20 November, 2010

Aidil Adha @ Kuala Gula Sanctuary Resort

- Cuti panjang sempena Aidiladha, sempatlah bercuti-cuti Malaysia sambil memancing pada raya kedua bersama keluarga sebelah isteri aku kat Kuala Gula Santuary Resort, Perak. Menginap semalaman kat chalet atas air (tebing muara sungai). Kebetulan dapat family room (chalet 2 bilik dengan ruang tamu yang luas), cukup selesa bagi famili aku seramai 10 orang tu. Nak masuk 20 orang pun rasanya boleh muat, bawak je toto tidur reramai kat ruang tamu. Malangnya family room tu ada satu je kat resort ni, kalau nasib baik atau booking awal dapatlah. Dalam bilik air pun ada tab mandi, maka sebab nak mandi sungai tak boleh, aku biarkan anak-anak aku berkubang dalam tab mandi tu puas-puas... lantak koranglah.


gambar yang indah ni dipinjam dari brader Seme

-  Paling best boleh memancing dari balkoni chalet je. Memang best la bagi kaki pancing. Bagi yang tak minat memancing, bolehlah join trip naik bot menyusuri paya bakau sambil tengok spesis burung penghijrah. Kalau tak minat juga... senang cerita tak payahlah datang.

- Aku start memancing petang... malam berhenti sekejap pergi makan seafood yang fresh kat restoran terapung sebelah kawasan resort. Kat tepi restoran tu ada sangkar ikan, boleh pilih nak makan ikan apa (siakap, kerapu, sembilang dll) dan boleh mintak nak masak stail apa... tauke restoran takkan marah asalkan kita bayar. Pastikan pakai seluar panjang lengkap berstokin & berkasut sebab kat bawah meja makan banyak nyamuk... adehhh, tak tenang jiwa aku nak melantak! Kalau tiba-tiba restoran tu bergegar macam nak runtuh, itu tandanya sedang dihentam ombak yang terhasil selepas bot lalu... Jangan panik macam mak mertua aku... hehe!

- Lepas makan, hujan renyai-renyai kadang-kadang lebat, sambung balik memancing sampai pukul 3.00 pagi.Dapat ikan kecik-kecik je... gelama & ikan duri lebih 20 ekor... kalau nasib baik macam jiran chalet sebelah aku, dapatlah menaikkan ikan tuka & sembilang.



Dah malas nak cerita, lagi gambar & info pergi ke page FB Kuala Gula Sanctuary Resort

10 November, 2010

Pesanan Buat Isterilah Pulak...

AKU UPLOAD ENTRI NI PULAK SEBAGAI PERINGATAN UNTUK ISTERI AKU DALAM  PERCUBAAN UNTUK MENJADIKAN DIA ISTERI YANG LEBIH BAIK (WALAUPUN DIA RASA DIA NI DAH BAIK SESANGAT - AYAT KASI PANAS )

Wanita yang hebat adalah wanita yang mempunyai semua ciri-ciri yang diidamkan oleh setiap lelaki untuk dijadikan isteri. Mereka bukan hanya diharapkan utk menjadi seorang isteri tapi juga sebagai kawan dan kekasih serta ibu yang solehah untuk anak-anak.

Sesungguhnya bagi kejayaan seorang lelaki, berdiri di belakangnya adalah seorang isteri yang hebat dan berjayanya seorang anak, berdiri di belakangnya adalah seorang ibu yang hebat. Ciri-ciri wanita yang menjadi idaman lelaki ialah:


1. Mentaati Allah S.W.T dan mengerjakan segala perintah suami selagi tidak melanggar perintah Allah.

2. Bersikap malu terhadap suami. Dengan adanya sikap begini, seorang isteri itu akan sentiasa berusaha untuk kelihatan sempurna bukan hanya di hadapan, bahkan juga ketika di belakang suami.

3. Berdiam diri ketika suami sedang bercakap, baru bersuara setelah suami selesai berbicara. Bukannya sepatah suami bercakap, 10 patah dijawabnya. kalau pun tak mampu menyelesaikan kekusutan yang dihadapi suami, cukuplah sekadar menjadi pendengar yg setia.

4. Sentiasa bersikap hormat pada suami. Menghantar suami ke muka pintu ketika suami hendak ke tempat kerja dan menyambutnya di muka pintu ketika suami pulang kerja.

5. Sentiasa bersedia apabila suami memerlukan. Jangan sesekali menunjukkan rasa terpaksa, penat dan sebagainya kerana itu, bagi wanita yg memilih untuk bekerja, mereka perlu ikhlas dan bijak membahagikan masa. Ingatlah, apabila ada rasa ikhlas, segalanya akan menjadi ringan dan apabila bijak membahagikan masa segalanya menjadi mudah.

6. Memahami perubahan sikap suami. Contohnya, ketika suami sedang marah, berduka, kecewa, gembira, cemas dan ketika dia ingin bersendirian. Sikap semulajadi lelaki, sukar untuk meluahkan apa yang dirasakan jadi sebagai isteri, jangan mudah terasa akan perubahan tersebut.

7. Satu lagi sikap semulajadi lelaki ialah hanya mampu memberikan tumpuan pada 1 perkara dalam 1 masa. Jadi, jangan sesekali mengajak suami berbual atau bercerita tentang masalah di tempat kerja ketika dia sedang menonton perlawanan bola sepak dan sebagainya. Sesungguhnya perbuatan itu bukan saja akan membuatkan anda kecewa kerana tak mendapat perhatiannya, tapi boleh menimbulkan kemarahan suami.

8. Memakai wangi-wangian dan pakaian sentiasa kemas ketika bersama suami. Ingat, ketika di luar rumah, suami sentiasa berhadapan dengan wanita-wanita cantik, harum dan menggoda. Jadi pastikan apabila pulang ke rumah, dia tidak pula berhadapan dengan isteri yang hanya berkain batik dan t-shirt lusuh, muka berminyak dan bau yang kurang menyenangkan.

9. Jaga mulut daripada bau-bau yg kurang menyenangkan. Contohnya, ketika makan petai, jering dan durian. Jika makan bersama suami, buatlah sesuatu selepas itu agar dapat mengatasi bau mulut. Apa lagi bagi mereka yang menghadapi masalah mulut berbau. Segera bertindak walaupun baru sekali suami menegur.

10. Sentiasa menjaga kehormatan diri terutama ketika ketiadaan suami. Wanita bekerja contohnya, jagalah tingkah laku.

11. Bersyukur di atas apa yang disediakan dan diberikan suami. Jangan suka meminta-minta, apa lagi jika ia di luar kemampuan suami. Dan jangan sesekali membanding-bandingkan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain dengan apa yang anda miliki.

12. Dalam apa jua situasi, sentiasa berdiri di belakang suami. Menjadi tongkat ketika suami jatuh dan menjadi pemangkin ketika suami berjaya.

13. Tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami. Begitu juga bagi wanita yang bekerja. Bekerja bukan alasan untuk mereka bebas ke sana dan ke mari.

14. Sentiasa tersenyum. Sesungguhnya, senyuman adalah sebesar-besar penawar walau dalam apa juga situasi. Contohnya, ketika hati suami sedang bercelaru, segera menjadi tenang apabila melihat senyuman isteri dan ketika dia sedang marah, segera api kemarahan itu padam hanya dengan senyuman isteri.

15. Sentiasa menghormati keluarga suami. Menyayangi dan melayan keluarga suami sama seperti keluarganya sendiri. Jangan sesekali membeza-bezakan antara keluarga suami dengan keluarga sendiri. Bahkan sikap mengutamakan keluarga mentua akan membuatkan kasih sayang suami semakin bertambah.


Sumber: Ntah sapa punya...diambil dari mailbox aku.

Pesanan Buat Suami 

05 November, 2010

Pesanan Buat Suami - Oleh Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah

AKU UPLOAD ENTRI NI SEBAGAI PERINGATAN UNTUK DIRI SENDIRI DALAM  PERCUBAAN UNTUK MENJADI SUAMI YANG LEBIH BAIK (WALAUPUN AKU RASA AKU NI DAH BAIK SESANGAT - AYAT TAKBUR)

1. Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.

2. Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.

3. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda..

4. Jangan demand sex sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.

5. Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih dari awak juga.. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing n berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.

6. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumahtangga sedangkan suami lepas tangan.

7. Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk utk isteri. Jangan bedal semua sampai turn isteri yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.

8. Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritau isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja.

9. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.

10. Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu kenapa boleh control kentut?

11. Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.

12. Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumahtangga.

13. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masaalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami “degil” tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.

14. Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah guna cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah, bila dah guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang simpan balik ditempat asal, dah berak flush. Susah sangat ke nak buat macam tu? Semua nak kena ajar ke?

15. Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.

16. Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.

17.. Jangan buat donno kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati orang pompuan ni sensitif. Kalau kami rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri. Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.

18. Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking aja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Bai jual roti? Apek jual sayur? Jiran sebelah rumah awak?

19. Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya.

20. Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbangrasa dan saling menghargai. Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.

21. Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama. Ingat, kalau seorang suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga. Kalau suami masuk neraka belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk NERAKA tapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga.Ini bukan rekaan saya tapi saya dengar dari seorang ustaz.

22. Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sebaik-baik kalian ialah orang yang baik terhadap keluarganya, dan adalah aku orang yang paling baik kepada keluargaku, tidaklah menghormati kepada wanita kecuali orang yang mulia dan tidaklah menghinakannya kecuali orang yang tercela.

Sumber: FB Sharing

Pesanan Buat Isterilah Pulak

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...