25 July, 2009

Happy Birthday to me...lalala

25 Julai, umur aku bertambah lagi.Pertambahan umur juga bermakna semakin hampir aku ke alam yg lagi satu! Alamak...rasanya macam sikit sangat bekalan nak dibawa ke sana! Aku lahir pd bulan Julai, bulan hijrahnya Rejab, tahun arnab kalau ikut kalendar cina dan berbintang Leo. Di sini aku kongsikan rahsia sifat/sikap orang yg lahir pada tarikh tersebut:


JULAI (kajian oleh Dato' Dr. Fadzilah Kamsah)

* Sangat suka didamping.
* Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki.
* Agak pendiam kecuali dirangsang.
* Ada harga dan maruah diri.
* Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan.
* Mudah dipujuk dan bercakap lurus.
* Sangat menjaga hati orang lain.
* Sangat peramah.
* Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya.
* Berjiwa sentimental.
* Jarang berdendam.
* Mudah memaafkan tapi sukar melupakan.
* Tidak suka benda remeh-temeh.
* Membimbing cara fizikal dan mental.
* Sangat peka, mengambil berat dan mengasihi serta penyayang.
* Layanan yang serupa terhadap semua orang.
* Tinggi daya simpati.
* Pemerhatian yang tajam.
* Suka menilai orang lain melalui pemerhatian.
* Mudah dan rajin belajar.
* Suka muhasabah diri.
* Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama.
* Suka mendiamkan diri.
* Suka duduk di rumah.
* Suka tunggu kawan tapi tak cari kawan.
* Tidak agresif kecuali terpaksa.
* Lemah dari segi kesihatan perut.
* Mudah gemuk kalau tak kawal diet.
* Minta disayangi.
* Mudah terluka hati tapi lambat pulih.
* Terlalu mengambil berat.
* Rajin dalam membuat kerja.

Rejab
Semasa kecilnya dia degil dan nakal. lbu bapanya patut mendidiknya dengan baik agar dia dapat menerapkan nilai-nilai yang baik. Ketika sudah dewasa, dia suka bersikap merendah diri dan bersikap tidak tahu menahu. Ini agak berlainan dari sikapnya semasa kecil. Walau bagaimanapun hidupnya selamat dan sentosa.

Ini pulak aku copy dari facebook quiz result:
What does your Chinese zodiac sign say about you? Ali's result: 
Rabbit 
Gracious, good friend, kind, sensitive, soft-spoken, amiable, elegant, reserved, cautious, artistic, thorough, tender, self-assured, astute, compassionate, flexible. Can be moody, detached, superficial, self-indulgent, opportunistic. 
You are a Leo – Jul 25th birthday  
Leos are mostly social, self-confident and playful individuals. They tend to be more simpleminded and lighthearted, more interested in having a good time than hard work or precision. This often makes them less than sophisticated, although Neptune may aleviate this. They tend to be rather enthusiastic, fun and usually have a good sense of humor. Leos may be a bit unrefined or lack some manners, and often have more of a folksy character, which gives them much charm. They usually say what's on their hearts, and do not believe in holding back. 

Sesetengahnya mungkin la ada sikit kena-mengena dengan sikap aku, walaupun tak 100 % tepat. Tapi jangan la percaya sangat benda2 macam ni. Kalau ada persamaan mungkin secara kebetulan. Baca boleh, percaya sangat jangan!


Petangnya aku sekeluarga meronda2 di Taman Tasik Titiwangsa. Selain berjogging atau sekadar bersiar2, macam2 aktiviti riadah boleh dibuat di sini rupanya...antaranya permainan Zorb Ball, berkayak sambil main bola (ntah apa nama sukan ni), menonton race kereta kawalan jauh kat trek yg disediakan, naik sampan kayuh, dll. Dulu ada Eye on Malaysia tapi sekarang dah berhijrah ke Melaka.

21 July, 2009

Malaysia XI vs Manchester United 2009

Manchester United datang Malaysia lagi buat kali keempat selepas 1981, 1995 & 2001.

Pada 1981, Manchester United menewaskan Selangor 3-1.
Pada 1995, Manchester United menewaskan Selangor lagi 4-1.
Apasal ni asyik lawan Selangor je? Macam takde team lain kat Malaysia ni!

Manakala pada 2001, anak2 buah Sir Alex Ferguson membelasah Malaysia Bawah-23, 6-0! Huh, kalah teruk la pulak. Kalau macam ni baik hantar team Selangor je lah. Ahaks.

Kalau sesapa masih ingat, pada 2006 M.U turut dijadualkan datang ke Malaysia tapi terpaksa dibatalkan kerana pada tarikh yg sama Malaysia sibuk menjadi penganjur/tuan rumah bersama Piala Asia.

Pada tahun 2009 ni, Malaysia berpeluang menentang M.U dua kali, setelah satu lagi perlawanan M.U menentang Indonesia di Jakarta dibatalkan akibat insiden pengeboman. Keputusannya semua dah tau, cuma aku nak abadikan di blog ni aksi2 menarik perlawanan tu.

Layan video ni: Perlawanan pertama; 18 Julai 2009
 


Perlawanan kedua; 20 Julai 2009



Rumusan aku:
Dalam dua perlawanan ni ada la nampak sikit semangat melawan pada pemain2 negara. Terima kasih juga pada pemain2 negara kerana berjaya bertahan dgn baik & cuma kalah tipis, walaupun hakikatnya M.U hanya bermain dengan 60-70% tahap sebenar mereka. Maka rakyat Malaysia keseluruhannya bolehlah rasa bangga sikit dan tidaklah 'besar kemaluan' masing2. Harap ini merupakan titik perubahan bolasepak Malaysia kerana rakyat Malaysia dah terlalu lama diberi harapan palsu. Apapun,gol pertama Amri Yahyah tu memang 'World Class'... 

Komplen aku: Setiap kali team luar datang main kat Malaysia, mesti kondem pasal kualiti padang. Tak boleh ke orang kita tanam rumput elok2 sikit + sistem saliran yg lebih sempurna??? Ini tak, asal sepak bola je dgn rumput sekali terbang. Asal hujan je padang dah jadi sawah bendang! Susah2 sangat pakai rumput tiruan je lah!

19 July, 2009

Suatu petang di Pantai Morib

Suatu petang hari minggu. Bosan duduk rumah. Start kereta. Tak tau nak ke mana. Takde plan. Jalan-jalan. Ronda-ronda. Pusing-pusing. Ehh...macam mana boleh sampai Pantai Morib pulak ni...kira-kira 60 km dari rumah aku. 


Aktiviti di sini: Lepak pekena ikan bakar (banyak gerai makan di sini). Tengok orang memancing. Anak2 mandi laut...main pasir. Kutip siput/kerang bila air surut. Kalau nak main layang2, ada beberapa gerai jual layang2 di sini...dll. Lepas makan ikan bakar balik rumah. Begitulah suatu perjalanan tanpa dirancang di suatu petang minggu...hehe.

13 July, 2009

Keunikan Pekan Sehari Temerloh

Musim buah datang lagi. Aku bersempatan balik ke kampung aku bila org kampung menelefon mengatakan buah durian dah mula gugur. Cheh, musim buah baru nak nampak muka, hehe. Bila kata nak balik kampung, anak2 aku si Aiman & Aliff lah yg paling seronok, faham2 sendirilah bila budak bandar masuk kampung...

Hari Ahad, sempat juga aku meronda-ronda di Pekan Sehari Temerloh, yg juga dikenali sebagai Bandar Ikan Patin, kira-kira 20 km dari kampung aku. Lokasinya terletak betul2 di tepi Sungai Pahang, memanjang sejauh kira-kira hampir 1 km. Mungkin tak keterlaluan kalau aku mendakwa bahawa inilah pekan sehari terpanjang di seluruh Pahang...atau mungkin juga di Malaysia (agaknyalah sebab aku tak pernah jumpa pekan sehari/pasar minggu yg lebih panjang setakat ni).


Sebut je nak cari apa, nak makan apa semuanya ada di sini. Paling unik pastilah hasil2 makanan kampung yg sukar ditemui di tempat2 lain. Ada hasil2 hutan, sayur2 kampung, ikan salai yg harganya boleh mencecah hampir RM 50 sekilo, ikan pekasam, kuih-muih tradisional, ikan sungai seperti patin, talapia, baung, belida, lampam dll.

Kalau dah namanya Bandar Ikan Patin, maka ikan patinlah yg paling popular di sini, khususnya patin yg diternak dalam sangkar. Terdapat banyak sangkar ternakan ikan patin (dan talapia) di sepanjang tebing Sg. Pahang. Rasa ikan ni lebih manis dan tak berbau hanyir kerana sangkar terletak dlm sungai yg airnya sentiasa mengalir. Harga patin sangkar mencecah RM 14 sekilogram. Cara masakan paling sedap & paling digemari sudah tentulah masak gulai tempoyak.

Sedikit maklumat dari adik ipar aku yg bekerja di sangkar ternakan ikan tentang ikan patin sungai (patin liar); harga ikan patin buah boleh mencecah RM 80/kg manakala patin muncung boleh mencecah RM 220/kg di pasaran terbuka. Namun begitu, memandangkan ikan patin muncung kian sukar didapati serta diancam kepupusan, pihak jabatan perikanan menawarkan harga belian RM 1000/kg bagi setiap patin muncung yg berjaya ditangkap untuk dibiakkan.

Aku berada di pekan sehari ni agak lama kerana 'dilengahkan' oleh anak aku si Aliff tu yg berhenti singgah di setiap gerai yg ada menjual apa juga jenis binatang... Adehh. Cakap banyak tak guna. Ada masa korang datanglah sendiri ke sini setiap Ahad, dibuka dari pagi hingga jam 2.00 petang.

09 July, 2009

Transformers: Revenge of The Fallen

Menunaikan janji nak bawa anak2 menonton filem Transformers: Revenge of The Fallen sambil mengembalikan nostalgia di zaman bapak mereka ni kecik2 dulu. Memandangkan kesuntukan masa di waktu siang, kami pergi menonton pd jam 8.45 malam di GSC 1 Utama.


 Awal2nya anak2 aku nampak begitu teruja menonton. Malangnya masa robot2 Autobots vs Decepticons tu tengah sibuk berperang, boleh pulak anak2 aku tertidur. Cheh...tak boleh bawak majlis betul la budak2 ni... Tobat aku tak nak bawak diorang tengok wayang waktu malam lagi.

08 July, 2009

Mendaki Gunung Kinabalu & lawatan kerja ke K.K

PERINGATAN: Ini artikel paling panjang pernah aku tulis. Memerlukan tahap kesabaran yg tinggi kalau nak membacanya. Sekadar berkongsi pengalaman...

Ini kunjungan pertama aku ke Sabah dan kedua ke Pulau Borneo selepas mendaki Gunung Santubong, Sarawak pada tahun 2001. Ini juga kali pertama aku mendaki gunung semula setelah lebih 6 tahun aku 'berehat'. Masa bujang dulu agak aktif la jugak, bila dah kahwin kenalah slow sikit memandangkan bajet pun dah bertambah, huhu... Ok tak payah intro panjang2, ikuti catatan perjalanan aku...

Hari Pertama; Jumaat, 3 Julai 2009

 Bertolak pagi2 buta ke Putrajaya utk. menaiki bas bersama rakan2 sekerja yg lain seramai lebih kurang 30 orang kemudian ke LCCT, Sepang. Selesai urusan pendaftaran masuk, menaiki penerbangan Air Asia ke Kota Kinabalu pada jam 11.10 pagi dan dijangka tiba dlm masa 2 jam setengah (sambil diselubungi kebimbangan dijangkiti virus selsema babi, tawakkal je lah).

Tiba di airport KK jam 2.40 ptg. Terus dibawa menaiki bas utk makan tengahari di Restoran Abah & Angah di Taman Alamesra, KK. Dalam hujan renyai2, kami bertolak ke Kundasang sejauh lebih 90 km dari KK melalui jalan berbukit-bukau. Pemandangan sepanjang jalan ke sini memang cantik, dengan suasana menghijau juga awan & kabus berada di aras lebih rendah dari jalanraya yg kami lalui. Berhenti sekejap di pekan Nabalu bagi memberi peluang kpd sesiapa yg ingin melepaskan tekanan dari pundi kencing masing2.

Kami tiba di Kundasang jam 6.00 ptg, kat sini kira dah nak maghrib. Menginap di asrama Kem Bina Negara (BTN) Kundasang, di kaki Gunung Kinabalu. Suhu di sini begitu nyaman lebih kurang macam kat Genting, dari sini jelas kelihatan puncak gunung dan Pekan Kundasang. Malam, ada sesi suaikenal & taklimat pendakian oleh urusetia. Makan? Nasi bungkus je daa...

Hari Kedua; Sabtu, 4 Julai 2009

7.30 pagi; menaiki bas dari BTN Kundasang ke Kinabalu Park sejauh 7 km utk urusan pendaftaran pendakian, taklimat pendakian oleh malim gunung (mountain guide) yg terdiri dari orang Dusun, urusan perkhidmatan porter bagi yg rasa macam tak larat nak angkat beg sendiri (kadar RM8/kg turun naik), membeli tongkat kayu bagi memudahkan pendakian berharga cuma RM 3 utk sesiapa yg memerlukan dan seterusnya mengambil bekalan 'tapau' makan tengahari dari Balsam Restaurant.

Di sini juga kami masing2 diberikan tag nama dengan no. siri yg. berperanan sebagai pengenalan pendaki, ia perlu dipakai sepanjang pendakian bagi memudahkan guide mengawasi peserta di bawah jagaan masing2. Seterusnya kami menaiki bas mini ke tempat permulaan pendakian di Timpohon Gate, lebih kurang 7 km dari Kinabalu Park. Sebenarnya ada 2 laluan ke Laban Rata iaitu melalui trek Timpohon dan satu lagi trek Mesilau. Khabarnya trek Mesilau ini lebih mencabar sedikit dan 1.5 km lebih jauh berbanding trek Timpohon.

  9.00 pagi; 
Pagi ni cuaca cukup cerah. Dengan iringan doa ringkas, kami dalam satu kumpulan besar memulakan pendakian Fasa 1 ke Laban Rata sejauh 6 km dari Timpohon Gate. Berjalan kaki sejauh 6 km di tanah rata mungkin tak ada masalah, tapi mendaki sejauh 6 km bukan senang dan mungkin memberi masalah bagi sesetengah orang.

Ini menyebabkan kumpulan besar tadi mula terpecah berdasarkan tahap kemampuan & kelajuan masing2. Ada juga yg bergerak perlahan kerana sibuk mengambil gambar atau lebih suka menghayati pemandangan indah sepanjang trek pendakian. (Sila klik pada gambar di sebelah utk gambaran lebih jelas)

 Setiap 1 km di sepanjang trek ada disediakan pondok rehat yg dilengkapi dengan tandas dan bekalan air yang tidak dirawat (air gunung). Di beberapa pondok di awal pendakian, terdapat banyak tupai2 yg agak jinak hingga tak takut merebut makanan dari tangan kami. Tapi jinak2 tupai, bila nak dipegang dia larilah pulak.

Yg paling mengkagumkan bila terserempak atau dipintas dengan selambanya oleh porter atau guide merangkap porter yg memikul bebanan berat seperti tong gas, beg2 pendaki, bahan2 makanan mentah dll. Ada antara mereka nampak macam budak2 umur belasan tahun je, malah ramai juga porter wanita. Entah apa la yg diorang ni makan agaknya sampai jadi kuat macam tu.

Berbalik tentang pendakian, aku lebih suka mengamalkan strategi berjalan 10 langkah, berhenti 10 saat utk menarik nafas panjang kemudian meneruskan perjalanan dan begitulah seterusnya. Aku tak suka berhenti rehat lama2 kerana boleh menyebabkan aku malas nak meneruskan pendakian. Malah guide sendiri telah berpesan agar berjalan mengikut kemampuan masing2, jangan terikut2 dengan rentak org lain. Jika kawan berjalan agak perlahan, tak perlu tunggu dan teruslah berjalan. Apa yg pasti guide sentiasa berada di kedudukan paling depan dan paling belakang kami.

Setelah pendakian sejauh 4 km, hujan renyai2 mula turun. Terpaksalah memakai baju hujan utk mengelakkan baju basah dan kesejukan melampau. Keadaan 4 km pertama sebelum sampai ke Pondok Layang2 pendakian boleh dikatakan agak mudah. Apabila 2 km sebelum sampai ke Laban Rata, tumbuh2an yg ada hanyalah pokok2 renek/bonsai. Di sinilah pendakian yg menguji mental & fizikal pendaki. Di sini juga mungkin ramai yg akan mula terfikir: "Apasal la aku buat kerja bodoh pergi naik gunung ni?" ATAU "Alangkah bestnya kalau ada helikopter jemput aku bawa naik sampai Laban Rata"...dan macam2 bisikan jahat lagi.

Bahkan, bermula di Pondok Mempening pada ketinggian lebih 2400m / 8000 ft dari aras laut, sesetengah pendaki akan mula mengalami Acute Mountain Sickness (AMS). Antara tandanya adalah kepala akan mula berasa pening, kesukaran bernafas kerana tahap oksigen semakin kurang, dan jika lebih teruk akan rasa loya & muntah. Namun ini adalah perkara biasa dan bukan semua orang akan mengalaminya. Nasihat dari guide; jika pening berhenti rehat sekejap kemudian teruskan perjalanan bila dah kurang pening.

Tepat 1.30 tengahari, aku orang ke-4 sampai ke Laban Rata Resthouse yg berada di ketinggian 3273 m / 10738 ft. Suhu sekitar 10 darjah celcius. Restoren ni penuh dgn pendaki2 kebanyakannya 'mat saleh'. 3 orang kawan yg sampai lebih awal sikit dari aku sedang menikmati minuman panas yg rupanya boleh diambil secara percuma tanpa had.

Akibat kelaparan, mereka juga memesan nasi goreng berharga RM 15 sepinggan. Pehh...mahal nak mampus. Tapi mungkin berpadanan dengan kos utk mengangkut bahan2 mentah ke atas gunung ni. Kuantiti nasi gorengnya juga agak banyak dari biasa. Memandangkan tukang belanja tiba2 loya tekak tak selera makan, maka dapatlah aku merasa nasi goreng RM 15 tu hehe... Baru 2 suap aku makan nasi goreng tu, tiba2 kepala aku pulak rasa pening berdenyut2...lebih pening dari biasa. Nampaknya aku pun dah terkena sindrom AMS. Telan ubat pun tak jalan juga.

Hujan renyai2 tadi dah jadi semakin lebat. Kawan2 sekumpulan aku masih ramai di bawah yg belum sampai. Aku dapat bayangkan betapa sukarnya mereka mendaki dalam keadaan trek yg licin, dlm suhu yg sejuk ditambah pula kena hujan, terutamanya bagi pendaki2 veteran & yg bertubuh agak montel. Aku melepak di Laban Rata Resthouse sambil melayan kepeningan hinggalah tiba masa makan malam pd jam 5.00 ptg.

Lepas makan aku terus mendaki lagi kira-kira 50 m ke tempat penginapan di Mountain Torg (Pendant Hut). Kat sini penginapan alakadar shj, dgn katil 2 tingkat disusun rapat2 dan bercampur dgn pendaki2 dari kumpulan lain. Tiada masalah asal kau tak cerewet. Suhu sekitar 8-10 darjah celsius, nasib baik juga disediakan 'sleeping bag'. Utk tidur lebih selesa, dinasihatkan tidur dengan pakaian mendaki yg lengkap; seluar panjang, jaket tebal, cap, sarung tangan & stokin. Kan senang bila bangun pagi esoknya.

Lepas telan ubat lagi, aku terus tidur. Pendaki dinasihatkan tidur awal kerana pd jam 1.30 pagi akan dikejutkan untuk persediaan pendakian fasa ke-2 pada jam 2.30 pagi. Sementara itu aku dapat tau pendaki terakhir dari kumpulan aku tiba agak lewat di Laban Rata kira2 jam 8.30 mlm kerana kepenatan dan kekejangan. Bayangkan sendiri betapa penatnya mula mendaki jam 9.00 pagi dari Timpohon Gate dan sampai di Laban Rata lebih kurang 12 jam kemudian.



 
Hari Ketiga; Ahad, 5 Julai 2009

Pendakian Fasa 2 bermula. Bangun seawal 1.30 pagi, kepala aku masih terasa pening yg amat sangat. Nak naik ke nak sambung tidur ni? Alang2 dah sampai sini aku kuatkan semangat utk teruskan pendakian ke puncak. Beberapa rakan pendaki lain terutama yg tiba lewat semalam mengambil keputusan utk tidak mendaki ke puncak...dah tak larat lah tu. 

Setelah mengambil sarapan ringkas sebagai alas perut, kami mendengar taklimat ringkas & peringatan dari guide. Antara nasihat dari guide; jika kau pening/loya/muntah, tak guna kau telan ubat 1 bundle sekalipun, hanya 1 jalan penyelesaiannya iaitu kau perlu turun semula ke aras yg lebih rendah di Laban Rata. Jika terjadi apa2 misalnya pitam/pengsan/jatuh, kos yg dikenakan oleh guide utk mengusung kau turun boleh mencecah RM 300++, bergantung kpd saiz kau. Alamak...mintak2 takde apa2 jadi kat aku...tawakkal aje lah! 

2.30 pagi, cuaca cukup baik pagi ini, tiada kabus & awan ditambah sinaran cahaya bulan. Disyorkan menggunakan headlamp agar tangan lebih bebas memegang tali bagi memudahkan pendakian. Pendakian dimulakan serentak melalui Gunting Lagadan Hut dgn pendaki2 lain, kebanyakannya mat2 saleh. Peringkat awalnya, kami mendaki anak2 tangga kayu yg begitu curam. Memang terasa penatnya ditambah agak sukar bernafas & kepala pun berdenyut2. 

Selepas kira-kira lebih sejam pendakian, kami mula sampai di kawasan berbatu di mana terdapat tali yg berfungsi bagi memudahkan pendaki berpaut dan juga sebagai panduan utk ke puncak. Bila melihat ke atas kelihatan deretan panjang berkelip2 cahaya dari headlamp pendaki. Pendaki2 lain dlm kumpulan aku yg lebih fit & tidak dilanda sindrom AMS yg teruk rasanya dah jauh ke depan meninggalkan kami. Aku beberapa kali berhenti rehat & berbaring di atas batu yg sejuk sambil melayan kepala yg pening ni. Nasib baik guide agak jauh dari aku, kalau dia nampak mungkin aku dah disuruh turun balik. 

Lebih kurang jam 5.00 -5.30 pagi (aku tak ingat waktu yg tepat), tiba di Pondok Sayat-Sayat. Di sini pendaki perlu menunjukkan tag nama sebagai pengesahan & prosedur keselamatan oleh pihak guide. Agak menarik di sini terdapat dua buah pondok telefon TM yg dikatakan pondok telefon tertinggi di dunia (org kata...bukan aku kata). Lupa pulak aku nak test sama ada telefon ni berfungsi atau tak. Line handphone di sini memang tiada masalah kecuali DIGI langsung takde line. Nampaknya iklan org kuning di puncak Kinabalu tu tipu aje dan kawan aku si Ijat tu membebel je pasal hp dia takde line..haha. 

Melepasi Sayat-Sayat, langit sudah semakin cerah. Harapan utk menyaksikan sunrise di puncak amat tipis. Yg penting bagi aku hanya utk sampai ke puncak. Perjalanan di kawasan ini adalah mendaki kawasan berbatu yg luasnya saujana mata memandang. Kalau di hujungnya kau ingat dah sampai puncak, rupanya masih ada lagi pendakian sejauh mata memandang...yg boleh menyebabkan org yg lemah semangat rasa macam nak patah balik je. 

7.30 pagi; walaupun dlm keadaan pening2 lalat dan kesejukan (suhu sekitar 4-6 darjah celsius), akhirnya aku sampai di KM 8.6, betul2 di kaki Low's Peak, seketul batu besar yg merupakan puncak tertinggi di Gunung Kinabalu (4095 m). Aku rasa kira-kira 50-100 meter mendaki sampailah ke Low's Peak tu. Dari bawah kelihatan ramai pendaki memenuhi puncak sempit itu, menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Ramai juga yg dah mula bergerak turun. 

Sewaktu aku sorang2 perlahan-lahan cuba mendaki ke puncak, sekumpulan guide yg melepak di kaki Low's Peak tiba2 menegur aku..."Cukuplah tu bang, sampai sini pun dah kira sampai puncak bah, sudah boleh dapat sijil kaler...". Kata2 tu seolah2 memukau aku menjadi seorang yg menurut perintah lalu aku terus terduduk di situ melepak bersama guide sambil melayan pening. Sebenarnya pendaki tidak digalakkan berada di puncak terlalu lewat kerana cuaca boleh berubah sekelip mata di mana awan tebal disertai angin kencang boleh membahayakan pendaki. 8.00 pagi; cuaca semakin panas kerana tiada awan mahupun kabus. 

Sewaktu rakan2 sekumpulan aku menuruni Low's Peak, aku pun turut sama turun menyertai mereka, berjalan perlahan2 sambil bergambar sakan. Pun begitu masih ada rakan2 sekumpulan aku yg tiba agak lewat dan berhenti di KM 8.0, masih berdegil meneruskan pendakian ke puncak walaupun dah dinasihatkan turun oleh guide. Ini disebabkan semata-mata rasa tak puas hati bila diberitahu, pendaki yg hanya sampai di aras KM 8.0 tidak diberikan sijil berwarna. Huh..gila sijil betul la diorang ni! hehe. 

*Info: Terdapat 2 jenis sijil pendakian yg diberikan oleh Kinabalu Park kpd pendaki iaitu sijil berwarna bagi pendaki yg berjaya melepasi aras KM 8.5 hingga ke Low's Peak, manakala sijil tidak berwarna (hitam putih pun warna jugak apa?) bagi pendaki yg tidak berjaya sampai ke aras yg disebutkan tadi. 

Sebaik tiba di Sayat-Sayat, awan tebal mula kelihatan menghampiri puncak Kinabalu. Pandangan mula terhad dan sekiranya menghadapi situasi ini, pendaki dinasihatkan sentiasa memegang tali sebagai panduan. Semasa turun ni, baru disedari laluan semasa mendaki dalam gelap awal pagi tadi rupa2nya melalui tepi tebing yg begitu curam, rasa macam tak percaya laluan ini yg aku daki pagi tadi. 

Semasa perjalanan turun ni juga aku mula terfikir apasal la aku pergi layan sembang dgn guide tadi tu. Rasa terkilan pulak sedangkan tujuan utama aku adalah utk menakluk Low's Peak yg dah tak berapa jauh utk aku daki. Mungkin kepeningan yg dialami telah mengurangkan sikit kewarasan aku...bengong betul la. Takleh jadi ni, ada masa ada rezeki kena repeat balik nih. 

Dipendekkan cerita, aku sampai ke Laban Rata pd jam 9.30 pagi. Menikmati sedikit sarapan dan mula berkemas utk turun semula ke Timpohon Gate. Berkumpul di Laban Rata Resthouse seterusnya mula bergerak turun pd jam 11.00 pagi. Aku turun berlari2 anak dalam hujan renyai2 dan kadangkala lebat hingga selamat tiba di Timpohon Gate pd jam 1.40 tghari. 

Sebaik tiba di pondok Timpohon ini, satu keajaiban berlaku di mana kepeningan yg aku alami berterusan sepanjang 24 jam yg lalu hilang serta merta. Huh...ajaib sungguh! Lepas tu balik semula ke asrama penginapan di BTN Kundasang, membersihkan diri kemudian tidur sampai ke petang. Bangun tidur, masih ada kawan2 yg belum sampai ke Timpohon, yg terakhir tiba di asrama BTN pada jam 8.00 malam. Maka semuanya selamat pergi & balik. Makan malam dan berkemas2 utk kembali ke Kota Kinabalu esok.




Hari Keempat; Isnin, 6 Julai 2009

7.30 pagi; Berkumpul di pekarangan BTN dengan lengkap berpakaian pejabat. Keadaan kebanyakan drpd kami pagi ini tidaklah seperti manusia biasa, terutama dari segi cara kami berjalan. Seluruh badan menanggung kesakitan akibat ketegangan urat & kekejangan otot menyebabkan ada yg berjalan terkengkang-kengkang, terhencut-hencut malah ada yg terpaksa bertongkat...biasalah tu. 

Seterusnya kami menaiki bas dari Kem BTN Kundasang menuju ke pejabat jabatan tempat kerja aku cawangan negeri Sabah di Kota Kinabalu. Mendengar taklimat pasal operasi kerja hingga ke tengahari seterusnya acara penyampaian sijil pendakian kpd para peserta. 

3.00 ptg, dibawa melawat kawasan kerja di Telipok, tak jauh dari KK. Kemudian balik semula ke pusat bandar KK utk check-in di sebuah hotel bajet. Ramai yg mengeluh lagi kerana bilik masing2 berada di tingkat 3, tak larat nak naik tanggalah tu. 

Malam; sempatlah merayau ke Pasar Malam Kg. Air di mana banyak terdapat gerai2 menjual barangan dari mutiara, kristal, cenderamata dan t-shirt. Setelah itu merayau pula ke Pasar Malam Sinsuran (bersebelahan pasar filipin) yg merupakan pasar basah yg menjual hasil bumi negeri Sabah. Penat berjalan perut pun terasa lapar. Kami makan di salah satu gerai makan yg berderet-deret di pasar ini. Sekali pesan nasi goreng ayam, pehh nasinya punyalah banyak, sepinggan macam dua orang boleh makan. Orang Sabah ni memang kuat makan agaknya (hehe...org Sabah jgn marah bah!). Balik ke hotel terus tidur...penat merayau! 

Hari Kelima; Selasa, 7 Julai 2009 

8.00 pagi, selepas sarapan, ramai lagi sempat merayau & ber'shopping sekitar Pasar Kraftangan KK (lebih dikenali sebagai Pasar Filipina), pasar ikan masin dan juga pasar basah menjual hasil laut. 
11.30 pagi, berkumpul di depan hotel utk menuju ke airport menaiki bas jabatan. Sementara menunggu flight, merayau-rayaulah di sekitar airport.


2.05 ptg, menaiki penerbangan Air Asia balik ke KL. Babai KK. Sampai di LCCT jam 4.35 ptg. Esok dah kena kerja tapi kebarangkalian utk ambil MC amatlah tinggi. Tak larat nak tulis dah. Terima kasih & tahniah kerana berjaya membaca sampai habis. 

---T A M M A T---
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...