01 September, 2009

Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia!!!

Entri ini sekadar peringatan untuk diri sendiri sebenarnya. Juga untuk sesiapa sahaja yang mahu dirinya diberi peringatan. Sudah Bersediakah Kau Ketika Dipanggil Pulang Oleh Allah SWT?!!!

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan!

Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan!

Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan!

Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan!
Dengan kain kafan yang serba putih!

Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih.... Walaupun orang yang hadir itu merintih....

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai.... Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah Dengan empat kali takbir dan satu salam Berserta Fatihah, Selawat dan doa....

Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus....

Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud....

Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian....

Justeru ku menyeru sekelian Muslimin dan Muslimat....

Usunglah dirimu ke tikar Solat....

Sebelum kamu diusung ke liang lahad....

Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat!

Iringilah dirimu ke masjid....

Sebelum kamu diiringi ke Pusara!

Tangisilah dosa-dosamu di dunia....

Kerana tangisan tidak berguna lagi di alam baqa'!

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan!

Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan.. ..

Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan!

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan!

Kerana ianya berguna untuk yang tinggal....

Bukan yang pergi!

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan! 

Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan!

Ingatlah di mana saja kamu berada....

Kamu tetap memijak bumi Tuhan!

Dan dibumbungi dengan langit Tuhan!

Serta menikmati rezeki Tuhan!

Justeru bila Dia menyeru,....

Sambutlah seruan-Nya Sebelum Dia.... memanggilmu buat kali yang terakhirnya!

Ingatlah kamu dahulu hanya.... setitis air yang tidak bererti!

Lalu menjadi segumpal darah! 

Lalu menjadi seketul daging!

Lalu daging itu membaluti tulang!

Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti....

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu....

Yang kalau jatuh ke tanah Ayam tak patuk itik tak sudu!

Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu....

Yang lebih agung dari malaikat!

Lahirmu bukan untuk dunia....

Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat!

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'....

Dengan penuh rela dan bersedia!

Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'....

Jalan kemenangan akhirat dan dunia!

Ingatlah yang kekal ialah amal....

Menjadi bekal sepanjang jalan!

Menjadi teman di perjalanan.. ..

Guna kembali ke pangkuan Tuhan!

Pada hari itu tiada berguna....

Harta, takhta dan putera....

Isteri, kad kredit dan kereta....

Kondominium, saham dan niaga....

Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia!!!

 
Sumber: Email
Sumber asal: Tak pasti. Kalau kau punya...sila mengaku!

No comments :

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen...
tapi jika komen menggunakan 'Tanpa Nama @ Anonymous'... silalah letak nama samaran sekurang-kurangnya di akhir komen... tidaklah tertanya-tanya siapa gerangannya si tukang komen...

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...