kanak, tapak perkhemahan, tandas, wakaf dll. Macam biasa anak-anak aku kalau dah nampak air mulalah merengek nak mandi. Oklah, dapatlah mandi sekejap sebab tiba-tiba hujan panas la pulak.

~ Hari beransur petang... masa untuk cari tempat penginapan, untuk hari ni memang tak rancang nak menginap di mana, barulah adventure. Ronda-ronda sekitar Sg. Batu Pahat cari homestay atau chalet. Kalau tak jumpa kena berkhemah lagi la jawabnya... Pusing punya pusing... tanya homestay harga standardnya memang RM 150.00 ke ataslah... kemudian terjumpalah tempat penginapan yang besar tapi murah... beberapa rumah kayu ala kampung di Pusat Konvensyen dan Rekreasi Semarak, Sg. Batu Pahat, betul-betul sebelah Taman Ular. 


Rumah kayu 3 bilik, 1 bilik air, setiap bilik ada 2 katil bujang, kemudian ada extra 5 tilam... memang berbaloilah pada harga hanya RM 70.00. Kalau nak yang ada air-cond cuma RM 90.00. Kalau datang ramai-ramai boleh bawa toto tidur je kat ruang tamu... 


Tapi tempat ni memang untuk tidur sajalah...kalau nak tengok tv sila bawa tv sendiri... kalau nak lebih selesa dan ada duit pergilah tidur kat hotel berbintang. Bagi kami yang mengamalkan percutian berkonsep bajet, tempat macam ni dah cukup selesa dah... yang penting dapat berjalan tengok tempat orang.


Kalau berminat, sebarang pertanyaan sila hubungi 04-977 2233, 04-9866879, 017-4792675 (Puan Siti)... aku tolong promote je... bukan dapat duduk free pun.




~ Malamnya kami ke Medan Ikan Bakar Kuala Perlis,19 km dari Sg. Batu Pahat. Letaknya di tepi laut, depan Hotel Putra Brasmana. Memang ramai yang datang makan kat sini sampai nak cari parking pun agak mencabar. Ada banyak gerai yang boleh dipilih. 


Hidangan kami malam tu... laksa, ikan bakar, udang goreng tepung, ulam-ulaman... dan yang paling spesel lagi eksotik adalah belangkas bakar, yang aku kempunan nak makan masa kat Tanjung Dawai semalam. Tapi kat sini harganya agak mahal sikit, RM 18.00 seekor siap bakar. Nak rasa punya pasal, aku order la seekor, kongsi makan dengan Rozan... anak bini tak sanggup nak rasa. 




Isinya tak banyak mana, rupanya macam isi ketam, yang banyak adalah telurnya yang berwarna kekuningan. Susah nak gambarkan macam mana rasanya, siapa pernah makan belalang kunyit bakar (masa kat kampung kecik-kecik dulu selalu la aku makan), lebih kurang macam tu lah rasanya. Senang cerita, tekak aku memang boleh telan tapi rasanya tak sedap manapun... dapat rasa sekali ni pun cukup la.. asalkan tak kempunan... dan tak perlu la aku nak pergi menyerah diri kat Batu Belah Batu Bertangkup sebab kempunan nak makan belangkas bakar... 


~ Perut dah kenyang... balik ke tempat penginapan untuk menidurkan diri.



..... bersambung lagi... hari kelima... hari terakhir...



22 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 3

HARI KETIGA, 15 NOV. 2012 (KHAMIS) – CUTI MAAL HIJRAH


~ Salam Maal Hijrah 1434.

~ Selesai solat subuh, anak-anak terus pergi tepi pantai. Pemandangan kat Pantai Merdeka ni memang cantik berlatarbelakangkan Tanjung Dawai dan Gunung Jerai, tapi tak sesuai untuk mandi sebab pantainya berlumpur dan airnya agak kotor. Jadi aktiviti yang boleh budak-budak ni buat hanyalah main-main tepi pantai... melihat-lihat hidupan tepi pantai seperti umang-umang, ketam dan tapak sulaiman... serta mengutip cengkerang.


~ Lepas kemaskan khemah, nak mandi pun bilik air belum buka lagi. Kami buat keputusan menuju ke Tanjung Dawai yang terletak di seberang kuala sungai (atau laut) Pantai Merdeka (yang tak sempat pergi petang semalam). Untuk ke sana, perlu naik bot laju yang disediakan oleh persatuan nelayan kat situ... perjalanannya cuma ambil masa lebih kurang 10 minit. Setiap penumpang tak kira kecik besar kena tambang RM2 sehala. Seronok le untuk anak-anak dapat naik bot.

Kat Tanjung Dawai ni ada arked menjual hasil-hasil laut seperti ikan masin, ikan bilis, keropok, belacan dan pastinya juga ikan segar baru naik dari laut tapi dijual murah.

Perut dah lapar, apa-apa hal pun kena cari sarapan dulu. Malangnya kedai-kedai kat medan selera arked ni baru nak dibuka... mungkin menumpukan untuk makanan tengahari. Yang ada cuma sebuah gerai biasa menjual menu sarapan yang biasa... nasi lemak, mi goreng dan nasi kerabu, kira bolehlah untuk mengisi perut.

Lepas sarapan, ternampak satu bakul penuh dengan belangkas hidup kat salah satu gerai makan tadi, harganya RM10 seekor siap bakar tapi sayangnya peralatan memasaknya belum siap... agak kempunan la nak rasa makan belangkas... huhu. Lepas tu ronda-ronda sekejap kat arked tu, bini aku pun macam tak berminat nak beli ikan bilis ke apa...jadi cuma beli keropok sebagai kudapan dalam kereta nanti.


Lepas tu balik semula ke Pantai Merdeka...  dengan bangganya juga kami telah menjejakkan kaki ke semua tempat yang disebut dalam lirik lagu Cinta Pantai Merdeka tu... iaitu Gunung Jerai, Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka itu sendiri... hohoho! Ehh macam mana aku boleh terjebak layan lagu ni pulak... sebelum ni tak minat langsung pasal lagu ni lembik semacam je. Mungkin bila dah sampai pantai ni baru terasa 'semangat' lagu ni kot.
~ Dari Pantai Merdeka kami menuju pula ke Alor Setar. Sempat singgah di Tugu Peringatan Tsunami, Kota Kuala Muda yang dibina dari perahu-perahu yang rosak dan dihanyutkan dalam tragedi tsunami yang melanda tahun 2004 serta meragut 12 nyawa penduduk sekitar Kota Kuala Muda. Al-Fatihah.
~ Sepanjang perjalanan dari Pantai Merdeka ke Alor Setar ikut jalan lama sejauh 90 km... puaslah menikmati pemandangan sawah padi seluas saujana mata memandang. 

~ Dah sampai Alor Setar tak singgah mana pun, kami terus ke Muzium Padi, dekat Gunung Keriang, kira-kira 8 km dari Alor Setar. Bayaran masuk dewasa RM3, kanak-kanak RM1, manakala kamera apa jenis pun kena bayar RM2. Agak kelakar bila resit bayaran untuk kamera tu perlu ditunjukkan/diikat pada jari setiap kali nak ambil gambar... siap ada staff muzium yang akan memerhati dan memeriksa siapa ambil gambar tanpa resit di tangan.

Selain pameran tentang segala benda berkaitan tanaman padi, yang paling menarik kat muzium ni pastinya pelantar berputar kat aras 3 di mana kita dapat melihat panorama/lanskap jelapang padi dalam bentuk mural... memang cantik dan muralnya pun memang 'real' macam gambar sebenar.

~ Lepas tu ronda-ronda sekitar Taman Rekreasi Gunung Keriang (tak jauh dari Muzium Padi tu). Ada banyak kedai jual batu kristal yang dipungut dari dalam gua Gunung Keriang ni. Tapi kami cuma tinjau dari dalam kereta je sebab takde niat nak beli dan lagipun dah pukul 2.00 pm lebih, perut dah bagi signal minta diisi. Kami berpatah balik ke bandar Alor Setar dan singgah makan kat satu kedai nasi campur, lupa pulak apa nama kedai tu, tapi kedai biasa-biasa je... asal boleh isi perut sudah.

~ Sebelum ke Kedah ni, aku ada contact sorang sahabat lama, rakan sekerja yang sekarang dah bertukar balik ke kampung halamannya kat sini. Mulanya nak mintak tolong survey homestay murah-murah kat Aloq Setaq ni. Sekali dia offer homestay dia punya sendiri daa... sebuah rumah teres setingkat kat Taman Wira Mergong.

Lokasinya sangat strategik cuma 4 km dari pusat bandar Alor Setar. Rumah 3 bilik/2 bilik air ni dilengkapi dengan air-cond kat bilik tidur utama, peti sejuk, tv dan kelengkapan memasak. Kalau datang ramai dan bilik tak cukup, boleh bentang toto tidur je kat ruang tamu. Setelah dua malam berturut-turut tidur dalam khemah, malam ni kami akan tidur dengan selesa kat homestay pulak.

Kalau ada yang berminat boleh contact Aznizam Homestay, 019-5754554. Maklumat lanjut tentang kadar sewa dan gambar homestay bolehlah check kat  blog dia.

~ Lepas solat jamak zuhur dan asar, kami keluar semula untuk meronda bandar Alor Setar. Mula-mula naik Menara Alor Setar, menara telekomunikasi ke-2 tertinggi di Malaysia dan ke-19 di dunia. Bayaran untuk dewasa RM8, kanak-kanak 6-12 tahun RM4. Dari atas menara bolehlah nak tengok pemandangan bandaraya Alor Setar dan sebahagian negeri Kedah, sampaikan Gunung Jerai, Selat Melaka malah Pulau Langkawi pun boleh nampak kalau cuaca cerah.

~ Orang kata kalau pergi Alor Setar tak lengkap dan tak sah kalau tak singgah shopping kat Kompleks Pekan Rabu. Sila klik link yang aku bagi tu sebab boleh layan lagu Pekan Rabu dalam loghat Kedah dan ada cerita tentang benda-benda yang ada kat Pekan Rabu tu. Banyak kali dengar syok juga layan lagu tu... 

Kat sini kami cuma beli ikan pekasam dan serunding, selebihnya cuma 'window shopping' je. Bini aku pun macam takde minat nak beli apa-apa kat sini. Itu sangat tidak bagus kerana tidak dapat menjana ekonomi para peniaga kat sini tapi amat bagus untuk ekonomi keluarga aku.... kui3. Dah penat meronda... tekak pun dah kering... lepak kat medan selera Pekan Rabu sambil layan cendol & laicikang lagi syok.


~ Setakat tu je yang sempat kami ronda kat Alor Setar hari ni. Anak bini dah kepenatan dan kepeningan, mungkin sebab cuaca kat Kedah masa kami pergi ni panasnya semacam. Kami balik ke homestay untuk berehat dan membersihkan diri. Dalam 2-3 hari ni mandi pun ala koboi je... kat homestay bolehlah mandi puas-puas.

~ Malam; tuan rumah, Aznizam dengan rela hati nak bawak kami jalan-jalan cari makan. Cakap je nak makan jenis apa kat Alor Setar ni dia boleh bawak kat tempat yang best. Anak bini kata nak makan ala-western la pulak... layan aje lah.  

Kami makan kat Gemilang Burger, tapi bukanlah macam gerai burger tapi dah macam restoran juga aku tengok. Lokasinya aku tak ingat kat mana dan bila aku google... ada beberapa cawangan lain rupanya dan memang tempat lepak malam-malam yang popular  kat Alor Setar ni (terutama bila ada game EPL).

Menunya pun bukanlah burger semata-mata tapi semua menu western food ada... Antara yang kami makan... chicken chop dan lamb chop. Apa lagi nak dikata... western food kat KL pun berlambak. Sedap memang sedap tapi bertambah-tambah sedapnya bila Aznizam dengan rela hati tanpa aku paksa telah membelanja kami makan malam tu. Inilah contoh tuan rumah yang pandai melayan tetamunya... dan sebagai tetamu yang mahu menjaga hati tuan rumah, aku pun dengan rela hati menerima pembelanjaan itu tanpa sebarang bantahan... (hehehe kenalah bodek sikit).. terima kasih Zam...

~ Perut dah kenyang... balik homestay dan tidur dengan lenanya dalam bilik berhawa dingin. Agak teruja dan hampir lupa diri la sebab sejak dua malam lepas tidur berhimpit dalam khemah je.



... bersambung lagi Hari Keempat...

21 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 2

HARI KEDUA, 14 NOV. 2012 (RABU)

~ Masih di Ulu Legong Hot Spring. Pagi tu sempat lagi mandi kolam air panas sekejap. Lepas tu masak sarapan... paling mudah masak maggi + telur je le, kadang-kadang takpe jangan makan selalu... tak elok untuk tumbesaran budak-budak.

~ Dari Ulu Legong Hot Spring, Baling terus menuju ke kaki Gunung Jerai, Yan (berdekatan pekan Gurun) sejauh hampir 70 km. Kemudian dari kaki gunung nak ke puncak sejauh 12km, kami melalui jalan sempit yang berliku-liku, lebih kurang macam jalan nak naik Genting tapi lebih sempit. Di sesetengah laluan hanya satu lorong dibuka kerana kerja pembaikan sedang dijalankan disebabkan tanah runtuh.

Sampai je kat puncak, ada satu resort tempat menginap iaitu The Regency Jerai Hill Resort. Pada ketinggian 986 meter dari aras laut, sebenarnya resort ni bukanlah puncak sebenar kerana puncak sebenar setinggi 1217 meter ada menara pemancar radio dan dilarang masuk. Masa kami sampai tu, cuaca nyaman dan agak dingin tapi berkabus, jadi tak nampak la pemandangan dari atas gunung. Orang kata kalau hari cerah boleh nampak pemandangan indah petak-petak sawah padi, rangkaian pulau-pulau di laut serta sebahagian daerah Yan dan Kuala Muda. 



Kami lepak sambil minum di Restoran Puncak Kedah kira-kira sejam di sini kemudian turun semula dan singgah di Muzium Perhutanan Sungai Teroi, tak jauh dari resort tu. Ada macam-macam maklumat dan pameran pasal hutan ada kat muzium ni.

~ Dari Gunung Jerai kami meneruskan perjalanan ke Pantai Murni, Yan sejauh 30km. Pantai ni sesuai untuk tempat melepak je petang-petang, tak sesuai untuk mandi-manda sebab pantainya berlumpur.Kemudahan semua ada seperti surau, medan selera dan taman permainan. Kat Yan ni juga banyak gerai menjual air nira nipah... cuaca masa tu pulak memang panas terik, kami pun singgah pekena air nira nipah sejuk, memang menyegarkan.

~ Seterusnya kami menuju Air Terjun Seri Perigi, cuma 5km dari Pekan Yan. Merupakan air terjun tertinggi di Kedah iaitu melebihi 100 meter. Air terjunnya boleh nampak dari jalanraya Guar Chempedak ke Yan. Bila jumpa air terjun, anak-anak mulalah merengek nak mandi tapi tak dapatlah nak tunaikan sebab kesuntukan masa. Lagipun semalam kan dah puas mandi-manda.

~ Kat Pekan Yan ni, kami mengisi minyak di stesen minyak Buraqoil (aku pun baru tau kewujudannya sejak sampai Kedah ni). Rupanya stesen minyak ni diwujudkan khusus untuk pengusaha stesen minyak kecil di kawasan luar bandar, dan kini semakin berkembang di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.
~ Lepas solat jamak zuhur & asar, kami ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, 21 km dari Yan. Dah dua muzium kami pergi hari ni. Rasanya ingat lagi zaman sekolah rendah dulu, kalau subjek sejarah mesti ada cerita pasal kesan peninggalan sejarah tamadun Hindu-Buddha kat Lembah Bujang ni.

~ Dah dekat jam 4.00 petang tapi belum lunch lagi ni... masa untuk jalan-jalan cari makan. Sebelum ke Kedah ni dah survey satu restoran yang diwar-warkan sedap kat area Sungai Petani. Jom kita ke Restoran Bawal, Padang Temusu sejauh 6 km dari pusat bandar Sungai Petani... mula-mula pening juga nak mencarinya. Rupanya senang je nak cari, dari pusat bandar Sungai Petani jalan terus ikut jalan menuju ke Butterworth, restoran ni sebelah kiri.


Menunya lain sikit la dari biasa... seperti gulai ikan bawal, gulai sembilang, kari rusa, kari itik, asam pedas ikan pari (semua dalam claypot) dll. Lauk-lauk ni hanya dimasak selepas pesanan dibuat, boleh pesan mengikut set, nak add-on lauk lain pun boleh. Selain tu ada lauk-pauk yang digoreng seperti ayam kampung, ikan bawal dll. 


Kami pesan set kari rusa, add-on gulai sembilang dihidang dengan bawal goreng dan ulam-ulaman dan sambal belacan... memang menyelerakan tambah pulak perut tengah kebulur ni. Untuk menghilang dahaga.. aku cuba jus amra (kedondong) + asam boi... sungguh menyegarkan. Awas kalau anak-anak kecik pesan ice-blended, gelasnya cukup tinggi dijamin bapaknyalah yang terpaksa menghabiskannya. Banyak pulak aku cerita pasal restoran ni, taukenya patut bagi aku makan free lain kali.




~ Seterusnya kami menuju Pantai Merdeka, Kuala Muda... kira-kira 30 km dari Sungai Petani. Kawan aku kata kat sini memang sesuai untuk berkhemah sambil memancing waktu malam. Joran pun ada standby dalam kereta. Jadi kami cadang nak berkhemah je kat sini.


Kami sampai dah dekat pukul 6.00 petang. Masa mula-mula sampai ingat nak naik bot pergi Tanjung Dawai, tapi memandangkan dah lewat dan bot terakhir untuk balik ke Pantai Merdeka pukul 7.00 petang, kami tangguhkan pergi esok je lah. 


Kebetulan pulak masa ni sedang diadakan Pesta Pantai Merdeka selama sebulan lebih, maka penuhlah umat manusia mengunjungi gerai-gerai jualan kat sini... memang meriah. Kemudahan serba lengkap kat sini... taman permainan, surau, tempat letak kereta yang luas, medan selera semua ada. Cuma kalau nak mandi-manda kat pantai macam tak berapa sesuai la sebab pantainya berlumpur.

Lepas siap pasang khemah dan solat jamak maghrib dan isyak, jalan-jalan sekitar gerai jualan (macam biasa inilah aktiviti yang paling diminati oleh bini aku), kemudian lepak makan ringan-ringan kat medan selera (nak makan berat masih kenyang lagi makan kat Restoran Bawal tadi). 


Menu special kat sini adalah mee udang laut, order sepinggan kongsi dengan bini aku (sekadar nak merasa)... memang sedap, udangnya segar tapi sayang cuma letak 2 ekor saiz sederhana. Kalau boleh aku nak yang kena selak udang baru nampak mee barulah sempoi. Minuman special pulak semestinya ABC Gunung Jerai berharga RM 5.00... semua gerai ada jual cuma rupanya lain-lain sikit la. Memang tinggi ABC ni, boleh kongsi 2-3 orang cuma agak leceh masa nak 'meruntuhkan' gunung ni... 


Lepas makan sempat juga kami mencuba urutan refleksologi kat salah satu gerai... RM 20.00 untuk setengah jam, lega sikit rasa lenguh kaki. Tiba-tiba hujan turun, mujur  tak berapa lebat kami pun lepak dalam khemah je...anak dara aku dan ibunya terus tidur. 



Aku, Rozan dan anak-anak bujang aku lepak atas tembok batu tepi pantai sambil bersembang dan layan lagu Cinta Pantai Merdeka yang memang aku download khas dalam handphone untuk didengar bila sampai kat sini...owh syahdunya... kui3. Entah berapa kali ulang lagu tu sampai anak-anak aku dah boleh hafal liriknya. Kalau bab hafal lagu bukan main terang hati korang ye... cer kalau suruh hafal surah ke..sifir ke... hmmphhh...

Masa tu dah pukul 1.00 pagi tapi makin ramai pulak orang datang lepak sambil memancing. Geram pulak tengok orang memancing. Adehh, macam mana boleh tak teringat langsung nak beli umpan masa mula-mula sampai petang tadi. Kalau tak, boleh juga layan tarikan ikan gelama. Geram punya pasal, aku ajak Rozan buat muka selamba pergi tanya kat gerai-gerai makan tadi kalau-kalau ada udang atau sotong lebih.Tapi malangnya yang tinggal cuma udang laut gred A untuk menu mee udang, jadi tak berani le aku nak beli dah tentu mahal.


Kecewa... masuk khemah... lalu tidur sambil diulit lagu Cinta Pantai Merdeka dalam mimpi.



.....bersambung Hari Ketiga....




20 November, 2012

5 Hari 4 Malam: Jelajah Kedah/Perlis, Hari 1

" Katakanlah: Kembaralah kamu di atas muka bumi, dan lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan dengan suatu bentuk; kemudian Allah menjadikannya berbentuk lain dari asal kejadian. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu."
(Surah Al-Ankabut: ayat 20)

Sempena cuti sekolah hujung tahun yang panjang ni, takkan nak biarkan hidup anak-anak dihabiskan dengan memerap kat rumah dan taska je kan, jadi inilah masa yang sesuai untuk menyahut seruan ayat di atas, bawa anak bini mengembara melihat dunia yang Allah ciptakan untuk kita nikmati ni.

Kebetulan pulak aku tak pernah sampai ke Kedah (cuma lalu highway je) dan dah lebih 10 tahun tak pergi Perlis, maka inilah catatan pengembaraan kami sekeluarga menjelajah negeri Kedah & Perlis. Aku ajak juga seorang rakan sepejabat aku yang masih bujang, anak Bajau bernama Rozan yang ingin menjelajah seluruh Semenanjung sebelum beliau bertukar balik ke Sabah suatu hari nanti. Boleh juga aku 'mempergunakan' dia untuk berkongsi perbelanjaan minyak dan tol... jimat sikit... kui3.



HARI PERTAMA, 13 NOV. 2012 (SELASA) - CUTI DEEPAVALI

~ Malam tadi jam 11.30pm, kami bertolak dari rumah dan singgah di Rawang untuk mengambil Rozan di rumahnya. Ikut perancangan aku, mula-mula nak jelajah sebelah selatan Kedah dulu iaitu daerah Kulim. Sampai di Kulim jam 4.00 pagi, lepak tidur-tidur ayam kat Masjid Kulim sementara menunggu waktu Subuh.

~ Lepas solat Subuh, bersarapan kat Cinonie Corner, dataran Medan Selera Kulim. Menu sarapannya biasa-biasa je seperti nasi lemak, roti canai, murtabak, kuih muih dll. Sebab nak lain sikit aku makan la lempeng kelapa yang dimakan dengan gulai ikan kembung. Kat sebelah utara lempeng ni dipanggil peknga, singkatan dari perkataan 'tempek dalam belanga'... sedap dimakan panas-panas.

~ Selesai sarapan, masa mengundurkan kereta nak keluar parking, tiba-tiba terlanggar tiang lampu pulak. Bila pulak orang letak tiang ni, rasanya masa nak masuk tadi takde...(ayat nak cover malu sebab memang tak perasan langsung tiang tu...huhu). Nasib baik cuma retak sikit kat lampu belakang je.

~ Lepas tu, kami menuju destinasi pertama ke Hutan Lipur Sungai Sedim, 25 km dari Kulim. Tempat ni memang terkenal dengan aktiviti berakit arus deras (white-water rafting). Kalau tengok jeramnya pun memang nampak mencabar. Kat tempat ni juga ada Tree Top Walk, sebuah titian kanopi sepanjang 925 meter dan setinggi 40-50 meter dari aras tanah. Bukan selalu dapat berjalan sama tinggi dengan pucuk pokok-pokok tinggi dalam hutan, selain dapat juga melihat pemandangan Sg. Sedim yang mengalir deras kat bawah titian. Tapi bagi siapa yang gayat dinasihatkan jangan tengok bawah le. Bayaran masuk bagi dewasa RM10.00, kanak-kanak 7-12 tahun RM6.00. Masa dari 9.00 am - 5.00 pm.


~ Dah dekat jam 11.00 pagi tapi belum mandi pagi lagi ni...hehe. Subuh tadi cuma basuh muka je kat Masjid Kulim. Lalu kami ke Air Terjun Lata Bukit Hijau, Baling... kira-kira 38 km dari Sungai Sedim untuk mandi pagi. Air terjunnya memang cantik bertingkat-tingkat, ada 5 tingkat semuanya tapi kami mandi kat bahagian bawah je pasal ada budak kecik susah sikit la nak naik tinggi-tinggi. Tapi sayang sekali kawasan persekitaran macam tak terjaga... sampah-sarap bersepah tak dikutip. Kami kat sini lebih kurang sejam je, sebab airnya sejuk... anak-anakpun dah menggigil tak boleh tahan kecuali si Along yang agak banyak lemaknya.


~ Lepas mandi, perut pun dah lapar. jalan-jalan cari makan kat Baling, 24km dari Lata Bukit Hijau. Pusing punya pusing jumpalah satu kedai makan yang biasa-biasa je... asal boleh isi perut sudah...

~ Lepas solat jamak zuhur dan asar, kami ke destinasi seterusnya iaitu sebuah tempat yang sebelum ni tak sangka ada kat Malaysia ni... Ladang Anggur Tasik Beris, Sik... kira-kira 40 km dari Baling. Ladang anggur kat Sik ni rupanya yang terbesar di Asia Tenggara. Selama ni ingatkan anggur ni cuma boleh hidup kat negara beriklim sejuk je. Bayaran masuk RM 4.00 untuk dewasa dan RM 2.00 bagi kanak-kanak 7-12 tahun.

~ Kalau nak rasa pengalaman petik sendiri buah anggur, bayarannya RM 50.00 sekilo... pergghh... takpelah, beli yang dah siap petik dah la. Kami beli sikit anggur segar dari ladang sekadar untuk merasa ... 1 paket RM 15.00 ada campuran buah anggur merah, hitam dan hijau, ada yang manis ada juga yang agak masam. Pemandangan Tasik Beris kat tepi ladang pun memang cantik, cuma cuaca kat sini tersangatlah panas membahang.


~ Lebih kurang jam 5.00 pm, kami bertolak ke Taman Rekreasi Air Panas Ulu Legong atau dalam bahasa mat salehnya Ulu Legong Hot Spring, Baling... lebih kurang 30km dari Ladang Anggur Tasik Beris. Bayaran masuk untuk dewasa cuma RM 4.00, kanak-kanak 7-12 tahun pulak RM 2.00 je, bayar sekali je boleh mandi sampai esoknya... sebab tempat ni dibuka 24 jam. Disebabkan kami dah bercadang nak berkhemah kat sini, jadi kena sewa tapak khemah RM 5.00 bagi 1 tapak... penginapan yang murah lagi menjimatkan. Kalau nak bermalam kat chalet pun boleh, tapi ramai yang pacak khemah je kat tepi kolam atau kat mana-mana je dalam kawasan ni, asalkan bukan kat laluan orang ramai.

~ Sementara aku nak pasang khemah, anak-anak dah tak sabar-sabar terus terjun kolam dulu. Ada 4-5 buah kolam termasuk kolam untuk kanak-kanak dengan tahap kepanasan air yang berbeza-beza. Kolam 1 yang berpagar adalah yang paling panas, kalau rasa kulit tebal bolehlah cuba terjun.
 

 ~ Lepas makan malam kat gerai berdekatan, anak-anak sambung mandi lagi. Aku pun terpaksalah temankan diorang mandi... tapi sampai pukul 10.00 malam aku suruh diorang naik pasal mata aku dah tak larat. Dari malam tadi aku belum tidur lagi ni. Menjelang tengah malam makin ramai umat manusia yang datang. Jam 2-3 pagi pun masih riuh rendah orang mandi-manda. Nak tidur pun tak berapa lena. Memang pun waktu terbaik nak datang sini adalah waktu malam (gila apa siang hari nak mandi air panas). Tempat ni memang terbaik la untuk berekreasi bersama keluarga. Kalau dekat dengan rumah, dah tentu tiap-tiap minggu aku datang.


... bersambung akan datang... hari kedua...


19 November, 2012

Selamat Hari jadi ke-3, Aina


Hanya sambutan kecil-kecilan di rumah untuk anak daraku yang sorang ni

18 November, 2012

Selamat Pengantin Baru Ayo


Semoga adikku ini bersama isterinya bahagia hingga ke akhir hayat

11 November, 2012

Majlis Graduasi Tadika Angah

~ Cuti sekolah dah bermula. Tiba-tiba tersepit antara nak menghadiri dua acara pada masa yang sama... iaitu mengikut rombongan ke Penang (majlis perkahwinan adik lelaki (tiri) aku atau menghadiri hari konvokesyen anak kedua aku (konvo tadika je daa). 

~ Terpaksalah utamakan majlis konvo tadika si Angah, sekali seumur hidup je tu. Kenduri kahwin adik aku tu aku pergi sebelah lelaki je nanti. 


~ Acara: Disebabkan ini tadika sekular, maka acaranya pun acara keduniaan je lah. Dimulakan dgn persembahan tarian setiap kelas yg ada kat tadika tu, termasuk persembahan si Angah...owh, ada bakat juga anak aku tu menari. Lepas tu penyampaian sijil, dan diakhiri dgn acara makan-makan beramai-ramai.


~ Tahun depan Angah dah darjah 1.... cepat sungguh masa berlalu.

08 November, 2012

Cuti sekolah datang lagi

Tak belajar dah

Lepas je habis periksa, budak-budak sekolah dah tak belajar dah... boleh bawa permainan dan boleh main je sepanjang waktu persekolahan... kata si Along. Sama je baik sekolah agama mahupun sekolah kebangsaan. Jadi banyak hari jugalah si Along memonteng malas nak ke sekolah.


Keputusan

Keputusan peperiksaan akhir tahun untuk Tahun 2 dah dapat. Along dapat no. 31/42.... OK lah tu, ada juga peningkatan berbanding dengan periksa setengah tahun dulu, no. 41/42. Mungkin bagi sesetengah mak bapak akan malu kalau anaknya dapat nombor berpuluh-puluh. Tapi bagi aku ok je, asalkan dia dah berusaha... mungkin setakat tu je kemampuan budak tu.

Angah pulak dapat no.3/7 kat sekolah tadika dia. Terlambat daftar punya pasal maka terpaksalah dia sekolah sesi petang yang cuma ada 7 murid je dalam kelas dia. Sejak dah pandai mengeja dan membaca ni... habis semua benda nak diejanya....


Putus cinta

Suatu malam, beberapa hari sebelum cuti sekolah, bawa famili makan di luar. Tiba-tiba si Along kata takde selera nak makan... sebab baru putus cinta. Awek dia sejak zaman sekolah tadika dah kena rampas dek budak lain. Adehhh... tak sangka pulak aku kena berdepan situasi macam ni seawal anak aku ni baru darjah 2. Oooo... patutlah periksa dapat nombor berpuluh-puluh, kecik-kecik dah pandai nak bercinta... Ibunya pulak siap tergelak macam nak putus urat kentut... sampai menangis pulak budak tu kena gelak. Aku ni nak gelak ke tak... gelak dalam hati je la... kih..kih..kih... Kalau aku gelakkan dia juga nanti lain kali mesti tak nak dah dia cerita apa-apa atau meluahkan perasaan dia kat famili.


Perancangan masa cuti

Dah lama tak bawa anak bini gi jalan-jalan jauh sikit, masa cuti nilah yang sesuai. Nantilah aku fikir nak bawa  jalan ke mana. Tapi tiba-tiba aku ternampak pulak banner majlis khatan perdana beramai-ramai.

Heh... siaplah 2 orang anak bujang aku tu....



18 October, 2012

Kelebihan meninggal dunia di Mekah

~ Buka email pagi ni, dapat berita mengejutkan, seorang rakan sekerja telah kembali ke rahmatullah, bukan sebarang tempat tapi di tanah suci Makkah. Serta merta terkenang keseriusan beliau meng'query kami pasal salah isi borang. Selamat jalan Rohana bt Darus aka Kak Yong. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmati dan diredhaiNya.

Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun...
Al-Fatihah.

KELEBIHAN MENINGGAL DUNIA DI MAKKAH

Lazimnya jika seseorang meninggal dunia di Makkah, sudah tentu jenazahnya tidak akan dibawa pulang ke tanah air masing-masing. Sebaliknya terus dikebumikan di tanah suci Makkah. Bolehlah dianggap ini sebagai satu peluang yang Allah SWT berikan kepada kita untuk disemadikan di Makkah.
Kebiasaannya rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Makkah, adalah sewaktu mereka sedang mengerjakan ibadah umrah atau ibadah haji. Beginilah ‘perjalanan’ yang perlu anda lalui sekiranya anda meninggal dunia di Makkah. Di sini, anda disemadikan tanpa batu nisan, memungkinkan tiada ahli keluarga yang dapat menziarahi anda di kemudian hari di sebabkan lokasi kubur anda tidak diketahui.
Bolehkah kita bercita-cita untuk mati di Makkah atau Madinah?

Dalam sebuah hadith Nabi SAW ada disebut:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mampu untuk mati di Madinah maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati di sana.”
(riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)

Menurut riwayat al-Tabarani, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
“Sesiapa antara kamu yang mungkin mampu untuk meninggal dunia di Madinah, meninggallah di sana.
Sesungguhnya sesiapa yang meninggal dunia di sana, aku menjadi saksi atau pemberi syafaah kepadanya pada hari kiamat.”
(Sabiq, 2000: I: 522-24)

Ini menunjukkan satu perkara yang diharuskan oleh Islam, di mana ulama telah meng-istinbat (mengeluarkan) hukum dari hadith tersebut seperti yang dijelaskan oleh Al-Imam An-Nawawi, Ibnu Hajar dan lain-lain bahawasanya HARUS untuk berniat untuk mati di tempat yang baik dan dalam keadaan yang baik.

Apatah lagi di Madinatul Munawwarah, ganjarannya sangat jelas iaitu Nabi akan memberi syafaat.
Jadi kita berdoa kepada ALLAH SWT agar kita mati di dalam keadaan yang baik dan di tempat (Makkah,Madinah) yang baik. Semoga kita termasuk di kalangan yang bernasib baik di beri peluang untuk disemadikan di tanah suci Makkah atau Madinah...Aamiin.

Sumber: Perkongsian FB Ustaz Nasir



15 October, 2012

Review: Hotel Seri Malaysia Port Dickson


ali aloque
Sungai Buloh
~ Dari 12-14 Oktober (Jumaat-Ahad), aku terpaksa menghadiri taklimat kerja di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson. Terasa sangat menyampah bila kena bertaklimat/berkursus pada hari cuti hujung minggu yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga. Bos cakap boleh bawa keluarga tapi cakap memang senang. Kalau dah bapaknya sibuk bertaklimat dari pagi sampai ke malam, tak larat juga bini aku nak jaga anak-anak kecik aku, akhirnya anak bini terperap kat bilik juga sudahnya. Tak berbaloi dengan kos yang terpaksa ditambah kalau bawa keluarga. Baik tak payah bawak!

~ Sebenarnya ini kali kedua aku bertaklimat kat hotel ni, yang pertama pergi tahun lepas. Lokasi hotel ni memang agak strategik juga la, berdekatan dengan Pantai Saujana (Pantai Bt.4).  Memang happening juga pada hujung minggu. Tapi untuk ke pantai kena menyeberang jalanraya yang agak sibuk. Pada hari Sabtu malam minggu juga ada pasar malam berdekatan hotel.

~ Sampai je kat bilik penginapan untuk bertiga yang dah ditetapkan, terasa suhu bilik agak panas. Rakan sebilik aku bernama Ijad yang sampai lebih awal sedang membebel mengatakan air-cond tak sejuk. Setelah diperiksa rupa-rupanya filter dalam air-cond tu penuh dengan habuk tebal, nampak sangat dah lama tak diservis. Lantas beliau dengan muka tak puas hati tiba-tiba bertindak sendiri dengan mencabut filter tu lalu mencucinya sendiri dalam bilik air. Terpancar kepuasan di wajah beliau kerana berjaya 'meringankan' kerja pihak maintenance hotel. Moralnya, air-cond yang tak sejuk bukan saja boleh menyebabkan suhu bilik menjadi panas, malah hati juga boleh terbakorrr!

~ Setelah suhu bilik dan hati beransur sejuk, kami membaringkan diri di katil yang agak selesa, sambil menonton tv yang sungguh comel. Nampaknya pihak hotel mengambil langkah berjimat cermat dengan mengekalkan tv comel bersaiz 14 inci... tanpa remote control. Mungkin lagi 10 tahun baru cadang nak lekat tv LCD kat dinding agaknya. Kebetulan malam tu ada live perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara Selangor lwn Kelantan. Memang kena duduk dekat betul-betul depan tv kalau jauh sikit memang hanya akan nampak pemain-pemain berlari, melompat dan jatuh tapi bolanya tak nampak...

kolam renang pun comel...
~ Nak komplen pasal makan, nampak macam tak bersyukur dengan rezeki pulak. Tapi kena komplen la jugak supaya boleh diperbaiki (harap-harap la). Makanan kat sini tak banyak pilihan, rasa pun memang kureng. Senang cerita makanan bukan standard hotel le tapi lebih kurang standard warung je.

Sekian review ala-tripadvisor dari aku.



11 October, 2012

Seekor kucing bernama Mebius

- Di PAWS, nama asalnya Chilli. Bila dah diambil keluarga angkat, ditukar sikit bunyi namanya kepada Charlie. Tak lama kemudian, anak-anak keluarga angkatnya yang merupakan peminat setia Ultraman Mebius mencadangkan agar kucing ini dipanggil MEBIUS. Muktamad!

- Ikutkan saja. Harap-harap takde la cadangan nak tukar nama lagi. Takut confius pulak kucing ni asyik kena tukar nama je.
seekor kucing warna oren, makan dlm bekas warna oren,
carrier kat belakang tu pun warna oren... serba oren!

- Itulah antara aksi si Mebius setelah kira-kira 2 minggu bersama keluarga angkatnya.

30 September, 2012

Mengutip anak angkat dari PAWS Malaysia

- Pagi Sabtu sebelum pergi memancing kat Jambatan Pulau Indah, aku sempat bawa anak bini pergi sarapan kat Kedai Makan Pak Man kat Kg. Melayu Subang (dekat tapak pasar tani). Pernah tinggal area tu masa baru-baru kahwin  hampir 10 tahun yg lalu, dan selalu juga bersarapan kat situ sebab dia punya pulut kuning cicah kari ayam memang sedap le bagi tekak aku. Masa aku pergi tu... sekali pulut dah habis daaa...!!! Huhu... layan je la nasi lemak, anak bini pulak pekena roti canai.

- Nak balik awal lagi, ronda punya ronda tersinggah pulak kat PAWS Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Subang... satu tempat perlindungan utk haiwan peliharaan yg terbiar, khususnya kucing dan anjing la. Setakat ni belum ada lagi aku dengar ada pusat perlindungan ikan terbiar... hamster terbiar... khinzir terbiar... atau burung terbiar... dsb. Ehh termengarut pulak.

- Disebabkan tempat ni diuruskan oleh sekumpulan sukarelawan, ia amat bergantung kepada sumbangan derma orang ramai. Sesapa yg nak bela kucing bolehlah ambil kucing angkat dgn kos tertentu. Sesapa yg ada kucing tapi dah tak sanggup nak jaga (tapi tak sanggup pulak nak buang kat kedai makan atau pasar atau mana-mana tempat awam) boleh juga diserah kat pusat ni, juga dgn. kos yg sama tapi kena bersetuju dgn polisi penyerahan yg ditetapkan oleh pihak PAWS. Kalau rasa tak setuju dengan kemungkinan kucing tu akan 'ditidurkan' dalam tempoh tertentu jika takde sapa yang ambil utk dijaga, baik jangan hantar.

- Tempat ni terbahagi kepada dua seksyen iaitu anjing dan kucing. Tidak pulak terlintas nak masuk tempat anjing tu, jadi kami tengok-tengok kat seksyen kucing je. Kebanyakan kucing kat sini adalah dari jenis domestik atau kucing kampung, tapi ada juga jenis kacukan yg aku tak tau pulak baka jenis apa. Banyak yg comel-comel tapi kesian pulak tengok kucing-kucing tu terkurung dalam sangkar.

ini kurungan anjing...
reban/kurungan kucing
seronoknya aina

- Bagaimanapun, semua haiwan kat sini cukup makan, malah diberi penjagaan kesihatan sewajarnya termasuk suntikan vaksin dan rawatan pemandulan (dikasi/dikembirikan).

- Niat asal mula-mula ingat nak tengok je kucing-kucing kat sini. Tapi anak bini agak teruja lalu terberkenan pulak nak bela seekor. Aku pun tak kisah sebab bagus juga dapat mendidik anak-anak sifat sayangkan haiwan. Agak memeningkan juga diorang nak memilihnya sebab banyak yg comel-comel belaka. Tapi tak bolehlah nak ambil banyak-banyak memandangkan kami duk apartment je.

semua kucing ada tag nama.. nama orang putih belaka...
takde yg namanya pe'ah, kontot, comot mahupun tompok...
boleh pilih mana suka

pencinta haiwan

- Seekor kucing comel bernama Emmy yg bini aku pilih bersifat agak pemalu dan agak takut-takut dgn orang. Kalau tengok kat tag pengenalannya, si Emmy tu baru sebulan dihantar ke situ. Bila dipegang je oleh sorang pekerja kat situ terus dia melompat lalu lari masuk dlm semak. Tak pasal-pasal PAWS hilang seekor kucing hari ni.

- Akhirnya semua sepakat ikut pilihan si Along iaitu seekor anak kucing jantan berwarna oren+putih, berbulu sedikit kembang dan baru berumur 4 bulan. Dengan ini kami memperkenalkan ahli keluarga kami yg baru iaitu.... CHILLI. Ehh lupa lak nak tanya apasal namanya diberi macam tu. Tanya pakcik Gugel jap... haa dah dapat jawapannya! . Tapi kami rasa macam pelik je nak panggil cili sebab cili biasanya warna merah... jadi tukar sikit la bunyinya jadi CHARLIE... barulah urban sikit... kui3.

emmy yg terlepas lari...
chilli yg extremely friendly
pekerja baju oren mengeluarkan Chilli yg. berbulu warna oren dari rebannya

- Balik tu terus singgah kedai haiwan peliharaan nak cari makanan kucing dan dah tentulah pasir kumbahan dia. Pengurus PAWS tu kata kucing-kucing kat situ semua 'toilet trained'... harap-harap tak berak bersepah... senang sikit kerja tak payah nak dilatih lagi...

selamat sampai rumah... terus menunjukkan aksi 'extremely friendly'nya
seperti menggesel dan menjilat keluarga barunya...
posing bajet comel la tu
apa tengok-tengok? cepat la update blog...
tak sabar nak masuk dlm blog alibukansetan ni...

- Selamat Datang Charlie... kami akan anggap macam keluarga sendiri. Aku dan bini akan anggap macam anak sendiri, dan aku suruh anak-anak aku anggap dia macam adik sendiri. Jangan lupa tolong beri makan... tolong beri belaian kasih sayang... tolong main bersama... tolong jaga kebersihannya... dan dah tentu tolong bersihkan bekas tempat dia melepasss...

- Kalau sesapa berminat nak ambil kucing angkat, selain kat PAWS, ada beberapa lagi tempat perlindungan haiwan terbiar.  Atau kalau nak yg free... pergi cari kat kedai-kedai makan... kat pasar-pasar... ada banyak lagi sebenarnya kucing terbiar kat luar sana...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...