31 December, 2006

Salam Aidil Adha... Jaga sendiri isteri berpantang

~ Bini aku masih dalam pantang dan malas nak jalan jauh, jadi beraya dan berpantang di rumah sendiri je. Masa baru bersalin, ada juga mertua datang rumah aku, duduk seminggu. Boleh juga tengok2kan bini aku & baby. Kalau hantar balik kampung, banyak juga kos nak ulang alik. Kena juga menghulur duit belanja makan minum, takkan nak duduk saja ye tak? 

lenanya dia tidur...

~ Jadi, susah senang biar aku jaga sendiri (bukan aku kedekut, tapi bajet aku yg ciput). Maka cuti hampir 2 minggu aku habiskan dengan kerja2 mengemas rumah, memasak (masakan bodo-bodo je la) & basuh pinggan, membasuh & sidai kain, melayan kerenah anak sulung aku, mandikan baby, tolong buat tungku utk bini aku dan juga mengurut bini aku satu badan secara pakej 3 hari berturut-turut (dah macam mak bidan pulak). Pehh...baru aku rasa betapa penatnya jadi surirumah sepenuh masa. Bini aku rilek je, aku kasi can. Bila aku dah start kerja nanti, pandai2 dialah nak hidup...hohoho!

Lepas gi solat raya, balik lepak kat rumah je, menjalankan tugas2 seorang suami & bapak mithali...cheh. Lepas tu masak ketupat segera & buat rendang daging sikit untuk menghidupkan suasana raya dlm rumah aku. Dan kedua2 menu tu aku melantak sendiri sorang2 je...hehe.. bini aku masih dlm pantang daa. Selamat Hari Raya & Selamat Tahun Baru.

21 December, 2006

Mengumumkan ketibaan Aliff Najmuddin

8.00 malam tadi, bini aku mengadu sakit perut. Sakit perut biasa je kot. Pergi klinik dekat rumah je, doktor pun buat pemeriksaan biasa lepas tu bagi ubat sakit perut.

12.00 am; bini aku rasa sakit makin kerap, kekerapan setiap 5 minit. Bila tengok ada keluar darah sikit, terus bawa ke Hospital Sg Buloh. Kelam kabut punya pasal, aku angkut sekali anak sulung aku si Aiman yg tengah syok tidur. Sampai hospital, rupanya pintu rahim dah terbuka 8 cm. Membebel nurse tu kat aku pasal lambat hantar ke hospital. Terus kena masuk bilik bersalin. Aku nak masuk tengok & temankan bini aku tak dibenarkan pulak sebab ada Aiman. Aku terpaksa hantar Aiman balik dulu, tinggalkan kat taska, biar dia tidur kat sana. Lepas tu pergi hospital balik nak tengok baby keluar, tapi tak sempat.....

2.12 am; baby yg kami dah rancang utk diberi nama Aliff Najmuddin selamat dilahirkan secara normal, seberat 3.0 kg. Alhamdulillah kedua-dua ibu & anak sihat dan selamat, walaupun tarikh jangkaan sebenarnya awal Januari tahun depan. Mungkin sebab ibunya banyak sangat berjalan naik bukit turun bukit masa pergi Bukit Tinggi baru-baru ni, tu yg tak sabar-sabar nak keluar tu...agaknyalah.

7.00 am; balik rumah tanam uri. Lepas tu pergi hospital balik hantar barang keperluan. Tapi bini aku kata petang ni dah boleh keluar. Balik rumah tidur sekejap. Penat tak tidur sejak malam tadi dan penat juga berulang alik dari rumah ke hospital sejauh kira-kira 15 km sehala. Tapi aku sedar kepenatan tu tak seberapa kalau nak dibandingkan kesakitan bini aku bertarung nyawa melahirkan zuriat aku, apalah sangat kan?

 dah boleh panggil abang long lah si aiman ni...


3.00 pm; pergi pejabat pulak ambik guarantee letter (GL), kemudian ke hospital semula untuk bawa balik baby & ibunya. Pejam celik pejam celik dah dua orang anak aku, dua-dua hero pulak tu. Masih ada rasa macam tak percaya dah ada anak (yg dirasai semasa kelahiran anak pertama dulu).
 
Cukup dulu setakat ni, lain kali sambung cerita.

19 December, 2006

Taklimat Banci Ekonomi @ Selesa Hillhomes, Bukit Tinggi Resort

Menghadiri taklimat pasal kerja di Selesa Hillhomes, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. Bayar lebih sikit untuk penginapan, bawa anak bini sekali. Bukan apa, risau tinggalkan bini yg tengah sarat mengandung anak kedua kat rumah.

Hari pertama, Ahad, 17 Dis;
pagi tu kami sekeluarga pergi melawat Bukit Tinggi Resort dulu. Jalan-jalan kat Colmar Tropicale (bandar ala-Perancis), Japanese Tea Village, Botanical Garden & Rabbit Park. Bayaran masuk ke semua tempat ni sekali bayar shj. RM 16 sekepala (dewasa) & RM 8 utk budak2.


sekitar Colmar Tropicale 

sekitar Japanese Garden

sekitar Botanical Garden & Rabbit Park

Dulu pernah singgah ke sini tapi cuma di Rabbit Park shj. Kali ni repeat balik ronda semua sekali. Percutian di sini lebih kepada utk menikmati alam semulajadi dan sedikit permainan utk keseronokan budak2. Kalau nak hiburan & permainan utk mak bapak budak, sini bukan tempatnya, pergilah naik Genting. Petang, pendaftaran & check in hotel. Aktiviti bebas sampai malam.

Hari kedua, Isnin, 18 Dis; mendengar taklimat dan sesi perbincangan dari pagi sampai ke petang. Anak bini aku lepak bilik je, keluar pun di sekitar hotel shj. Petang tu ada bawa anak aku si Aiman mandi kolam, tapi dia cuma bertahan tak sampai 5 minit je, airnya sejuk gila...ditambah pula dengan hembusan angin bukit yg sejuk, menggigil budak tu. Lepak kat gym pulak la, nak panaskan badan yg sejuk.

Hari ketiga, Selasa, 19 Dis; sebelum balik tengahari tu, kami satu rombongan sempat singgah buat lawatan ke Ladang Bunga Eksotik di Janda Baik. Lepas tu terus balik KL. Singgah di Sungai Buloh, shopping sikit barang2 keperluan terutamanya utk anak yg bakal lahir bila2 masa je ni. Biasalah, baru dapat gaji & bonus. 

sekitar hotel & nurseri bunga Janda Baik

30 October, 2006

Alkisah Raya 2006

Hari raya, tahun ni giliran raya pertama di kampung aku dulu. Aku ada 3 kampung yg perlu diziarahi setiap kali aku balik kampung di Pahang ni. Kampung tempat aku dibesarkan, kampung mak aku dan rumah abah aku. Tak boleh miss salah satu, nanti ada yg berkecil hati...banyak hati yg perlu dijaga.

Hari raya, biasa2 shj...tolong2 buat persiapan apa yg patut, menziarahi saudara mara, kawan2 lama & bertahlil di kubur.

Hari raya ke-3, balik beraya kat kampung bini pulak di Ipoh selama 2-3 hari. Beginilah kami setiap tahun, mengharungi perjalanan 4-5 jam membelah Banjaran Titiwangsa untuk balik beraya di kampung kedua2 belah pihak. Dijamin takde gaduh2 nak balik mana dulu...balik je dua-dua kampung, ikut je giliran raya pertama di mana dulu. Itulah toleransi namanya,adil lagi saksama.

18 September, 2006

Anakku dan Chicken Pox

Siapa yang tak pernah kena chickenpox? Kalau orang kampung panggil demam cengkering. Rasanya semua dah pernah kena. Kalau dah kena sekali mungkin takkan kena lagi seumur hidup.

Dah 3-4 hari anak aku kena chicken pox seluruh badan. Selain ubat dari klinik, amalkan juga petua yg orang2 tua bagi... tumbuk daun pokok mambu (banyak tepi jalan orang tanam sebagai pokok hiasan) dicampur dengan bedak sejuk dan sedikit air...sapukan di seluruh badan. Alhamdulillah beransur sembuh.

kat rumah, biar je dia bogel

dari belakang, dah macam resaksa pulak

jangan pancut sudah, kang jadi koktel tembikai pulak...

macam tepung gomak daa...

Seingat aku, aku kena chickenpox ni masa aku form 2 dulu. Walaupun rasa tak selesa sebab rasa gatal2 dan arwah nenek aku tak bagi mandi, tapi seronok juga 2 minggu tak payah pergi sekolah...yahoo!

11 September, 2006

Taklimat Kerja @ De Palma Hotel, Kuala Selangor

Menghadiri taklimat pasal kerja di Hotel De Palma, Kuala Selangor dari 8-11 September. Disebabkan ada beberapa orang staff lain yg minta excuse tak dapat datang, jadi ada 2-3 bilik kosong. Masa rehat tengahari, balik rumah angkut anak bini lepak sini. Boleh juga si Aiman tu lepak sini mandi kolam, daripada takde buat apa kat rumah.


Hari nak balik, pergi Sekinchan, cari buah mangga & siput mentarang yg bersepah orang jual kat tepi jalan. Kemudian patah balik ke Kuala Selangor, singgah Bukit Melawati sekejap, pastu balik rumah.

12 August, 2006

Berkelah @ Kemensah, Ulu Kelang

Hari cuti, bosan tak tau nak ke mana. Tiba2 rasa nak bawa si Aiman mandi sungai. Rasa tak best pulak layan dia mandi sorang2 nanti, ajak akak tiri aku sekeluarga join sama. Meriahlah sikit si Aiman boleh berendam dgn sepupu2nya.

Kami pergi berkelah di satu tempat perkelahan berdekatan Kg Kemensah, Ulu Kelang (belakang Zoo Negara). Bolehlah untuk budak2 mandi. Buat BBQ ayam. Selepas 3-4 jam berendam, barulah budak2 tu naik makan makanan yg dibawa, juga ayam yg dibakar sampai hangus oleh bini aku.

Kebulur punya pasal, hangus pun hanguslah...
silap aku juga letak ayam masa arang tu belum betul2 jadi bara lagi...hihi.



naik la bebudak woi...kecut dah tu...


4.00 petang baru balik, budak2 tu pun dah tahap kecut dan biru bibir sebab lama sangat berendam. Hehe...biarkan.

23 July, 2006

Makan Angin: Cameron Highlands

Ada modal sikit bolehlah pergi makan angin. Selepas berbincang laki bini, Cameron Highlands jadi pilihan. Pergi ikut Tapah. Nasib baik tak langgar lori sayur. Gila betul diorang bawa lori, jalan selekoh sempit selamba je bawa laju sampai makan jalan orang. Menginap 2 malam kat Hotel Jasmine, Brinchang.

Lokasi yg dituju: Lata Iskandar – Butterfly Garden – Strawberry Farm – Cactus Valley – kebun sayur & bunga – ladang teh Boh Sungei Palas – Robinson Waterfalls. Seronok betul nampaknya si Aiman. Malas nak cerita banyak, tengok gambar je lah.







Apa yg kami beli: Hanya T-Shirt sorang satu, seikat besar bunga segar dilelong dgn harga RM10, teh boh pelbagai perisa, 2-3 pek strawberi, mini kaktus 7 pasu RM10 & sedikit sayur. Apa sangatlah nak dishoppingkan kat sini. Lagipun tujuan utama kami ke sini nak makan angin je.

16 July, 2006

Rabbit Park, Bukit Tinggi Resort

Orang kampung suruh balik...durian dah mula gugur. Serta merta teringat lagu Os...”oh kome, deroyan udah luruh...blablabla..”. Dalam perjalanan balik kampung di Pahang, tergerak hati nak singgah Bukit Tinggi Resort. Selama ni ondeway balik kampung setakat lalu je tak peduli pun apa ada kat atas tu. Kita survey tengok...

Perjalanan naik makan masa antara 20-30 minit (tahap kelajuan kereta buruk aku tu la) melalui jalan bengkang bengkok dan agak sempit. Antara yg menarik kat sini seperti Rabbit Park, Colmar Tropicale (bandar ala-Perancis), Japanese Garden & Botanical Garden. Bayaran masuk ke semua tempat tu RM 16 (dewasa) & RM 8 (kanak2).

Suhu kat sini suam-suam sejuk (maksudnya taklah sejuk sangat). Apapun kami cuma sempat singgah Rabbit Park aje. Bayar RM 2 shj satu kepala. Dah puas main dgn arnab, terus balik kampung dgn satu misi: nak melantak durian puas2. Hohoho!


pintu masuk Rabbit Park 

arnab yg jinak & manja

apahal sampai terkangkang ni Aiman?

Ini bukan kuda...ini keldai la


25 June, 2006

Sukan Antara Zon yg suwey

Jabatan aku mengadakan Sukan Antara Zon seluruh Malaysia. Kali ni Zon Selatan dipilih jadi tuan rumah. Venue pertandingan dan penginapan selama 3 hari 2 malam bertempat di Ayer Keroh, Melaka. Menginap di chalet INB Ayer Keroh.

 23 Jun (Jumaat) – Petang lepas kerja, bertolak ke Ayer Keroh. Singgah Bangi tinggalkan anak bini di rumah kakak dia. Malam baru sampai Ayer Keroh. Beberapa pertandingan indoor sudah dijalankan seperti badminton, ping pong & bolatampar. Jadi penyokong je lah. Lepas tu lepak Bandar Melaka...sokong peserta bowling sekejap. Agak2 dah bosan pergi main snooker pulak. Ooops, snooker tak termasuk dalam senarai acara.

 24 Jun (Sabtu) – Acara perasmian kejohanan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam. Aku dan beberapa kawan memonteng pasal bangun lambat. Tak berdisiplin punya atlit. Lepas perasmian bermulalah acara2 lain seperti futsal, bolajaring, sepaktakraw dll. Aku main sepaktakraw je yg dijalankan secara format kalah mati. Main tekong...servis kuda belang (bawah sikit la taraf kedahsyatannya kalau nak dibandingkan dengan servis kuda). Lawan regu tuan rumah Zon Selatan, kalah 17-21, 18-21...bungkus!

gaya angkuh sebelum perlawanan

hayunan servis kuda belang

feeder, suap bola baik punya satu...

aksi killer aku selepas menggulung bola (bukan gulung net)

masa untuk digulung pulak... terus gulung tikar

Habis je game dapat pulak berita buruk. Kereta yg aku parking bawah pokok besar (sebab dah takde parking) kena hempap dahan reput sebesar betis. Bergegas aku gi tengok kereta. Menurut saksi di tempat kejadian (macam kes jenayah pulak), ada pulak 2-3 ekor beruk melompat2 atas dahan reput tu. Habis berkecai cermin belakang kereta aku. Terpaksalah pinjam duit kelab sukan dulu untuk hantar repair. Pagi esok baru boleh siap.

cobaaaannn...

25 Jun (Ahad) – Check out hotel. Lepas majlis penutup + penyampaian hadiah + makan, pergi bengkel ambik kereta pastu terus balik. Terbang juga RM 400 kos tukar cermin. Rupanya harga cermin belakang lebih mahal dari yg depan. Alasannya cermin belakang jarang pecah berbanding cermin depan. Itu kata pomen lah. Kalau dia kencing maka kena kencinglah aku. Bila tanya kawan2 pun semua tak pernah pecah cermin belakang. Lain kali kena ambik insurans cermin ni. Huhu

01 May, 2006

Harijadi Aiman ke-2

Selamat harijadi ke-2 anakku Aiman.

Kami sambut ala kadar bertiga beranak shj.

Tak lama lagi Aiman dah nak dapat adik pulak. Bini aku dah mengandung 2 bulan lebih. Due date awal Januari tahun depan.

 Inilah kek harijadi Aiman. Dia makan sikit je, mak bapaknyalah yg melantak lebih... hohoho

15 April, 2006

Mendaki Bukit Tabur West, Ulu Kelang

Join geng panjat gunung DC Group mendaki Bukit Tabur West, dekat Taman Melawati, Ulu Kelang. Bawa anak bini sekali, tapi diorang tinggal kat bawah je, mandi sungai.

Kami mula mendaki pada jam 4.30 pm. Cuaca baik. Memang cantik view dari atas bukit ni. Boleh nampak KL, Empangan Klang Gate, Karak Hiway, UIA dan perumahan lereng bukit tempat orang kaya2 duduk. Beberapa gambar yg sempat aku snap...

on de way ke puncak


jauh lagi ni

sayupnya permatang kat belakang tu

diserikan beberapa kuntum bunga, ambil gambar boleh, tengok boleh... pegang jangan!

kasut putih aku

keras tempat ni (banyak batu)...jangan salah langkah & salah pegang

satu lembaga sedang berehat (jangan tegur)

sebahagian Taman Melawati

Kampus UIA Gombak

 KL, saujana mata memandang

kawasan berlumut di sekitar puncak

Empangan Klang Gate

Tak lama kat puncak tiba2 hujan pulak dah. Lepak puncak sekejap je la, masa nak turun pun masih hujan lagi. Sampai bawah dah melepasi waktu maghrib. Berjalan dalam samar2 senja, masing2 tak bawa torchlight...menggigil kesejukan. Apapun dapatlah lepas gian lama tak mendaki.

04 February, 2006

Jelajah Pantai Timur

Cuti raya cina seminggu. Takkan nak lepak kat rumah je. Ada modal & bajet lebih sikit, anak aku si Aiman tu pun umur dah dekat 2 tahun, kami plan nak cuti-cuti Malaysia...nak menjelajah Pantai Timur. Ini catatan penjelajahan kami:

29/01/06 (Ahad) – Pagi-pagi bertolak dari rumah, singgah kampung kat Mentakab sekejap. Kemudian terus ke Kuantan ikut jalan lama. Dah tengahari, singgah mandikan Aiman dan tapau lunch kat Air Terjun Sg. Pandan, Panching (kira-kira 10 km sebelum sampai Kuantan).

Dah puas mandi, bergerak ke Pantai Teluk Cempedak...ronda2 & lepak sekejap di sini.

5.00 pm, pergi Cherating pulak, cadang nak bermalam kat sini je. Sampai2 je ronda2 dulu sekitar Kg. Cherating cari kedai souvenir, pastu mandi laut pulak. Seronok betul si Aiman, dalam satu hari dapat mandi air terjun & mandi laut. Dah puas mandi, baru pasang khemah (memang standby dalam kereta, mana2 tempat yg sesuai pasang khemah je nak jimat bajet). Malam jalan-jalan cari makan kat gerai makan sekitar Kg. Cherating.

 

30/01/06 (Isnin) - Lepas breakfast, bertolak ke Terengganu. Singgah kat Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung kat Kuala Ibai.

Lepas tu pergi mandi Air Terjun Sekayu, Kuala Berang. Masa balik singgah lepak kat jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, kemudian menuju Kuala Terengganu.

Check in rumah tumpangan murah yang sempit gila berharga RM25 je (asal boleh tidur sudah), tapi kedudukannya betul2 di sebelah Pasar Payang. Malam, makan seafood kat tepi Pantai Batu Buruk.



31/01/06 (Selasa) – Lepas breakfast, tanpa berlengah lagi terus shopping sakan kat Pasar Payang sampai tengahari. Dah penat dan dah tak cukup tangan bawa barang, balik motel hantar barang. Lepas tu bini aku yg masih tak puas shopping patah balik ke Pasar Payang sorang2 utk memuaskan nafsu shoppingnya. Biasalah kaum perempuan...lantak kaulah, lagipun guna duit dia sendiri. Aku dah tak larat, lepak bilik je jaga anak.

Lepas lunch, bertolak ke Kelantan ikut jalan tepi laut melalui Pantai Merang (ada jeti nak pergi Pulau Redang) dan juga Pantai Penarik. Setiap pantai peranginan aku singgah lepak sekejap, sekurang2nya habis rokok sebatang. Sampai kat Besut, nampak signboard air terjun Lata Tembakah, singgah mandi.

Dekat nak Maghrib baru sampai Kota Bharu(KB), melilau cari hotel yg kebanyakannya penuh...almaklumlah musim cuti ni. Nasib baik dapat check in satu hotel kat tengah2 bandar KB ni (aku dah tak ingat nama & lokasi hotel ni). Malam macam biasa...jalan-jalan cari makan.
 




01/02/06 (Rabu) – Pagi, pergi Pantai Seri Tujuh di Tumpat, lepak sekejap. Kemudian ke Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor dekat sempadan Siam. Kedai-kedai tak banyak sangat dan harga pun lebih kurang sama macam kat Pasar Payang, beli toto je sebijik.

Lepas tu pergi pekan Rantau Panjang pulak. Cadangnya nak singgah sekejap je kemudian balik menginap di KB. Tapi disebabkan suasana terlalu meriah (untuk bershopping), serta merta bini aku jadi gila terus mengajak aku check in hotel berharga RM50...dan shopping sakan sampai petang...hihi. Layan je lah kerenah bini aku tu, sekali sekala. Sapa yg pernah sampai sini taulah betapa meriahnya kedai2 kat sini. Malam lepas makan, lepak je kat bilik, tak larat nak berjalan dah...


02/02/06 (Khamis) – Pagi; nak balik Ipoh...tapi malangnya tersadai kat depan hotel sampai tengahari. Ntahapa suweynya kunci gear kereta patah kat dalam, langsung tak boleh buka. Takde cara lain, terpaksalah aku bertungkus lumus menggergaji besi tu, dua kali berulang alik ke kedai hardware sebab mata gergaji patah, dan tak larat juga nak menjawab pertanyaan orang yg lalu lalang bertanya kisah sebenarnya (ingat aku nak curik kereta la tu). Lepas tiga jam barulah boleh buka. Bila ingat balik rasa kelakar pulak. Dalam pada aku sibuk menggergaji tu, sempat lagi bini aku sambung shopping...cheh..

Tengahari; bertolak ke Ipoh ikut Lebuhraya Timur Barat (Jeli – Grik). Singgah lunch kat Tasik Banding. 6.00 pm baru sampai Ipoh, rumah mertua. Kepenatan, tidur semalaman.




03/02/06 (Jumaat) – Lepas Asar balik Sg. Buloh. Maka tamatlah penjelajahan ke Pantai Timur kali ni. Alhamdulillah, selamat pergi dan balik. Semuanya berjalan lancar kecuali peristiwa kat Rantau Panjang tu. Jauh juga penjelajahan kami, jarak keseluruhan dari rumah sampai balik ke rumah semula sejauh 1587 km, hanya dengan kereta buruk aku tu, jangan tak caya...!!!

P/S - Aku suka melancong cara adventure begini, jelajah dan redah je tanpa ada perancangan sangat. Singgah je tempat yg rasa agak menarik...atau macam menarik (walaupun sebenarnya tak menarik langsung). Lain kali ada sesiapa berminat nak join, boleh konvoi dengan aku.

15 January, 2006

TITIAN PERJALANAN part 3 - 2000-2005

sambngan dari Part 2...

 Tahun 2000, aku mula mencatat apa2 yg berlaku dlm hidup aku...macam diari. Tapi takdelah tulis hari2, cuma catatan ringkas bila ada peristiwa2 yg aku rasa penting dalam hidup aku, yang mungkin di luar dari kebiasaan... Aku ni jenis manusia pelupa, mungkin sebab kepala hotak aku cuma boleh ingat memori jangka pendek je, atau mungkin sebab banyak sangat termakan semut & kepala ikan...haha. Jadi kalau aku tak catat, susah aku nak refresh balik memori jangka panjang aku. Dan memandangkan buku catatan tu dah nak lunyai...maka aku transfer'kan ke blog ni perkara2 yg aku rasa penting:

Mei 2000; Suatu pagi, nak pergi kerja macam biasa, motor jipang aku tu hilang pulak. Puas aku cari keliling flat (masa ni masih duduk kat Cheras). Motor buruk camtu pun ada orang nak curik??? Bedebah betul! Takde motor ni patah kaki la aku jawabnya. Tapi perkara yg buruk tu mungkin ada hikmahnya.Tak lama lepas hilang motor, aku akhirnya diserap ke jawatan tetap dgn gomen, selepas 3 tahun kerja sambilan. Alhamdulillah! Orang yg tak bercita2 tinggi macam aku ni, makan gaji sampai pencen la rasanya. Walaupun bapak aku orang bisnes, tapi otak bisnes tu macam tak menurun pulak kat aku..heh!

Julai 2000; Saja cari pengalaman jadi pembanci utk Banci Penduduk & Perumahan yg dijalankan 10 tahun sekali, buat kat rumah flat & teres kat Segambut.

September 2000; Dapat bayaran buat banci hari tu, terus beli motor baru, Kriss. Senang sikit nak bergerak...tak larat dah nak tumpang member atau naik bas kalau nak ke mana2.

Oktober 2000; Pindah rumah kat Flat Taman Kosas, Ampang...dgn bebudak satu ofis.

Disember 2000; Beli handphone pertama dlm hidup aku...Nokia 3210, model hp murah yg popular masa tu...mesti ramai yg pernah ada hp ni kan?

Mei 2001; Kena pergi kursus Biro Tatanegara (BTN) kat Kem Putra Peringat, Kota Bharu. Seminggu padat dgn aktiviti2 ceramah, latihan dlm kumpulan, kawad dll...layan je lah.

November 2001; Sepanjang tahun ni aku banyak join aktiviti mendaki gunung. Mula2 ikut kawan, lama2 naik syok pulak, terus terjebak... nanti aku buat posting lain khusus pasal xpdc mendaki yg aku join. Nak dijadikan cerita, 'tersangkut' dgn sorang awek ni...pun jumpa kat atas puncak gunung...heh!

Jun 2002; Kena pergi Kursus Induksi jabatan sebagai salah satu syarat utk disahkan dlm perkhidmatan. Bertempat di Golden Straits Villa Beach Resort, P.Dickson, 2 minggu lepak kat sini...adehhh. Pagi... petang... malam...kejenya dgr ceramah je lah. Rasa nak termuntah dah dgr ceramah! Paling tension sebab tak dapat tengok bola World Cup Japan/Korea... aarrgghh!

Julai 2002; Loan JPA masa belajar dulu dah kena bayar balik. Nasib baik dapat diskaun sikit pasal belajar tak sempat khatam! Ofis aku pun dah pindah dari KL ke Shah Alam, makin jauh nak gi kerja... berulang dari Ampang-Shah Alam boleh tahan juga jauhnya. Rasa macam nak pindah tapi cuba bertahan dulu.

Ogos 2002; Tengah bulan, awek kena denggi, kena tahan kat wad 8 hari. Akupun sama duk makan tido kat wad temankan dia...kira dah tahap serius dah aku & dia ni. Hujung bulan masa cuti merdeka, ikut awek balik kampung dia kat Ipoh. Dah tackle anak, dah bawak ke hulu ke hilir...kenalah tackle mak bapaknya pulak. Selamba kodok je aku sorang2 merisik & berbincang nak hantar rombongan meminang & bertunang tak lama lagi...gamble! Rasa2nya misi berjaya! Nasib baik diorang mcm sporting je. Kalau diorang jenis orang yg betul2 ikut adat memang confirm kena penampar dah aku ni...sure reject... kui3. Bukan apa, sebab aku fikir tak nak menyusahkan famili aku datang banyak kali nak uruskan pasal usaha2 pembinaan masjid ni. Jauh juga Pahang-Perak tu, kesian org tua aku tak larat jalan jauh.

September 2002; Bawa awek balik kampung aku, kenalkan bakal menantu kat famili aku pulak.

21 Disember 2002; Lepas subuh, bertolak dari kampung aku ke Ipoh, 2 kereta 1 van...sampai Ipoh 1.00 pm. Bla...bla...bla...Alhamdulillah dah selamat ditunangkan...tempoh 6 bulan. Darah tengah manis wa cakap lu! Hehe.

Mac 2003; Sibuk menguruskan persiapan nak kahwin...pergi kursus kahwin, settlekan borang2 nikah, test baju pengantin, siapkan barang2 nak buat hantaran dll.

April 2003; Pergi rumah abah aku setelah dekat 13 tahun tak pernah berjumpa, semata2 utk memberitahu yg aku dah nak kahwin. Jumpa juga mak tiri & adik2 tiri aku yg baru aku tau ada 6 orang rupanya, semua dah besar2 belaka. Penerimaan diorang pun ok je dan harap2 lepas ni hubungan keluarga akan pulih semula.

Mei 2003; Pindah rumah sewa kat Kg Melayu Subang, duduk sorang2 dulu. Dua minggu sebelum kahwin sempat lagi aku join kawan2 gi mendaki Gunung Tahan. Habis calar balar badan aku camno nak naik pelamin nanti...kui3.

Jun 2003; Dengan sekali lafaz "aku terima nikahnya si anu bt si anu dgn maskahwinnya RM101.00 tunai"...maka sahlah aku dah jadi laki orang. Macam tak caya pertama kali bercinta terus kahwin. Macam tak caya awek yg aku jumpa atas gunung ni dah jadi bini aku. Macam tak caya juga aku dah jadi laki orang. Tapi semua tu aku terpaksa percaya...hehe! Seminggu lepas tu buat majlis kecil2an pulak kat kampung aku. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan semoga kekal berbahagia hingga ke akhir hayat...Aamiin!

September 2003; Bini aku dah mengandung 2 bulan, baru ada masa & bajet nak gi honeymoon kat Tioman. Bukanlah pergi berdua tapi dgn geng2 pendaki (diorang nak lepak pantai pulak). Lepak 3 hari 2 mlm kat chalet Kg. Mukut. Aktiviti: snorkeling sambil dikerumuni ikan2 jinak kat Taman Laut, snorkeling lagi kat beberapa pulau kecik, sukaneka kat pantai Kg. Juara, bbq & karaoke. Merasa juga pengalaman naik bot meredah ribut. Fuhh...kecut perut aku!

Oktober 2003; Dapat baucer penginapan 3 hari 2 mlm kat Hotel Legend, KL. Baucer tu abang ipar aku dapat lucky draw family day ofis dia, tapi dia malas nak pergi. Dah org bagi free ambik je lah. Menginaplah aku 3h 2m kat situ, sambung honeymoon. Ronda2 sekitar KL, lepak shopping complex, tengok wayang & naik Menara KL. Rasa macam pelancong asing pun ada, hehe!

November 2003; Baru ambik lesen memandu. Terus beli kereta Iswara sedan. Dah berkeluarga ni kenalah pakai kereta. Masa bujang dulu bolehlah merempit dgn motor je kalau nak ke mana2.

1 Mei 2004; 12.39 pm, aku dah jadi ayah. Walaupun kedudukan bayi songsang & terpaksa dibedah, bini aku selamat melahirkan seorang anak lelaki. Selamat datang anak sulungku Aiman Izzuddin. Rasa macam tak percaya aku dah ada anak...dan tanggungjawab pun bertambah...

Julai 2004; Pindah masuk ke rumah apartment yg baru dibeli di Sg. Buloh. Setelah bertahun2 menyewa, akhirnya merasa duduk rumah sendiri.

Sepanjang tahun 2005, kehidupan aku biasa2 je...menjalankan tanggungjawab rutin sebagai suami dan ayah.

Maka setakat tu je lah 3 siri Titian Perjalanan dari 1975-2005. Mulai tahun 2006, catatan perjalanan hidup aku mula ditulis dalam blog ni. Wassalam.

* 3 siri Titian Perjalanan aku ni mengambil masa berbulan-bulan utk disiapkan, bergantung kpd kelapangan masa, kerajinan, ikut mood & ikut suka hati akulah!...

10 January, 2006

TITIAN PERJALANAN part 2 : 1991-1999

sambungan dari Part 1...

1991 – Form 4, tahun honeymoon....!!! Aku tak berapa ingat kisah2 zaman sekolah yg nak diceritakan. Takde yg luarbiasa sangat kot. Kalau nakal pun setakat nakal yg biasa2 je. Cuma seingat aku masa ni aku jarang duk rumah, selalunya melepak makan tidur kat rumah sewa kawan2 yg lebih berumur (kebanyakannya mat2 kilang laa). Aktiviti? Malas nak cerita, lu pikirlah sendiri. Atuk, nenek & pakcik aku pun macam buat tak kisah je.. Lagipun tempat aku lepak tu taklah jauh sangat dari rumah aku, kira-kira 100 meter je.

 Tingkatan 4


1992 – Form 5. Masa sekolah menengah ni (dari Form 1 – Form 5) boleh dikatakan aku agak anti sosial. Langsung tak join sebarang aktiviti sekolah...baik sukan, persatuan, kelab dan ntahapahapa lagi... Menjadikan aku seorang yg tak begitu dikenali. Tiada juga sebarang penglibatan dalam skandal cinta monyet, mungkin sebab aku tak hensem (haha) jadi takde awek minat kat aku, mungkin sebab aku anti sosial, dan mungkin sebab aku ni dari kecik kurang dapat nenen susu ibu (maksudnya kurang kasih sayang la tu) menyebabkan aku tak reti nak berkasih sayang...hahaha...jiwang2 tak main laa.

Tingkatan 5

Dah puas honeymoon masa form 4, tahun ni exam SPM yg bakal menentukan masa depan aku. Seperti biasa, org jenis pemalas nak study macam aku...1-2 minggu nak exam barulah nak belek2 nota & buku. Hentam sajalah labu!


1993 – Result SPM keluar. Sekali lagi, wow! Gred 1 agg.14. Kira boleh tahan la tu bagi budak sekolah kampung macam aku. Alhamdulillah walaupun malas nak study tapi mungkin sebab aku ni jenis terang hati, dapat gak result yg kira bagus lah bagi aku (macam riak je). Siap ada awek dari majalah sekolah nak interview aku, katanya aku 2nd best student SPM....laa ye ke??? Baru aku tau. Aku pun layan la jawab soalan2 dia.

Cikgu2 pun siap pesan jangan lupa isi borang UPU (mintak masuk U la tu). Aku pun isi laa...dan keputusannya...dukacita dimaklumkan tak dapat! Aku pun tak kisah sangat pasal aku ingat lepas SPM aku nak kerja kilang papan dekat rumah aku tu jer... Cheh, ntahapahapa la pemikiran aku masa tu, takde cita2 tinggi langsung.

Tak lama lepas result keluar, dapat panggilan masuk Form 6 kat SM Abu Bakar, Temerloh. Tak berapa jauh dari rumah aku (kira-kira 20 km) tapi kena naik bas dua kali. Sampai sekolah pun manjang lambat je. Kat sini barulah aku aktif sikit...join main bola, dilantik jadi ketua kelas dan AJK persatuan tingkatan 6, hahaha jangan tak caya... agak popular pulak aku kat sekolah ni. Tapi aku sekolah sini 2-3 bulan je sebab dapat pulak panggilan masuk Kolej Tingkatan 6 kat SM Sains Muar, Johor.

Lower 6, Temerloh

Kolej Ting. 6 ni masa tu (sekarang takde dah) satu program Kementerian Pelajaran untuk budak2 seluruh Malaysia yg mintak U tapi tak dapat sebab tak cukup syarat agaknya, maka yg terpilih dikumpulkan menumpang kat satu sekolah. Mula2 tu berat juga rasa nak pergi pasal kena duduk kat asramalah pulak. Payahlah aku nak kerja part time cari duit poket. Rasa macam tak best je mintak duit kat pakcik (Busu) & makcik aku (Achik). Pikir punya pikir aku pergi jugalah. Merantau pulak tengok tempat orang. Belajar2lah ikat perut. Bila dah kering sangat baru mintak kat diorang.

1994 – Upper 6, dah jadi senior. Tahun ni exam STPM. Lain macam rasanya duk sekolah asrama penuh ni. Bergaul pulak dgn budak2 yg betul2 pandai, macam pandai, berlagak pandai dan tunjuk pandai...sikit sebanyak terpengaruh juga dgn cara diorang belajar. Kalau dulu lagi seminggu nak exam baru sibuk study, tapi kat sini lagi sebulan nak exam aku dah study betul2 (hehe upgrade sikit je).

Upper 6, Muar

Masa form 6 ni lah, buat pertama kalinya baru aku ada perasaan minat kat sorang awek junior ni, yg pada pandangan mata aku...lemah lembuuuut...sopan santuuuunnn....!!! Hahaha. Aku yg kasar ni memang cair dengan orang yg sifatnya macam tu. Tapi macam yg aku cakap tadi, bab berkasih sayang ni aku tak berapa reti nak meluahkan, jadi aku kacau awek ni gitu2 je la... dan aku rasa dia pun tau aku minat kat dia, cukuplah...ada gak rasa cinta monyet buat geli-geli zaman sekolah, hahaha!


Habis exam, balik lepak kat kampung je. Kerja sementara kat kilang papan yg biasa aku kerja tu. Dah bosan tengok kayu & papan, aku kerja kat kilang buat batu bata pulak. Nak buat camne...kilang2 jenis kerja berat macam ni je yg ada kat area kampung aku tu.

Lepas 2-3 bulan lepak kat kampung, ikut member mintak kerja kat Genting H'lands. Dapat kerja jadi atendan theme park, kerja main2 sambil menjaga tempat permainan. Hari jumaat, sabtu, ahad dan hari cuti memang busy gila pasal ramai customer. Tapi dari hari isnin sampai khamis memang rilek gila...takde customer. Siap boleh mengular turun KL lagi...petang naik balik untuk punch card...hohoho. Hidup kat tempat maksiat ni, maka life aku kat sini agak lebih sosial (dulu anti sosial). Sosial yg macam mana??? Sekali lagi lu pikirlah sendiri!!! Takkan aku nak cerita keburukan aku lebih2 ye tak?

1995 – Result STPM diumumkan. Aku tak ambik tau pun, malas nak gi tengok, dah malas nak belajar. Sebulan lepas tu baru aku pergi Muar ambik result. Sampai sekolah terus kena bambu...”Pekung punya budak, dah 2 kali aku hantar telegram baru ngko nak datang ambik result???”...kata Cikgu Ramli Aziz yg masih aku ingat lagi sampai hari ni...hehe. Bila tengok je result, perrghh... dapat 5 Prinsipal (A,B,C,E,E), 58 unit.Tak sangkalah pulak, study main2 je. Apapun lepas tu aku masih terus kerja kat Genting. Memang dah takde rasa nak belajar langsung masa tu.

ni masa pakcik muda2 dulu... zaman lepas sekolah

Julai '95, nenek tersayang meninggal. Aku tengah kerja, kebetulan masa tu jalan susur masuk ke Genting ada tanah runtuh (tak silap aku berpuluh juga yg mati). Terpaksa balik ikut jalan jauh, tengahari balik malam baru sampai kampung. Sempat la tolong kebumikan jenazah arwah nenek ke liang lahad keesokan harinya. Pakcik aku (Busu) kata, sebelum arwah meninggal dia ada pesan suruh aku sambung belajar lagi...alamak beratnya nak aku tunaikan!

1996 – Mac; berhenti kerja kat Genting. Balik lepak kat kampung sekejap. Sekali sekala turun KL lepak dgn kawan2 lama. Ramai juga yg dapat masuk U, dah bergelar mahasiswa. Jeles pulak aku tengok diorang, macam bagus je. Aku pun try la mintak...terasa macam nak belajar balik.

Julai; Tak sangka! Dapat tawaran belajar kat Universiti Malaya, Fakulti Undang2. Perghh...dahsyat tu. ..macam mana boleh dapat law course ni..sedangkan rasanya course tu pilihan terakhir aku drpd 5 pilihan. Apapun pergi jugalah. Terpaksa bergolok bergadai, duit simpanan pun ada la sikit, Busu & makcik2 aku pun ada tolong bagi modal.

Maka pergilah aku sorang2 dengan beg haversack (macam nak gi camping pulak) mendaftar masuk U. Untuk semester pertama ni dapat duk hostel, dekat Sek.17 PJ...lepas tu kena sewa rumah kat luar, pandai2lah. Disebabkan aku skip setahun lepas exam STPM, maka kawan2 sebaya masa sekolah dulu dah jadi senior aku pulak.

1997 – Banyak juga pakai duit belajar kat U ni. Duit loan JPA habis buat bayar yuran je. Kalau ada lebih sikit pun cukup2 utk belanja makan minum & minyak motor. Memanjang kena ikat perut. Nak mintak duit kat Busu & Achik rasa macam tak best je, seboleh2nya dah tak nak menyusahkan diorang. Buat keputusan buat kerja part time steward (basuh pinggan daa...) malam2 kat hotel PJ Hilton... jimat sikit sebab dapat makan free.

Bila kerja malam, siang dah ngantuk pulak, kuliah pun selalu ponteng. Lagipun rasanya aku tak dapat nak sesuaikan diri dengan cara belajar kat U ni...masa sekolah menengah dulu bolehlah study last minute. Tiba2 rasa malas nak belajar dah datang balik, mental tak cukup kuat dan kepala hotak dah jem!

Jun; Masa ni dah duduk rumah sewa kat Pantai Dalam. Lepas final exam 1st year, aku blah macam tu je...babai UM! Minta maaflah tak dapat nak membalas jasa orang2 yg banyak menanggung aku selama ni. Kadang2 terasa macam aku ni...bak kata orang nogoghi...mengabihkan boreh yoo..!!! Tapi hidup perlu diteruskan... Tak perlu cop aku sebagai 'loser' semata2 tak habis belajar kat U. Rezeki ada di mana2 beb! 

Julai; Atas bantuan seorang kawan lama, aku dapat kerja di sebuah jabatan kerajaan sebagai kakitangan sambilan. Dalam banyak2 kerja yg pernah aku buat...rasanya inilah kerja yg paling sesuai dgn jiwa aku walaupun gajinya tak seberapa. Kerjanya lebih banyak di luar pejabat...rasa bebas dan tak terikat sangat.

1999 – Masih kerja di tempat sama, tak tahu sampai bila. Dengan taraf sebagai kakitangan sambilan, bila2 masa boleh kena tendang. Tahun ni juga atuk aku meninggal, sakit tua. Tak silap aku tahun ni juga aku pindah duduk asrama bujang kat Kompleks Belia Bandaraya, Cheras.

Bersambung lagi Part 3...
Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...