01 January, 2006

Salam Kenal


Assalamualaikum.

Tentang blog...

Selamat datang ke blog suka-suka aku ni...sekadar untuk mengisi masa lapang. Biasanya aku online antara 10.00pm hingga 12.00am-1.00am...bila anak bini dah tidur tapi aku jenis tak reti nak tidur awal dan tv/astro pulak takde cerita yang boleh layan.

Aku bukannya pandai sangat pasal internet ni. Mula-mula aku melayari internet kat rumah aku ni percuma je. Aku pun tak tau macam mana boleh ada internet kat laptop aku ni, mungkin tumpang tempias-tempias wireless network/wifi jiran-jiran aku kot (Baca: Hukum Guna Wifi Jiran). Cuma kekadang takde network, kekadang laju, kekadang slow nak mampus, tak kisahlah bukannya aku bayar pun! Dekat 2 tahun juga la aku pakai internet free, tapi lepas pindah rumah lain, terpaksa la juga guna berukband.

Disebabkan suatu hari tu aku tak tau nak tengok apa lagi dah dalam internet ni, maka aku cuba-cubalah buat blog. Mula-mula saja suka-suka tapi lama-lama rasa macam best pulak...walaupun mungkin sekadar syok sendiri je. Rasa nak berkongsi pasal peristiwa-peristiwa penting sepanjang perjalanan hidup aku dan apa yang berlaku di sekeliling aku dengan kawan-kawan, keluarga dan semua yang mengenali aku, yang ingin mengenali aku kecuali yang tak hingin mengenali aku.

Mungkin juga bila aku dah arwah nanti, blog ni boleh dijadikan kenang-kenangan untuk anak cucu aku. Owh...reti jugak ayah/atuk mereka ni berblog ye... Dengan adanya blog ni juga, dapat refresh balik apa yang aku dah buat sepanjang hidup aku. Maklumlah bila dah tua mungkin aku jadi semakin pelupa. Mana le tau nanti, anak cucu bertanya; "Apa ayah/atuk buat masa muda-muda dulu ye? Maka senang la aku nak jawab...layarilah http://alibukansetan.blogspot.com/ ngeh3...!!!

Rasanya aku akan banyak menulis (kalau rajin) tentang diri aku, atau keluarga aku, atau kawan-kawan aku, atau perkara-perkara yang berlaku di sekeliling aku saja dan aku tak berminat sangat nak cerita hal orang lain... atau cerita pasal isu semasa... atau isu politik... kecuali yang ada kena mengena dengan hidup aku. Lagipun dah terlalu banyak blog lain yang cerita pasal isu-isu tu semua...

Tapi aku rasa tak berbakat sangat dalam penulisan... aku hanya mampu menulis sesedap rasa dan sesuka hati aku dalam gaya bahasa yang biasa-biasa , menggunakan bahasa rojak, atau dalam bahasa pasar yang mungkin kasar dan tunggang-langgang. Aku juga akan cuba sedaya upaya untuk tidak memaki hamun dan mencarut dalam blog ni.... Kalau sudi, baca! Tak sudi, sudah! Aku tak rugi...kau pun tak untung!

Tentang aku...

Aku?
Ali bin Ahmad. Nama yang amat popular untuk dijadikan contoh kalau nak buat ayat, sejak dari masuk tadika sampailah menempuhi alam pekerjaan. Nama ini diberi oleh arwah atuk aku sempena kedatangan petinju legenda pujaannya Muhammad Ali ke KL bertarung menentang Joe Bugner pada 1975, tahun aku dilahirkan. Lahir di Temerloh dan kini menetap di Sungai Buloh.

Status?
Buat para gadis mahupun janda, harap maaf kerana aku telah dimiliki oleh seorang gadis (yang kini tidak gadis lagi). Ipoh mali talak sombong. Belum teringin menambah isteri, cuma ingin menambah zuriat...baru dikurniakan dua orang putera. (Update: Nov. 2009 tambah sorang puteri).




Keluarga?
Agak 'complicated' untuk diceritakan. Tapi aku ceritalah juga sikit. Abah aku berketurunan Cina muallaf dan mak aku Melayu dari etnik Jawa. Aku tak pasti apa keturunan sebenar aku tapi aku isytihar diri aku Melayu je la pasal aku tak reti cakap cina (kecuali sepatah dua perkataan mencarut), aku tak tau cakap jawa kecuali beberapa patah perkataan (seperti wes mangan atau wes ngombey) dan jiwa aku Melayu habis.

Abah & mak berpisah selepas baru 2 bulan anak tunggal mereka dilahirkan (aku la tu), dan sejak itu aku dibesarkan oleh arwah atuk & nenek sebelah mak, diasuh dan ditanggung oleh mak2 saudara & bapak saudara hinggalah aku bersekolah dan bekerja. Atuk & nenek sebelah abah aku, tak taulah macam mana salasilahnya, mungkin ada di China agaknya dan akupun malas nak ambil tau. Kalau ambik tau lebih-lebih nanti tak pasal-pasal tiba-tiba dapat tau aku ni keturunan pemimpin komunis Mao Tze-Tung ke hapa, tak ke cilake tu...

Semasa umur aku 4 tahun, mak aku kahwin lagi dengan seorang duda beranak 4 dan melahirkan 2 orang anak lagi. Umur aku 5 tahun, abah pulak kahwin lagi dengan seorang anak dara dan memperolehi 6 orang anak. Jadi masa sekolah dulu kalau orang tanya berapa orang adik beradik aku, agak terkial-kial untuk aku menjawabnya...nanti aku kira jap...errr...lebih kurang 12-13 macam tu la (termasuk adik beradik tiri). Pening??? Tu la aku dah cakap tadi, memang 'complicated' kan? Cukuplah setakat tu untuk tidak menambahpeningkan aku dan korang!

Pendidikan?
Tak setinggi mana, cuma ada sijil tinggi dan pernah bersekolah di sekolah yang tingginya 4 tingkat. Aku dah serik belajar tinggi-tinggi sebab aku pernah 'jatuh'. Gayat la tinggi-tinggi sangat.

Pekerjaan?
Bertugas di sebuah jabatan kerajaan, tidak berpangkat tapi kuli biasa sahaja... yang selalu diarah-arah oleh bosnya. Rasa-rasa boleh ikut aku ikut... rasa-rasa tak boleh ikut aku lawan...

Itu sajalah yang aku rasa nak kongsikan. Tahniah kepada sesiapa yang berjaya membaca sampai habis. Ini bermakna kau memang berminat untuk mengenali aku.

Hubungi Aku? 
Email je... aliahmad.5809[at]yahoo.com 
kalau nak cari kat fesbuk taip je  Pokli Ali Aloque


TQ

Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...