20 March, 2017

Berkhemah di Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Entri Sebelum : Mendaki Bukit Panorama, Sungai Lembing

19 Mac 2017 (Ahad)

~ Dah penat mendaki Bukit Panorama, kita mandi air terjun pulak menyegarkan diri. Dari Sungai Lembing, kami menuju Air Terjun Sungai Pandan (lebih dikenali sebagai Air Terjun Panching oleh penduduk tempatan), kira-kira 31 km dari Sg. Lembing. Dari arah Sg. lembing, masuk simpang kanan ke Jalan Panching.
~ Menyusuri Jalan Panching menempuhi ladang kelapa sawit. Simpang ke Air Terjun Sg Pandan terletak di sebelah kanan, di antara Felda Sg Panching Utara dan Felda Sg Panching Selatan.
~ Dari simpang masuk ke dalam jaraknya kira-kira 3 km, mula-mula akan jumpa Kuari Bukit Bekelah. Jalan tak berapa elok. Kemudian sampai di pintu masuk air terjun, akan jumpa pondok bayaran tiket.

~ Bayaran masuk ; RM2 dewasa, kanak-kanak 7-12 tahun RM1, bawah umur 7 tahun percuma je. Bayaran parkir ada 2 pilihan; ke kanan percuma tapi jauh sikit nak berjalan ke air terjun (kira-kira 200 meter je), atau ke kiri bayar RM3, boleh parkir di dalam kawasan padang yang berdekatan dengan sungai dan kemudahan tandas, surau dan gerai.
~ Bagi kami yang bercadang nak berkhemah ni; bayarannya RM8 dewasa, kanak-kanak 7-12 tahun RM5 seorang... serta deposit kebersihan RM20 (boleh dituntut masa nak balik nanti).
 ~ Aku pernah berkhemah di air terjun ni pada tahun 1996 masa zaman bujang dulu dengan kawan-kawan (kira punya kira rupanya dah 20 tahun berlalu). Masa tu masuk percuma je dan kawasan air terjun ni pun belum dimajukan.
~ Persekitaran boleh dikatakan bersih, banyak tong sampah disediakan. Tapi macam tempat-tempat lain juga, mesti ada manusia jenis 'tak sekolah' yang buang/tinggal sampah merata.

~ Sampai-sampai je, anak-anak terus terjun sungai. Di bahagian bawah air terjun ni dibina empangan yang membentuk kolam takungan yang cetek, sesuai untuk kanak-kanak, tapi kualiti air agak keruh berbanding di bahagian atas kawasan air terjun. Takpe, mula-mula ni mandi kat bawah dulu. Tengahari ni kami makan burger dan air kelapa je yang dibeli dari gerai berdekatan.
~ Lepas solat jamak zuhur & asar, barulah kami naik ke kawasan air terjun. Boleh naik jambatan gantung di sebelah kanan, atau terus sahaja pun boleh sampai ke air terjun.
~ Memang cantik air terjun ni. Tengok gambar tak sama dengan tengok sendiri keindahan air terjun ni. Kolam air terjun ni pun cuma separas pinggang hingga dada orang dewasa (paras air boleh berubah selepas hujan). Boleh juga duduk bawah aliran deras air terjun menikmati urutan percuma. Anak-anak kecik pun boleh mandi di sebelah tepi yang cetek. Boleh main istana pasir. Boleh tangkap ikan, udang dan ketam kecik di celah batu... buat main je, lepas tu lepaskanlah balik. Memancing ikan adalah dilarang.




Layan pemandangan dalam video ni; boleh nampak keseluruhan kawasan air terjun dari atas sampai bawah



~ Dah puas berendam di air terjun, jam 5.00 petang kami turun semula untuk carik port pasang khemah dan buat bbq. Port strategik dijumpai di bawah pokok ceri, sebelah kolam empangan, berdekatan surau dan tandas. Boleh pasang khemah di mana-mana sahaja asalkan tak menghalang laluan. Selesai pasang khemah, anak-anak sambung mandi... berendamlah korang puas-puas.
~ Menjelang jam 6.00 petang, kedengaran tiupan wisel oleh petugas menandakan waktu beriadah di air terjun dah tamat (rujuk waktu riadah dalam gambar di atas). Nampaknya hanya kami 6 orang sekeluarga yang akan berkhemah malam tu. Mungkin sebab esok Isnin hari bekerja. Ini air terjun kami yang punya. Kata abang tauke gerai kat situ, memang jarang orang berkhemah kat air terjun ni. Bekalan elektrik pun takde, waktu malam memang gelap gelita.
~ Sebelum maghrib, dah siap 'pagar' kawasan khemah, bbq daging kambing dan ayam pun dah siap, nasi pun dah siap masak. Lepas solat jamak maghrib & isyak berjemaah, makan pulak secara berjemaah diterangi cahaya pelita ayam dan lampu khemah. Lepas makan, sempat main sahibba se-round bersama anak-anak.
~ Walaupun keadaan sekeliling gelap gelita , cuaca baik malam ni dengan bintang bertaburan di langit. Menjelang jam 10.00 malam, mata pun dah kuyu. Tidur bertemankan bunyi unggas hutan dan deruan air terjun... memang 'heaven'!




20 Mac 2017 (Isnin)

~ Lepas solat subuh, masak sarapan simple je... maggi dan green tea latte. Lepas sarapan, naik semula ke air terjun bagi peluang anak-anak mandi-manda puas-puas sampai kecut dan menggigil sampai jam 11.30 pagi. Turun sambung mandi lagi kat kolam bawah sambil kami berkemas dan buka khemah.
~ 1.20 pm; bertolak pulang dengan berat hati... rasa nak lepak lama lagi... rasa nak duduk sini terus pun ada...hihi.


Mendaki Bukit Panorama, Sungai Lembing

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

~ Cuti sekolah seminggu. Along boleh balik rumah. Katanya agak stres juga duduk di asrama dengan jadual ketat dan berjauhan dari keluarga. Takpelah cuti seminggu ni bawa dia dan adik-adiknya pergi release tension... Cara nak release tension??? Bapaknya ni cuma tau bawa masuk hutan menghayati keindahan alam semulajadi... hihi. Singgah kampung jap ajak adik sepupu aku join sama.

19 Mac 2017  (Ahad)

~ 1.00 am; pagi-pagi buta lagi dah sampai di pekan Sungai Lembing. Dari LPT keluar exit Kuantan, selepas tol ambil simpang ke kanan, kalau ke kiri menuju Kuantan. Tidur-tidur ayam dalam kereta depan Masjid Jamek Sg. Lembing sementara menunggu waktu subuh.
~ Lepas solat subuh, menuju ke starting point di Market Street, masuk ikut Pasar Sungai Lembing.
~ Hujung minggu agak susah nak cari parkir kereta, kami letak kereta di stesen bas berdekatan Medan Selera Sg. Lembing... tak jauh sangat pun kalau jalan kaki ke tempat permulaan mendaki.
~ Sebenarnya ramai yang naik sebelum subuh sebab nak tengok pemandangan matahari terbit (jangan lupa bawa head lamp).
~ Ada tandas awam yang selesa serta pondok rehat di tempat permulaan.
~ Kami mula mendaki 6.40 pagi, pakai head lamp sekejap je sebab cuaca dah mula cerah.
~ 15 minit pertama pendakian agak mencabar sebab laluan agak curam. Tapi treknya memang selesa, lebih kurang 90 % adalah tangga bersimen siap dengan pemegang besi tempat berpaut. Cuma hati-hati di 2-3 tempat tangganya rosak sikit.
~ Selepas 30 minit, trek semakin landai. Dah boleh nampak pemandangan indah lautan awan karpet di bawah.
~ Angah seperti biasa laju ke depan, meninggalkan ibunya yang dah lebih 14 tahun tak mendaki mana-mana bukit, Along yang semakin besar dan berat 'pouch bag'nya dan Aina yang asyik mengeluh penat dan tak larat sepanjang pendakian. Ayahnya terpaksa la jadi sweeper diorang...hihi.



~ Selepas mendaki kira-kira 45 minit, akhirnya kami sampai di puncak Bukit Panorama yang ketinggiannya 291 meter dari aras laut. Kalau fit rasanya 20-30 minit boleh sampai puncak. Waktu kami sampai ramai yang dah mula turun.
Puncak bukit memanjang dan agak luas, di sebelah kanan pemandangan awan karpet, di sebelah kiri pulak pemandangan matahari terbit berlatarbelakangkan Bukit Charas (yang ada Gua Charas tu). Nak camping pun boleh je, tapi kena bawa bekalan air dari bawah la, tiada sumber air kat puncak ni.
~ Terdapat dua pondok dibina bagi pengunjung berehat selepas mendaki. Kami lepak pekena roti krim jagung dan air kotak yoghurt buat alas perut.
~ Selesai bergambar dan berswafoto, turun semula ke tempat permulaan. Masa turun ni Aina bukan main laju tak sabar-sabar nak sampai bawah.



~ Kat depan pasar ni ada pasar pagi setiap Ahad. Sarapan kat Medan Selera Sg. Lembing, tempat kami parkir kereta tadi. Sedap juga roti canai yang garing dan kuah dal & karinya pun sedap. Tak ingat pulak nama gerainya.
~ Lepas sarapan, melayan anak-anak yang nak pergi Muzium Sg Lembing, nampak tersergam atas bukit dari medan selera ni. Tiket masuk RM2 untuk dewasa, kanak-kanak bawah 12 tahun percuma.
Muzium ini mempamerkan peralatan-peralatan berkaitan perlombongan bijih timah dan bagaimana proses perlombongan dijalankan. Suatu waktu dahulu Sg. Lembing ni sangat terkenal sebagai tempat perlombongan bijih timah dan merupakan pengeluar bijih timah utama di negeri Pahang... khabarnya lombong di sini merupakan lombong bijih timah bawah tanah terbesar di dunia.
~ Hampir sejam melawat seluruh muzium, kami bertolak ke Air Terjun Sungai Pandan, anak-anak dah tak sabar nak mandi.




Entri Seterusnya: Berkhemah di Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan

12 March, 2017

Selamat Pengantin Baru Ika & Jerie

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Selamat pengantin baru buat adik bongsu, Ika & pasangannya Jerie. Semoga rumahtangga mereka kekal bahagia hingga beranak bercucu, hingga ke akhir hayat dan hingga ke syurga di bawah rahmat Allah... aamiin.

06 March, 2017

Catatan Pendakian Gunung Rajah via Chamang, Bentong

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

4-5 Mac 2017 (Sabtu-Ahad) - Ini log pendakian ke Gunung Rajah via Chamang, dianjurkan oleh Kumpulan Kecil Trekkers (KKT) diketuai Shuk dengan peserta seramai 24 orang termasuk guide & crew.


INFO
~ Ketinggian Gunung Rajah adalah 1684 meter (5526 kaki) dari aras laut. Terletak di jajaran Banjaran Titiwangsa dan tempat permulaan pendakian terletak di Air Terjun Chamang iaitu kawasan rekreasi yang popular di daerah Bentong, Pahang.

~ Jarak perjalanan dari tempat permulaan hingga ke puncak Gunung Rajah adalah kira-kira 32 km pergi balik (16 km sehala) menjadikan pendakiannya sangat mencabar fizikal dan mental.

~ Pemandangan di puncak 360 darjah (jika cuaca cerah tidak berkabus). Boleh nampak Genting Highlands, Empangan Sg. Selangor di KKB dan Gunung Benum yang berketinggian 2107m juga boleh dilihat megah berdiri. Di malam hari pulak boleh nampak kerlipan-kerlipan cahaya lampu sekitar bandar seperti Rawang, Tanjung Malim, Bentong, Raub dan Kuala Lumpur.

~ Terdapat satu lagi laluan yang semakin popular tetapi dikatakan treknya lebih sukar iaitu dari arah Kuala Kubu Bharu (KKB), Selangor. Tempat permulaan yang sama jika ingin mendaki Bukit Kutu iaitu di Kg. Orang Asli Pertak.

~ Pernah berlaku tragedi pendaki maut disambar petir ketika berkhemah di puncak gunung ini pada tahun 2004 di mana 21 pendaki cedera manakala 2 lagi maut. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada allahyarham rakan sepergunungan kita. Boleh baca beritanya di SINI dan SINI.


Sabtu 4/3/2017
12:10 am - Mula bergerak dari tempat berkumpul di LRT Gombak ke Bentong Pahang.
01:00 am - Singgah makan dulu di Restoran Dapur Kita, Bentong.
01:40 am - Bergerak menuju ke Air Terjun Chamang, pembahagian ration.setting beg & head lamp.
02:10 am - Taklimat pendakian oleh Chief KKT, doa & senaman warming up.
02:30 am - Pendakian bermula menuju ke tapak perkhemahan Lata Naning. Trek permulaan di belakang pejabat renjer pacak selama 15 minit, kemudian menyusuri trek balak, akan melalui Stesen Janakuasa Kecil Sg. Perting dan rumah orang asli sebelum tiba di pintu masuk Gunung Rajah.
03:45 am - Setelah melayan trek balak yang agak membosankan (kalaulah ada 4x4 kan bagus) selama 1 jam 15 minit , akhirnya tiba di pintu rimba. Rehat & Regroup.
04:00 am - Dari pintu rimba teruskan perjalanan melalui trek tepi air terjun.
05:10 am - Tiba di check point Resam. Rehat 10 minit & Regroup.
05:50 am - Tiba di check point Kuala Sungai Terling (Sungai Y), perlu menyeberangi sungai di sini. rehat 5 minit kemudian teruskan perjalanan.
06:50 am - Tiba di campsite Lata Naning, Tapak perkhemahan agak luas, boleh menempatkan kira-kira 80 orang. Keletihan dan mengantuk. Solat Subuh dan sarapan di sini. Krew KKT pun dah siap pasangkan ground & flysheet, rehat sekejap tidur-tidur ayam.


10:00 am - Memulakan pendakian ke puncak Gunung Rajah... Daypack, lega sikit bawa beg kecik je.
11:00 am - Tiba di satu lagi campsite Kem Batu Hijau. Tapak perkhemahan yang agak besar juga, boleh menempatkan maksimum kira-kira 50 orang... suhu lebih sejuk di sini berbanding di campsite Lata Naning.
12:40 pm - Tiba di check point Permatang Guntong yang terdapat puncak Bonsai. Dari sini boleh nampak puncak Gunung Rajah menjulang tinggi dan tebing curam Batu Hampar yang akan didaki nanti.
01:10 pm - Tiba di Batu Hampar. Pendakian yang agak mencabar di sini kerana pendaki perlu menggunakan tali untuk mendaki tebing batu yang curamnya hampir 90 darjah.
01:40 pm - Tiba di check point Last Water Point, punca air terakhir sebelum sampai puncak. Ada tapak perkhemahan yang boleh menempatkan kira-kira 20 orang.
02:30 pm - Alhamdulillah, puncak Gunung Rajah berjaya dijejaki. Kelaparan, terus makan lunch pack nasi ayam masak merah dan sayur campur. "Makan kat puncak gunung, rasa macam KFC"... bak kata Abang Faizal yang wajahnya seiras Mamat Khalid. Lepas makan bergambar sakan di puncak. Cuaca baik tapi berkabus, tak berapa nampak pemandangan. Mujur sekali sekala bila kabus menipis nampak juga pemandangan empangan di KKB.



03:30 pm - Memulakan perjalanan turun. Sepatutnya dari puncak ambil simpang ke kiri menuju Lata Naning. Tapi kami ramai-ramai tersasar salah trek selama 15 minit turun ikut trek ke KKB. Mujur terserempak pendaki yang naik dari KKB. Penat juga nak naik balik. Takpe belajar dari pengalaman...hihi.
04:30 pm - Tiba di Last Water Point, solat jamak zuhur dan asar.
05.00 pm - Menuruni Batu Hampar.
06:30 pm - Tiba di Kem Batu Hijau, regroup & rehat 10 minit.
07:15 pm - Tiba di Lata Naning, lepak atas batu melepaskan lelah sambil menikmati deruan air terjun. Mandi sekejap je sebab airnya sejuk betul. Solat jamak maghrib dan isyak. Dinner malam ni nasi lauk daging masak lemak cili api... terbaik!
10.00 pm - Lena dalam kedinginan malam. Tempat tidur hampir basah ditimpa hujan pun dah tak sedar, mujur ada adik-adik krew yang tolong betulkan fly.. hehe.. terima kasih.


Ahad 5/3/2017

08.00 am - Sarapan kuey teow goreng, lepas tu aktiviti bebas; sambung tidur, mandi atau terjun tiruk.
12:00 pm - Mula perjalanan turun ke Air Terjun Chamang.
02:50 pm - Sampai Pintu Rimba, regroup, rehat & bergambar di signboard.
03:10 pm - Teruskan perjalanan ikut trek balak.
04:20 pm - Tiba di Air Terjun Chamang. Alhamdulillah misi berjaya.


Tahniah dan terima kasih kepada semua peserta yang sporting lagi happening yang memeriahkan suasana sepanjang pendakian. Tahniah dan terima kasih juga kepada penganjur Kumpulan Kecil Trekkers (KKT), pengurusan trip tersusun lagi terbaik. Jumpa lagi di trek lain.



18 February, 2017

Catatan Pendakian Gunung Gap & Gunung Ulu Semangkuk, Kuala Kubu Bharu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

18 Februari 2017 (Sabtu) - Ini log pendakian Gunung Gap dan Gunung Ulu Semangkuk bersama Angah dan Aina dan 6 orang rakan lain. Ini juga pendakian pertama bagi Aina, harap tak banyak meragam kat trek. Catatan ringkas je, malas nak tulis panjang-panjang.

INFO
~ Lokasi permulaan : The Gap Resthouse, Kuala Kubu Bharu, Selangor, di tengah perjalanan ke Bukit Fraser dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Tranum.
~ Ketinggian : Gunung Gap (1183 meter / 3868 kaki); Gunung Ulu Semangkok (1394 meter / 4558 kaki).
Ramai yang terkeliru dengan Gunung Semangkuk (1824 meter / 5984 kaki) yang juga merupakan gunung tertinggi di Selangor, ini gunung yang berbeza dan tempat permulaan mendaki juga berbeza.
~ Kebiasaannya mengambil masa 45 minit -  1 jam dari tempat permulaan ke puncak Gunung Gap dan 1 jam 45 minit - 2 Jam ke puncak Gunung Ulu Semangkuk. Tempoh pendakian yang agak singkat sebab tempat permulaan pendakian di The Gap sudahpun berada di titik ketinggian yang agak tinggi.
Jarak Perjalanan : Lebih Kurang 3 km.


8.00 am - Berkumpul dan sarapan roti kobra telur goyang di Restoran Fazlina Maju, Kuala Kubu Bharu.
9.00 am - Bertolak ke The Gap mengikuti jalan ke Bukit Fraser yang berliku-liku dan berselekoh S. Para penumpang tersandar kepeningan, roti telur goyang yang dimakan tadi kini dah bergoyang-goyang dalam perut pulak.
10.15 am - Mula mendaki. Trek mula-mula agak mencanak hingga ke Gunung Gap. Tapi trek jelas, banyak marking, insya Allah takkan sesat. Angah macam biasa paling laju, jalan depan sekali macam dialah guider, Aina pulak nampak seronok je, ok lah tu tak mengada-ngada sangat macam kat rumah...hehe. Suhu sepanjang trek memang dingin dengan angin bertiup nyaman.
11.30 am - Sampai di puncak Gunung Gap... rehat, bergambar sampai lebam.

12.00 pm - Teruskan perjalanan ke Gunung Ulu Semangkuk, trek turun naik dan ada trek landai.
2.15 pm - Sampai di puncak Gunung Ulu Semangkuk. Ramai juga pendaki lain, tapi ramai yang dah beransur turun. Anak-anak dah lapar, makan bekalan bihun + ayam goreng yang dimasak oleh ibu mereka yang gigih bangun masak pukul 5.00 pagi  tadi. Ada juga surprise sambutan harijadi untuk seorang birthday boy grup kami. Lepas makan sambung bergambar di puncak sampai lebam lagi.
3.30 pm - Mula bergerak turun.
5.00 pm - tiba di Gunung Gap. Rehat sekejap dan teruskan perjalanan. Kalau tadi naik mencanak, nak turun ni mencanak la juga, sampai Aina pun dah lembik lutut terpaksa la didukung sekejap.
6.00 pm - Alhamdulillah selamat tiba di tempat permulaan. Dalam perjalanan balik ke KKB, singgah mandi dan solat kat air terjun kecik tepi jalan.
8.00 pm - Singgah makan kat Restoran Asam Pedas Dataran KKB, sebelum bertolak balik. Anak-anak pun dah pewai. Apapun tahniah Aina yang berjaya mendaki gunung buat kali pertama... tapau dua gunung sekaligus pulak tu. Lepas ni tak taulah diorang nak ikut gi hiking lagi ke tak lepas ni.



Terima kasih sudi singgah. Ini blog peribadi... sekadar mencatat pengalaman peribadi. Maka segala pendapat/pandangan dalam blog ini adalah pendapat/pandangan peribadi, tiada kena mengena dengan pihak lain kecuali aku nyatakan namanya. Pendapat/pandangan ini tidak semestinya benar, tapi tidak semestinya pula tidak benar.

Kalau ada info dalam blog ini yang bermanfaat kepada orang lain, baguslah...alhamdulillah. Kalau rasa tak berfaedah, diam-diam sudah dan jangan buang masa sila tinggalkan blog ini.

Aku juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerugian/ kesusahan/kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini. Semua dah besar pandai-pandailah menilai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...