31 July, 2011

Nafas Baru Ramadhan

- Esok dah puasa. Dah janji dengan anak bini dan juga dengan diri sendiri untuk cuba lagi berhenti merokok bermula 1 Ramadhan ni. Ini percubaan kedua setelah percubaan pertama Ramadhan dua tahun lepas cuma mampu bertahan sampai hari raya ketiga je kat kampung, tewas dengan godaan sedara mara, ipar duai dan sahabat handai yang bertalu-talu menghembuskan asap kat aku... bedebah sungguh mereka itu!

- Tapi kali ni aku betul2 berazam nak berhenti. Cukuplah dah lebih 20 tahun bersahabat dengan jin. Aku rasa tak perlu guna alat bantuan untuk berhenti (seperti terapi gantian nikotin dsb), yang penting hati kita ni kena kuat untuk melawan ketagihan.
- Hari ini, 8.30 malam...sebelum ke surau menunaikan solat terawih, aku lepak bersendirian di suatu sudut tembok yang agak suram kerana tidak mahu sebarang gangguan, aku sedang menikmati sedutan-sedutan dan hisapan-hisapan terakhir... sedutan dan hisapan yang dalam-dalam, yang sungguh-sungguh... sebagai tanda perpisahan aku dan dia...

- Aku pasti ramai yang senyum sinis kalau terbaca statement kat atas tu. Elehh...boleh percaya ke si Ali perokok tegar ni nak berhenti merokok! Heheh... sebenarnya aku pun tak berapa yakin aku boleh berhenti tapi aku saja je tulis macam tu sebab nak cuba bersikap positif, buat-buat konfiden je la sebagai faktor pendorong dan perangsang. Tolong doakan aku berjaya kawan!


Selamat bersahur, berpuasa, berbuka dan menghayati Ramadhan.

.

25 July, 2011

Keselamatan di Hari Kejadianku

- Hari lahir setiap tahun kita sambut dan kita ingat. Hari mati kita tak tau entah bila, walaupun tarikh sebenarnya dah ada tertulis di 'sana'. Setahun dua kebelakangan ni baru aku tersedar bahawa setiap kali hari jadi, umur aku sebenarnya makin pendek, entah berapa lama lagi nak hidup aku ni agaknya. Kalau ikut purata jangka hayat rakyat Malaysia, sisa hidup aku cuma tinggal lebih kurang 30 tahun lagi... itupun kalau sempat.

- Keseronokan menikmati kelazatan duniawi juga boleh dikatakan sudah puas dirasai...nasib baik nyawa tak dicabut  masa hidup dalam zaman kesesatan dulu... Syukur sebab aku masih diberi peluang bertaubat, dan menginsafi bahawa semua kelazatan dunia hanyalah sementara... dan juga menginsafi bahawa tujuan utama aku dijadikan dan dihidupkan di sini, hanyalah untuk mencari bekalan sebanyak mungkin untuk dibawa ke alam yang kekal abadi di sana.

- Sebab tu sejak setahun dua kebelakangan ni, aku buat tindakan drastik untuk cuba berubah menjadi manusia yang lebih baik dari sebelum ni. Pedulikanlah kalau orang pandang sinis sambil kata " dia ni dah buang tebiat nak mampus ke hapa"... Tapi aku tak pulak kata sekarang ni aku ni dah baik sangat macam malaikat. Kan aku dah kata tadi aku cuma CUBA berubah menjadi lebih baik, sedangkan hakikat sebenarnya memang payah nak mengubah sifat buruk yang dah sebati menjadi darah daging. Takpelah, janji ada usaha untuk berubah ye tak?


- Sempena hari jadi aku ni, macam biasa bini aku belikan kek sebijik untuk aku percikkan air liur masa meniup lilin bersama anak-anak. Ni lagi satu aku pelik dengan bini aku ni... kenapa setiap kali hari jadi mesti kena ada kek? Tak boleh ke buat benda-benda lain.... pulut kuning ke, bubur lambuk ke...kambing golek ke? Kui3...apahal pun terima kasih lah kepada biniku yang bersusah payah membuat.... ehh membeli kek untuk lakimu ini. Err... tahun depan buat pulut kuning macam dalam gambar belah kanan tu pulak ye...nampak macam kek jugak apa...

- Sekarang dah jarang buka FB. Sekali buka ehh berderet rupanya sahabat-sahabat yang ucap selamat hari jadi kat aku. Terima kasih bebanyaklah kepada sahabat-sahabatku Ekin Saleh, Nawawi, Norita, Azamuddin, Hasni, Syed Shairazi, Hasnah, Nany, Zainora, Hazwani, Raiham, Noor Aini, Syafaliza, Azam, Faizul Joe, Azizul Hap Seng, Norhafiza, Mieen Edy, Ikhsan, Pugal, Wan Maizurina, Farry, Rafiqie, Aliena Suria, Maslina, Eyma, Rizaudin, Shahrizal, Syed al-Fatah & Fain Rosli.

- Aku pun doakan korang semua pun panjang umur dan dimurahkan rezeki, yang paling penting semoga hidup kita  semua ni diberkati dan dirahmati Allah. Kalau hidup je lama, rezeki pun banyak tapi tak berkat tak guna jugak kan?


24 July, 2011

Hantu Durian

22-24 Julai 2011 (Jumaat-Ahad) 

- Lepas habis kerja petang Jumaat tu, kemas barang sikit nak balik kampung aku...ada majlis tahlil di rumah mak sedara aku.. Bertolak pukul 8.00 lebih, sampai kampung dah 10.30 malam, anak bini dah lena tidur dalam kereta...kenduri pun dah habis. Maka tugas aku malam tu adalah cuba menghabiskan makanan yang tak habis, mengemas apa yang patut, dan esoknya ambik kontrak basuh pinggan mangkuk & periuk belanga. Mujurlah tak berapa banyak sangat yang perlu dibasuh sebab sekarang ni kat kawasan kampung2 pun hidangan kenduri dah dibuat secara buffet je, dah susah nak jumpa makan berhidang. Biasalah, manusia dah semakin malas dan semua kerja nak senang. Kalau kenduri besar sikit, dah ramai yang pakai pinggan & cawan pakai buang je, memang 'mesra tuan rumah' walaupun tak 'mesra alam sekitar'.

Lihatlah betapa serasinya kami...bentuk pun hampir seiras
- Sekarang musim durian tengah menjadi-jadi. Sepanjang 3 hari kat kampung ni puaslah melantak durian....bangun tidur pekena durian, sebelum tidur pun pekena durian dulu...boleh dikatakan tiada hari tanpa durianlah. Baik dalam bentuk buah mahupun dalam bentuk tempoyak.... Walau macam manapun, sejak setahun dua ni pengeluaran buah durian (dan buah2 lain juga) kat kampung aku ni semakin berkurangan sebab adanya gangguan dari beberapa jenis makhluk. Bukan disebabkan oleh 'Hantu Durian' tapi disebabkan oleh berpuluh-puluh ekor kera & beruk yang semakin beranak pinak kat belukar belakang kampung.


- Satu kelemahan kera/beruk ni adalah dia tak pandai nak kupas/kopek durian (berbanding dengan si tupai yang memang pakar menebuk lubang). Mungkin sebab bengang dan dengki punya pasal, banyaklah buah2 durian yang belum matang gugur dikerjakan mereka. Sebagai langkah proaktif, penduduk kampung telah menubuhkan satu skuad penembak tepat dalam usaha memerangi puak kera & beruk tersebut (eleh...guna lastik je sebenornye pun).

Sekian saya melaporkan dari Dusun Durian Desa Bakti, Mentakab, Pahang!

.
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...