09 November, 2009

Kongsi pengalaman ajar anak guna tandas...

Minggu lepas isteri aku bercuti seminggu. Peluang baik untuk mula ajar Aliff, anak kedua kami yang berumur 2 tahun 11 bulan tu guna tandas. Lewat sikit berbanding abangnya yang dah pandai kencing berak kat tandas semasa umur 2 tahun setengah. Ini bermakna seminggu jugalah tak hantar dia ke taska... abangnya pergi sorang. Penat dan hangin jugalah nak mengajar budak ni guna tandas, tapi memandangkan dia dah nak dapat adik tak lama lagi, kenalah juga ajar. Dapat jimat kos sikit tanpa perlu beli dua saiz diapers yang berbeza.


Peringatan: Tahap kesabaran yang tinggi amat diperlukan untuk mengajar anak guna tandas. Mungkin sesetengah orang akan rasa macam nak tangan-tangankan je anak mereka dalam proses itu... tapi ingatlah kita semua pun kencing dan berak bersepah juga masa kecik dulu... entah-entah lebih teruk lagi mungkin ada antara korang yang mungkin makan najis (atau dalam bahasa halusnya taik) sendiri agaknya. Yuck!


3 Hari Pertama... Memang confirm la kencing dan berak bersepah tanpa keraguan lagi. Dari pagi sampai ke petang 5-6 kali jugalah tukar seluar dan penat menge'mop lantai kerana disirami 'air mawar' dan 'kek coklat' anak aku. Soalan wajib setiap 10-15 minit berbunyi "nak kencing/berak tak???" dan "nak kencing/berak kat mana???" sentiasa berkumandang dalam rumah aku. Dengan konfidennya dia menjawab... "kat tandas..." tapi 'hasil pengeluarannya' tetap terbarai juga. Peringatan wajib setiap 10-15 minit berbunyi "kalau rasa nak kencing/berak cakap kat ayah/ibu ye..." tapi yang hanginnya dia cakap hanya selepas dia melepas. Cheiit!!!

Hari Ke-4 Ada kemajuan! Dah pandai kencing kat tandas walaupun 'air mawar' masih tercicir dalam perjalanan menuju ke tandas. Dah pandai juga beritahu bila nak berak tapi bila letak atas mangkuk tandas (siap ada alas untuk budak-budak gambar kartun) tak pulak keluar hasilnya.

Hari Ke-7 Sukses! Nak kencing terus pergi sendiri ke tandas tanpa beritahu ayah & ibunya, tanpa ada keciciran lagi. Bermakna dia dah dapat mengawal otot kemutan menahan kencingnya. Dah pandai juga basuh anu sendiri lepas kencing. Nak berak pulak dia cakap, letak atas mangkuk tandas terus berjaya menghasilkan pelaburan pertamanya (basuh berak akulah yg basuhkan...tak konfiden bersih kalau dia basuh sendiri). Buat masa ni cuma ajar tak pakai diapers waktu siang dulu. Tidur malam masih pakaikan lagi (tak larat nak jemur toto je). Begitu juga nak pergi jalan-jalan...buatnya tengah jalan cakap nak berak...jalan jem pulak tu, tak pasal-pasal kereta aku jadi jamban bergerak pulak nanti...huhu.

Bila masa sesuai ajar anak guna tandas?
SECARA purata, kebanyakan kanak-kanak mula belajar menggunakan tandas sekitar usia dua tahun. Tetapi, seperti juga dalam proses perkembangan kanak-kanak, setiap kanak-kanak adalah berbeza. Kanak-kanak yang berusia sehingga 20 bulan lazimnya lebih cenderung membuang air kecil. Ini sekali gus menyukarkan mereka menahan keinginan ke tandas. Tambahan pula, aspek pengendalian pakaian masih menjadi masalah kepada mereka. 
Di Barat misalnya, sesetengah ibu bapa merasakan ia lebih mudah melatih anak menggunakan tandas sewaktu musim panas. Pada waktu ini, kanak-kanak lebih mudah diuruskan dengan pemakaian pakaian yang minimum. Senario ini mungkin boleh diaplikasikan untuk anak kita memandangkan cuaca di Malaysia yang pada kebanyakan masanya panas. 
Mendidik anak cara menggunakan tandas juga memerlukan sedikit strategi dan kesediaannya untuk belajar. Berbanding anak perempuan, anak lelaki memerlukan masa yang lebih lama untuk belajar. Malah, mereka turut perlu menguasai teknik membuang air kecil kerana kebanyakan anak lelaki akan belajar duduk di atas mangkuk tandas terlebih dahulu. Dalam hal ini, ada baiknya jika ahli keluarga yang lebih tua seperti bapa atau adik-beradik lelaki yang lain menunjukkan caranya. 
Bilakah masa yang sesuai untuk anak belajar pengurusan tandas? Kesediaan anak itu boleh dilihat menerusi beberapa petanda ringkas: 
* Kekal kering selama beberapa jam setiap hari  
* Menunjukkan minat apabila anda, pasangan atau adik-beradik yang lain ke tandas. 
* Mengalami sakit perut secara kerap pada bila-bila masa misalnya selepas bersarapan. 
* Menunjukkan petanda ingin ke atas apabila anak mencangkung atau menghasilkan bunyi yang tidak enak. 
* Memberi isyarat bahawa lampinnya sudah basah. 
Bilakah masa sesuai ibu bapa patut bertindak memaksa anak belajar tentang penggunaan tandas? 
Mengajar anak tentang penggunaan tandas sewaktu berada dalam keadaan tertekan bukan satu idea yang baik. Antaranya termasuklah: 
* Kehadiran orang baru dalam keluarga misalnya bayi. 
* Memulakan sistem penjagaan anak yang baru. 
* Pertukaran tempat tidur. Misalnya dari katil bayi ke katil sebenar. 
* Pemindahan rumah. 
* Masalah keluarga. 
* Apabila ahli keluarga sakit. Info: 
* Berikan pujian setiap kali anak berjaya membuang air kecil dan besar di tandas atau dalam bekas khas yang disediakan (potty). 
* Jangan terlalu mendesak. Mendidik anak yang lebih dewasa kadang kala memerlukan pendekatan berbeza. 
* Tiada yang sempurna. Elakkan daripada menaruh harapan tinggi buat mereka yang baru belajar. 
* Sediakan pakaian yang mudah dipakaikan oleh si kecil. Jika perlu, latih anak untuk memakai seluar untuk 'latihan' terlebih dahulu. 
* Jangan sesekali memaksa anak ke tandas atau duduk di atas bekas khas. Ini hanya akan membuatkannya tertekan, tidak gembira dan melambatkan proses pembelajaran anak. 
* Kebanyakan kanak-kanak takut mendengar bunyi jirusan air dalam tandas dan tidak suka melihat najis dibawa arus air. Jadi jiruslah air apabila anak sudah memberi perhatian kepada perkara lain. 
* Jika sekali-sekala anak terjaga dengan lampin yang kering pada sebelah pagi, ini adalah petanda baik bahawa lampin mungkin tidak diperlukan lagi. 
* Belajarlah mengawal perasaan anda jika anak terkencing atau 'terbasahkan' lampinnya. 
*Pastikan anda mengajar anak membasuh tangan selepas menggunakan tandas atau menyentuh bekas khas itu.
Dipetik dari Kosmo!

No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen... terima kasih.

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...